Tuesday, July 28, 2009

Sahabat Lama (4)


Aku sambung lagi cerita aku dan sahabat sekolah menengah semasa di Perlis.

Memang itulah ceritera hidup yang indah bagi aku. Aku dalam proses mengenal erti persahabatan, erti kasih-sayang sesama insan yang tiada sebarang pertalian darah, berbeza loghat percakapan, berbeza cara hidup, berbeza suasana hidup.

Perbezaan pertama aku rasai semasa di Tingkatan 1. Semasa kami semua bersembahyang jemaah Subuh aku jadi keliru, kenapa tiada doa Qunut. Terjadi sedikit pertikaman lidah antara aku dan beberapa teman-teman yang berasal dari Perlis, engkau sembahyang tak betul, kami sembahyang betul. Waktu itu kami begitu naif, apa yang diajar oleh ibu-bapa dan guru agama di kampung itulah yang terbaik. Fikiran masih belum didedahkan dengan pelbagaian Mazhab. Mujur lama-kelamaan aku dapat menerima bahawa sembahyang Subuh di Perlis tidak ada bacaan Qunut, sama seperti keadaannya di Mekah.

Perbezaan suasana sekitar juga mengujakan. Kampung aku penuh dengan tumbuhan getah dan pokok dusun buah-buahan. Di Perlis aku memandang keindahan sawah padi. Di kejauhan bukit-bukit batu kapur bercacak berkelumpu, menjadikan lanskap alam yang sangat indah. Dan aku jatuh cinta dengan keindahan itu. Sehingga kini pun selang setahun aku menjadikan Perlis destinasi percutian hujung minggu apabila kau rindu pada keindahan sawahnya, taliairnya yang jernih, bukit batu kapurnya yang indah, ladang tebu Chuping yang terbentang..bak pemandangan Prairie. Dan setiap kali itu juga aku terkenang saat meniti celah-celah batas sawah padi yang menguning semasa berkunjung ke rumah Jamilah, Suraini dan Kak Liza. Angin sawah yang bertiup tanpa pencemaran sangat menyegarkan.

Loghat Perlis lebih pekat daripada Pulau Pinang. Aku akhirnya terikut-ikut dengan sebutan tersebut, maklumlah selama 5 tahun di Perlis, itulah loghat yang keluar-masuk di telinga ku. Bagi aku orang Perlis suka bergurau, kalau bergurau bunyinya kasar, tapi itulah tanda kemesraan, dan kemesraan itulah yang kekal di hati sehingga kini.

Bukan aku saja yang masih tidak jemu bernostalgia seperti ini. Tapi tanyalah kebanyakan bekas penghuni daerah ini, mereka ramai yang masih merindu kenangan itu. Kerana itu tidak hairan bila saling bertemu dalam blog, atau laman web, atau majlis re-union atau kini "facebook", kerinduan dan kemesraan itu jelas terpancar.

Paling aku sedih ayat dari seorang abang senior yang menghadiri majlis re-union - "mungkin ini kali terakhir kita dapat bertemu, tahun depan mungkin ada aral melintang, mungkin ada yang akan mengadap Tuhan, jadikan perjumpaan ini yang paling manis untuk dikenang".

Oh sayunya.

Friday, July 17, 2009

Sahabat Lama (3)

Dorm 2, Tingkat 2, Asputri (1975)

Pengalaman di sekolah berasrama selama 5 tahun amat mahal bagi ku. Di sinilah aku membentuk diri dari seorang anak yang manja menjadi remaja berdikari, dari penakut jadi berani, dari kanak-kanak kepada dewasa.

Semasa mula belajar di asrama ini umur aku baru nak menginjak 13 tahun. Sekolah ini di negeri Perlis jaraknya beratus batu dari kampungku di Perak. Dengan ketiadaan lebuhraya ketika itu perjalanan boleh memakan masa hampir 6 jam.

Emak dan Arwah Apak meninggalkan aku di sekolah ini dengan penuh tawakkal. Itulah pertama dan terakhir mereka menjejakkan kaki di sekolah tersebut. Selepas itu aku harus bergerak sendiri. Aku bertuah seorang pelajar senior mengambil aku sebagai adik angkatnya. Kakak Che Sham sentiasa bertanya kabar sekiranya aku memerlukan bantuan sepanjang berada di daerah asing ini.

Selain beliau, aku juga berkawan dengan teman-teman sebilik dan teman sekelas yang lain. Waktu itu aku masih tercari-cari samada perlu rapat dengan teman sekelas atau teman sebilik. Akhirnya aku memilih teman sebilik. Kami dalam tingkatan yang sama tetapi berlainan aliran, aku aliran melayu, Moz aliran Inggeris. Aku makan pagi dan malam bersamanya. Pergi ke bilik air waktu subuh pun bersama. Keluar ke pekan Kangar setiap hujung minggu bersama. Malah Moz juga sering membawa aku berkunjung ke rumah keluarga beliau di Kg Sena, Kangar. Aku mengenali hampir seluruh keluarganya, ayah, ibu tiri, nenek, emak saudara, bapa saudara, sepupu dan adik-beradiknya. Walaupun keluarganya hidup serba sederhana, tetapi mereka amat kaya dengan budi bahasa. Aku jadi tidak kekok bersama mereka. Hingga kini, walaupun sebahagian besar mereka telah tiada di dunia ini, wajah dan jasa mereka tetap aku kenang.

Aku juga berkenalan dengan Fauziah. Walau pun kami berlainan aliran, tetapi aku jadi rapat apabila mengetahui kami berasal dari daerah yang sama di Perak. Memandangkan bapa beliau bekerja sebagai Sarjan Polis di Perlis sejak berpuluh tahun, Fauziah dilahirkan di Perlis. Aku dijadikan anak angkat oleh keluarga Fauziah. Selalunya aku akan berkunjung ke rumah keluarganya apabila cuti hujung minggu. Di sini aku dapat melepaskan kerinduan pada loghat dan makanan Perak. Malah aku turut menyertai keluarga ini berpindah dari rumah kampong ke Berek Polis Beseri. Penat juga mengangkat dan menyusun barangan, tapi aku gembira menjadi sebahagian dari keluarga ini. Kini kedua ibu-bapa angkat ku juga telah meninggal.

Aku menjadi rapat dengan teman sekelas hanya apabila aku berada di Tingkatan 4 dan 5. Aku masih ingat kami 6 pelajar perempuan yang sering bersama ke mana sahaja, Aku, Yati, Dikna, Suraini, Salmah Mae dan Aspa. Hidup kami penuh gelak ketawa. Kadang-kadang pelajar perempuan lain menjuihkan mulut memandang kami, meluat agaknya melihatkan kami sentiasa gembira. Pelajar lelaki juga menggelar kami "geng galak". Ah! Peduli apa, kami tidak ganggu oranglain, kami hanya mahu menikmati hidup bersama ini sepenuhnya. Kini seorang dari kami telahpun mengadap Ilahi. Arwah Aspa meninggal beberapa tahun lalu kerana menghidap barah.

Hubungan aku dengan teman-teman sekolah ini terputus agak lama, maklumlah waktu itu kemudahan yang ada hanyalah surat-menyurat. Perpindahan ke sana ke mari kerana menyambung pelajaran dan bekerja dan sikap malas menulis menyebabkan semua sahabat aku membawa diri masing-masing. Sehinggalah pada tahun 2006, seorang teman, Pak Ark mengambil inisiatif mengumpulkan semula teman-teman dan mewujudkan komuniti kami sendiri iaitu Asputra79.

Akulah orang yang paling gembira dan bersyukur kerana dapat menghubungi semula teman-teman. Ada yang kini memegang jawatan tinggi, yang bergelar usahawan, yang telah bergelar hajah dan haji, dan ramai yang kini menunggu masa menerima menantu. Selain dari Arwah Aspa, aku juga telah kehilangan seorang lagi sahabat Arwah Mohsin.

Aku berharap hubungan yang baru disambung semula akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.

Sahabat Lama (2)

Dari atas Jambatan Nordin, penghubung utama Kampung Tanjung Belanja dengan Pekan Parit -
pemandangan ke arah timur yang indah. Sungai Perak serta gunung yang berbalam di kejauhan

Masjid Tanjung Belanja - jumlah jemaah di masjid ini berlipat-ganda apabila tiba Aidil Fitri,
anak perantauan pulang ke kampung

Pekan Tanjung Belanja - sebuah pekan "cowboy"

Cerita tentang sahabat sekolah rendah.

Waktu ini paling bahagia dalam hidup kebanyakan kita. Kita tidak pernah memikir tentang masalah. Ibu bapa yang perlu memikir macam mana hendak menjadikan kita manusia berguna, manusia sempurna.

Aku pun begitu. Yang aku ingat setiap pagi aku bangun dari tidur, bersarapan seadanya dan terus berjalan ke sekolah dengan kakak aku, Yong. Tetapi selepas aku mempunyai kawan sendiri, aku tidak lagi berulang-alik dengan Yong.

Kadang-kadang sepanjang jalan pergi atau pulang dari sekolah, mulut kami riuh bercerita itu-ini, panas matahari tak terasa dik seronoknya bergurau.

Tiba di rumah, setelah makan tengah hari dan mandi-manda, kawan-kawan akan datang ke rumah dan kami berjalan kaki pula ke kelas Fardhu Ain. Cuaca panas dan jaraknya agak jauh dari rumah aku. Emak asyik marah kerana kedegilan aku tidak mahu menggunakan payung. Tetapi aku gembira walau berpanas terik. Seingat aku tidak pernah aku ponteng kecuali sebab demam. Apa lagi di sini aku ada kawan-kawan baru yang lebih ramai.

Pulang dari kelas Fardhu Ain kami akan singgah di mana-mana untuk bermain. Kadang-kadang di halaman rumah aku atau kadang-kadang di rumah sahabat yang lain. Permainan kami begitu ringkas, tidak perlu mengeluarkan modal. Kami bermain sorok-sorok, galah panjang, polis sentri atau 'rounders'. Kalau cuaca tidak baik, kami main serimban menggunakan kulit kerang atau batu jalan sahaja. Begitu lah aktiviti harian kami yang sentiasa cergas. Sebab itu zaman kami dulu jarang jumpa kanak-kanak yang obesiti.

Janji dengan emak masing-masing, sebelum Maghrib semua mesti balik ke rumah. Sekiranya ada yang melanggar arahan, siap akan dibedal. Indahnya waktu itu, kita boleh dibedal oleh sesiapa sahaja termasuk jiran-jiran kita. Mereka menganggap kita sebagai anak mereka yang perlu didisiplinkan. Dan indahnya juga, kita tidak akan berani mengadu kepada emak kita mengenai 'makcik A' tadi pukul saya, 'makcik B' marah saya. Jika mengadu, alamatnya akan terima hukuman tambahan dari Emak atau paling kurang kena tempelak "sapa suruh kamu degil sangat!!!"

Tapi aku tahu, semua keindahan itu tidak ada pada generasi kini. Anak-anak tidak bebas bermain kerana persekitaran yang tidak selamat. Semua orang mengambil sikap jaga tepi kain masing-masing dan tidak peduli hal orang lain lagi.

Monday, July 13, 2009

Sahabat Lama (1)

Jambatan penghubung Pekan Parit dengan Kampung Belanja Kiri - kampung asal Arwah Apak. Jambatan ini untuk kegunaan pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja.
Di tengah-tengah jambatan ini terletaknya Pulau Chempaka Sari,
yang sepatutnya dimajukan sebagai pusat rekreasi

Pekan Parit tidak banyak berubah...sama seperti sewaktu aku kecil

Aku tiba-tiba berminat mencari teman-teman lama yang telah terpisah.

Aku ramai teman, tapi 'best friend' hanya boleh dikira dengan jari. Tapi teman yang ramai itu tidak pernah pula aku bermusuh atau bermasam muka. Tapi aku tidak pasti samada terdapat teman yang menganggap aku ini musuh mereka. Sebab belum pernah ada sesiapa pun yang memberitahu aku begitu.

Teman sekolah rendah...tidak ramai yang kekal dalam ingatan aku. Cuma teman rapat seperti Echah, Dah, Salasiah atau yang lelakinya seperti Wahab, Bidi dan Anuar. Yang lain aku sudah ingat-ingat lupa. Maafkan aku, mungkin waktu itu aku tidak begitu menghargai persahabatan. Aku cuma banyak berkawan dengan sahabat-sahabat rapat itu saja setiap kali waktu belajar, waktu rehat, waktu aktiviti petang atau waktu mengaji Al Quran.

Tetapi sahabat di sekolah menengah amat rapat di hati aku. Aku bersekolah asrama selama 5 tahun di Perlis. 5 tahun itu aku dewasa bersama sahabat-sahabat aku. Kami bersama tidor, mandi, solat jemaah, makan 5 kali sehari, belajar, prep class petang dan malam, bersukan, bercuti, aktiviti ko-korikulum dan sebagainya. Waktu itu aku rasa aku lebih rapat dengan sahabat dari ahli keluarga ku sendiri. kami semua mempunyai ikatan yang kuat walau pun berlainan bangsa atau berasal dari negeri yang berbeza.

Kemudian aku menyambung pengajian di Uitm Trengganu selama 3 tahun. Teman kuliah tetap sama selama 3 tahun tetapi teman bilik bertukar-tukar. Perbezaan umur aku dengan teman kuliah dan teman bilik menyebabkan persahabatan tidak begitu terjalin kejap, tetapi aku gembira kerana mampu bersahabat dengan siapa sahaja sama pelajar dari Pantai Timur atau Pantai Barat. Tidak pernah aku bermasam muka dengan sesiapa pun walau pun aku tahu mereka ada bermacam-macam kerenah. Tapi aku berpegang kepada sikap selagi orang tidak mengganggu aku, aku pun tidak akan ganggu sesiapa.

Ah....panjang nya celoteh. Akan aku sambung kembali selepas ini.

Wednesday, July 8, 2009

Kematian (2)

Inilah kematian yang sangat mendera perasaan aku.

Aku dan Arwah Apak tidak begitu rapat. Apak sangat pendiam orangnya. Susah nak mengagak samada dia gembira atau marah atau sedih. Selalunya Mak yang menjadi posmen bila kami memerlukan duit, bila kami nak membeli sesuatu barang.

Tapi satu yang pasti, aku tau Apak sangat penyayang orangnya. Aku tak pernah sekalipun dihampakan permintaan. Walaupun mungkin permintaan aku itu terlalu berat untuk Apak tunaikan, maklumlah dengan gaji sebagai Guru Penolong Kanan sekolah rendah dengan 7 anak yang sedang membesar. Apak tidak pernah merungut di depan kami, dia akan usahakan. Bila mengenang itu semua, aku jadi terkilan, sebak dan berdosa .. mungkin aku telah membebankan hidup Apak. Oh Tuhan, ampunkan dosa aku.

Aku sempat berada sepenuh masa dengan keluarga sehingga darjah 6 sahaja sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasarama penuh selama 6 tahun (sehingga Tingkatan 6 Rendah sahaja), UiTM selama 3 tahun dan seterusnya bekerja jauh dari kampung. Perpisahan ini menyebabkan aku jadi makin renggang dari keluarga, tambahan lagi sewaktu tahun 70an-80an dahulu hanya surat jadi penghubung aku dan keluarga. Telefon bimbit tidak ada, telefon rumah pun hanya ada pada tahun 1984.

Aku bekerja pada pertengahan tahun 1984. Gaji pertama aku serah pada Mak untuk dibahagi bersama Apak. Tapi Apak tidak mahu menerimanya, sebaliknya menyuruh aku menyimpannya untuk keperluan masa sesak. Cuma apabila didesak oleh Mak, barulah Apak menerima wang aku dan dibelikan baju batik dan kasut hitam untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ku. Apak nampak segak berbaju batek lenga panjang. Itulah sahaja duit aku yang digunakan oleh Apak.

Pada 15 Februari 1985 aku dikejutkan dengan berita kematian Apak akibat serangan jantung yang pertama. Waktu itu Apak baru sahaja seminggu menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Penolong Kanan. Allah memperkenankan hasrat Apak "lepas pencen ni nak berehat puas-puas, dah lama kerja berpuluh tahun". Tragik sekali Apak tak sempat langsung merasa hasil penat-lelahnya, tidak sempat menerima pencen, tidak sempat menerima gratuity, tidak sempat menunaikan hajat nak ke Tanah Suci selepas pencen.

Mak jadi orang yang paling menderita. Selama ini Mak begitu dimanjakan oleh Apak, tidak pernah ke pasar, tidak pernah membeli barangan dapur, tidak pernah tahu urusan membayar bil. Adik aku yang bongsu juga menerima kesan yang amat ketara. Pada usia 9 tahun, dia jadi begitu perengus dan asyik memberontak. Pertembungan emosi yang kacau antara Mak dan Adik menyebabkan kedua-dua sering makan hati. Aku dan adik-adik yang lain cuba untuk menjadi pendamai.

Apak...kami telah cuba menjadi anak Apak yang berbakti. Kami tidak hampakan usaha Apak. Alhamdulillah semua anak Apak menjadi manusia, berjaya dalam pelajaran. Semua mempunyai kehidupan yang stabil serta keluarga yang bahagia. Semua anak Apak nampaknya tidak lari dari pegangan Islam, sebagaimana teladan yang Apak tunjukkan. Dan kini kami berusaha terus membahagiakan Mak yang telah berusia 71 tahun.

Dan kami tidak pernah lupa Apak. Setiap solat, doa untuk Apak sentiasa kami titipkan. Semoga Apak bahagia di sana. Ameen.

Monday, July 6, 2009

Kematian (1)

Cerita ini telah aku tulis pada 25 Jun lalu. Tetapi entah di mana silapnya, ia tidak muncul dalam blog aku. Maklumlah aku masih bertatih sebagai penulis blog, tentu perjalanannya belum lancar. Tidak mengapa, jangan cepat mengalah, hari ini aku cuba lagi. Cerita aku pada 25 Jun 2009 seperti berikut :-

***************************************

Hari ini dua berita kematian.

Bukan sahabat aku, bukan juga saudara-mara aku. Tapi celebrities dari sana, Hollywood. Micheal Jackson (MJ) dan Farrah Fawcett (FF) telah meninggalkan ribuan peminatnya.

Mungkin generasi muda lebih kenal dengan MJ, dia masih terkenal sehingga ke akhir hayatnya. Saban minggu atau bulan ada saja cerita tentangnya yang penuh kontroversi. Imej peliknya, tarian unik 'moon dance', anak-anaknya yang selalu bertutup muka, pelbagai saman, kes lelong, konsert terbarunya dll. Tapi aku sentiasa mengingatinya sebagai MJ yang comel dan lincah bersama abang-abangnya dalam kumpulan Jackson 5. Kini dia meninggal dalam usia yang muda, baru 50 tahun.

FF pula lebih dekat kepada generasi aku yang kini berumur hampir separuh abad. Ehem, ehem, masih muda. Dulu semasa zaman remaja, aku selalu berangan, "isy..kalau le dapat rambut beralun macam FF". Mula lah aku berangan di depan cermin, tak henti-henti menggulung rambut supaya jadi beralun juga. Dia idola gadis remaja yang mengimpikan imej sempurna seperti dalam siri Charlie's Angels. Dia meninggal pada usia 62, setelah sekian lama bertarung dengan kanser.

Tapi begitulah hukum dunia, walau siapa kita, bila tiba saat dijanjikan, kita akan kembali kepadaNya.

Aku tiba-tiba bertambah insaf.

Wednesday, July 1, 2009

Perlukah blog ini?

Tentulah perlu.

Sebab-sebabnya sudahpun aku terangkan sebelum ini. Aku tidak kisah kalau ada yang kata aku buat blog untuk syok sendiri. Mungkin benar, sebab tidak semestinya semua blog ada peminatnya, pembacanya. Tak semestinya perlu respon terhadap setiap yang kita tulis.

Kadangkala kita menulis kerana keperluan diri sendiri. Blog membenarkan kita bercakap tentang diri sendiri, kita menulis satu isu, kita bahaskan sendiri, kita membacanya semula. Oh... mungkin kita tidak setuju dengan idea yang kita lemparkan sendiri. Kita tanya diri kita sendiri "kenapa aku fikir macam itu tadi? Kenapa kau tidak berfikir begini?"

Bukan itu mengajar kita lebih berfikir, mudah-mudahan lebih positif.

Kadang-kadang kita tidak pandai memberi idea dengan suara yang lantang, tapi kita ada idea. Kita geram apabila tiada sesiapa yang mahu mendengar idea kita. Daripada memendam rasa, nah letakkan saja dalam blog ini. Puaskan hati sendiri. Idea telah pun kita lontarkan.