Showing posts with label Reunion Jubli Emas. Show all posts
Showing posts with label Reunion Jubli Emas. Show all posts

Wednesday, January 13, 2016

Post Dah Basi

Post ni kira dah basi la. Kesinambungan dari reunion penghujung Oktober tahun lepas. November, Disember dan sekarang dah pertengahan Januari, hrmmm kira dah 2 bulan setengah berlalu.

Tak kisahlah tu. Walaupun cerita dah basi, tapi memori tetap berpanjangan.

Sebenarnya akak nak tunjuk souvenir yang kawan2 akak bagi semasa reunion hari tu.  Ada 3 set brooch, ada kopi 3in1, ada kerepek, ada tupperware (original brand tau, bukan yg harga RM2 tu), ada lapik dulang, tuala muka, kotak porcelin, perfume,  beg kain, stokin, pills box ... hrmmm macam2 ada.  Tak pasal2 akak naik etsETS bawa 1 lagi bag tambahan.  



Thursday, December 17, 2015

Reunion - Hari Kedua (311.10.2015) - Part II

Kami meneruskan perjalanan ke Alor Setaq secara berkonvoi. Kami menggunakan jalan lama dari Behor Pulai ke Simpang Ampat terus ke Alor Setar. Awal pagi kereta taklah begitu banyak di atas jalanraya. Rasanya dalam tempoh sejam kami dah sampai ke Kedah Medical Centre (KMC).

Kami terus menuju ke tingkat 4 melawat sahabat kami Rafidi.  Rafidi merupakan rakan sekelasku sejak dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5.  Kerana kadang2 dia nakal mengusik, aku kerap bergaduh dengan dia. Tak padan dengan kecik comelnya, akalnya banyak. Tetapi apabila masing2 telah bekerja, aku menjadi rapat dengannya. Kami sering berhubung melalui telefon. Malah semasa aku ke Perlis, dia dengan sukarela menjadi drebar membawa aku ke sana ke mari. Walau bagaimanapun, hubungan kami terputus apabila masing2 telah berumahtangga. Ya lah, tentu pasangan kita tak suka kita masih berhubungan dengan rakan berlainan jantina.

Pidi berbaju biru bersama Kamal (kiri) dan Zar (tengah). Gambar semasa reunion tahun 2011

Kami doakan Pidi kembali pulih. Aamiin

Pada bulan Syawal yang lalu, Rafidi dimasukkan ke KMC atas sebab sakit dalam perut. Sehari sebelum dia dijadualkan pulang ke rumah, tiba2 dia mengalami sesak nafas dan koma. Semenjak itulah dia terlantar di atas katil KMC ini dengan ditemani oleh isteri atau ibubapanya. Kawan2 tidak putus2 mengunjunginya dari jauh dan dekat. Malah kami telah mengadakan beberapa sesi bacaan Yaasin untuk Pidi, walaupun hanya secara online ajer. 

Semasa melawatnya,  kami pakat menahan sebak dada melihat keadaan sahabat @ saudara kami ini. Kini Rafidi sudah sedar tetapi belum boleh berinteraksi secara normal. Dia memandang kami dengan pandangan kosong dan sesekali wajahnya mencebek seolah2 hendak meluahkan sesuatu yang terpendam di hati. Apakan daya, setakat itu sahaja kemampuannya ketika ini. 

Ya Allah berikan kesembuhan buat Rafidi, berikan dia peluang untuk kembali hidup normal seperti dahulu. Kasihanilah dia, isteri dan anak2nya serta kedua ibubapanya.  Berikan mereka kekuatan fizikal dan mental menghadapi ujian ini. Aamiin.  Kami tinggalkan Pidi bersama isterinya. Kami peluk isterinya beri kata2 semangat. Rasanya tak sanggup memandang wajah isterinya dengan airmata yang lebat menandakan beratnya tanggungan hati.

Kami teruskan perjalanan kembali ke Perlis. Cuaca begitu panasnya. Sepanjang jalan asyik bertemu traffic lights. Kenderaan pun sudah banyak memenuhi jalanraya. Kali ni terasa lambatnya juga perjalanan kami. Kami tiba di rumah Pak Ark (Azhar Abu Seman) yang terletak di Kampong Kersik, Mata Air tepat waktu azan Zohor. Pak Ark juga merupakan sahabat kami dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5. Ini merupakan perkahwinan anaknya yang pertama.

Bersanding ramai2 dengan Pak Arq dan isterinya Laila

Suasana menjadi ceria sangat apabila kami bertemu pulak dengan rakan putera yang turut menghadiri majlis ini. Di sini kami dapat berjumpa Bai, Zaki, Wahid, Fendi, Wan Mae, Mat Nasir, Affni, Bidin dan Zar. Semua pakat nak sembang bertanya kabar. Punya bersembang sampai hilang selera nak makan pun hihihihi. Agaknya tetamu lain pun jeles tengok gelagat kami di tempat khas yang disediakan oleh Pak Ark.

Geng putra - duduk depan dari kiri Affni, Fendi, anak Nasir, Mat Nasir dan Wan Mae
berdiri belakang dari kiri Bai, Zaki, Zar, Wahid, Syed, Shakimi, Shazali, Zul dan Bidin

Setelah sejam di sini, kami bergerak ke rumah ibubapa Dikna pulak. Tak jauhpun dari rumah Pak Ark. Di sini kami dijamu dengan juadah minum petang pulak. Kerana perutpun masih kenyang, kami hanya merasa2 sedikit kuihmuih dan minuman. Sebenarnya ketika ni, badan dah terasa tersangat letih. Rasanya kalau dihulurkan bantal, boleh tergolek dog semuanya.

Makan lagi???

Kami tinggalkan Dikna dan Yati di sini. Entah bila boleh bertemu lagi. Kami bertolak balik ke homestay. Memandang masa begitu terhad, kami berebut2 untuk mandi, solat, mengemas pakaian dan mengemas homestay. Pukul 4.30 petang kami keluar dari homestay tersebut. Waktu ini kami peluk erat2 sahabat kami. Semoga Allah berikan kami kesempatan untuk bertemu lagi. Sukarnya kami menahan airmata.

Salmah yang baik hati menghantar aku ke Stesen Keretapi Arau. Aku berlepas balik ke Pulau Pinang dengan ETS pukul 5.30 petang.

Perlis yang permai
Tinggallah Perlis yang sarat dengan pelbagai kenangan. Kenangan 36 tahun yang lalu serta kenangan semalaman aku bersama gegirls akan aku kenang sampai mati.

Wednesday, December 9, 2015

Reunion - Hari Kedua (31.10.2015) - Part I

Maaf na. Dah sebulan baru nak cerita balik kisah reunion kami tu. Aduhh jenuh le akak nak mengimbau2 kenangan waktu tu. Ni la akibat suka tangguh2 kerja. Hangpa jangan tiru akak tau ... babap karang.

Hari kedua bermula dengan dengan semua berebut bilik air waktu subuh. Maklumlah bilik air ada 3, orang ada 9. Ada yang nak mandi, ada yang dah sakit perut ... hihihi teringat akak kenangan berator dekat tandas asrama dulu. Jangan tak tau, punya ngantuknya mata, sambil berdiri bersandar kat dinding, akak boleh tertidor tau.  Hairannya tak jatuh pulak tu. Memang hebat penangan ngantuk ni.

Sambil menunggu masing2 selesai mandi, berpakaian dan bermekap, kami sambung macam2 cerita lagi. Tanya perihal anak2, perihal bertemu jodoh (pakat2 malu hehh), perihal kesihatan.  Rupanya ada beberapa orang antara kami yang tidak begitu sihat dan mengidap penyakit yg dikategori sebagai kronik. Tapi Alhamdulillah, nampak semuanya bersikap positif, tak nampak pun tanda2 orang yang berpenyakit. Semoga kita terus ceria dan diberikan kesembuhan. Aamiin.

Niat nak makan nasi ganja di market Kangar tergendala. Semalam dah tergendala niat nak makan laksa Kola (Kuala Perlis) sebab bersembang sampai sedar2 dah nak maghrib. Hari ni sembang2 punya pasal, jam sudah pukul 8.30 pagi. Market mesti sudah penuh sesak dengan orangramai, silap haribulan nasi ganja pun dah tinggal kerak jer. Akhirnya kami pergi kedai mamak dan makan roti canai, tosei dan capati jer .. heheheh akhirnya, mai jauh2 pekena makanan Penang kat tempat akak juga. Apa pun yang penting, happy. Sembang lagi sambil makan.

Breakfast di kedai mamak
Tak mau berlengah2, kami terus menuju ke sekolah kesayangan kami, Sekolah Menengah Sains Perlis atau nama rasminya Sekolah Menengah Tuanku Syed Putra di Behor Pulai.  Memang sudah hilang pemandangan asal 36 tahun yang lalu. Padang tempat kami bersukan sudah semakin kecil, banyak bangunan2 baru didirikan menjadikan kawasan sekolah dan asrama jadi agak penuh sesak. Tapi kami faham, semua itu dibangunkan dengan tujuan untuk memberi kemudahan terbaik buat pelajar2.

koridor ni kami gunakan berkali2 sehari untuk berulang-alik antara asrama, sekolah,
dewan makan dan padang - makan pagi, pergi kelas, rehat pukul 10, makan tengah hari,
prep petang, bersukan, makan malam dan prep malam. Koridor ini menyaksikan
pelbagai kisah sukaduka anak2 yang merantau mencari ilmu

bangunan kelas2 tempat kami menimba ilmu. Pada dinding tu dulu tak ada
lukisan mural, di situ wayang pacak ditayangkan untuk kami pada
hujung minggu, bukan cerita koman2 tau, semua box-office macam
Saturday Night Fever, Grease, The Spy Who Love Me, cerita cina, hindustan semua ada.
Hihihihi sporting betul pihak sekolah waktu tu

Sesuatu yang tak disangka ialah bau masakan dari dewan makan masih sama sepeti 36 tahun yang lalu. Haaaahahaha kami semua berpendapat begitu ... ini fakta bukannya auta tau.  Kami bertemu anak2 pelajar yang kelihatannya hairan melihat gerombolan makcik2 berjalan ke sana ke mari. Dengan rasa megahnya kami bagitau, makcik2 inilah pelajar batch ke-3 sekolah ini dulu. Kami meninggalkan sekolah ni tahun 1979 selepas SPM. Hihihihi mereka ketawa ... kami pun belum lahir lagi waktu tu!!!!

Kemegahan kami

Kami tinggalkan sekolah yang penuh kenangan ni dengan rasa megah bercampur hiba.  Sekolah inilah yang mengajar kami menjadi insan berguna hari ini. Di sini kami belajar berdisiplin, berdikari, punya jati diri, penuh semangat setiakawan dan sayangkan guru2 dan sekolah. Semoga sekolah ini akan terus menempa kegemilangan dan melahirkan generasi cemerlang dunia akhirat. Aamiin.

Friday, November 20, 2015

Reunion Gegirls - Hari pertama - 30.10.2015

Hari ni kali pertama aku naik ETS dari Butterworth ke Arau semenjak ia diperkenalkan pada 10 Julai 2015. Tambang cuma RM26 jer.  Memang teruja sangat nak naik keretapi laju ni. Dulu masa bersekolah selama 5 tahun di Perlis, dah puas rasanya naik keretapi renti-renti. Ngokngek-ngongek entah berapa jam barulah sampai destinasi.  Sampai kematu punggung. Muka pun jadi berminyak melekit kerana dalam gerabak sangatlah panas dan tidak selesa.  Paling teruk tempat duduk tak bernombor, sapa cepat dia dapat tempat duduk. Sapa lambat terhegeh2, alamatnya kena duduk atas lantai atau atas beg .... ala-ala dalam filem tamil tu. Hihihihihi!!

Indahnya jelapang padi di hiasi bukit2 batu kapur

Dengan keretapi laju ETS (Electric Train Service) ni semua dah tip-top.  Tempat duduk selesa dan cantik. Gerabaknya berhawa dingin.  Pintu keluar-masuk gerabak berfungsi secara automatik.  Yang penting bertolak dan tiba di stesen tepat mengikut jadual yang ditetapkan. Memang laju. Sejam lebih sikit jer dah sampai ke Arau.

Paling best aku bertemu Hajar atas ETS ni. Kebetulan kami satu gerabak dan satu destinasi. Nak ke Perlis untuk reunion kami. Subhanallah, tak sangka setelah 36 tahun, hari ini kami bertemu kembali. Kami berpeluk erat melepas rindu yang sarat. Macam biasalah kan, airmata akak ni murah sangat. Jenuh ditahan pun,  tetap turun berderai2 jugak.

Sebahagian Kangar dilihat dari bilik hotel di mana Hajar menginap

Setibanya di Arau kami terus mengambil teksi ke hotel. Memandangkan Hajar datang bersama kakak iparnya Ateh,  mereka tidak menginap di homestay bersama2 kami yang lain.  Setelah selesai urusan check-in dan mengambil kereta sewa, kami terus bergerak ke Pauh Homestay di Jalan Kaki Bukit.  Di sana kawan2 yang lain dah siap menunggu bersama buah dan garam belacan untuk mencicah, kuihmuih dan jeruk.

Jom menyicah dan makan2

Allah hu Akbar, tak dapat aku gambarkan macamana perasaan aku waktu tu. Menatap wajah2 sahabat yang tersayang yang telah sekian lama tak bertemu, adalah satu nikmat yang besar dari Allah. Sapa sangka setelah 36 tahun, Allah izinkan kami bertemu kembali. Dengan penuh kasihsayang dan terharu aku dapat peluk sahabat2 ku :

belakang dari kiri - Minai, Wan, Salmah, Cikmah, Hajar dan Yati
depan dari kiri -  Zaaba, Ciksu, Shila, akak dan Dikna
1.  Salmah Hashim; tak pernah aku jumpa sejak tahun 1979.  Kini dia jadi guru di Perlis. Masih kekal seperti dulu, Salmah ni lemah lembut dan manis orangnya.  Dulu aku selalu suka tengok rambutnya yang panjang macam ekor kuda

2.   Zabariah atau Zaaba; tak jumpa sejak tahun 1979 juga.  Zaaba dulu melanjutkan pelajaran ke luarnegara dan kini juga seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh. Tahun ini merupakan tahun terakhir dia mengajar dan akan bersara awal kerana masalah kesihatan.  Kesian dia apabila disahkan mengidap beberapa penyakit kronik yang mengganggu pergerakan tubuhnya. Alhamdulillah kini dia dah punya beberapa orang cucu dan menantu.  Semoga allah memberikan kesembuhan buat Zaaba.

3.   Hajariah atau Hajar;  tak jumpa sejak tahun 1979.  Hajar baru saja bersara awal dari perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan dan kini menjadi surirumah sepenuh masa, macam aku juga.  Masih periang macam dulu juga, seronok dengar gelak ketawanya dan canda nakalnya.

4.   Noriyati atau Yati;   tak jumpa sejak tahun 1979 juga.  Yati baru saja bersara dari jawatan sebagai penolong kanan sebuah sekolah menengah dan kini bergiat bersama2 suaminya dalam bidang perniagaan. Masih kekal slim macam dulu. Semasa bertemu ni Yati siap promote bermacam barangan dagangannya seperti kopi habbbatussauda dan kolagen.  Sendiri punya produk you!!

5.  Salmah Semail atau Cikmah, baru ajer aku berkunjung ke rumahnya  di Cherok Tokkun pada bulan Ogos dulu.  Cherok Tokkun tu tak jauh dari tempat tinggal aku.  Cikmah yang sebelum ini bertugas di Tenaga Nasional bersara awal sejak beberapa belas tahun lalu untuk memberi sepenuh perhatian dalam mendidik anak2nya.  Besarnya pengorbanan seorang ibu.

6.   Datin Marina atau Dikna; kali terakhir berjumpa pada bulan Disember tahun lepas semasa reunion rakan2 sekelas di Sungai Dua Pulau Pinang. Mak datin ni dulu bekerja sebagai pensyarah dan kini bersara awal macam aku juga.  Walaupun bergelar Datin, dia masih kekal mesra dan nakal sebagaimana Dikna yang kami kenali 36 tahun yang lalu. Alhamdulillah.

7.   Suraini atau Ciksu; kali terakhir aku temui pada bulan April lalu semasa dating di Aeon Alma, Bukit Mertajam. Kebetulan Ciksu yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Simpang Empat juga menetap tidak jauh dari tempat tinggal aku.  Salute buat Ciksu yang cekal menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal yang membesarkan 3 anak sejak kematian suaminya beberapa belas tahun yang lalu.  Semoga Allah mempermudahkan kehidupan Ciksu dan anak2. Aamiin.

8.   Rosilawati atau Shila, kali terakhir berjumpa pada tahun 2012 semasa Grand Reunion batch 1979. Shila yang merupakan jururawat di Hospital Tuanku Fauziah Kangar masih sama seperti tahun 1979, kecik molek orangnya dan perlahan aje suaranya bila bercakap.

9.   Wan Fadzini atau Wan, juga kali terakhir berjumpa pada tahun 2012 semasa Grand Reunion batch 1979. Seorang guru dan dah mempunyai seorang cucu.  Wan juga kurang sihat setelah disahkan doktor mengidap sejenis penyakit berkaitan immune system.  Semoga Wan tabah dan diberikan kesembuhan dari penyakit tersebut. Aamiin.

10.  Norhayati atau Minai, kali terakhir aku bertemu kira2 7 tahun yang lalu semasa aku berkunjung ke rumahnya di Shah Alam.  Bekerja di UITM Shah Alam, Minai mempunyai 4 anak perempuan. Minailah penglipur lara bagi kami sejak dari alam persekolahan hinggalah sekarang. Di mana saja dia berada, suasana akan jadi ceria.

sweet 52 dan 53 hehehehheh
Apabila sudah bertemu 11 sahabat, suasana jadi riuh rendah. Lupa diri kami ni dah separuh abad, terasa macam si manis 17 pada tahun 1979. Semua berebut nak bercakap serentak ... hahahaha. Memang havoc. Maklum dah bertahun2 tak jumpa, macam2 perkara nak dikongsi, macam2 perkara nak disoal. Lebih seronok bila Minai bawak keluar autograf yang kami tulis 36 tahun yang lalu. Hihihi rasa tak percaya bila aku baca balik ayat jiwang2 yang aku tulis masa tu .... hahahaha!!! Minai juga bawak album gambar2 kami di sekolah dulu. Hrmmm tak dapat le aku nak kongsi gambar2 tu, semua seksi dan seksa belaka hahahhaha!!!!

Selepas solat maghrib kami bertolak dengan kereta sewa Hajar dan Exora Salmah ke Kuala Perlis. Riuh rendah bersambung pulak dalam kereta. Kukkik kukkik sepanjang jalan. Setiba di Kuala Perlis, kami terus ke Mona Ikan Bakar untuk makan malam. Dikna yang bermurah hati belanja kami malam tu. Ada ikan kukus, ikan bakar, udang, sotong, mentarang, tomyam seafood, sayur campur dll. Sambil makan sambung sembang lagi. Banyak perkara nak kena catch-up ni hahahaha!!!

Balik ke homestay, sesi sembang2 bersambung. Pukul 12 malam, Hajar bertolak balik ke hotel, Zaaba pulang ke rumah. Tinggal kami 9 orang. Ada yang tidor di bilik, ada yang lepak2 di hall. Kami mengimbau kisah2 zaman persekolahan, kehidupan berumahtangga, masalah kesihatan dan sebagainya.  Ada yang tak mampu bertahan, pukul 12 lebih dah tidor. Tapi kebanyakannya sayang nak tidor, pukul 2 pagi pun masih pokpek-pokpek. Hihihihihi

Wednesday, November 11, 2015

Reunion Gegirls - Perancangan

Kami dah merancang sejak sebulan yang lalu.  Hati semua berbunga2, semangat semua berkobar2. Memang inilah yang kami semua nanti2 setelah bertahun2 tak jumpa. Ada yang kali terakhir berjumpa semasa kami meninggalkan alam persekolahan pada tahun 1979, dah 36 tahun berlalu. Bukan singkat tempoh itu. Dulu kami semuanya gadis manis 17 tahun, terlalu naif.   Kini semua dah lebih separuh abad. Ada yang dah bermenantu, bercucu dan bersara awal. Ada juga yang sudah pergi bertemu Pencipta nya.



Aku tak pasti perasaan teman2 yang lain. Apa yang mereka harap dari reunion ini nanti.  Tapi aku sendiri memikirkan sesuatu yang aku bimbang.  Aku dan beberapa sahabat sedang menghidap pelbagai penyakit kronik. Walaupun tidaklah parah terlantar (Nauzubillah hi minzaliq), tapi pelbagai kemungkinannya ada. Kita tak dapat lari dari fitrah manusia hidup bernyawa, pengakhirannya mati.

Jadi aku rasa semasa semua masih sihat, semasa semua masih bernafas, jadikan reunion ini satu kenyataan.  Kalau tak ada lagi perjumpaan besar sebegini selepas ini, aku tak ralat lagi. Semua kerinduan telah tertebus. Tetapi semestinya setiapkali selepas solat, aku merayu kepada Yang Maha Berkuasa supaya memanjangkan usia kami dalam keberkatan, berikan kami nikmat kesihatan yang baik, panjangkan silaturrohim kami.  Aamiin


Kami pun membentuk jawatankuasa mudah.  Sukarela tanpa ada rasa stress. Mujurnya ada kemudahan whatsapp ni. Semua perbincangan online. Keputusan buat serta-merta. Yang lawaknya aku jadi setiausaha. Why why why?? Dari sekolah, masuk kolej, pi kerja, ni untuk reunion pulak ... mesti jawatan setiausaha tu aku yang punya. Ada cop SETIAUSAHA kat dahi aku agaknya kehkehkeh.

Sebenarnya kami dari grup Malay Medium ni ada 17 pelajar perempuan.  Daripada jumlah tersebut, seorang telah meninggal dunia iaitu Wan Aspalela. Al Fatihah untuk sahabat tersayang. Daripada 16 orang lagi, 3 orang tak dapat dikesan iaitu Khairiyah Tajuddin, Rusiah Ayob dan Dr Tan Seow Yan. Tinggal lagi 13 orang. Kami amat berharap kesemua 13 orang dapat hadir. Tapi apalah daya Suriyani dan Norliza terpaksa menarik diri kerana ada komitmen masing2.


Alhamdulillah, akhirnya 11 Gegirls bersetuju bertemu kembali di Perlis pada 30 dan 31 Oktober 2015.  Tentunya happening!!!


Friday, December 26, 2014

Reunion Sempoi - 21 Disember 2014

Semuanya dirancang secara tiba-tiba.  Seorang bagi cadangan, beberapa orang beri sokongan dan seterusnya semua berjalan lancar.  Tak perlu perancangan berbulan-bulan. Dalam tempoh 2 minggu jer pertemuan sahabat lama ni terlaksana dengan jayanya.

Kali terakhir kami mengadakan majlis Reunion berskala besar adalah pada tahun 2012. Waktu tu bilangan yang hadir adalah 50 orang daripada keseluruhan Alumni 1975-79 seramai 120 orang. Jumlah ini merupakan gabungan  2 kelas English medium dan 2 kelas dari Malay medium.  Untuk kali ini tumpuan hanyalah kepada 60 bekas pelajar Malay  medium (2 sahabat kami telahpun kembali ke rahmatullah ... Al fatihah untuk kedua-dua arwah).

Mee udang jadi menu utama petang ini.  Sambil makan sambil sembang. 

Macam-macam gosip. Anak berapa?? Dah ada cucu ke? Bila nak pencen??
Kami berkumpul di Restoran Mee Udang Aur Gading di Sungai Dua Pulau Pinang. Sahabat kami tiba dari Selangor, Perak, Perlis dan Kedah.  Pelbagai perasaan muncul saat bertemu dan saling bertentang mata, berpelukan erat. Gembira, terharu, sayu dan teruja. Ada yang baru berjumpa beberapa minggu lepas, ada yang 2 tahun lepas,  ada yang beberapa belas tahun lepas dan ada yang tak pernah berjumpa langsung sejak dari tahun 1979 yang lalu. Masyaallah ... 35 tahun rupanya kami terpisah. Syukur Allah memberi kami ruang untuk bertemu kembali merapat silaturrahim.

Nasi goreng udang untuk yang tak suka makan mee
Sotong celup tepung ... selingan
Ada wajah yang dah berubah, banyak saiz yang bertambah ... hehehehe.  Tapi yang pasti karektor kami tak banyak berubah. Dikna masih begitu gelaknya. Bidin masih becok celotehnya. Cikmah masih nyaring suaranya.  Ohhh .... aku sangat-sangat rindu saat kami bersama di  sekolah dan asrama selama 5 tahun itu.

Goodies pun ada - tuala mandi, tuala muka dan pala Penang
Mulanya kami menjangkakan 3 jam cukup untuk kami melerai rindu. Rupa-rupa tak cukup .... banyak kisah yang nak dikongsi.  Tak sempat nak  bersembang puas dengan setiap orang.  Rasanya ramai yang nak sambung lagi beberapa jam, tapi terpaksa melupakan hasrat itu. Memandangkan hari dah lewat dan kawan-kawan ramai yang perlu bertugas esok, kami terpaksa mengucapkan selamat berpisah.

Kapan kita berjumpa lagi
barisan depan dari kiri  : missus Hasnan, missus Zul, aku, Cikmah@Salmah Semail,
Dikna@Datin Marina, Ciksu@Suraini Hamid
barisan tengah dari kiri  : Tzar@Zaruddin, Wan Mae@Wan Ismail, Non@Zainon Harun,
Bidin@Zainol Abidin, Chot@Mansor, Bai@Baharuddin Said
barisan belakang dari kiri  :  Hasnan (tersorok le pulak), Sabri, George@Fauzi,
 Zul@Zulkifli Yahya, Wahid
Doa dan harapan kami semoga akan banyak lagi pertemuan akan diadakan pada masa depan.  Hrmm Zul dah chup ... bulan Mac 2015 majlis kenduri anaknya di Perlis. Akan ada khemah khas untuk rakan-rakan Asputra 75-79.  Insyaallah kita bertemu lagi.

Tuesday, June 19, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 5

Ketibaan guru-guru kami sambut dengan peluk dan cium (murid pompuan dengan cikgu pompuan ler, takkan dengan cikgu lelaki kut ... cari nahas).  Airmata kegembiraan dan terharu jelas kelihatan di tubir mata guru-guru tersayang.  Wajah mereka jelas memancar sayang tatkala memandang ke mata setiap anak murid.  Subhanallah ... Ya Allah, Engkau berikan kehidupan yang penuh keberkatan buat guru-guru kami yang telah mendidik kami sehingga menjadi manusia yang berjaya.  Ameeeen.


Awat Cikgu Baharum lebih comel dari hangpa semua??
Selepas itu bermulalah sesi memperkenalkan diri kami kepada guru-guru. Memang kali ni betul-betul ringkas. bagitau nama, duduk kat mana, kerja di mana (jawatan tak perlu bagitau, nak bagitau pun tak pa) dan anak dah berapa orang (pencapaian sebagai seorang ibu dan ayah).  Lepas itu 4 guru dijemput bercakap.

Tuan HM ... sekarang kami dah tak gerun lagi, tapi kami sangat-sangat respek pada cikgu

Dato' Abdul Rahim Abdul Majid dulunya kami panggil Tuan HM jer (Headmaster) kini dah berusia 71 tahun.  Orangnya kecil, wajahnya serius dan suaranya penuh authority.  Dulu nampaknya kelibatnya, semua murid akan berusaha menyembunyikan diri.  Tapi pada hari ini dia bercakap sebagai seorang bapa yang penyayang dan penuh bangga bertemu anak-anaknya.  Beliau masih lincah dan kuat daya ingatannya. Antara ayat-ayat Tuan HM yang mencuit hati kami ialah :

  • dulu anak-anak di depan saja ni renik-renik belaka, tapi sekarang nampaknya semua saiz dah lebih besar dari cikgu-cikgu
  • anak-anak jangan berhenti belajar, belajarlah apa saja, ilmu dunia, ilmu akhirat, saya pun masih belajar untuk PHD. Bila pergi kolej, mereka ingat saya ni professor, pakat nak approach saya
  • nampaknya ramai kalangan anak-anak di depan saya ini adalah pendidik. Teruskan karier murni ini dengan hati yang ikhlas. Esuk kamu pun akan jadi macam saya, merasa sangat bahagia tengok kejayaan anak didik kita
Seterusnya kami mendengar celoteh Cikgu Baharum yang dulunya mengajar Ilmu Alam atau Geografi.  Cikgu Baharum selalu mengingatkan kami kepada budayawan dari Indonesia menerusi gaya percakapannya  yang unik dan tersusun rapi (ala-ala percakapan Rais Yatim).

Pasangan Romeo & Juliet - nampak Cikgu Nuriyati lebih muda dari aku ... isyyy ini tak boleh jadi,
 kena tanya rahsia dia awet muda walau dah ada 3 cucu

Kami kemudiannya mendengar nasihat dari Cikgu Ilyas yang cool. Dulunya beliau dikenali sebagai MC (Master of Ceremony) sekolah.  Semua acara rasmi sekolah dia yang akan pegang mikrofon.  Cikgu Ilyas yang merupakan warden Asrama Putera datang bersama buah hatinya Cikgu Nuriyati yang merupakan warden Asrama Puteri.  Dulu kami selalu mengendap kedua-dua cikgu ni.  Setiap pagi Cikgu Ilyas akan menjemput Cikgu Nuriyati di Asrama Puteri untuk breakfast di dewan makan sebelum bersama-sama berjalan ke sekolah. So sweet.

Cikgu Azizah (kiri - ajar Sains Rumahtangga) dan Cikgu Saayah (kanan) aka Miss Bobby

Tetapi yang paling mencuit hati kami pagi itu ialah ucapan Cikgu Saayah.  Beliau merupakan warden Asrama Puteri yang terkenal dengan garangnya.  Dulu beliau begitu rugged dan bercinta pula dengan seorang lagi warden Asrama Putera, Cikgu Ishak Mahmud.  Zaman percintaan mereka memang hebat, kami panggil pasangan Bobby (waktu ni filem Bobby sedang top di pawagam). Masih terbayang Cikgu Saayah menonggek memeluk pinggang Cikgu Ishak menunggang scrambler setiap hujung minggu untuk dating.  Alhamdulillah mereka sempat menikmati hidup berumahtangga selama 10 tahun sebelum Cikgu Ishak kembali ke rahmatullah. Al Fatihah.  Ucapan Cikgu Saayah dalam dialeg Perlis yang pekat membangkitkan pelbagai nostalgia kami semasa menjadi penghuni asrama.

Cikgu Khalid Dan yang kelakar - masih muda tak ada satu uban pun di kepala walau dah pencen

Antara guru-guru yang berbesar hati hadir bertemu anak didik

Tekun mendengar ucapan 'ayahanda bonda' yang dikasihi

Sebelum acara berakhir, kami menghadiahkan cenderahati buat guru-guru yang hadir diikuti dengan sesi bergambar. Riuh-rendah suasana kami mengusik guru-guru yang nampak lebih comel dan awet muda berbanding dengan anak murid ....hahahaha.  Semasa jamuan teh, kami megambil peluang mendekati setiap guru untuk berbual mesra dan bergambar.

Majlis bersurai tepat jam 1 tengah hari.  Perpisahan kami penuh perasaan pilu. Rasa tak puas bermesra cuma untuk tempoh 24 jam.   Banyak lagi perkara yang mahu dikongsi. Tapi memandang semua telah mempunyai komitmen dan kehidupan tersendiri, perpisahan ini tidak dapat dielakkan lagi. Kami berdoa semoga Allah memberi peluang untuk kita bertemu lagi. Semoga pertemuan yang akan datang, lebih ramai lagi yang dapat hadir.

Wednesday, June 13, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 4

Seawal jam 5 pagi alarm berbunyi dari beberapa handphone. Masa untuk bangun mandi.  Bergeraklah kami ke tandas sekolah.  Isyyy ... budak-budak pompuan sekarang ni lebih teruk dari zaman kami dulu.  Entah siapalah punya bra dan panties, ada yang bergantung-gantung, ada yang terendam dalam timba, ada yang tersadai atas lantai.  Memandangkan sekarang ini cuti sekolah 2 minggu, dah pastinya khazanah tersebut busuk dan berkulat atau akan dimasukkan dalam tong sampah oleh pencuci asrama. Kesianlah dekat ibu bapa yang berhabis duit beli bra dan panties comel-comel untuk anak mereka.

Syukur kepada Allah memberikan bonus kita mencapai usia emas, jangan persiakan anugerah ini, 

Hahahahha ... subuh-subuh lagi makcik-makcik ni dah berleter!!!! Kemudian kami bergegas ke surau yang terletak di Asrama Putera.  Jika 33 tahun dulu, Asrama Putera merupakan kawasan larangan keras bagi pelajar puteri, tapi hari ni kami bebas melenggang masuk ke sana.  Kami solat subuh berjemaah dan seterusnya mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh rakan kami Megat Ahmat Fauzi bertajuk "Refleksi dan amalan di usia emas".  Ahhh ... terharu sungguh mengenangkan nikmat yang Allah kurniakan sehingga kami semua dapat berkumpul selepas 33 tahun lebih kami berpisah.  Tidak diketahui berapa tahun lagi baki usia yang ada, dan sebanyak mana timbangan amalan yang telah dikumpulkan.

Dewan utama sekolah - tempat mengambil peperiksaan penting, tempat menerima anugerah,
tempat konsert,  tempat perhimpunan dan macam-macam acara lagi
Pintu utama ke sekolah kemegahan kami
Seterusnya acara yang dinanti-nantikan iaitu "menapak 1000 langkah". Kami menyusuri laluan yang dulunya kami lalui beberapa kali sehari untuk kelas pagi, prep petang, bersukan waktu petang dan prep malam selama 5 tahun. Kami jenguk ke sekitar kawasan kelas-kelas, bengkel, makmal, kantin, padang, tapak "panggung wayang pacak", dewan perhimpunan dan pintu masuk utama.  Banyak yang telah berubah.  Jika 33tahun dulu sekolah ini begitu kemas dan ringkas, kini begitu banyak bangunan baru didirikan. Terasa agak berserabut persekitaran sekolah kini.  Dalam menapak itu, kami saling bernostalgia :

  • teringin sangat nak rasa bihun goreng Pak Syed yang sedap dulu. waktu tu 50 sen jer sepinggan. Sedapnya terasa sampai sekarang.  Tapi sekarang dah oranglain yang jual kat kantin nih.
  • di sini dulu sebulan sekali kita duduk lepak atas jalan mendongak dekat dinding sekolah. Tengok wayang cerita best punya .... Saturday Night Fever, Grease, The Spy Who Love Me dan macam-macam lagi.  Shukri tokeh wayang selalu letak tangan depan projektor bila ada adegan-adegan kena sensored.  Pakat menjerit marah kat dia ... hahahahaha.
  • kat padang inilah dulu aku lari 4 x 400 meter sampai pitam.  Sedar-sedar dah ada dekat sick-bay,  makan pun depa hantar ke katil.  Ingat lagi kat matron garang tu, dia kata aku dah sihat, sila balik ke dorm, jangan nak ngada-ngada duduk lama-lama dekat sick-bay ... hehehehhe.
  • kat koridor ni kita dok jalan pergi-balik 5 tahun,  berapa ribu tapak ekkk??? 
  • ingat tak dulu ... petang-petang kita ponteng tak mau main, kita sembunyi belakang bengkel ni lah.  Semut api gigit paha kita.  Waktu tu paha kita semua ternganga, pakai short pant jer. Tapi kita semua kurus waktu tu, tak dak sapa pun kata kita seksi.  Sebab waktu tu semua orang memang pakai short pant, sapa pakai long pant yang nampak macam  pelek time tu. Semoga Allah mengampunkan kejahilan kita waktu tu. 

Selesai bertapak, kami menjamu selera dengan nasi ganja berlauk ikan dan ayam. Aduhhh, sedap sungguh rasaya dapat melepas rindu makan nasi ganja selepas 33 tahun.


Keceriaan teman sejati
Sebahagian "pelajar" Malay Medium yang hadir - ada beberapa orang yang
missing  in action,  puas dicari .. ke tandas agaknya?  hihihihi

Sementara menunggu ketibaan guru-guru, kami penuhkan masa dengan bergambar dan menyambung cerita. Memang tak cukup masa rasanya nak bersembang dengan  kengkawan.  Dewan riuh-rendah dengan gelak ketawa dan usik-mengusik mengimbau kenangan lama.

Tuesday, June 12, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 3

Kami berkumpul jam 6 petang di deawan makan sekolah. Apabila pertama kali bersua muka, jelas masing-masing mengerut dahi.  "If u don't mind, please introduce yourself" hahahaha .... dah pakat tak kenal satu sama lain.  30 tahun dulu, semuanya si manis 17, yang lelaki slim dan tangkas, sekarang dah boroi, berjanggut bermisai, malah beruban ... oppppp!!!  yang perempuan pun dulu lincah dan genit, kini dah bertudung, bergaya ala datin-datin dan dah ramai yang tukar saiz badan.  Memang sekali pandang susah nak kenal.  Pun begitu ada beberapa orang yang masih maintain macam dulu, tu yang buat kami semua cemburu.

"You ni Aminuddin ka?  Lor ... aku Moz la! You dah tak kenai no??"
Aku mengambil tugas di bahagian pendaftaran, mengedar tshirt dan mengutip wang dari semua peserta. Alhamdulillah, akhirnya seramai 55 daripada 120 bekas penuntut dapat hadir.  Itu sudah cukup baik berbanding dengan sambutan awal yang kami terima.

Sebenarnya batch aku ni agak unik.  Ini merupakan kumpulan terakhir pelajar dipecahkan dalam dua aliran iaitu English Medium dan Malay Medium. Walaupun kami berlainan aliran, tetapi kami akan dicampurkan semasa subjek bahasa Inggeris diajar. Ini disebabkan ada pelajar Malay Medium yang bagus penguasaan bahasa Inggerisnya akan duduk di kelas A  atau B dan ada juga pelajar English Medium yang terpaksa masuk kelas C dan D.  Selain itu kami juga bergaul mesra di asrama, di padang permainan atau dalam kelab-kelab ko-korikulum.  Ini mewujudkan hubungan mesra antara pelajar dari kedua-dua aliran.

Selesai pendaftaran, kami berkumpul di surau untuk solat Maghrib dan Isya secara berjemaah. Seterusnya diadakan majlis tahlil untuk guru-guru dan 2 sahabat kami yang telah kembali ke rahmatullah (Allahyarham Mohsin Said dan Allahyarhamah Wan Aspalela).  Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang  mendapat keredhoan Allah. Amin.  Seterusnya kami mendengar pengalaman sahabat kami Tan Hew Min yang telah melakukan hijrah yang besar dengan memeluk Islam dan bertukar nama kepada Mohd Ashraf Tan.  Alhamdulillah.

Saya Cikgu Noorshitah, dulu depa panggil Farrah Fawcett, sebab saya suka buat
 rambut fesyen  gulung-gulung ... hehehehe
Lepas ni kita makan kenduri rumah sapa yang mula-mula nak terima menantu

Acara kemuncak malam tersebut ialah jamuan makan malam diikuti dengan acara bergambar beramai-ramai.  Seterusnya setiap orang naik ke pentas untuk "memperkenalkan" diri secara ringkas.  Tetapi ramai juga yang seronok bercakap panjang lebar hingga majlis terlajak ke jam 12 tengah malam. sewaktu sesi ni barulah kami tahu ramai yang pernak kecundang dan kini dah berjaya, ramai yang dah berhenti kerja pejabat dan buat bisnes sendiri, ramai yang jadi pendidik, ramai juga yang sedang berkira-kira nak menerima menantu dan juga yang dah mempunyai 2 set keluarga (kahwin 2 atau kahwin 2 kali ... hrmmm, jodoh)

Di lorong inilah beribu-ribu kaki anak seawal usia 13 tahun melangkah untuk menjadi manusia yang berguna
Acara paling thrill ialah tidur beramai-ramai di asrama.  Bukan mudah untuk melelapkan mata malam itu. Semua masih seronok nak bergebang, maklumlah jarak 30 tahun yang memisahkan kami membuatkan banyak perkara yang mahu dikongsi.  Cuma yang tak seronoknya, nyamuk pun nak berkongsi tidur dengan kami.  

Thursday, May 31, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 2


Perbincangan mengenai reunion ini dah bermula sejak tahun lepas lagi tetapi persiapannya hanya mulai rancak semenjak bulan April lepas.  Memandangkan kebanyakan teman-teman ku tinggal di luar Perlis, kawan-kawan yang menetap di Perlis perlu memainkan peranan penting.  Merekalah berurusan dengan pihak sekolah untuk meminjam dewan makan dan asrama, menguruskan jamuan dengan pihak katerer, membeli hadiah, menghias dewan dan mengaturkan jemputan. 

Kesian melihat mereka bertungkus-lumus, aku selaku warga pencen menawarkan diri sebagai jawatankuasa jemputan.   Rasanya mudah aje tugas ini, sebab semua kawan-kawan dah ada FB, email dan handset.  Semua jemputan dibuat secara maya, cuma duit bil telefonku bulan ini pastinya berlipatganda. Tapi aku tak kisah, sekali sekala aje begini.  Selebihnya aku gembira dapat memainkan peranan penting menghimpunkan teman-teman di bawah satu bumbung. 

Tetapi rupa-rupanya tugas ini tak semudah yang aku sangka.  Daripada 120 teman-temanku, 10 orang tidak dapat dikesan.  Daripada 110 yang dijemput, hanya lebihkurang 80 orang sahaja yang memberi maklumbalas.  Daripada 80 orang itu pula, hanya 50 akan hadir, 30 lagi tidak dapat hadir atas alasan tugas, menunaikan umrah, mendaftar pengajian anak, menghadiri walimatulurus ahli keluarga dan kesihatan tidak mengizinkan.  Terimakasih kerana memberi maklumbalas.

Yang sedihnya 30 orang lagi sepi tanpa berita walaupun telah dihubungi sebanyak 3 kali.  Ingat aku hantar SMS free ajer ker?  Memang aku marah, kerana mereka ini bagi aku tidak menghargai usaha kami jawatankuasa yang berniat baik.  Hanya kesabaran aje yang membentengkan aku dari menghantar SMS "jahat" kepada mereka.  Sabar ... sabar ... sabar!!!

Aku berhubung dengan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha melalui SMS dan FB ajer.  Selang sehari aku akan kemaskini maklumat kehadiran.  Mereka juga akan memaklumkan sebarang perkembangan atau perubahan program setiap kali selepas bermesyuarat. Alhamdulillah, inilah nikmat kemajuan teknologi.

Akhirnya hari yang dinanti-nanti tiba.  Kami berkumpul di dewan makan sekolah pada pukul 5.00 petang 26 Mei 2012.  Perjumpaan selepas 33 tahun ini bermula dengan peluk-cium, gelak ketawa, usik mengusik dan linangan airmata kegembiraan.  Syukur atas nikmatMu Ya Allah, memberi kesempatan untuk kami bertemu semula dalam usia emas ini.

Monday, May 28, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 1

Subhanallah.  Tak tau macamana nak menggambarkan kegembiraan dapat berjumpa teman-teman setelah hampir 33 tahun terpisah.  Terlalu banyak cerita hendak aku tulis. Terlalu banyak gambar nak aku letak. Tapi sekarang aku tengah terlalu sibuk melayan FB.  Teman-teman pakat upload gambar, pakat komen, pakat mengimbau kegembiraan reunion tersebut.

Tunggu dulu. Bagi aku settle down dulu.  Bagi aku puas berbual dengan teman-teman dulu.  Rupanya 2 hari hari berkampung di asrama belum cukup untuk melepas rindu, kini bersambung pula di FB. 

Selepas puas bertemu di FB, barulah aku catatkan sepenuhnya detik-detik pertemuan penuh makna tersebut.

Monday, May 21, 2012

5 Hari Lagi

Aku dah mula count down.   Sejak setahun lalu kami asyik bercakap mengenai cadangan untuk mengadakan majlis Reunion Jubli Emas bekas pelajar Asputra79.

Kenapa Jubli Emas?  Sebab tahun ini kami semua mencapai umur 50 tahun?  Fuh!! umur penuh keemasan.  Umur yang diharap penuh ketenangan setelah anak-anak semua meningkat dewasa, kerjaya sudah stabil, kewangan sudah mantap, cita-cita banyak yang sudah terlaksana dan macam-macam lagi pencapaian yang positif ... Insyaallah.

Dari setahun, jadi sebulan, jadi seminggu dan kini lagi 5 hari saat itu akan tiba. Aduhhh, begitu terujanya aku.  Kami grup Asputra79 mempunyai 4 kelas dengan bilangan pelajar seramai 120 orang.  Hubungan kami memang sangat akrab sebagai rakan sekelas, rakan satu dorm, rakan sepermainan, rakan kelab ko-kurikulum, rakan satu keretapi pergi dan balik kampung dan bermacam lagi aktiviti yang kami lakukan bersama selama 5 tahun kami semua bermastatutin di sekolah kebanggaan kami ini.

Kebanyakan kami tidak pernah berjumpa hampir 33 tahun.  Semenjak meninggalkan sekolah setelah tamat SPM/MCE pada tahun 1979, masing-masing membawa diri membina kerjaya masing-masing. Entah bagaimana suasananya kami akan bertemu pada hari Sabtu ini.  Memang teruja membayangkan dulu kami budak-budak hostel yang kurus cekeding memakai pinafore dan seluar pendek kini dah berubah bentuk fizikal, cara berpakaian dan ramai yang dah mendapat pangkat atuk dan nenek. 

Dan paling sayu memikirkan, betapa dua sahabat sekelas aku dan beberapa guru dan ustaz telahpun kembali ke rahmatullah dalam tempoh 33 tahun tersebut.  Innalillah hiwainnalillah hirrojiun.

Kerana kerapnya aku memikirkan majlis reunion ini, sudah beberapa malam aku asyik termimpi-mimpi akan kawan-kawanku.   Tapi kelakarnya, semua watak dalam mimpi ku itu berumur 17 tahun  ... heheheh. Itulah wajah terakhir yang lekat di kepala ku sejak perpisahan tahun 1979 dulu.   Wajah sebenar mereka sekarang hanya akan aku tatap pada 26 Mei nanti.  Aku tungguuuuuuu!!!!