Wednesday, January 20, 2010

Mina (13 dan14 Februari 2003)

Pusat Penyembelihan Qurban


Tepat pukul 9 pagi, 13 Februari sejumlah 5 buah bas bertolak dari Maktab Shisa ke tempat ibadah qurban dilakukan. Aku dan Abah masing-masing mengadakan qurban seekor kambing. Tempat qurban ini terletak di satu kompleks yang besar di tengah-tengah padang pasir. Qurban bagi jemaah JT dijalankan di satu kawasan yang agak selesa. Lembu, kambing, unta dan kibas disusun menunggu giliran penyembelihan masing-masing.

Tukang sembelih pula adalah terdiri lelaki berkulit hitam (aku difahamkan mereka keturunan Habshah) yang memakai unifom berwarna merah terang. Dipinggang masing-masing tersisip parang panjang yang aku yakin begitu tajam. Kecut perut memandang mereka bergerak pantas dari satu kandang ke kandang yang lain untuk menyembelih binatang qurban.

Setelah selesai ibadah qurban, dengan penuh syukur kami pulang ke maktab. Sepanjang jalan jemaah bersorak keriangan sambil melaungkan syukur...hujan rahmat turun ketika tengah hari yang terik. Cuaca kemudiannya tiba-tiba menjadi redup yang menyamankan. Allah hu Akbar.

Selepas solat Asar berjemaah di surau maktab, kami berjalan kaki beramai-ramai ke Mina. Keadaan di Mina begitu sesak, semua jemaah berpusu-pusu untuk melakukan Nafal Awal. Jemaah JT dan jemaah Malaysia yang lain dinasihatkan untuk mengelakkan melontar pada waktu ini. Kami terus ke khemah melakukan pelbagai aktiviti sendiri samada berzikir, membaca Al Quran, membersih diri atau berehat sementara menunggu Maghrib.

Kemudahan tandas di Mina cukup selesa, sementelah kami ditempatkan bersama khemah VVIP. Khemah ini terletak begitu hampir dengan jamrah, malah boleh melihat dengan jelas samada kawasan jamrah sedang sesak dengan jemaah lain melakukan lontaran atau keadaan telah agak lengang dan selesa untuk kami pula melontar.

Semasa takbir Aidil Adha dilaungkan pada waktu Maghrib hatiku begitu sayu. Tiba-tiba aku teringat kepada ketiga-tiga permata hatiku. Segera aku menadah tangan memohon perlindungan Allah terhadap anak-anak kesayanganku, semoga mereka memperolehi kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.

Tepat jam 1.30 malam kami jemaah JT diminta untuk melontar ketiga-tiga jamrah bagi hari 12 Zulhijjah. Suasana malam ini agak sesak berbanding semalam, tetapi bersyukur aku mampu berada betul-betul di tepi telaga ketiga-tiga jamrah untuk melakukan lontaran.

Dalam keletihan tetapi dengan perasaan tenang setelah selesai melakukan lontaran malam ini, kami melangkah ke Maktab Shisha dan tiba di sama pukul 3 pagi.

No comments: