Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts

Wednesday, July 11, 2018

Raya sebulan (Syawal 2018)

Sebelum kita sambung semula kisah kembara umrah ku, baik aku tulis pasal sambutan Aidilfitri dulu. Sat lagi simpan2 cerita tu.. jadi basi la pulok 😁😁😁😁. Hari ni hari ke-27 Syawal.  Tapi kuih raya belum habis lagi, Ada 5 jenis kuih masih berbaki dalam balang. Aku tak berani nak sentuh. Semua manis2. Ada tat nenas, tat cadbury, kuih dahlia dan dua kuih lagi yang aku tak pasti namanya.

Aidilfitri tahun ni jatuh pada hari Jumaat. Aku dan keluarga merayakannya di kampungku di Perak. Tetapi Kaklong tak dapat bersama2 kami sebab menyambutnya di kampung suaminya di Kulim. Biasalah adat sudah berumahtangga!!

Aku dan adikberadik ku berkumpul selama 3 hari  di kampung. Sudah pastinya wajah Emak begitu ceria dengan kehadiran anakcucu dan menantu semua. 



Memandangkan Emak mempunyai anak buah yang sangat ramai, sepanjang 3 hari tu penat sungguh kami melayan tetamu yang silih berganti. Namun begitu, hati merasa seronok dan meriah sangat.  Tetamu adalah dari kalangan adik-beradik Emak, anak2 saudaranya, cucu2 dan cicit2. 10 tahun lagi, kalau dipanjangkan usia, Emak berkesempatan mendapat piut dari cicit saudaranya.  Aamiin.  Hahaha... masa tu aku dah jadi Onyang le 👵👵👵👵👵



Bahagianya Emak menerima kunjungan sahabat baiknya, Wan Ni

Pulangnya dari Perak, kami pulak memulakan misi berhariraya. Bayangkan dalam satu hari kami menziarahi 6 buah rumah di Kulim dan Sungai Petani. Betul2 macam marathon. Masuk rumah, salam2, makan2 dan berbual seadanya, salam dan berangkat ke rumah seterusnya.  Terpaksa buat begitu untuk cover banyak rumah sebab di hari ke-5 nanti Kaklong dan Kakngah akan mula bekerja semula.

Hujung minggu berikutnya kami mengadakan rumah terbuka. Jemputan pun tak ramai, hanya saudara mara dan kawan2 anak ku sahaja. Sebahagian menu kami masak sendiri, manakala sebahagian lagi kami tempah.  Alhamdulillah, semua yang disediakan habis dan tidak berlaku pembaziran.

Keluarga Makngah dari Alor Setar

Keluarga Teh dari Permatang Pauh

Kek lapis Sarawak

Soto .. ceq buat sendiri na dengan bantuan puteri2 ku sayang


Yang ni... kita tempah jer

Pada hujung minggu seterusnya kami berhariraya di rumah adikberadik Abah di Alor Setar pulak. Kali ni 3 buah rumah je. Jenuh kami dijamu gulai kambing, laksa dan kuihmuih raya. Sempatlah juga kami singgah di Pekan Rabu yang telah dibaikpulih dan berwajah baru.

Sempat shopping kat Pekan Rabu

Selain dari menziarahi saudaramara, kami juga jenuh memenuhi jemputan open house dan kenduri walimatulurus yang banyak diadakan di bulan Syawal yang penuh barakah ini. Apa yang pasti, Syawal bukan sekadar bulan untuk menikmati  menu2 istimewa, tetapi yang lebih utama mengeratkan kembali silaturohim sesama kita. InsyaAllah

Group PEER Hospital Seberang Jaya semasa open house di rumah Sister Jus (berbaju biru)

Wednesday, August 13, 2014

Sepintas Berlalu


Masyaallah .... masa memang tak akan menunggu kita. Kita yang masih terkedek-kedek ketinggalan waktu. Terlepas macam-macam peluang.

Hari ni dah 17 Syawal. Aku baru nak mula puasa 6. Orang lain semua dah siap berhariraya kali kedua. Hrmmm ... inilah habuannya bila asyik bertangguh-tangguh. Semoga Allah kekalkan tenaga dan kesihatan yang baik untuk aku merebut fadilat puasa 6 hari di bulan Syawal ni. Insyaallah.

Tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelum ini. Memandangkan Bibik Rukiah balik bercuti ke Lombok, Emak memilih untuk duduk dengan aku. Mulai 26 Jun sampailah 3 Ogos Emak berada kat rumah aku. Jadi hariraya kali ni memang tak ada sesi balik kampung. Tak adalah aku dok nyanyi "Balik kampung ... wohoho balik kampung".  Selalunya bila aku nyanyi lagu Arwah Sudirman tu, Abah dengan anak-anak tau mesti aku tengah homesick nak jumpa Emak .... hehehhehe.


Persiapan hariraya dibuat secara sederhana jer.  Hariraya pertama adik ku Hazrin sekeluarga datang ke sini. Aku masak nasi daging, air asam, gulai tulang dan sayur buncis jer.  Ada juga ketupat dan rendang daging. Anak-anak dara ku belajar dengan Opah mereka macamana nak masak daging masak kicap Opah ... resipi special hanya dari Emak. Untuk Abah aku buat nasi impit dengan kuah kacang.  Kaklong beli sebiji Red Velvet cake sebagai penyeri meja (aku tak begitu suka kek banyak cream ni).  Haaa ... bab kuih raya kali ni memang banyak ... aku oder 4 jenis, Kakngah oder 3 jenis, Kaklong lagi 3 jenis .... puas hati penuh semua balang-balang yang ada.

sebahagian bahan untuk rendang daging
Hazrin menyewa bilik hotel di Permatang Pauh. Hotel kecik jer, tapi lengkap semua kemudahan. Ok lah untuk tujuan tidor dan membersih diri. Mulanya nak menyewa homestay, lebih selesa dengan keluarga seramai 6 orang .... tapi semua dah fully booked.  Lain kali memang kena book sebulan lebih awal sebelum raya nampaknya.

Hariraya kedua paling sempoi. Anak-anak teringin nak makan nasi lemak. Dah sebulan tak merasa nasi lemak.  Hrmmm .... lawak tengah hari tu aku jamu tetamu nasi lemak tumis, sambal ikan bilis, telor dadar, ayam goreng, ulam timun dan baki daging masak kicap. Buat juga sedikit lontong.  Kebetulannya hari ni hujan lebat sejak pagi. Semua orang jadi terlebih lapar. Hahaha ... amik kau, sampai 2 kali masak nasi lemak dalam periuk besar untuk keluarga aku, keluarga Hazrin, keluarga Edi dan dan keluarga Firdaus. Alhamdulillah, nikmat berjamu di hariraya.

Kaklong dan Kakngah pun buat pertama kali mula menghulur angpau.  Dah bekerja kan, masa untuk bersedeqah ler pulak. Puteri Bongsu paling seronok. Dalam rumah ajer dia dah dapat angpau dari Abah, Mama, Kaklong, Kakngah dan Opah ... enjoy sakan!!!

Tuesday, October 15, 2013

Selamat Menyambut Aidil Adha



Pagi-pagi lagi hujan dah turun dengan lebat sekali ... menderu-deru dengan angin kuat.  Dinginnya pagi Aidil Adha kali ini.

Selepas solat subuh dan bertakbir beberapa ketika, aku mulakan operasi di dapur. Kak Long jadi assistant chef pagi ni.  Kak Ngah diberi tugas mencuci dapur dan mengemop lantai dapur. Jadi, dia sambung buat tahi mata sampai ler chef-chef ni habih memasak.  Anak bertuah!!! Puteri Bongsu pulak ditugas mengemas ruang tamu yang comel tu.

Menu pagi ni nasi beryani dan ayam masak merah.  Semalam dah siap gulai tulang dengan kentang. Sekejap lagi nak buat acar timun.

Semalam juga dah siap mengukus ketupat (aku tak suka ketupat rebus) dan memasak "gu"nya rendang pedas daging.  Resipi turun temurun emak di Perak. Dah siap juga merebus nasi impit dan "gu" nya kuah kacang berdaging.  Hrmmm meriah juga sambutan Aidil Adha kali ni.  Maklumlah, ramai pembantu .... kerja pun dikongsi, tak lah terasa sangat penatnya.

Ok, semua dah siap, jom kita solat dulu.   Di luar hujan masih belum berhenti ... ujian untuk hamba-hambaNya,  nak pi ke dak? nak pi ker dak?

Sunday, August 25, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Perak

Pada hari raya ke-3, 4 dan 5 aku sekeluarga berkumpul di rumah Emak di Perak.  Seronoknya berhimpun 7 beradik dengan pasangan dan anak  masing-masing.

Dapur tak pernah kosong, sentiasa berfungsi.  Bangun pagi dengan sarapannya,  pukul 10 dah berkumpul untuk persediaan lunch pulak. Pukul 3 dah sibuk memikir juadah untuk minum petang pulak. Cuma malam agak selesa kerana memanaskan semula baki lauk tengah hari tadi. Semua dah tak mau makan lemang atau makanan khas untuk hari raya. Semua dah rindu sambal tumis petai, ikan masin, sambal dan ulam, asam pedas, gulai tempoyak.  Hrm tetapi kerana rakyat jelatanya ramai, jumlah dimasak macam nak kenduri ... huhuhuhu.

Tetapi jumlah kami semakin berkurang apabila ada yang mula berangkat pulang pada hari ke-3 dan ke-4. Ada yang nak beraya di rumah sendiri, ada yang perlu mula bekerja, ada yang nak ke rumah mertua.  Apa pun pertemuan yang sekejap sudah cukup mengubat kerinduan lama tak bertemu.

Halaman rumah emak sentiasa terjaga rapi - itulah terapi bagi
Emak,  bermanja dengan pokok bunga pelbagai jenis

Makan-makan, sembang-sembang ... makan lagi dan seterusnya

Pakcik Hazrin  jadi tuan rumah untuk menu Kelantan ...
nasi kerabu biru yang lazat.  Terimakasih Makcik Ida, memang superb



Wednesday, August 21, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Pulau Pinang

8 - 9 Ogos 2013

Aidil Fitri ini disambut 2 hari di Pulau Pinang.  Kami sekeluarga menziarah keluarga Abah di Jelutong dan Sungai Ara serta menerima pula kunjungan tetamu yang terdiri dari ipar-duai, sepupu dan teman pejabat bersama keluarga masing-masing. Memang seronok bertemu sesekali begitu. Banyak cerita nak dikongsi, banyak pula makanan nak disuap.  Mujurnya sepanjang 2 hari tersebut trafik di Pulau Pinang agak terkawal, jambatan pun tak jammed.   Agaknya ramai perantau balik ke kampung masing-masing.

Tema tahun ini - warna keemasan. Diharap tahun-tahun yang mendatang
hidup kita semua dilimpahi dengan rahmat Allah

Berkunjung ke rumah satu-satunya bapa saudara Abah yang masih hidup -
Tok Din.  Ini merupakan agenda wajib setiap tahun kami membawa
anak-anak melawat  saudara tua yang dikasihi dan dihormati

Puteri Bongsu sibuk menyediakan minuman untuk tetamu

Kunjungan sepupu dari Melaka yang kembali berhariraya ke Pulau Pinang

Kunjungan teman sepejabat

Kunjungan pak penakan sulong dari Sungai Petani


Tuesday, August 28, 2012

Aidilfitri Yang Sibuk

Lama sungguh aku tak menjenguk blog aku nih.  Orang kata dah penuh sawang labah.  Memang aku betul-betul tak sempat. Sibuk yang bukan dibuat-buat.  Alhamdulillah, sepanjang Ramadhan aku sihat walaupun badan lemah sangat.  Entah kenapa aku tak lalu makan. Hilang selera waktu sahur dan berbuka.  Mujurnya aku mampu menunaikan ibadah tarawih sepenuhnya.  Alhamdulillah. Yang bestnya baju-baju banyak pulak yang longgar semasa menyambut Aidilfitri, hehehehe.  Tapi seminggu lepas raya ketat semula!!!!

Ok, aku ringkaskan aktiviti seminggu sebelum dan selepas raya macam kat bawah ni.

12 Ogos  -  kami mengadakan majlis khatam tadarus di masjid.  Alhamdulillah, seramai 15 orang muslimah dapat menyelesaikan tadarus tahun ni.  Tahun lepas 12 orang jer.  

14 Ogos - bersama Abah buat projek memasang langsir, buang sawang di syiling, cuci kipas angin, ubah sikit-sikit kedudukan perabot, janji berbeza sikit pemandangan dalam rumah.

15 Ogos - hari pertama Kaklong bekerja di Audit firm.  Waduh, lagi 5 hari nak raya, dah kena report duty.  Kuranglah seorang pembantu aku di rumah, yang selama ni rajin tolong sidai kain, lipat kain dan goreng-menggoreng di dapur.

16 Ogos - hari ni goreng kacang tanah, lepas tu blend dan simpan untuk buat kuah kacang.  Siang bawang, halia, lengkuas, cili kering dan simpan untuk digunakan hari sabtu nanti. 

17 Ogos - aku dan Abah ke pasar beli ayam, daging, santan, daun palas, sayur, mee, kueteow dll.  Balik dari market terus terduduk membersihkan ayam.  Petangnya aku cuba buat ketupat. Ini percubaan pertama buat sendiri-sendiri tau!!  Alamak, ketupat tu rasanya sedap berlemak, tapi keras. Kenapa yerk??  Kena tanya semula pada sifu apa yang tak kena.  Kerana letih sangat, hari ni minta anak-anak cari juadah pasar Ramadhan aje.  Malam ni malam terakhir ibadah tarawih.  Subhanallah.  Ya Allah, semoga aku diberi peluang untuk menunaikan lagi ibadah ini di tahun yang akan datang, ameen.

18 Ogos - alhamdulillah.  Semua anak ada di rumah. Boleh buat kerahan tenaga.  Ada yang kena gosok baju, ada yang kena potong daging buat rendang, ada yang kena cuci bilik air dan macam-macam kerja lagi. Mujur tak ada yang mogok dan tarik muka.  Hari ni aku masak rendang daging, kuah kacang, rebus nasi himpit segera, buat gulai tulang dan ayam masak merah.

Kelabu ... kelabu, tema tahun ini

Perhimpunan tahunan di rumah Pak Din (bapa saudara Abah yang paling tua )

19 Ogos - solat sunat Aidilfitri. Entah kenapa airmata berjurai-jurai semasa solat. Sayu hati memikirkan kiranya ini Ramadhan terakhir untuk aku ... Ya Allah, Engkau kurniakan aku nikmat keindahan Ramadhan ini di tahun yang akan datang. Aku akan merindui nikmat ini.  Selepas solat, kami menikmati nasi beriani dengan gulai tulang dan ayam masak merah sebelum bergambar.  Selepas zohor kami menziarahi pusara Arwah ibu dan bapa mertuaku sebelum menziarahi pula rumah ibu dan bapa saudara Abah (hanya tinggal 3 beradik yang masih hidup).

20 Ogos - bertolak ke rumah Emak di Perak sebelum bertolak pula ke Kuala Lumpur selepas solat Asar. Hujan lebat sepanjang jalan tapi mujurnya jalan ke arah Kuala Lumpur jumlah kereta tidak begitu banyak.  Bermalam di rumah adik ku Nita di Selayang.

Semoga jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat.  Ameen

21 Ogos - berkonvoi ke Kajang untuk majlis akad nikah anak saudaraku Along.  Alhamdulillah dengan sekali akad, Along sah menjadi suami kepada Nadira.  Lepas tu check-in di homestay Presint 9 Putrajaya. Malamnya jalan-jalan keliling Putrajaya melihat keindahan malam sambil cari makan. Seronoknya Putrajaya kami yang punya, semua penghuni balik kampung kut?  Nak makan kat mana, semua kedai makan masih tutup. At last pekena mee mamak di kedai nasi kandar mamak ler.


Ronda-ronda Putrajaya

22 Ogos - breakfast makan roti canai, kedai mamak aje yang buka hari ni. Lepas tu ronda-ronda lagi kat Putrajaya. Tapi anak-anak dara ni mengada-ngada sikit. Tak mau lama-lama, cuaca panas, takut mekap cair. Grrrr!!!  Lepas solat, pukul 2 petang barulah kami check-out (dengan izin tuanpunya homestay lah).  Cadang nak pergi rumah adik ku Mimi di Shah Alam, malangnya dia dah pergi beraya di rumah ipar-duainya pula.  Terus cari kedai makan.  Ohhh no!!! Mamak again?? Tak ada pilihan, makan ajerlah.  Selepas tu terus shoot balik ke Penang. Alhamdulillah, walaupun kereta banyak tapi perjalanan lancar. Cuma hujan sepanjang jalan menyebabkan kenderaan tak boleh nak speed takut jalan licin.  Tiba di Penang pukul 8 malam. Malam ni tak mau dah makanan mamak. So telefon Domino pizza aje.

23 dan 24 Ogos - menerima kunjungan adik-beradik yang datang beraya ke rumah.

25 Ogos - awal pagi dah masuk dapur dengan anak-anak. Masak lontong dan mee kari.  Tengahari ada kenduri kahwin anak kawan Abah. Pukul 2 kawan-kawan Kakngah dan Puteri Bongsu datang berkunjung ke rumah.  Hrmm nampaknya mee kari yang laku, lontong boleh simpan untuk sarapan pagi esuk.

26 Ogos - berhari-raya di rumah saudara-mara di Gurun dan Sungai Petani.

27 Ogos - kembali kepada rutin asal. Anak-anak mula belajar seperti biasa. Kaklong pula mula bekerja semula. Tinggallah hanya aku dan Abah di rumah. 

Tuesday, September 20, 2011

Kalau Melentur Buluh ....


Semasa kunjungan saudara-mara baru-baru ni, suasana meriah sungguh. Macam-macam topik keluar.  Sambil tu mulut rancak menjamah baki kuih raya serta mi kuah dan soun goreng yang aku masak.  Walaupun penat, tapi aku gembira sekali menerima tetamu yang tak henti datang mulai jam 2 petang hingga 10 malam. Tetamu datang membawa berkat.

Tetapi topik paling hangat dibincangkan ialah etika pergi rumah terbuka. Ipar-biras ku membawa cerita masing-masing betapa terkejutnya mereka melihat 'parenting skills' ibu-bapa moden sekarang ini.  Di beberapa rumah terbuka yang mereka hadir, semua terkedu melihat reaksi ibu-bapa yang buat-buat muka bodoh, buat pekak dan buat buta dengan kerenah anak-anak mereka.

Memang kanak-kanak tersebut tidak bersalah. Mereka belum mumayiz, tak dapat berfikir buruk dan baik. Wajarkah atas alasan tersebut ibu-bapa membiarkan mereka berlari sesuka hati di dalam rumah penganjur rumah terbuka. Ada yang bergomol dan melompat-lompat atas sofa baru tanpa menghirau tetamu lain yang sedang duduk berbual, ada membuka tutup balang kuih dengan kuat dan menghentak atas meja juga dengan kuat, ada yang duduk atas meja kaca, yang membaling batu-batu hiasan di taman,  membaling pelbagai benda dalam kolam ikan kesayangan tuan-rumah.  Memang itu fitrah kanak-kanak, bermain dan bermain dengan riang dan penuh gelak ketawa.

Tetapi bekukah hati ibu-bapa mereka ni.  Tidak terfikirkah perasaan tuanrumah yang tepaksa membersih kolam ikan, macamana kalau ikan-ikan mahal tu mati? Mengapa hanya biarkan anak-anak melompat atas sofa baru dan meja kaca tuanrumah. Mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli sofa baru. Macamana kalau meja kaca tu pecah?  Nanti anak awak yang cedera parah? Nauzubillah.  Kenapa biarkan mereka main baling-baling batu. Macamana kalau pecah cermin pintu dan tingkap tuanrumah atau rumah jiran yang berhampiran? Macamana kalau pecah cermin kereta tetamu yang datang malam tu? Atau lebih teruk macamana kalau batu mencederakan kepala atau mata kanak-kanak tersebut? Nauzubillah.

Memang berbeza dengan zaman kami dulu. Ibu-bapa akan menegur, menjegil, menjentik atau mencubit anak-anak yang nakal semasa pergi berziarah.  Sebelum masuk ke rumah yang dilawat emak akan memberi amaran keras, "Jangan nakal-nakal, duduk diam-diam, salam tuanrumah, cium tangan,  jangan usik apa benda pun, tengok saja ... blablabla..." Macam-macam pesanan mereka. Mereka malu teramat apabila anak-anak mereka tidak bersopan-santun semasa berziarah.  Takut dianggap tidak pandai mengajar anak!!

Tetapi apa jadi dengan ibubapa zaman sekarang. Walhal semua mereka berpendidikan tinggi, berjawatan besar?  Adakah mereka ini mengamalkan sikap keterbukaan atau sporting yang melampau tanpa ada batas-batas yang perlu dipatuhi. Adakah terlalu sayangkan anak sehingga tak tergamak untuk menegur perangai buruk mereka. Perlukah merosakkan pekerti anak-anak tersebut dengan membenarkan mereka melakukan perkara yang menyebabkan tuanrumah senak perut?  Silap haribulan, mereka tak akan dijemput lagi pada tahun depan. Atau mungkin tanpa sedar tuanrumah supaya ibubapa dengan anak nakal ini segera beredar pulang!!!  Siapa tahu.

Wahai ibu-bapa moden, bentuklah peribadi anak-anak semasa mereka masih kecil.  Itulah sebabnya orang tua-tua yang banyak pengalaman mencipta peribahasa "melentur buluh biarlah semasa ia masih rebung".... bila dah tua tak boleh buat apa dah ... dah keras dan miang!!!  Boleh buat buluh lemang aje, kena bakar!!!

Friday, September 16, 2011

Fazidah Joned Selamat Hari Raya



Mood raya hampir habis dah. Tapi minat aku terhadap lagu di atas belum habis lagi. Tadi masih terdengar lagu tersebut di radio. Sedap lagunya. Iramanya pun sangat ceria. Liriknya pun mudah difahami.

Mungkin ramai yang tak setuju dengan aku. Tapi aku betul-betul kurang senang mendengar lagu raya yang sedih-sedih mendayu-dayu. Potong stim je. Macam tu juga drama TV, asyik ulang jalan cerita yang sama. Anak lupa diri tak mau balik kampung. Insaf bila tiba hariraya. Dah tu, penonton yang emak-emak, kakak-kakak pakat-pakat menangis depan TV. Habis banjir, mata bengkak belaka.

Memanglah niatnya baik, untuk mendidik penonton supaya jangan abaikan ibubapa di kampung yang mengharap kepulangan anak-anak semasa raya. Tapi perlu pulang semasa raya aje ke? Entahlah. Selama 2 minggu bila buka TV je, kebanyakan stesen tayangkan drama yang punya jalan cerita hampir sama, cuma berbeza pelakon dan lokasi .... aku jadi muak.

Bagi ku hariraya hari untuk kita bergembira meraikan hadiah dari Allah SWT untuk umat Islam yang taat menyempurnakan perintahNya untuk berpuasa sebulan Ramdhan. Kita diharamkan berpuasa pada 1 Syawal. Kita dituntut bersolat di masjid dengan memakai pakaian yang baru. Dituntut menunaikan fitrah supaya saudara kita yang kurang berkemampuan juga dapat menyambut Aidilfitri.

Dah tu, kenapa perlu bersedih.

Monday, September 12, 2011

Rumah Terbuka .... Penat

Dah pertengahan Syawal.  Memang tahun ini terasa masa berjalan begitu pantas.  Anak-anak merengek minta buat rumah terbuka, nak jemput kawan-kawan datang ke rumah, sementara mood raya masih ada.

Aku bukanlah rajin sangat buat rumah terbuka ni. Pertama aku tak cekap memasak untuk tetamu yang ramai.  Kedua aku tak punya kelengkapan dapur yang banyak.  Semua periuk belanga ku comel-comel belaka, sesuai untuk menampung seisi rumah saja.  Pinggan-mangkuk tak banyak.  Semuanya kerana rumah ini tidak mempunyai stor yang boleh menyimpan perkakas tersebut. Ketiganya ruang rumahku kecil sahaja, tak mampu memuat tetamu yang ramai.  Keempat .... cukup-cukup, jangan bagi alasan lagi.

Akhirnya aku bersetuju untuk mengadakan rumah terbuka pada Sabtu lepas dengan nawaitu untuk bersedekah makan sempena Syawal yang mulia ini.  Aku memasak menu yang ringkas sahaja. Persiapan bermula sejak hari Jumaat lagi dengan memasak rendang dan kuah kacang. Abah dan anak-anak berkerjasama membantu aku di dapur.  Akhirnya dapatlah ku siapkan lontong, mi kari dan spaghetti bersama ketupat dan rendang.

Memandangkan perkakas yang terhad, aku menggunakan cawan dan mangkuk kertas sahaja.  Seronok le ketiga-tiga tuan puteri kerana tidak perlu membasuh banyak pinggan-mangkuk.  Hrmmmmm!!!

Memandangkan ruang yang terhad, tetamu dibahagi dalam 3 fasa masa. Tetamu Puteri Bongsu mulai jam 2 petang, tetamu Puteri Tengah mulai 4 petang sementara tetamu aku dan Abah selepas 6 petang.

Lontong
Kek Lapis Cadbury dan Moist Chocolate Cake

Chef bersama spaghetti dan mi karinya
Puteri Bongsu dan sebahagian tetamunya
 Alhamdulillah, semua makanan habis dimakan.  Semua perkakas siap disimpan semula ke tempat asalnya.  Cuma .... sakit belakangku masih terasa.  Penat agaknya.

Monday, September 5, 2011

Kenduri Hari Raya

Hari raya yang baru je berlalu memang menggembirakan.   Setelah hampir seminggu hujan turun tanpa henti siang dan malam mulai 23 Ramadhan, dengan sifat Nya Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, Allah SWT memberikan hari-hari yang cerah pada hari pertama hingga ke-4 Syawal. Alhamdulillah.  Dapatlah aku dan keluarga saling menziarahi tanpa risau tersangkut dalam hujan. 

Pada Syawal ke-4 juga Emak menunaikan hajatnya untuk mengadakan majlis kenduri kahwin cucunya Angah Firdaus. Ini merupakan kenduri kali ke-3 bagi Angah setelah kenduri pertama di rumah keluarga perempuan pada 25 Jun dan kenduri pihak lelaki pada 4 Julai lalu.  Hahh ... kenduri kali ni Opah sponsor 100%.  Bertuah engkau Angah. Walaupun mulanya majlis dirancang sebagai kenduri kesyukuran berskala sederhana sahaja, tetapi akhirnya ia menjadi majlis yang sangat meriah. Maklumlah ramai saudara-mara yang masih berkumpul di kampung sempena cuti hari raya. Dapatlah aku berjumpa sepupu sepapat yang sudah bertahun tak ditemui.

Majlis yang bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 4 petang menghidangkan menu berupa nasi  minyak dan nasi putih, ayam goreng dengan air asam, kurma kambing, dalca, daging masak kicap, gulai nangka, sambal tempoyak dan ikan masin goreng.  Yang larisnya lauk-pauk kampung. Agaknya semua sudah jemu berhari-hari makan rendang dan gulai daging dan ayam.


Gadis-gadis pemberi bunga telur dan cenderahati kepada tetamu.  Tema kenduri kali ini adalah warna ungu. Ada sipi-sipi ungu pun, kira okay je.


Angah Firdaus bersama isteri, Ijat dan ibunya (kakak sulong ku).  Semua kusyuk makan cendul Parit.  Cendul tu sedap kuahnya tetapi isi cendul tu masin sikit. Spoilt betul.


Adik-beradik Abah turut datang memeriahkan kenduri kali ini.  Terima kasih semua kerana sudi datang dari jauh (dari Penang dan Kedah).

Friday, September 17, 2010

Hari Raya Merapat Silaturrahim

Bersama bonda saudara - Tok Su (kiri) dan Tok Cak

Berkumpul di rumah ayahanda saudara - Tok Din

Hari raya tahun ini jatuh pada hari Jumaat.

Sebelum solat sunat Aidil Fitri, aku menyiapkan makanan kegemaran keluarga ... nasi tomato, kari tulang, ayam masak merah dan salad. Ada uga ketupat dan rendang. Puas hati melihat semua anak-anak dan suami menikmati jamuan ringkas pagi ini.

Kemudiannya kami menziarahi pusara ibu dan ayah mertua di Jelutong. Ku panjatkan doa buat keduanya sebagai tanda kasih dan terhutang budi kerana telah berjaya mendidik Abah menjadi suami dan ayah yang membahagiakan aku dan anak-anak ku. Peribadi Abah adalah gabungan kelembutan arwah ibu mertua ku dan ketegasan arwah bapa mertua ku.

Setelah solat Jumaat, bermulalah sesi lawatan rumah ke rumah di sekitar Jelutong dan Relau. Inilah saat yang aku selalu nantikan. Aku gembira berkunjung ke rumah saudara-mara. Bukan juadah hidangan yang aku harapkan, tetapi mengenali saudara-mara dan merapatkan semula silaturrahim adalah agenda utama kunjungan di hari raya. Walaupun mereka adalah saudara-mara Abah, tetapi apabila aku mengahwini Abah, aku bertekad untuk menjadi sebahagian daripada keluarganya. Justeru itu, aku perlu menolak ke tepi rasa tidak selesa, iri hati, berburuk sangka atau lain-lain sikap buruh yang boleh merosakkan hubungan aku dan Abah.

Pada hari raya ketiga dan keempat pula, aku kembali ke rumah Emak di Perak. Kami mengunjungi bapa dan ibu saudaraku yang kesemuanya telah memasuki usia emas. Jelas terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka menerima kunjungan anak buah mereka. Aku amat berharap agar anak-anak ku kelak akan meneruskan tradisi ini di masa hadapan. Janganlah ikatan silaturrahim yang sedia terjalin kini diputuskan kelak. Betapa ruginya kita kehilangan saudara-mara, malah amat dikutuk dalam Islam manusia yang sengaja memutuskan silaturrahim.


Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya - Berakhirnya Ramadhan


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja baru saja mengumumkan Aidil Fitri akan disambut lusa, Jumaat 10 September 2010. Malam ini merupakan malam terakhir untuk umat Islam menunaikan sunat tarawih dan bersahur. Sayang sekali, aku terlepas detik-detik keemasan ini. Besuk genap 9 hari aku tak berpuasa. Siap..aku perlu qada puasa 9 hari juga.

Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut hari raya sebagai seorang suri rumah. Rupanya lebih meletihkan berbanding semasa aku bekerja dahulu. Dulu, semua kuih aku beli sahaja, beratus-ratus ringgit melayang ... biskut, kacang, kuih-kuih lama malah ketupat aku tempah sahaja. Makanan berbuka pun selalu aku beli di pasar Ramadhan. Untuk hari raya, aku cuma menyediakan rendang dan kek sahaja.

Tetapi tahun ini aku sediakan hampir semua. Dengan 3 puteri permata hatiku, kami bergotong-royong menyediakan kuih hari raya, kuih berbuka puasa dan lauk-pauk berbuka puasa. Aku juga mencuci sendiri semua langsir, memberus lantai di depan pintu masuk ruang tamu dan memujuk anak-anak dara ku untuk mencuci karpet, tingkap dan menyalin cadar masing-masing. Aduh, memang memenatkan.

Aku sudah berkira-kira .. apa menu pada pagi hari raya. Yang menjadi kemestian tentunya ketupat dan rendang daging. Aku merancang untuk menyediakan nasi tomato, gulai tulang, udang goreng kicap dan ayam masak merah. Semua bahan mentah dan kering telah aku beli hari ini. Aku tidak mahu bersesak-sesak di pasar pada pagi besuk. Mulai jam 10 pagi besuk, aku akan bersilat di dapur.

Cuma aku kurang merasa kemeriahan kali ini kerana kurangnya menerima kad-kad raya. Teman-teman ramai yang menghantar ucapan elektronik samada menerusi SMS, email atau pun Facebook. Secara peribadinya aku lebih gembira menerima kad hari raya yang siap ditulis tangan dan bertandatangan, lebih terasa 'personal touch' si pengirim. Tetapi aku perlu akur, semua orang telah berubah, ditambah dengan kos penghantaran kad yang tinggi. Mulai tahun ini setem untuk kad hari raya telah dinaikkan kepada 50 sen berbanding 30 sen pada tahun sebelumnya. Aku juga faham, Pos Malaysia tidak selamanya mampu mengekalkan setem pada harga lama yang rendah sedangkan pelbagai kos operasi semakin meningkat.

Oh ... rasanya tak sabar-sabar aku untuk mendengar laungan takbir yang mendayu-dayu. Tetapi pada masa yang sama aku merasa sedih kerana Ramadhan akan berlalu. Ya Allah .. engkau panjangkan usia kami, kurniakan kami dengan kesihatan tubuh badan, temukan kami dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Ameen