Showing posts with label cari makan. Show all posts
Showing posts with label cari makan. Show all posts

Sunday, December 1, 2013

Nasi Kandar Best Punya - 28 November 2013

Hari ni patutnya puasa qada,  hrmmm tapi terponteng la pulak.  Semuanya sebab dah janji dengan anak-anak nak pergi Tanjung (orang Pulau Pinang sebut bahagian pulau/island sebagai Tanjung).  Sebab minggu depan semua nak mula bekerja, hari ni ajalah masa yang sesuai ... hehehehhe, ini mesti alasan nak selamatkan diri sebab ponteng puasa kan???

Anak-anak teringin sangat nak pekena Nasi Kandar Kampung Melayu yang famous tu.  Aku lagilah teringin. Punya lama tak pergi ke sana.  Kami pergi pukul 10.00 pagi, pengunjung dah berkurangan. Paling havoc kat kedai ni waktu pagilah. Semua orang nak sarapan.  Orang yang nak masuk pejabat pun terkejar-kejar nak beli nasi bungkus.  Orang pencen macam aku dan Abah akan elakkan masa-masa macam tu, kami nak relaks-relaks, enjoying the food ... kehidupan sebagai ladies of leisure.

Masa beratur nak ambil nasi,  hati dah kembang kuncup, dah telan air lior.  Bau kari yang menerpa keluar dari periuk-periuk besar tu cukup menggoda.  Aku ambil lauk daging, telur rebus dan bendi (tipikal lauk nasi kandar), Kak Ngah dengan ayam goreng dan sayur kacang panjang, Abah pulak kepala ikan dan bendi. Kuahnya melimpah macam banjir kilat.  Tak lupa papedom.

Alhamdulillah

Bismillah hirrahmanirrohim.  Suapan pertama ...  Subhanallah, heaven!!!! memang nikmat.

Kelebihan nasi kandar Kampung Melayu ialah rasa masakannya yang unik. Walaupun nampak kuahnya merah dan  pekat, tapi tidaklah sepedas mana.  Tapi memang kaya rasa rempahnya, cukup perisa pedas, masam dan masinnya.  Rasa masakannya memang berbeza dan lebih umphh dibandingkan dengan yang dijual di restoran-restoran nasi yang kandar terkenal tu.  Memang berbaloi datang pagi ni.  Alhamdulillah.

Deretan lauk-pauk yang marvelous
 (Tq klurbanite.com - saya share gambar ni) 
Restoran Nasi Kandar Kampung Melayu terletak di tingkat bawah Rumah Pangsa Kampung Melayu, Jalan Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang.  Waktu operasi pulak antara jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.  Selain nasi kandar ada juga roti canai .... kuahnya sedapppp!!!

Thursday, November 22, 2012

Mee Udang Kuala Sepetang

Dah lama aku mengidam nak makan mee udang Kuala Sepetang, tapi memang tak pernah menjadi rancangannya. Ada saja halangan.

Hari ni kebetulan kami melawat sepupu Abah yang sakit di Kampong Boyan Taiping.  Sebelum masuk ke simpang ke arah Taiping, aku ternampak papan tanda arah menunjuk ke Kuala Sepetang. Ahhh dah dekat sangat rupanya, kali ni mesti menjadi.  Tak ada alasan lagi.

Selepas solat Zohor, kami menuju ke arah Kuala Sepetang. Kami terjumpa beberapa gerai menjual mee udang, Gerai Mak Teh, Gerai Mak Jah, Gerai Salleh dan beberapa lagi.  Sebelum singgah di gerai-gerai tersebut, kami masuk ke pekan Kuala Sepetang (dulunya dikenali sebagai Port Weld).  Landasan keretapi pertama di Tanah Melayu telah dibina oleh Inggeris dari Port Weld ke Taiping ... ingat lagi ke fakta dari buku Sejarah ni ... hehehhhe!!

Ok, Pekan Kuala Sepetang merupakan pekan nelayan di pinggir Sungai Sangga. Ia kelihatan seperti sebuah pekan koboi yang didiami oleh kebanyakannya kaum Cina.  Terdapat beberpa deret kedai di kiri-kanan jalan utama yang sempit. Sumber pekerjaan utama penduduk di sini ialah sebagai nelayan. Patutlah bercambah restoran Cina dan Melayu yang menjual makanan berasakan sumber laut.

Mee banjir. Kenapa panggil mee banjir, bukan mee kuah atau mee sup ekk?

Kami mengambil keputusan singgah di Gerai Mee Banjir Mak Teh. Ada bermacam menu seperti mee, bihun dan nasi yang dimasak secara goreng atau berkuah dengan bahan utamanya ialah udang. Setelah membelek-belek menu, kami akhirnya memesan mee udang banjir dan mee goreng udang. Harga setiap pinggan ialah RM10 yang dipenuhi kira-kira 8 ekor udang bersaiz besar.

Mee goreng udang ... yummy

Mee kuahnya sedap, manis dan pedas. Kuahnya cair seperti sup.  Puas menghirup kuahnya serta meratah isi udang yang pejal.  Mee gorengnya memang sedap, cukup pedas dan masinnya.  Puas makan dan berbaloi dengan harga yang dibayar.  Cuma aku kurang selesa dengan kehadiran lalat yang begitu banyak. Terasa selera terganggu apabila lalat-lalat tu membuat lalu-lintas udara tak berhenti-henti di sekitar pinggan kami.  Hrmmm dugaan!!!  

Friday, July 22, 2011

Chicken Mandy




Kesian Puteri Bongsu, teringin sangat dia nak makan nasi mandy. Kak Long dan Kak Ngah suka mengusik ... maklumlah mereka dah selalu makan nasi mandy. Kak Long eksyen dengan restoran arab di Cyberjaya, Kak Ngah pula dah makan di Penang.

Demi kasih untuk si anak, aku dan Abah mencari di mana terdapatnya restoran makanan Arab di sebelah Seberang Perai. Risik punya risik aku terjumpa Asiatica-Palace of Middle East Cuisine yang terletak di Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas. Sengaja aku rahsiakan lokasi makan malam tersebut kepada anak-anak. Semua asyik tertanya-tanya .... nak ke mana ni? Kenapa jauh sangat ni? Nak makan apa yang spesel sangat ni sampai kena pergi Kepala Batas? bla, bla, bla!!

Bila sampai di sana, semua tersengih sampai ke telinga. Kami memesan menu yang berlainan dan kemudian saling merasa makanan satu sama lain. Ada yang pilih chicken mandy, lamb mandy, chicken shawarma serta pelbagai jenis minuman termasuk kopi arab.

Chicken Shawarma memang sedap dan mengenyangkan ... ala-ala kebab gitu. Lauk ayam yang berketul-ketul dan sayur-sayurannya agak banyak dan segar. Begitu juga nasi mandy yang dihidangkan. Nasinya agak banyak dan mengenyangkan bagi seorang wanita (yang perasan rongga perutnya kecil ... heheheh). Cuma di sini tidak disediakan sayur dengan mayonis seperti yang pernah aku makan sebelum ini. Makanan yang dipesan oleh Kak Ngah kurang menarik selera kami. Aku pun tak ingat mencatatkan nama makanan tersebut.

Di restoran ini juga terdapat pelbagai jenis manisan yang disediakan. Memandangkan perut telah begitu kenyang, kami hanya menghabiskan bubur caca yang diberi sebagai 'compliment' kepada semua pelanggan yang makan malam tersebut.

Kini hilanglah sudah kempunan Puteri Bongsu. Alhamdulillah.

Tuesday, May 24, 2011

Pegherlih Lagi

Di mana-mana tengah musim mempelam. Dalam akhbar pun ada promosi musim mempelam di Perlis ... ada harum manis, ada sala, chokanan dan bermacam jenis lagi. Tetapi harum manis lah tarikan utama.

Apa lagi. Hati bagai ditarik-tarik untuk berkunjung kembali ke Negeri Perlis Indera Kayangan, tempat aku menimba ilmu selama 5 tahun. Umpama hendak balik kampung, aku teruja mengatur perjalanan. Kami bertolak pukul 8 pagi. Abah memandu santai merentasi lebuhraya menuju ke utara. Kami keluar di exit Pekan Kepala Batas, Alor Setar (bukan Kepala Batas Seberang Perai ye). Perut sudah terlalu lapar. Kami berhenti makan roti canai telur. Tidak sanggup rasanya untuk menunggu hingga sampai ke Kangar untuk makan pagi. Memang mulanya aku bercadang untuk makan nasi ganja di Kangar sebagai permulaan kembara di Pegherlih. Tak pa, kita tangguhkan untuk makan petang ini.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan menyusuri jalan persekutuan dan memasuki pekan-pekan Darulaman, Jitra dan Kodiang. Dari Kodiang kami merentasi kawasan perkampungan yang di kelilingi sawah padi untuk pergi ke Pekan Air Itam dan seterusnya ke Kuala Perlis.

Ok ... dah pukul 11.30 pagi. Perut pun antara lapar dengan kenyang. Tak pa, kita makan kongsi-kongsi kali ini. Kami singgah di Kedai Kak Su untuk makan laksanya yang famous tu. Kami memesan 3 pinggan laksa kuah kaw-kaw. Ada juga laksa kuah biasa. Harganya pun berbeza. Fuyyoo ... memang terangkat. Sedapppp!!!! Cukup dengan masam dan masinnya, dan paling kelas kuahnya penuh isi ikan, memang kaw-kaw.

Laksa Kak Su

Dalam perjalanan ke arah Kangar, ternampak papan tanda Makam Kota Kayang. Memang dah selalu nampak papan tanda ni, tapi inilah kali pertama kami ke sana. Muziumnya menempatkan pelbagai artifak zaman zilam seperti senjata, pakaian, perkakas pertanian dsbnya. Tetapi yang lebih menari perhatian kami ialah pemandangan di luar muzium. Bangunan muzium ini direka begitu indah dengan memasukkan unsur-unsur kesenian Melayu asli yang indah. Senitamannya juga terjaga rapi. Paling menarik perhatian ialah latarbelakang kawsan ini yang ditabiri bukit-bukit batukapur semulajadi. Memang tidak rugi kami singgah kali ini.

Lanskap indah Makam Kayang

Senibina Melayu yang indah

Destinasi seterusnya ialah ke Tasek Melati untuk melepas lelah. Sambil lepak di bawah pokok-pokok besar, kami berbual sambil membaca akhbar. Sesekali angin dingin bertiup dan menyegarkan badan yang berpeluh dalam cuaca terik di Pegherlih ni. Kerana tengah hari, tiada pengunjung di Tasek ini kecuali beberapa "pasangan bercinta" yang bersembunyi di bawah pondok-pondok kecil di sekitar tasek. Kami kemudiannya singgah di salah sebuah gerai untuk membasahkan tekak. Makan ABC dengan rojak buah amatlah menyelerakan. Hrmm!!!!

Kami berhenti solat di sebuah masjid di Kampung Santan yang terletak berhampiran dengan Tasek Melati. Alhmadulillah, tandas masjid ini begitu bersih. Tentu pekerjanya seorang yang rajin dan pembersih. Semoga Allah memberi keberkatan kepada hamba Allah yang berkhidmat untuk keselsesaan tetamu masjid menyuci diri. Ameen.


ABC slurp slurp slurp

Kemudian kami bergerak ke arah Sungai Batu Pahat. Sepanjang jalan mata kami melihat pelbagai pemandangan indah di negeri bertuah ini. Sawah sedang dibajak untuk penanaman semula. Bukit-bukit batu kapur memberi impak lanskap yang menarik. Jalan raya lurus dan dipayungi pokok-pokok besar meneduh jalan. Rumah penduduk Perlis banyak yang cantik dan moden senibinaannya. Huh!!! samada rumah tokeh padi atau rumah pesara kerajaan. Dalam seronok memandang ke kiri dan kanan kami terlajak mengambil simpang yang silap. Terpaksa mengambil jalan lain yang jauh untuk berpatah balik.

Di Batu Pahat (bukan di Johor ekk), kami masuk ke Pusat Pertanian. Ramai pelancong berada di sana. Apalagi, perut pun sudah lapar. Kami memesan pulut dengan harum manis serta jus mangga. Masyaallah ... sedapnya pulut di sini. Secukup rasa lembut, lemak dan menyelerakan. Harum manisnya pula begitu manis. Alhamdulillah. Kami membeli 3 kilo harum manis untuk di bawa pulang. Harganya? RM42!!!

marvelous

Anak-anak merengek hendak pulang kerana sudah terlalu letih. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Kami pulang mengikut laluan jalan lama menuju ke Arau, Kodiang, Jitra dan seterusnya menuju ke Taman Tasek Darulaman. Woww ... ramainya pengunjung. Ada yang lepak, ada menaiki bot, menaiki buggy atau mendayung kayak. kami menempah buggy untuk dinaiki oleh 5 orang tetapi terpaksa menunggu lama kerana terdapat hanya 2 sahaja buggy dengan kapasiti tersebut. Tidak mahu menunggu lama kami memilih buggy dengan 3 penumpang. Puteri Bongsu agak moody dan tidak mahu naik buggy. Bergambar pun tak mahu. Hrmmm ... anak zaman sekarang. Akhirnya aku bersama kedua kakaknya menaiki buggy mengelilingi tasek yang cantik dan luas itu. Bukan main seronok Kak Long dan Kak Ngah bergilir-gilir memandu buggy.

Sedar-sedar jam sudah 7.00 petang. Kami perlu beredar segera memandang langit sudah gelap. Hari hampir malam dan hujan juga boleh turun bila-bila masa sahaja. Semua puas hati, kecuali aku. Kenapa??? Sebab hajat nak makan nasi ganja masih belum tercapai!!!

Monday, June 28, 2010

Sinfully Delicious Food - Thailand

Ini merupakan laksa yang dihidangkan untuk makan petang oleh keluarga Sumalee di Nakhorn Si Thammarat. Laksanya lebih halus dari laksa di Malaysia. Ianya dimakan bersama kuah ikan yang dimasak lemak, ala kuah laksam. Dimakan dengan pelbagai ulaman dan untuk lebih pedas ditambah dengan sambal cili padi. Terdapat rasa masam, masin dan pedas dalam kuah ini.

Pulut dimakan bersama ayam yang digoreng garing. Di atas pulut tersebut ditaburkan dengan rangup ayam. Ini merupakan sarapan pagi yang dijual di Nakhorn Si Thammarat.

Hidangan makan pagi yang disediakan oleh keluarga Sumalee. Roti ini diperbuat dari tepung gandum bercampur ragi dan air yang diperap sehingga naik. Ia kemudian diuli dan dibentuk mengikut kehendak masing-masing sebelum dibakar di dalam oven. Roti buatan sendiri ini mempunyai tekstur yang agak padat dan seketul sudah cukup mengenyangkan.

Roti ini dimakan bersama kuah kacang dan sambal pedas. Kuah diperbuat dari kacang hijau yang dimasak bersama lada hitam. Untuk makan, bawang besar yang dipotong dadu dan sambal akan dicampur dengan kuah ini.

Kuih seperti cucur keria itu pulak rasanya seperti cucur badak. Doh daripada pisang ini diisi dengan sambal kelapa yang pedas dan dibentuk seperti cucur keria sebelum digoreng.

Makan malam di Phuket. Hidangan seperti yang biasa dimakan di restoran masakan Thai di Malaysia - nasi goreng sotong. Tapi sotongnya banyak dan terasa segar. Cuma kurang pedas, cili potong dan sambal belacan pun tidak disediakan.


Mee goreng yang dipesan waktu makan pagi di Foodcourt Patong Beach. Rasanya seperti mee goreng di Malaysia juga - pedas dan basah. Udangnya banyak dan besar. Untuk sepinggan berharga 70 Bath (RM7), ada 6 ekor udang di balik mee.

Makan tengah hari di Phuket. Ada daging masak lemak cili padi (pedas betul), isi ikan goreng berkicap, ulam-ulam, sambal belacan, sayur campur dan ayam masak halia. Nasinya tanpa lauk pun sangat sedap, wangi dan panjang ... maklumlah beras siam.

Kuih jualan penjaja Muslim di Phuket. Ada pulut makan dengan mangga, ada kuih macam serabai tapi makan dengan kelapa parut.

Hidangan tengah hari di Krabi. Ada sotong goreng tepung, udang celup tepung dan ikan celup tepung .. yang semuanya terasa sangat rangup. Menu lain ialah tomyam putih, kerabu mempelam dan ayam pedas yang dimasak dengan beberapa jenis sayuran (antara yang aku kenal ialah bunga kantan, halia dan serai .. he he)


Nasi beriyani ayam untuk sarapan pagi di Nakhorn. Nasi dan ayam sungguh lembut, sedap dan penuh perisa. Tapi yang anehnya tak ada kuah kari atau dalca. Hidangan sampingan hanyalah jelatah timun dan nenas. Samada memang begini cara makan beriyani di Nakhorn atau tuan rumah terlupa membeli kuah gulai??? Apa pun..memang puashati makan nasi ini..enak. Terima kasih tuan rumah.

Hidangan tengah hari di Hatyai. Sayur campur sizzling. Penuh dengan udang, ayam dan sayur-sayuran yang terasa segar.

Daging goreng bijan yang garing dan pedas.

Tomyam ikan yang pedas, tetapi isi ikan ini terasa manis dan segar

Tuesday, March 2, 2010

Restoran Pokok Sawa

Hari Ahad baru-baru ini kami ke Perlis. Kali terakhir kami ke sana pada tahun 2008.

Aku, Abah dan Adik sahaja yang pergi, Kak Ngah sibuk dengan assignment nya. Dari Alor Setar, kami mengikut jalan Kuala Perlis. Kereta banyak di jalanan. Maklumlah cuti panjang selama 3 hari - cuti Maulidur Rasul pada hari Jumaat diikuti cuti hujung minggu. Jadi ramai rakyat Malaysia yang hidup pnuh makmur mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga.

Suasana di Kuala Perlis begitu sibuk dengan pelancung yang baru turun dari feri atau yang berebut untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi. Kami membatalkan hasrat untuk makan di Kuala Perlis. Memang Kuala Perlis begitu terkenal dengan laksanya. Aku teringat kenangan semasa aku menuntut di Perlis antara tahun 1975-1979. Sesekali kami pelajar asrama akan ke Kuala Perlis untuk makan laksa yang begitu sedap beserta ais kacang. Kebiasaannya pada hujung bulan apabila wang saku telah dimasukkan ke dalam akaun, jadi kami dapat makan agak mewah.

Waktu itu, kedai-kedai makan terletak betul-betul di atas sungai. Sambil makan kami menikmati nyamannya angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kami menghirup laksa dengan kuah pekat, bercampur telur rebus dan potongan cili padi. Aroma laksa bercampur dengan bau air laut. Sesekali terasa gerai bergegar mengikut alun air yang bergerak di bawahnya. Sungguh penuh nostalgia. Aku tidak pasti samada gerai-gerai tersebut masih berada di tempat asalnya.

Kami meneruskan perjalanan ke Jalan Mata Air. Tidak susah mencari Restoran Pokok Sawa. Dari jauh sudah kelihatan banyak kereta berhenti di kiri dan kanan jalan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.20 tengah hari. Orang mula memenuhi restoran tersebut. Mujurnya meja yang disediakan sangat banyak dan dapat menampung pengunjung yang silih berganti.

Tengahari itu kami menikmati keli dan pari bakar dicicah air asam, masak lemak labu, ulam dan sambal belacan, kerabu taugeh dengan pucuk paku, pajeri nenas dan teh o ais limau. Fuh... sedap sungguh keli bakar. Lemak dan tidak berbau hanyir. Dan harga makan tengahari itu amat munasabah, hanya RM28.00.

Sebetulnya banyak lagi lauk-lauk yang disediakan dan aku hampir hilang kawalan nafsu. Semua nampak sedap dan menggamit selera. Ada masakan daging, ayam, telur, ikan, sotong dankerang/siput yang dimasak dengan pelbagai cara samada masak kari, masak lemak, asam pedas, masak kicap, masak kurma dan sebagainya.

Sekiranya aku ke Perlis lagi, mungkin aku akan mencuba makanan yang lain pula.

Setelah perut kenyang, kami pun meneruskan perjalanan ke Padang Besar untuk menjamu mata pula.

Wednesday, January 13, 2010

Aziz Sata

Jangan silap. Ini bukan pelakun Dato Aziz Satar. Tetapi ini ialah sebuah restoran yang terletak di Kampung Geliga, Kemaman Trengganu.

Aku mula diperkenalkan kepada restoran ini oleh adik iparku kira-kira 5 tahun yang lalu. Selepas itu aku telah 2 kali mengunjungi restoran tersebut iaitu pada tahun 2006 dan 2008.

Apa istimewanya Aziz Sata..jawapannya mudah..SATA. Sata yang merupakan makanan tradisi Trengganu yang diperbuat dari isi ikan yang dicampur kelapa, bawang, cili dan garam yang dilumatkan. Diisi ke dalam daun pisang berbentuk tiga segi (seperti kuih koci), dicucuk pada kayu dan dibakar seperti sate. Sehiris cili padi biasanya diletakkan ditengah-tengah sata, yang menyebabkan pemakan yang gelojoh selalunya terjerit kepedasan. Makanan ini memang enak, terutama di makan panas-panas.

Aku telah mencuba sata di beberapa tempat lain di Trengganu dan Kelantan, tetapi masih berpendapat sata yang dijual oleh Restoran Aziz Sata adalah yang terenak. Anak-anak aku amat menggemari sata ini. Sesekali mereka merengek menyatakan kerinduan untuk menikmati keenakan sata ini dan mengajak kami ke sana lagi.

Selain dari sata, restoran ini juga menyediakan makanan tengahari, makanan laut bergoreng, otak-otak dan sebagainya. Cubalah sendiri keenakannya.