Hari ini Isnin, 25 Januari. Ahhh ... tak sabar menunggu hari Jumaat ini. Insyaallah ... dengan izin Allah aku dan Abah akan bertolak ke Beijing pada hari tersebut.
Sebenarnya ini kali pertama aku dan Abah melancong ke luar negara secara berduaan. Kebetulan pula 29 Januari ini merupakan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-23. Bulan madu kali ke-2, usik anak-anak dara ku.
Selama ini memang kami selalu melancong dalam negara, dan semestinya lima beranak. Sebenarnya aku paling gembira melancong dengan anak-anak. Melihat wajah mereka yang penuh gembira, gelak ketawa dan gurau senda mereka bertiga, serta keseronokan menjamah makanan beramai-ramai sudah cukup membahagiakan hati aku. Tetapi untuk kali ini, aku dan Abah pergi tanpa mereka.
Dengan tambang yang agak mahal serta peruntukan agak lumayan untuk membeli-belah, dan kebetulan pula semua mereka sedang belajar dan tidak bercuti, anak-anak melepaskan kami pergi dengan hati yang berat. "Tak adil lah Abah dengan Mama ... kami pun nak pergi juga" atau pun "Kawan-kawan kami semua dah pergi holiday kat oversea, kami pun nak pergi juga".
Ah ... kesian anak-anak permata hati ku. Sabar lah sayang, nanti ada rezeki kita pergi bersama-sama. Sekarang tumpukan sepenuh jiwa raga belajar pandai-pandai, dapatkan pekerjaan yang baik, kumpul wang, dan terbanglah ke mana sahaja hati berhajat.
No comments:
Post a Comment