Friday, January 8, 2010

Kota Bharu (30 Disember 2009)

Ini kali kedua aku dan keluarga ke Kota Bharu pada tahun 2009. Kali pertama kami pergi pada bulan Jun lepas.

Pemergian kami kali ini lebih bertujuan untuk menziarahi keluarga Allahyarham Hj Halim. Allahyarham merupakan sepupu Abah yang menetap di Kota Bharu. Aku dan Abah amat akrab dengan Allahyarham dan isterinya, Hajjah Yati. Semasa kami berkunjung ke Kelantan pada bulan Jun lepas, Allahyarham baru sahaja dimasukkan ke hospital, tetapi masih segar berbual dan bergurau. Tiba-tiba sahaja pada 21 Disember kami dimaklumkan bahawa Allahyarham telah meninggal akibat kanser darah. Jadi peluang ini kami ambil untuk bertanya kabar tentang ahli keluarganya.

Selain itu kami juga sempat menziarahi Makngah, ibu saudara Abah yang telah bermastautin di Kelantan. Beliau ialah ibu kepada Allahyarham Hj Halim. Walaupun umur Makngah telah melebihi 80 tahun, tetapi aku kagum dengan kelebihan yang Allah kurniakan kepadanya. Deria penglihatan dan pendengarannya masih baik, daya ingatan masih tajam dan pertuturan masih teratur. Cuma disebabkan saiz badan yang besar, beliau kepayahan untuk bergerak.

Selama di Kota Bharu, kami tinggal selama 2 malam di Hotel Ridel yang terletak berhampiran Merdeka Square. Di hadapan hotel ialah Sungai Kelantan. Waktu petang kami akan duduk di tebing sungai melihat bot-bot bergerak ke hulu atau ke muara sungai.

Persinggahan di Kota Bharu tidak sah sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Pasar Besar Siti Khadijah. Di sini aku membeli-belah pakaian untuk aku, Abah dan anak-anak. Mungkin disebabkan kunjungan kami pada penghujung cuti sekolah, kami tidak menghadapi masalah bersesak dan berasak di tempat membeli-belah. Pemilihan kain dapat dibuat dalam suasana selesa. Juga tentunya aku membeli keropok dan budu sebagai oleh-oleh buat teman-teman dan saudara-mara di Pulau Pinang.

Kunjungan ke Pantai Cahaya Bulan juga tenang. Anak-anak dara ku melepaskan gian untuk bermain wau. Sayang sekali pantai ini kian menghadapi hakisan. Aku yakin pantai ini kian sempit berbanding beberapa tahun yang lalu. Dulu aku dan anak-anak berasa penat berjalan dari kereta untuk sampai ke gigi air, menunjukkan betapa luasnya pantai tersebut. Tetapi kini semua itu sudah hilang, yang ada hanya benteng-benteng batu yang diharap dapat mengurangkan hakisan.


No comments: