Showing posts with label Jalan-jalan luaskan pandangan-Trengganu 2011. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan luaskan pandangan-Trengganu 2011. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Perjalanan Yang Panjang

2 Mei 2011

Bangun pagi ini aku diserang demam selsema, tiba-tiba hidung berair, bersin tak berhenti dan sakit kepala berdenyut-denyut. Kenapa pulak ni, semalam ok je. Abah kata, aku terlalu banyak berpanas, lepas tu asyik minum ais dan makan beraneka makanan yang asing bagi perutku. Perkara begini jarang sekali aku lakukan.

Selepas makan pagi dan menelan ubat, kami bersiap-siap untuk check-out pada pukul 10 pagi. Kami singgah di gerai keropok lekor Bukit Tok Beng, gerai yang meriah dengan pengunjung dan terletak di satu selekoh arah ke Gong Badak. Memang keropok lekornya sangat sedap, lembut dan enak rasa ikannya. Aku cuba hendak membeli keropok mentah, tetapi melihatkan ramainya pembeli yang beratur panjang ... aku lantas membatalkan niatku. Dengan keropok lekor goreng yang masih panas, kami menuju ke Pantai Penarik untuk makan di sana.

Pantai Penarik memang menarik ... indah dan mendamaikan

Kerana kepalaku sakit, aku hanya tertidur sepanjang perjalanan. Niat asal kami untuk pergi ke Kota Bharu dibatalkan. Kami singgah di Machang pada jam 1 tengah hari untuk makan nasi kukus dengan ayam berempah. Enak ... kata anak-anakku. Tetapi aku hanya mampu minum air sahaja dan menyambung tidorku.

Kami singgah untuk solat di Masjid Kampung Batu Melintang, berhampiran Jeli. Aku membersihkan diri supaya badan menjadi segar. Benar sekali ... selesai melakukan solat, badan ku menjadi sihat. Barulah aku mampu berbual dengan anak-anak. Mereka mengusik ku. "Kenapa lah Mama sakit ... terlepas kami nak pergi makan ayam percik di Kota Bharu atau shopping dekat Pasar Siti Khadijah. Frust la Ma". Alahai .. kesian permata hatiku. Insyaallah, kita datang lain kali.

Masjid Kampung Batu Melintang, cantik berlatarbelakangkan bukit batukapur

Seperti biasa, perjalanan yang panjang ini berhenti-henti di beberapa tempat menarik seperti Hentian Puncak Titiwangsa dan Hentian Tasek Banding. Kami selamat tiba di rumah tepat jam 6.30 petang setelah melalui perjalanan hampir 8 jam. Alhamdulillah.

Tasek Banding

Monday, May 16, 2011

Hari Ke-2 Yang Memenatkan

1 Mei 2011

Pagi bersarapan di kafe hotel. Walaupun baru pukul 8.00 pagi, kafe sudah penuh sesak. Punyalah ramainya tetamu, hingga makanan yang diisi oleh petugas kafe sekejap aje hilang dari tray hidangan. Memang orang Malaysia suka makan pagi .... amalan kesihatan yang baik.

Masjid Kristal

Selesai mengisi perut kami bertolak ke Pulau Wan Man. Anak-anak masuk ke Taman Tamaddun Islam, sementara aku dan Abah, bagaikan pasangan bercinta berjalan menyusuri pesisiran sungai sambil makan aiskerim. Sambil tu posing tak berhenti hinggalah tiba ke Masjid Kristal. Mujurnya cuaca hari ini tidak begitu panas. Malah angin sungai bertiup nyaman.

Dalam sibuk berposing, kami terpandang rakan dari Seberang Perai bersama keluarganya. Apa lagi, riuh rendah Pulau Wan Man dengan gelak ketawa dan gurau senda. Tinggal di Pulau Pinang, bertemu di Kuala Trengganu.

Setelah hampir 3 jam di sana, kami bergerak ke Kampung Losong untuk menikmati keropok lekor. Keropok yang masih segar begitu sedap dicicah panas-panas dengan sos cili istimewa. Sepanjang laluan di kampung ini, dipenuhi oleh kedai-kedai menjual keropok lekor dan keropok kering. Kereta dengan nombor pendaftaran dari negeri-negeri pantai barat kelihatan beratur di kiri-kanan jalan.

Kak Long dan Kak Ngah merengek hendak pergi ke Pasar Payang. Kononnya hendak membeli tudung bawal yang murah-murah. Memandangkan laluan di kawasan tersebut begitu sibuk dan ketiadaan tempat parking, hanya mereka berdua turun ke pasar tersebut. Aku bersama Abah dan Puteri Bongsu pergi bersantai di tepi Pantai Batu Buruk. Angin sepoi-sepoi menyebabkan Abah tertidor hingga mendengkor.

Selepas 90 minit, mereka selesai bershopping dan meminta kami mengambil semula di Pasar Payang. "Sekejapnya shopping???" aku mengusik mereka. "Tak ada duit la Mama .. awat Mama tak mau sponsor beli banyak-banyak tudung? Kain ela pun cantik-cantik Ma!!" hehehe kesian anak-anak ku.

Berebut mencekau sotong celup tepung ... nyummy sedapnya

Kami kembali ke hotel untuk berehat dan membersih diri. Aku beri masa 2 jam sahaja. Tepat pukul 5 petang kami bergerak menuju ke arah Pantai Teluk Ketapang berhampiran Batu Rakit. Di sana kami dapati banyak gerai menjual makanan laut telah dipenuhi pengunjung. Kami menjamu selera dengan sotong celup tepung, ikan celup tepung dan keropok lekor. Harga sotong dan ikan di sini lebih murah daripada yang di jual di Pantai Kelulut, Marang. Kenapa ye??

Laluan untuk "departure" di airport yang cantik

Tiba-tiba ada yang merasa tidak sedap perut. Hendak kembali ke hotel ... jauh perjalanannya 30 minit. Aahhh ... kita pergi saja ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Lapangan Terbang ini begitu cantik dan besar tetapi tidak ceria. Kebanyakan kawasan malap kerana lampu tidak dibuka. Mungkin untuk menjimatkan kos operasi semasa tiada sebarang penerbangan.

cantiknya bunga di Dataran Syahbandar

Kami seterusnya bertolak ke Dataran Syahbandar. Petang minggu begini kawasan pesisiran sungai ini dipenuhi oleh orangramai. Paling aku menyampah, ketika inilah beberapa mat rempit yang perasan cuba menunjukkan aksi masing-masing. Alangkah bahayanya jika mereka terbabas dan mencederakan orangramai yang sedang bersantai di kawasan tersebut??

Setelah sepanjang hari berjalan di Kuala Trengganu dan kawasan sekitarnya, kami menjadi begitu penat. Badan minta dibersihkan, kepala minta bantal untuk melelapkan mata. Kami tiba di hotel pada jam 8 malam dengan rasa lelah tetapi puas.

Sunday, May 8, 2011

Gganu Lagi

30 April 2011

Semua anak-anak bangun seawal 4.00 pagi dan kami memulakan perjalanan tepat jam 4.45 pagi. Seawal pagi begitu, jalan tidak juga lengang. Banyak kereta dan bas ekspress bergerak pergi dan balik di laluan Jalanraya Timur-Barat ketika itu. Kami berhenti untuk solat subuh di R&R berhampiran Pangkalan Hulu. Jam 8.00 pagi kami singgah makan nasi berlauk di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran Jeli. Kak Long diserang penyakit angin. Walaupun dia lapar, dia tidak mampu makan. Sepanjang 4 jam perjalanan, sudah 3 kali dia muntah.

Kami memasuki laluan Pasir Puteh menuju ke arah Kuala Trengganu. Tiba di Bandar Permaisuri, kami mengambil laluan arah jalan pantai. Di sini kami singgah sebentar di Pantai Penarik yang memang menarik pemandangannya untuk menjamu mata menikmati keindahan alam semula jadi. Maha Suci Allah yang mencipta alam yang begitu indah dan mendamaikan setiap hati yang memandangnya.

Kami seterusnya singgah di Merang untuk makan tengah hari. Masakan yang pelbagai membuatkan kami rambang mata untuk membuat pilihan. Tetapi nyata sekali tukang masak restoran ini sukakan masakan pedas ... semua lauknya pedas belaka!!!

Pada jam 2.00 petang kami tiba di Hotel xxx Kuala Trengganu. Kami dimaklumkan bahawa bilik masih belum sedia. Kami diminta bersabar. Aku dan anak-anak mengambil peluang memakan keropok dan jeruk-jeruk yang kami bawa bagi membuang kebosanan terpaksa menunggu. Bersama-sama kami terdapat 5 keluarga lain yang juga terpaksa menunggu bilik masing-masing. Tetapi apabila jam menunjukkan pukul 3.15 petang, kesabaranku mulai hilang. Maklumlah tempahan bilik ini telah dibuat 2 minggu lepas. Selain dari itu kami begitu letih setelah hampir 12 jam berjaga dan melalui perjalanan yang jauh.

Hanya pada jam 3.30 petang barulah kami beroleh bilik pertama untuk anak-anak. Bilik untuk aku dan Abah hanya diperolehi kira-kira 1 jam kemudian. Huh ... memang terbakar rasa hati. Tetapi aku amat menghargai professionalism petugas kaunter yang tetap tersenyum dan tidak berhenti-henti memohon maaf atas kesulitan yang kami hadapi. Pihak 'house-keeping' perlu lebih cekap mengatasi masalah menyediakan bilik untuk pelangggan.

Selepas membersihkan diri dan berehat sebentar kami bertolak ke Pantai Kelulut Marang untuk menikmati makan malam. Kami menjamu selera dengan nasi goreng, ikan celup tepung dan sotong celup tepung. Nyummy!!! Dalam perjalanan pulang ke hotel kami membeli pula sata yang amat diidamkan oleh anak-anak ku. Sayang sekali, sata ini tidak mampu menyaingi keenakan sata di Restoran Aziz Sata di Kampung Geliga Kemaman. Untuk pergi ke Kemaman ... fuh perjalanannya jauh sangat. Jadi tak ada rotan, akar pun berguna. Makan ajelah.

Pada malam harinya kami berjalan kaki menyusuri Waterfront untuk menikmati keindahan malam di Bandar Kuala Trengganu. Cahaya lampu yang cerah dan pelbagai bentuk, sepoi bayu malam dan kebersihan sungai yang mengalir menyebabkan kami tidak terasa sudah melepak hampir 2 jam di sana.