Thursday, January 14, 2010

Perjalanan Yang Menduga Iman (11 Februari 2003)

Bas sepatutnya menjemput kami di Mudazalifah selepas solat Subuh. Kami terus menunggu dan menunggu tetapi bas kami tidak kunjung tiba. Hari semakin cerah dan panas matahari semakin terik. Padang Mudzalifah yang sebelum ini penuh dengan manusia kini semakin lengang. Semua jemaah semakin gelisah. Wakil JT yang menguruskan perjalanan haji kami juga sudah tidak mampu untuk menjawab soalan-soalan yang dilempar oleh para jemaah yang semakin hilang sabar. Akhirnya kami memutuskan untuk berjalan kaki ke Mina.

Dengan makanan pagi dan minuman yang dibekalkan, kami mengalas perut sebelum memulakan langkah tepat jam 9 pagi. Waktu itu tenaga masih banyak dan badan masih segar. Sambil melangkah dan menarik beg roda yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji, kami berselawat menuju Mina. Aku perhatikan, ada juga jemaah dari negara-negara lain yang berebut-rebut menaiki bas, malah ada yang duduk di atas bumbung. Kami jemaah dari JT meninggalkan jemaah kurang upaya dan tua untuk menaiki beberapa buah bas yang dijanjikan akan tiba kelak.

Matahari semakin terik pancarannya. Perjalanan kami semakin tidak lancar. Jemaah pelbagai bangsa yang berpusu-pusu menuju Mina menyekat kaki untuk melangkah deras. Ada jemaah dari negara asing yang jatuh pengsan di jalanan, ada yang terduduk keletihan dan ada yang menggagah diri dengan kerusi roda atau bertongkat. Allah hu Akbar.. kiranya mereka ini kuat semangat untuk bergerak, kenapa tidak aku yang sempurna anggota badan dan masih muda.

Sesekali aku, Abah dan ipar-iparku terpaksa berhenti, samada untuk mengelap peluh, untuk meneguk minuman atau membuang sampah sarap yang tersangkut pada roda beg yang menyekat pergerakannya. Keletihan juga menyebabkan kami saling hilang sabar. Perkara yang remeh pun boleh membuat kami saling marah-marah. Cepat-cepat aku beristifar, Ya Allah bekalkan aku kesabaran .. aku ingin mengerjakan ibadah ini sebaiknya. Ya Allah .. hapuskan keegoan kami, bantu kami menghadapi dugaan ini.

Akhirnya tepat jam 12.30 tengah hari kami tiba ke khemah kami di Zone 22, berhadapan dengan Jamratul Aqabah. Ustaz dan Ustazah yang menyambut kami memberi kata-kata perangsang, supaya kami bersabar dan redho dengan dugaan ini, semoga Allah menggantikan setiap langkah kami dengan pahala yang banyak. Mudah-mudahan.

Setelah berehat, kami mengerjakan solat Zohor. Aku tidak mampu untu makan tengah hari akibat keletihan yang teramat. Sepanjang perjalanan 8 kilometer tadi, aku telah menghabiskan 2 botol air mineral. Aku terus tertidur. Niat aku untuk melakukan ibadah sunat tidak kesampaian.

Pada pukul 3.30 petang aku dikejutkan dari tidur oleh seorang jemaah. Menurutnya Abah sedang menunggu ku di luar khemah. Dengan mata terpisat-pisat aku keluar khemah mencari Abah tetapi tidak kelihatan sehinggalah Abah menyapa ku. Masyaallah .. aku tidak kenal suami sendiri. Rambut Abah telah dibotakkan dan Abah tidak lagi memakai ihram. Betul ke Abah ni? Nampak semakin hensem pulak.

Abah hanya tertawa. Menurutnya dia telahpun melontar dan bertahalul, dan kini terlepas dari larangan ihram kecuali 'bersama dengan isteri'. Isy ..Abah!!!

Selepas solat Isya', Abah membawa aku dan ipar-ipar ku untuk melakukan lontaran di Jamratul Aqabah. Jemaah begitu ramainya. Kami terpaksa bertolak-tolak untuk sampai ke tepi telaga tersebut. Syukur Alhamdulillah, aku dapat berada betul-betul di tepinya dan melontar dengan yakin. Walau pun di sekeliling ku penuh jemaah Turki dan Indonesia yang menghimpit tanpa belas kasihan, Allah memudahkan urusan kami pada malam ini. Alhamdulillah.


No comments: