Jangan silap. Ini bukan pelakun Dato Aziz Satar. Tetapi ini ialah sebuah restoran yang terletak di Kampung Geliga, Kemaman Trengganu.
Aku mula diperkenalkan kepada restoran ini oleh adik iparku kira-kira 5 tahun yang lalu. Selepas itu aku telah 2 kali mengunjungi restoran tersebut iaitu pada tahun 2006 dan 2008.
Apa istimewanya Aziz Sata..jawapannya mudah..SATA. Sata yang merupakan makanan tradisi Trengganu yang diperbuat dari isi ikan yang dicampur kelapa, bawang, cili dan garam yang dilumatkan. Diisi ke dalam daun pisang berbentuk tiga segi (seperti kuih koci), dicucuk pada kayu dan dibakar seperti sate. Sehiris cili padi biasanya diletakkan ditengah-tengah sata, yang menyebabkan pemakan yang gelojoh selalunya terjerit kepedasan. Makanan ini memang enak, terutama di makan panas-panas.
Aku telah mencuba sata di beberapa tempat lain di Trengganu dan Kelantan, tetapi masih berpendapat sata yang dijual oleh Restoran Aziz Sata adalah yang terenak. Anak-anak aku amat menggemari sata ini. Sesekali mereka merengek menyatakan kerinduan untuk menikmati keenakan sata ini dan mengajak kami ke sana lagi.
Selain dari sata, restoran ini juga menyediakan makanan tengahari, makanan laut bergoreng, otak-otak dan sebagainya. Cubalah sendiri keenakannya.
No comments:
Post a Comment