Showing posts with label Main masak-masak. Show all posts
Showing posts with label Main masak-masak. Show all posts

Friday, December 8, 2017

Soun Goreng aka Bihun Siam

Resipi yang nak aku kongsi kali ini adalah resipi warisan keluarga Abah.  Aku diperkenalkan dengan resipi ni kira2 20 tahun yang lalu.  Sayangnya aku tak pernah menulis di mana2 pun tentang resipi ini. Apa bahan diguna, berapa banyak bahan diguna dan cara2 memasaknya tak pernah direkodkan. Cuma aku perhati macamana cara ianya dimasak dan ikut membantu semasa makanan sedap ni dimasak Main ingat2 gitu je.

Sadisnya aku seorang jer yang sering memasak resipi bihun siam ni.  Adikberadik Abah semua tak tau macamana cara nak memasaknya, sebalik bertanya aku.. menantu dalam keluarga ni.

Lebih sedihnya orang2 tua yang mahir memasak resipi ni semua dah meninggal dunia atau tua dan hilang ingatan. Al Fatihah untuk Allahyarham Tok Ayah Haji Hasbullah, Allahyarhamah Tokcak Hajjah Sofiah dan Toksu Hajjah Maimunah yang kini mengalami sakit lupa. Halalkan ilmu ini dan semoga menjadi sedekah jariah buat kalian.

Sebelum aku pun pergi ke "alam sana", elok aku catatkan resipinya di sini. Semoga jika ada anak2 yang merindui masakan ni kelak, ambillah di sini sebagai panduan. Cuma kena pandai2 adjust lah, sebab tak dapat nak beri sukatan yang jelas.

BAHAN

1 paket Souun  500 gram direndam hingga lembut
15 tangkai Cili kering (*) - buang biji dan rendam (kalau tak suka pedas boleh kurangkan, kami semua suka pedas hihihi)
10 biji Bawang kecil (*)  - hiris kasar
5 ulas Bawang putih (*)   - hiris kasar
Halia (*)   -   sebesar ibu jari hiris kasar
3 sudu makan Udang kering (*)  -  direndam
Santan segar  -  RM5 (wajib guna santan segar supaya dapat menghasilkan tahi minyak)
1 mangkok Lauk samada ayam atau daging dipotong kecil2 atau udang kecil. Aku lebih suka udang dan daging sebab rasanya agak istimewa. Nak guna banyak mana ikut suka.
Pes asam jawa
Kicap manis pekat
Garam
Daun kucai   -  segenggam dihiris sepanjang 1 inci

HIASAN

Telur dadar dihiris nipis2
Limau kasturi
Cili merah atau cili padi dihiris halus
Daun salad dihiris halus

CARA MEMASAK

Semua bahan bertanda (*) disatukan dan disagai (goreng tanpa minyak) hingga berwarna coklat. Selepas itu ditumbuk hingga lumat. Atau guna food processor jer. Tapi tumbuk lagilah sedap sebati. Tak boleh guna blender sebab blender perlukan air untuk melumatkan bahan2 tersebut

Masukkan santan dalam kuali dan gunakan api yang kecil. Kacau santan sekali sekala. Proses ini mengambil masa yang sangat lama. Santan dijerang sehingga bertukar menjadi minyak dan membentuk tahi minyak. Bersabar banyak2 yer 😃😃😃😃

Biarkan sehingga tahi minyak garing. Selepas itu masukkan semua benda yang dilumatkan tadi. Kacau lagi sehingga garing. Masukkan lauk2 yang dipilih. kacau sehingga lembut. Kalau gunakan daging muda dan lembut, tak perlu direbus terlebih dahulu

Tambahkan kicap manis dalam 4 sudu besar, pes asam jawa sesudu besar dan garam ikut kesesuaian. Masukkan sooun dan kacau tanpa henti.  Pastikan semua sambal tadi rata meliputi sooun.  Gunakan api sederhana besarnya. Kacau sehingga sooun bertukar warna menjadi jernih. Masukkan daun kucai, kacau hingga rata.



Setelah mendapat rasa dan tekstur yang diinginkan boleh tutup api dan hidangkan bersama bahan hiasan.

Yang pastinya sooun ini akan lebih meresap mesra sambal tersebut setelah beberapa jam. Kalau masak malam ni, pagi esuk lagi sedap rasanya.

Friday, March 10, 2017

Opor dan Sambal

Hari ni aku kongsi apa aku masak hari ni. Memang hampir setiap hari pun aku masak untuk keluarga aku, tapi hari ni aku nak cuba satu resipi baru.

Aku selalu dengar kawan2 aku kata makanan jawa yang sedap ialah opor dan ungkep.  Aku dah try masak ayam ungkep. Memang sedap. Cara masaknyanya pun mudah. Cuma tak berkuah... jenis masakan kering jer. Anak2 aku yang makan ala mamak penang kuah banjir ni memang tak berapa setuju kalau aku masak lauk begitu.

So hari ni kawan aku Anis Tokey Kek kongsikan dengan aku resipi Opor Ayam. Resipi ni dia Google je dan dah try buat .. memang sedap kata nya.



Mujur pun semua bahan ada kat rumah. Apa lagi aku pun mula memasak sambil belek resipi hihihi. Untuk pertama kalu aku menggunakan setengah ekor ayam. Cukuplah untuk makan berempat malam nanti. Tengahari aku makan berdua jer dengan Abah. Seketul sorang cukuplah. Ayam ni sengaja aku potong kecil2 supaya mesra rasanya apabila digoreng dan direnihkan dalam kuahnya.

Tak pedas langsung .. manis bawang dan gula tu yang
 terasa. Asam pun tak digunakan dalam resipi ni

Nak buat sayur apa yer?? belek punya belek jumpa terung ungu yang gemuk. Freshhh jer. Hrmm buat sayur belacan le. Sebab opor ni tak pedas aku bubuh cili padi dalam sayur ni. Berdesing pedas terung masak belacan ku.



Resipinya mudah jer .... 2 biji cili merah + 2 biji cili padi + 2 ulas bawang merah + 2 sudu besar ikan bilis dan sedikit belacan. Tumbuk separa lumat dan tumis sampai naik bau. Tambah air .. sikit je tau. Masukkan terung gaul2 sampai agak layu. Renjiskan kicap manis. Aku tak letak garam sebab belacan dan ikan bilis tu dah masin.


Jommm makan dengan nasi panas2... yummy.

Wednesday, September 11, 2013

Makaroni Bakar - Favorite Nih

Dah lama tak main masak-masak mencuba resipi baru.  Sebenarnya aku ni peminat makaroni bakar. Dah berkali-kali buat ... ikut macam-macam resipi.  Masalahnya aku sorang jer yang suka makan ... kalau buat selalu parahlah. Boleh naik berkilo-kilo berat badan ni. Lebih kacau kalau cik kolesterol pun melonjak naik. So ... setahun sekali jer aku buat. Itu pun boleh simpan beberapa hari melainkan kalau sedap aku offer lah pada jiran atau ipar duai ku. Kalau rasanya ala-ala serba tak cukup ramuan, alamatnya aku simpan jer dalam peti ais. Bila nak makan, panaskan aje dalam microwave .... hrmmmm sampai ler aku rasa cemuih (bak kata orang Penang ... hihihihi).

Semalam aku mencuba versi baru pulak. Ini merupakan kacukan beberapa resipi yang aku pinjam dari Chef-chef hebat seperti Tokey Kek, Cik Mat Gebu dan MyResipi.  Bila dah  kacukan, rasanya pun jadi unik, tapi bagi aku sedap.  Malu ahhhh .... masuk bakul angkat sendiri pulak.  Apa-apa pun terima kasih kepada semua Chef yang bermurah hati berkongsi resipi-resipi yang mantop, dan nak minta maaf sebab suka-suki jer pergi kacukkan 3 resipi tu.

hasil setelah siap dimasak

Ok aku pun tak mau buang masa sebab resipi ni pun panjang lebar juga ... nah ini dia resipinya. Cubalah memang sedapp!!

****************************************************************

MAKARONI BAKAR 

BAHAN-BAHANNYA :-

300 gram makaroni, rebus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit mentega
Parutan keju mozarella secukupnya
White sauce secukupnya (resipi dibawah)
Inti secukupnya (resipi dibawah)
6 biji telur ayam, dipukul sedikit
Hiasan  -  hirisan cili hijau, cili merah, daun sup dan daun bawang


BAHAN-BAHAN INTI :-

400 gram daging cincang
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 tangkai daun kari, hiris halus
1 camca besar penuh rempah kari daging
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1 batang karot diparut
1 batang celery dihiris1/2 cawan air
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN SOS PUTIH :-

300 ml susu segar
2 camca besar tepung gandum
Lada hitam kisar secukupnya
Garam secukup rasa


CARA MEMBUATNYA :-

  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum, masukkan daging kisar dan goreng hingga daging berubah warna. Tambah rempah kari, goreng sekejap dan tambah sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan serbuk lada hitam. Tuang sedikit air dan masak hingga pekat. Tambah sayur-sayuran, gula dan garam secukup rasa, masak hingga kuah agak kering. Ketepikan.
  2. UNTUK SOS PUTIH :- Panaskan susu segar, kemudian masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati. Masak dengan api kecil dan terus mengacau supaya tepung tak berketul. Tambah serbuk lada hitam kisar dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga sos putih kelihatan pekat. Matikan api dan ketepikan.
  3. UNTUK MAKARONI BAKAR :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser bekas berukuran 10inci x 8inci x 2inci dengan mentega. Masukkan 1/2 bahagian makaroni, tuang 1/2 bahagian telur, lapiskan dengan 1/2 bahagian inti, ratakan, dan 1/2 bahagian sos putih, ratakan dan tabur parutan keju secukupnya.
  4. Lapis dengan baki makaroni, telur, inti, sos putih dan akhir sekali baki parutan keju mozarella. Tabur hiasan hirisan cili dan daun-daun. Bakar 40-45 minit atau hingga permukaan kelihatan perang keemasan. Keluar dan biar suam. Hidangkan bersama sos kegemaran anda.


Wednesday, October 17, 2012

Resipi Caca Marba

Nampak tak menarik kan? Tapi try ler buat, anak-anak suka 

Aku tak pasti nama resipi ni. Dan tak ingat siapa yang punya resipi. Rasanya aku dapat dari sebuah majalah atau pun blog. Maaf dah lupa.  Anyway kredit pada tuanpunya resipi, semoga Allah memberkati puan kerana sudi berkongsi ilmu.

Anak-anak aku memang cerewet dengan menu makan pagi. Tak mau yang pedas, bimbang sakit perut. Tak mau yang manis, tekak tak boleh terima. Yang paling mereka suka, sandwich ayam atau tuna atau french toast. Sesekali bolehlah juga dihidang cucur udang atau nasi goreng.  Nak makan cereal jangan harap, tak berkenan langsung.

Bila aku cuba resipi ni, mereka suka lah pulak. Jadi seminggu sekali aku buatlah resipi ni, selalunya hari Jumaat. Mudah aje, lebihkurang 15 minit aje menyediakannya.

Bahan

3 biji kentang besar (aku guna russet) - dibuang kulit dan potong kecil-kecil, kira-kira muat masuk mulut
1 biji bawang besar, dimayang
3 biji telur ayam dipukul bersama 5 camca besar susu cair, sedikit garam, serbuk lada hitam, serbuk oregano (tak ada pun tak ape, bubuh ni nak bagi bau wangi)
2 batang sosej ayam, potong nipis
minyak zaitun
mayonis

Cara memasak

Goreng kentang hingga separuh masak.  Masukkan sosej dan bawang besar, masak hingga sebati.
Buangkan minyak, tinggalkan sedikit ajer supaya makanan tidak lekat di kuali.
Masukkan campuran telur. Biarkan keras sedikit baru dikacau hingga sebati.
Setelah telur sempurna masak, bolehlah ditutup api.
Masukkan 2 atau 3 camca besar mayonis, gaul hingga sebati dan hidangkan panas-panas.

Yummy .... dan memang mengenyangkan.

Monday, March 5, 2012

Red Velvet


Tahniah ... tahniah. Pandai sungguh anak dara Mama nih buat red velvet cake.  Sedap hingga menjilat jari.  hehehhh ..... kena puji-puji sikit, baru semangat mereka sentiasa tinggi, nanti rajin lah mereka nak mencuba lagi. Ala-ala bodek lah tu. Tetapi sememangnya ikhlas.  Sedap rasa kek nih.  Cuma hiasan kek tu kurang menarik, nampak comot. Tak per lah, lepas nih kita berlatih melepa krim pada kek pulak yer.

Sebenarnya ini percubaan kali kedua Puteri Sulong dan Puteri Tengah membuat red velvet cake ni. Kali pertama dulu kurang menjadi, walau pun rasanya sama tetapi bentuknya tak cantik langsung. Kesilapan pertama ialah acuan tidak dilengser dengan mentega secukupnya. Kedua pula sebab acuan digunakan terlalu kecil, kek melimpah keluar, penat lah mereka mencuci oven.

Oh yer ... mereka ni ada satu perangai yang aku kurang faham. Mereka akan rajin membuat kek semasa aku tiada di rumah.   "Kalau Mama ada, nanti Mama suka komen ... tak syok lah".  Anak-anak bertuah!!!

Sebab itulah semasa aku pulang ke kampung Emak kelmarin, mereka berdua memulakan projek.  Hasilnya semasa aku pulang dari kampung, separuh kek tersebut telah melayang .... masuk dalam perut mereka 3 beradik.  Isy isy isy!!!

Ohhh yer ... Puteri Bongsu pun ada peranannya.  Dialah yang terpaksa membasuh semua mangkuk, sudu, cawan penyukat, pemukul kek dan serba aneka barang yang dikotorkan oleh kakak-kakaknya ..... heheheh ini kes kena buli lah.  Tapi dia tak komplen, sebab kakaknya benarkan dia makan sebanyak mana kek yang dia suka.  Hrmmmm ... bertambah montellah semua tuan puteri nih.
  
Ok apa lagi ... mari kita kongsi resipi ni (terima kasih tumpang resipi Amirah Zawani dari Planetmira.blogspot).  Resipi ini mudah diikuti kerana ianya disusun dengan teratur sekali.

Langkah satu
  • panaskan oven 175 Celcius
  • sediakan loyang (kalau loyang besar  cukup satu ajer, tapi kami gunakan dua loyang bulat berukuran 7 inci),  lengser dengan mentega secukupnya takut melekat

Langkah dua
  • 250 gm tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 2 sudu besar serbuk koko
*  ayak semua bahan dalam satu bekas dan ketepikan

Langkah tiga

240 ml susu segar campur dengan 2 sudu teh cuka (aku gantikan denga perahan lemon) - campuran ini disebut sebagai "buttermilk". Perap selama 10 minit dan campurkan dengan 2 sudu teh pewarna merah. Ketepikan.

Langkah empat
  • 150 gm mentega
  • 100 gm gula kaster
  • 200 gm gula perang
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 2 biji telur
Pukul mentega dan gula sampai kembang. Masukkan esen vanila dan telur satu persatu.  Pukul lagi hingga kembang dan sebati. Masukkan tepung sedikit kemudian tambah butttermilk. Buat berselang-seli hingga kesemua habis.  Ketepikan.

Langkah lima

Campurkan 1 sudu teh soda bikarbonat dengan 2 sudu teh cuka (atau perahan lemon), campuran ini akan berbuih-buih. Cepat-cepat masukkan ke dalam adunan kek tadi dan gaul hingga sebati.  Masukkan ke dalam loyang dan bakar selama 25 atau 30 minit. Bila dah masak sejukkan sebelum dikeluarkan dari acuan.  Kalau panas-panas, nanti kek pecah ... rugi.

Langkah enam

Menyediakan cream frosting :
  • 250 gm cream cheese
  • 30 gm butter
  • 1 sudu besar esen vanilla
  • 1 sudu besar susu segar
  • 100 gm gula icing
Satukan semua bahan di atas dan pukul hingga kembang.

Langkah tujuh


Jika menggunakan kek menggunakan satu acuan sahaja, potong ditengah-tengahnya menjadi 2 atau 3 lapisan. Tetapi aku menggunakan 2 acuan, dapatlah 2 kek yang sederhana tebal dan sama saiznya.  Letakkan satu kek di atas pinggan.  Sapukan cream frosting di atasnya. Agak-agaklah tebalnya, anak-anak ku bubuh tebal sebab mereka suka rasa cream cheese tu. Letakkan kek kedua di atasnya.  Kemudian dengan gembiranya gunakan cream frosting yang selebihnya membalut keseluruhan kek ini.  Kalau pandai, ukurlah frosting ni dengan corak bunga, daun, riben atau apa saja.  Di atas kek bolehlah dihias dengan ceri, coklat chip atau taburkan ajer dengan baki kek yang terlekat pada acuan. Caranya hancurkan ajer baki kek tersebut halus-halus dan terus tabur.  Hehehe ... kreatif tu!!

Sunday, January 15, 2012

Juadah Petang Ini




Sudah lama sungguh tak makan ubi rebus.  Tiba-tiba rasa teringin sangat nak makan ubi rebus. Mujur jumpa di market pagi ni. Ubi kayu dah jadi makanan exclusive, harga dah mahal sangat, 2 ketul ubi sebesar penumbuk Abah harganya sampai RM2.40.  Dulu dapat free bila Arwah Apak cabut pokok ubi yang ditanam di belakang rumah. Makan le puas-puas ... nak rebus, buat bengkang,  lepat, serawa (pengat), goreng, kerepek dan macam-macam lagi, ikut kreativiti Emak.

Semenjak ubi kayu jadi hidangan istimewa di hotel-hotel (menu hi-tea), harganya melambung tinggi.  Tapi orang kita pun dah semakin lemak, malas nak tanam sendiri!!!  Ehhh ... bukan malaslah. Tapi nak tanam di mana? Tanah pun tak ada di depan atau di belakang rumah. Semua simen ajer .... hrmmmm.


Kedua-dua ketul ubi tu aku rebus aje sampai empuk dan gebu. Bubuh garam sikit. Makan dengan kelapa parut dicampur gula.  Dan curah sikit misan nipah.

 

Apa itu misan nipah???  Misan nipah ialah air nira nipah yang jernih dimasak dengan api yang kuat sehingga menjadi pekat dan bertukar warna menjadi coklat tua.  Rasanya manis dan ada sedikit rasa masam dan kelat.   Sebenarnya aku sudah terjumpa misan nipah ni agak lama. Setiap kali singgah membeli jagung dan kopi kampung di gerai-gerai tepi jalan di sepanjang jalan utama Gurun, mesti aku ternampak botol-botol berisi misan nipah. Tetapi aku tidak pasti kegunaannya sehinggalah aku bertanya kepada penjual di sana. Menurut penjual tersebu,t misan nipah sedap dimakan bersama cendul, ubi kayu rebus, pisang rebus, malahan roti atau pulut.  Jadi untuk menghilangkan perasaan ingin tahu, aku membeli sebotol. Harganya tak mahal sangat, RM8.00 aje sebotol. Berpadananlah dengan dengan penat-lelah pakcik yang mengumpul nira dan seterusnya memasak nira tersebut dengan agak lama sehingga menjadi misan yang pekat.

Tunggu apa lagi?  Jum makan.  Mulakan dengan Bismillah ....

Friday, December 2, 2011

Puding Roti Dengan Sos Kastad

Fresh from the oven
Lemak dan manis

Semalam aku teringin sangat nak makan puding roti.  Belek-belek buku resepi, terjumpa 4 atau 5 versi resipi puding roti.  Jenguk-jenguk pulak dalam kabinet dan peti ais,  tengok semua bahan ada.  Tanpa tunggu lama, aku teruskan operasi membuat puding dan Puteri Tengah pula menyediakan sos kastadnya. Hrmmm .... semasa mulut mengunyah puding, hati rasa sedih dan sayu.  Terus hilang selera makan tatkala teringat pada Puteri Sulong.  Kalaulah dia ada di rumah ketika ini, tentu dia tak berhenti makan puding kegemarannya ini.  Ohhhh ... emosional sungguh aku bila teringat kepada Permata Hati  yang jauh dari mata.

Ya Allah,  tabahkan hatiku .... redakanlah perasaan rindu itu. Puteri Sulong sedang bersilat menghadapi mid-term exam ketika ini.  Semoga dia tidak terganggu dengan rasa rindu Mama ini.

Ok ok .... ini adalah resipi puding yang enak ini.

Puding Roti

10 keping roti
2.5  cawan susu segar atau susu rendah lemak (aku guna susu rendah lemak Dutch Lady, nak jaga kesihatan kononnya)
2 camca besar mentega dicairkan
4 camca besar kismis
4 camca besar gula pasir
2 biji telor ayam
1 camca kecil esen vanilla
1 camca besar tepung jagung

Sediakan loyang dan sapu sedikit mentega di sekelilingnya.  Potong atau koyakkan roti kecil-kecil dan atur di dalam loyang hingga padat.  Selang-selikan dengan kismis.  Tuangkan 2 cawan susu ke atas roti dan biarkan terendam selama 20 minit atau lebih untuk melembutkannya.

Campurkan mentega dan gula pasir dan kacau sehingga gula larut.  Masukkan telur dan esen vanila dan kacau sehingga mesra.   Tuangkan ke atas adunan roti tadi.  Kemudian curahkan pula baki setengah cawan  susu dan kismis. Tekan-tekan sedikit sehingga agak padat. Bakar selama 30 minit dengan suhu 180 C.

Sos Kastad

2 cawan susu segar atau susu rendah lemak atau susu cair (aku gunakan 1 cawan susu rendah lemak + 1 cawan susu cair)
3 camca besar gula pasir
1 camca kecil esen vanilla
2 camca besar tepung kastad

Campurkan kesemua bahan di atas dan jerang di atas api yang sederhana.  Kacau perlahan-lahan sehingga kuah menjadi pekat. Sejukkan dalam suhu bilik. (Puteri Tengah buat kuah kurang pekat kerana nak hirup kuah tu,  hrmm macam-macam)

Wednesday, October 19, 2011

Mee Kuah Resipi Sendiri


Sejak minggu lepas lagi anak-anak sudah merungut jemu makan nasi.  Kalau makan nasi tengah hari, malam mereka minta makanan lain .... amboi senang-senang je oder macam di restoran.

Hari ni aku mencuba masak mi  kuah je. Aku selak buku resipi satu persatu,  kemudian aku buat resipi sendiri. Ceduk sana sikit, ceduk sini sikit kemudian adun-adun jadilah resipi tengah hari ni.  Memang kurang lengkap resipi ni sebab aku tak buat cucur udang dan kentang rebus.  Tetapi resipi yang ringkas inipun sudah cukup untuk memuaskan hati aku apabila semua anak kata sedap.  Ohhh ... itu baru masak ala campak-campak dah sedap, kalau penuh konsentrasi macamana agaknya ye.  Astagafirrullahhal azim ... jangan riak, jangan perasan, baru sikit Allah duga dah nak eksyen.

Apa pun, mari kita kongsi resepi mudah ni.

Bahan Kuah

1/2 kilo tulang (rebus dalam pressure cooker sampai lembut. Aku tak ada pressure cooker terpaksa merebus lebih dari 1 jam, boleh habis satu balang gas)
2 biji keledek, buang kulit dan rebus sampai lembut.  Lepas itu kisar dan ketepikan
10 tangkai cili kering, 5 ulas bawang putih, 2 labu bawang besar semua dikisar bersama
2 camca besar rempah daging
3 camca besar udang kering diblend
1 tin tomato sup
1 mangkuk campuran sos cili, sos tomato dan sos tiram
1 mangkuk udang kecil (kulit udang ni aku rebus dan kisar untuk buat kuah mi ... manis)
garam, gula dan minyak masak

Bahan Mi

1 kilo mi kuning (celur hingga lembut)
Sawi dan taugeh (potong sawi kecil-kecil. Kemudian kedua sayur ini dicelur berasingan)
Telur (direbus dan potong 4)
Tauhu (goreng dan potong ikut suka)
Fishball dan fishcake (goreng dan potong ikut suka)
Daun sup dan daun bawang
Limau kasturi dibelah dua
Cili merah dan bawang 

Cara Menyediakan

Panaskan minyak dan tumis cili dan bawang kisar. Masukkan juga udang kering kisar dan rempah daging. Tumis hingga garing dan naik minyak.  Masukkan udang dan tulang yang telah lembut.  Masukkan pula campuran sos dan biarkan hingga sebati.  Kemudian masukkan air udang dan kacau lagi. Apabila mendidih masukkan tomato sup dan keledek kisar.  Biar hingga mendidih dan perisakan secukupnya dengan gula dan garam. Renihkan dengan api perlahan sehingga kuah agak pekat.

Dalam mangkuk masukkan mi dan campur dengan serba sedikit sayur-sayuran, tauhu, fishcake, fishball, telur, daun sup serta bawang goreng. Jangan banyak sangat nanti bertambun dalam mangkuk. Kalau tak cukup sabar dulu .... nanti tambah lagi.

Semua dah susun elok, curahkan kuah panas-panas dan bacalah Bismillah....

Monday, July 25, 2011

Laksa Penang


Aku bukan peminat laksa. Begitu juga Kak Ngah. Tetapi Abah, Kak Long dan Puteri Bongsu suka sangat dengan laksa. Selalunya aku beli aje. Rasanya selama aku berkahwin dengan Abah, kurang dari 10 kali aje aku memasak laksa. Itu pun aku selalu tak puas hati dengan hasilnya.

Begitu juga minggu lepas. Selepas bersusah-payah membuat laksa, hasil membuat aku bengang. Entah macam mana jadi termasin sangat. Agaknya belacan tu masin, lepas tu aku tercampak entah berapa senduk garam dalam kuahnya. Dah nak siap memasak, baru aku merasa kuahnya. Grrrr .... mak datuk, ada lori garam terbalik kut!!!!

Akibatnya kena tambah air dan asam, kuah pun jadi cair. Lepas tu bila aku panaskan kuah, jadi pekat semula, jadi bertambah masin. Huh ... tambah air semula. Aduhai, bila kuah ni nak habis, asyik tambah air jer???

Moralnya .... nak buat kerja berpada-pada, bubuh garam sikit-sikit, rasa dulu ... kalau kurang tambah sikit lagi. Jangan gopoh nak cepat siap je. Paling penting kena masak dengan ikhlas, penuh kasih sayang, jangan membebal ... aku ke tu????

Friday, June 24, 2011

Karipap Panas Panas

Macam-macam saiz dan bentuk, nak tunjuk bakat kelim sendiri tepi karipap

Inti daging dengan lada hitam ... pedas dan panas

Jika ditanya makanan kegemaranku, jawapannya mudah ... karipap. Tetapi kerana susahnya mendapat karipap yang memenuhi citarasaku (mungkin sedap bagi orang lain, tetapi tidak sedap pada seleraku), aku "terpaksa" belajar membuat karipap sendiri.

Karipap buatan sendiri memang puas untuk di makan. Nak lebih pedas? Nak lebih masin? Nnak lebih ayam atau daging? Semua ikut selera sendiri. Tetapi tidak pasti samada oranglain akan kata SEDAP? Ha hahaha ... ini kes syok sendiri.


Aku dengan Puteri Tengah menyinsing tangan memulakan projek membuat karipap dengan dua inti berbeza. Satu inti kentang dengan ayam perisa kari. Yang satu lagi inti kentang dengan daging lada hitam. Yummy.

Resipinya seperti berikut. Maaflah tak ada sukatan terperinci sebab main agak-agak je, cuma pastikan mulut sentiasa merasa untuk mendapatkan citarasa yang diidamkan!!!

PASTRI

Setengah kilo tepung gandum
3 sudu besar buttercup
Setengah sudu teh garam halus
Air peti ais secukupnya

Gaulkan tepung, garam dan buttercup sehingga menjadi seperti serbuk roti yang sebati. Campurkan air peti ais sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang kenyal. Pastikan doh tidak melekat pada mangkuk bancuhan, kalau melekat maknanya terlebih air ... so kena tambah sikit tepung. Kalau keras pulak, tambah sikit air dan begitulah seterusnya. Bila dah siap daaaa. Practice make perfect!!!

Ambil doh sebesar penumbuk, canaikan hingga nipis (anggaran 2 mm tebalnya). Samada gunakan acuan karipap atau gunakan gelas untuk membentuk bulatan. Masukkan inti karipap secukupnya. Jangan terlalu kedekut dan jangan pula tamak. Kalau inti terlampau banyak, nanti bentuk karipap berbonjol-bonjol tidak cantik. Silap haribulan, kulit boleh terkoyak. Kalau pakai acuan karipap senang. Kalau secara manual, inilah masanya untuk menunjukkan bakat membuat kelim karipap yang cantik.

Isi karipap yang telah siap dalam tupperware dan simpan dalam petiais. Bila lapar, boleh dikeluarkan karipap untuk beberapa ketika sebelum menggorengnya.


INTI KARI

Semangkuk isi ayam dipotong dadu
2 biji kentang russet dipotong dadu
2 biji bawang besar dipotong dadu
3 tangkai daun kari dihiris halus
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang sederhana besar, 2 biji bawang putih - diblend
garam
air
gula
minyak masak

Panaskan minyak. Tumiskan bawang blend bersama serbuk kari hingga garing. Masukkan ayam dan kentang. Tambahkan sedikit air dan masak sehingga kentang lebut. Masukkan perasa gula, garam dan daun kari. Apabila inti hampir kering, masukkan bawang dadu dan kacau hingga rata. Tutup api dan biarkan sejuk sebelum digunakan.


INTI LADA HITAM

1 mangkuk daging dicincang
2 biji kentang russet dipotong dadu
2 biji bawang besar dipotong dadu
1 biji bawang besar dan 3 biji bawang putih - blend
beberapa batang daun sup dan daun bawang diris halus
serbuk lada hitam
sos lada hitam
air
garam
gula
minyak masak

Panaskan minyak. Tumiskan bawang blend bersama daging cincang. Kacau hingga sebati dan daging hampir masak. Masukkan kentang, serbuk lada hitam, sos dan air. Masak hingga kentang lembut. Masukkan garam dan gula. Apabila inti hampir kering, masukkan bawang dadu dan hirisan daun. Kacau hingga sebati dan tutup api.

Mudah jer kan??!!!

Thursday, December 9, 2010

Kek Prune Sedap

Sangat semerbak semasa keluar dari oven

Kek ini terasa gebu dan agak lembab

Ini kek kegemaran keluarga. Resipi ini aku cilok dari Kak Jah, kakak iparku. Suami dan anak-anak suka sangat makan kek ni, sekali Kak Jah hidang, clear piring. Hidang lagi, clear lagi. Sampai aku naik malu. Jadi aku minta resipi, buat sendiri dan makan puas-puas.

Kek ini digemari sebab rasanya yang masam-masam manis, tak terasa muak untuk dimakan.

Bahannya

1 kotak mix fruit big sister
1 tin Goldenchurn butter (guna yang dalam tin. Tin akan digunakan semula sebagai penyukat bahan kering yang lain)
1 tin gula perang (aku kurangkan kepada 3/4 tin sahaja)
1 suku (1/4) tin tepung gandum } ayak bersama baking powder
2 camca teh baking powder }
1 peket (454 gm) prune tanpa biji (rebus sebentar dan lenyek hingga halus)
8 biji telur ayam (asingkan puteh dan kuning)
4 gm hirisan badam (jika suka)
4 gm hirisan halua kundur (jika suka)
1 camca besar susu pekat
1 camca teh esen vanilla

Cara Memasak

1. Sediakan loyang pembakar dan panaskan ketuhar
2. Pukul puteh telur dengan kelajuan tinggi sehingga ia menjadi ringan. Cara memastikan ianya telah sedia, terbalikkan mangkuk pemukul tadi, puteh telur tidak akan jatuh. Asingkan puteh telur ini ke dalam bekas lain.
3. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
4. Masukkan telur kuning satu persatu dan pukul hingga sebati.
5. Masukkan susu pekat dan esen vanilla dan gaul lagi hingga sebati.
6. Masukkan tepung sedikit demi sedikit berselangseli dengan buah-buahan. Gaul lagi hingga sebati. Waktu ini juga boleh dimasukkan puteh telur tadi.
7. Setelah sebati, masukkan ke dalam loyang dan bakar untuk tempoh antara 1 jam hingga 1 jam 15 minit. Untuk pastikan kek telah masak, ianya akan melekang dari tepi loyang pembakar. Gunakan lidi untuk memeriksa bahagian tengah kek samada telah masak. Sekiranya lidi itu bersih berminyak, itu tandanya kek telah cukup masak.

Semasa proses membakar ini, baunya ... fuhhhh, sungguh semerbak.

Apa lagi, semua bersedia untuk nyam-nyam.

Sunday, November 14, 2010

Biskut Raya Wajib

Kuih ini rangup dan manis - manis kurma dan chocolate chips

Dua hari lagi umat Islam akan menyambut Aidil Adha. Walaupun ramai orang tidak begitu membuat persiapan untuk hari raya ini, keluarga kami tetap meraikannya. Keluarga sebelah Abah di Pulau Pinang kebiasaannya tidak menyediakan sebarang juadah untuk Aidil Adha kecuali nasi tomato dan lauk-lauknya sahaja. Aidil Adha disambut secara kecil-kecilan sahaja. Tumpuan lebih kepada ibadah korban semata-mata. Berbeza dengan keluarga aku di Perak, Aidil Adha disambut hampir sama meriah dengan Aidil Fitri, lengkap dengan lemang dan rendang serta kuih-muih. Mungkin bilangan kuihnya lebih sedikit, tidaklah berbelas balang sampai penuh meja.

Anak-anak juga mahukan kuih raya. Aku dan Kak Ngah telah menyediakan biskut yang wajib dihidangkan setiap raya iaitu Biskut Cornflake Kurma. Sungguh mudah menyediakannya. Yang pasti .. rasanya memang sedap.

250 gm mentega
1 cmt esen vanila
200 gm kurma (dihiris secara dadu kecil-kecil)
200 gm chocolate chips
80 gm gula perang
320 gm tepung gandum
Cornflakes secukupnya (diramas hingga agak kecil)

Pukul mentega dan gula perang sehingga kembang. Campurkan esen vanilla. Apabila telah sebati, masukkan tepung, kurma dan chocolate chips. Gaul lagi sehingga sebati.

Ambil sejemput adunan dan bentukkan seperti biskut chocolate chips atau bentuk bentuk lain yang sesuai dan tekan-tekan dengan cornflakes yang telah diramas supaya agak bersalut. Bakar sehingga masak.

Mudah sekali.

Thursday, October 21, 2010

Spaghetti Taruh Belacan

Timun dipotong bulat dan nipis

Kemudian dihiris halus-halus

Sedia untuk dimakan...yummy

Aku suka makan spaghetti. Begitu juga dengan Abah dan Puteri Bongsu. Tetapi kami tak begitu gemar spaghetti yang dijual di restoran-restoran, tidak memenuhi citarasa kami. Citarasa kami citarasa Melayu, nak yang terasa pedas. Masin serta manis dan masamnya secukup rasa. Bukan yang penuh dengan rasa masam tomato.

Tapi bukannya aku berniat mempertikaikan rasa bolognese spaghetti. Sudah sememangnya resipi asalnya dari Itali penuh dengan tomato paste, tomato soup, parmesan cheese, olive oil dll bahan yang asing dalam masakan Melayu.

Tetapi resipi aku ini penuh dengan citarasa Melayu. Mungkin orang Itali akan terbeliak mata atau pengsan menjamahnya.

Bahannya mudah didapati di pasar basah :-

500 gm Ayam atau daging cincang (atau isi ayam tanpa tulang dipotong kecil-kecil dan dimasukkan ke dalam blender)
2 senduk Cili kering kisar
3 senduk kisaran bawang merah/besar dengan bawang putih (nisbah bawang merah dengan bawang putih tu kenalah agak-agak sendiri)
2 tin besar kacang panggang
1 tin besar sup tomato
1/2 tin susu cair
belacan
garam
gula
lada hitam kisar kasar
minyak masak
1 paket spaghetti
air mengikut keperluan, sekiranya mahu kuah pekat guna sedikit sahaja air, sekiranya suka banyak kuah guna air lebih, asal tidak jadi cair beroi-beroi, tidak sedap beb)

Hiasan

telur rebus
daun sup + daun bawang
bawang goreng
bawang besar warna kuning
timun
cili merah

Cara memasak

Panaskan minyak. Bila sudah panas, tumiskan cili kering, bawang kisar dan belacan hingga garing. Masukkan sedikit air supaya tidak melekat pada periuk. Bila telah garing, masukkan kisaran daging atau ayam dengan sedikit air. Kacau rata supaya daging tidak berketul2. Biarkan hingga daging benar-benar masak dan sebati.

Masukkan sup tomato, kacang panggang, susu cair dan air sekiranya perlu. Boleh diperisakan dengan gula, garam dan lada hitam. Masak hingga kuahnya pekat dan sebati dan sesuai rasanya.

Sementara itu rebus spaghetti mengikut peraturan yang tertulis pada pembungkus, sejatkan dan dihidangkan dalam bekasnya.

Telur dipotong empat. Cili merah serta daun sup dan daun bawang dipotong halus. Bawang kuning dibelah 2 dan dihiris nipis-nipis (seperti bawang untuk laksa). Timun dibuang kulit. Potong bulat-bulat mengelilingi timun dan seterusnya dihiris halus-halus (bijinya tidak diperlukan).

Letakkan spaghetti dalam mangkuk. Tuangkan kuah secukupnya. Hias dengan timun, bawang kuning, telur, cili merah, daun sup + daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dimakan. Slurrrrrp

Saturday, October 9, 2010

Roti Jala Kari Ayam

cubaan pertama.....

sedia untuk dimakan.......

Entah apa mimpi kami anak beranak. Tengah hari ini kami makan roti jala dengan kari ayam saja. Inilah pertama kali aku membuat sendiri roti jala. Walaupun resipinya cukup mudah, tetapi aku tidak pernah cuba membuatnya sendiri. Selalunya aku bungkus sahaja dari kedai.

Bersama Puteri Tengah, kami memulakan operasi masuk dapur pukul 11 pagi. Aku menyediakan gulai ayam dengan kentang. Ayam dan kentang aku potong kecil-kecil. Kuahnya pula pekat. Tetapi rasanya aku perlu melebihkan sedikit pedasnya, baru ada umph.

Resipi roti jala kami ambil internet saja :-

500 gm tepung gandum
setengah tin susu cair
2 tin (bekas susu cair tadi) air
2 biji telur ayam
sedikit garam dan serbuk kunyit

Gaulkan semua bahan hingga sebati. Putar dalam blender dan tapis. Lenserkan minyak atas kuali leper. Bila sudah cukup panas, dengan menggunakan acuan roti jala, putar-putarkan bancuhan mengikut arah bulatan. Roti jala yang nipis cepat masak dan tidak perlu diterbalikkkan. Apabila bahagian bawah roti berwarna kekuningan, lipatkan atau gulung roti tersebut. Jika terlambat, roti akan menjadi garing.

Memang mudah. Tetapi buat yang pertama kali mencuba, bentuk jalanya tidak begitu cantik. Kadang-kadang ianya kelihatan seperti lempeng, kadang-kadang pula seperti singlet koyak. Tetapi setelah berkali-kali mencuba, roti jala yang dihasilkan oleh Puteri Tengah menjadi semakin cantik.