Showing posts with label sahabat sejati. Show all posts
Showing posts with label sahabat sejati. Show all posts

Wednesday, July 18, 2018

Reunion Teman Sekampung (8 Julai 2018)

Perkara yang sering buat aku teruja ialah menghadiri majlis reunion.  Tak kiralah RU dengan adikberadik ke, rakan sekolah ke, bekas rakan sepejabat ke, rakan sukarelawan ke... memang aku suka sangat.  Justeru itu, setiap tahun aku pasti ternanti2, reunion apa pulak yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Kali terakhir kami mengadakan majlis RU untuk rakan2 sekolah rendah ialah pada tahun 2016. Sebenarnya RU ini melibatkan "pelajar" perempuan jer. Semua kami berasal dari kampung yang sama dan belajar di sekolah yang sama dari darjah 1 sampai darjah 6. Ada antara mereka yang tak pernah aku temui langsung semenjak masuk ke sekolah menengah. Alhamdulillah dipinjamkan usia yang panjang untuk bertemu kembali pada tahun 2018 ini. Syukur.  Tak lupa juga kami sedeqahkan al-Fatihah untuk beberapa sahabat yang telah kembali ke rahmatullah.. Allahyarhamah Saadiah dan Rohani.

Kek dari tauke kafe .. Salasiah

Majlis kali ini diadakan di Lanai Casuarina, Parit. Daripada 18 sahabat yang dapat dihubungi melalui whatsapp dan telefon, seramai 12 orang dapat hadir. Alhamdulillah.

Tukar2 cenderamata kenangan

12 jelitawan yang hadir ... 5 series you

Acara berjalan secara santai dan penuh gelak ketawa mengimbau kenangan lama di sekolah dulu. Dari perjumpaan ini baru kami tau ramai rupanya yang sudah bercucu, ada yang sudah menjadi balu, ada yang mengidap penyakit kronik dan ada yang masih bekerja. Sebahagian besar kami tidak lagi menginap di kampung halaman dan mempunyai kehidupan sendiri di tempat lain.

Origami ... ramai tau buat kapal, kipas dan roket je.
Suruh buat burung, semua pakat blur

Main cungkil lidi hihihi ... nak main batu seremban
dah tak mampu bersimpuh
 

Semoga jumpa lagi di masa hadapan dengan lebih ramai "jelitawan"

Kami semua menadah tangan memohon agar Allah berkati usia kami dan izinkan kami memanjangkan silaturrohim ini hingga ke akhirat.  Aamiin.

Di akhir pertemuan, resort ini hampir banjir dengan airmata kami 😢😢😢😢😢😢😢

Tuesday, February 6, 2018

Mini Reunion - 24 Disember 2017

Ini cerita tahun lepas, akhir tahun 2017, baru hari ni sempat nak tulis 😌😌😌

Aku hadir ke majlis  walimatulurus sahabat ku Salmah Hashim di Simpang Empat Perlis. Sebenarnya pada umur macam aku sekarang ni, memang jemputan walimatulurus dari sahabat datang tak berhenti2. Semua pakat2 menerima menantu.

Cumanya aku tak mampulah nak memenuhi kesemua jemputan tu. Aku akan hadir bila faktor kelapangan waktu dan kesihatan mengizinkan. Kali ni timing memang lah cantik. Aku ada jemputan dari jiranku untuk kenduri di Jitra dan Salmah pula di Simpang Empat. Dekat2 je.

pengantin lama berposing di Hotel Bustani, Jitra.
Majlis perkahwinan anak Norliza, jiranku

Semasa menghadiri kenduri Salmah, aku dapat berjumpa sahabat2 yang lama tak bertemu. Kali terakhir perjumpaan kami pada tahun 2015 di Perlis. Jadi pertemuan kali ini memang membahagiakan, walaupun beberapa sahabat pulang lebih awal dan tak dapat menyertai kami kerana ada urusan lain.

Berdiri kiri : Ciksu Suraini, Datin Marina, Zaabariah, Salmah Hashim (ibu
pengantin), Cikgu Wahid dan PakAr Azhar
Duduk kiri : Misi Rosilawati dan Cikgu Wan Fadzini

Wajah bahagia bertemu sahabat setia

Setelah selesai kenduri... aku, Abah dan Kakngah menginap di The Garden Hotel Kangar. Tak berbaloi datang jauh2 ke Perlis dan terus pulang hihihi. Perlis ni food heaven. Malamnya Kakngah open table makan seafood di Kompleks Makanan (KOMA) Kuala Perlis. Lepas lah kempunannya nak makan mentarang bakar.

mentarang bakar, isi besar dan juicy
ikan terasa sangat fresh

Keesukan harinya dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang kami singgah membeli laksa D'Adna  Kuala Perlis untuk dibawa pulang. Untuk tengah hari kami singgah makan di Kuala Sanglang. MasyaAllah sedapnya gulai temenung dia. Dengan sotong celup tepung, udang besar goreng kunyit, sayur-sayur, keli goreng serta gulai temenung 3 ekor serta minuman .. harganya baru RM44. Murahnya. Alhamdulillah.





Apa pun.. sebagai pencinta alam sekitar... aku memang rasa bahagia dan teruja sangat menikmati pemandangan indah padi menghijau di sepanjang jalan merentasi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. SubhanaAllah.

Salah satu lot kedai ini dulu pernah menempatkan Bank Bumiputra .. itulah
nyawa  kami  pelajar asrama, setiap bulan beratur di kaunter
untuk ambil duit Biasiswa Persekutuan. Waktu tu belum ada ATM machine

Pejabat Pos yang banyak berjasa, dulu2 nak pos surat pada Emak atau Apak
mesti datang ke sini. Nak tukar postal order jadi duit pun di sini (huhuhu)

Pemandangan sawah indah antara Jitra dan Simpang Empat

Pemandangan sawah indah dalam perjalanan ke Kuala Sanglang

Monday, October 10, 2016

Selepas 34 tahun

Setelah bertahun2 terpisah, sapa sangka kami akan bertemu kembali.

Teh Kanawiah ... cantik orangnya. Kami bersahabat semasa sama2 menuntut di Dungun dulu.  Tiga tahun menjadi warga Dungun, jauh dari ibubapa, jauh dari pengaruh sosial yang buruk, jauh dari bandar besar untuk berlibur ... menjadikan kami akrab. Terdapat persamaan dan perbezaan antara kami.

Di pantai Sura Gate Dungun tahun 1982

Kami dua2 nya pendiam, tak pandai nak sembang lama2. Tapi sebenarnya Teh lebih pendiam dari aku. Dia rajin dan merupakan pemegang anugerah Dean's List.  Aku pulak biasalah. Cukup2 makan sebab selalu study last minutes hehehhehe.

Dengan era teknologi terkini kami dapat berhubung semula melalui grup wassap selepas 34 tahun terpisah.  Kebetulan pulak 3 April lalu aku menghadiri kenduri anakbuah di Crystal Lodge Kota Bharu.  Aku hubungi Teh untuk bertemu dia. Selepas habis belajar, dia bekerja dan terus menetap di Kota Bharu kerana menjaga orang tuanya. Allahhu Akbar .. macam2 perasaan timbul dapat bertemu kembali sahabat lama ... gembira, sayu, terharu.  



Memandangkan majlis dah bermula dan aku perlu balik segera ke Pulau Pinang, kami tak dapat berbual lama.  Semoga selepas ini ada lagi kesempatan untuk kita bersua yer Teh. Aamiin

Monday, March 14, 2016

Setelah 42 Tahun Berlalu - 12 Mac 2016

Kami dah merancang beberapa kali untuk pertemuan ini, tapi gagal. Tak semua dapat bagi komitmen. Ada anak ambil periksa, ada suami sakit, ada kenduri keluarga ... macam2lah.  Begitu payahnya nak berkumpul ramai2 macam ni.

Akhirnya hari ni, niat kami dimakbulkan Allah.  Pada mulanya 13 orang mengesahkan kehadiran, tapi di saat2 akhir hanya 10 aje yang hadir.  Alhamdulillah. Tak apalah, mungkin belum jodoh kami nak bertemu muka.

Pertemuan ini diatur untuk menghimpunkan kami pelajar2 perempuan Sekolah Kebangsaan Tanjong Blanja sessi 1969-1974.  Sebenarnya kami ada 20 pelajar perempuan, tetapi 4 tidak dapat dikesan, manakala 3 pula telah meninggal dunia (Al Fatihah buat Allahyarhamah Saadiah, Maimunah dan Rohani Sain).  

Pelbagai dugaan nak menghimpunkan 13 orang ni.  Mulanya kami bercadang nak mengadakannya di Restoran Sal kepunyaan sahabat kami Sal@Salasiah. Waktu tu kami dah bayangkan betapa selesanya kami berhimpun di restoran baru dengan menu2 sedap hasil air-tangan Sal. Sehinggalah seminggu sebelum majlis, kerja ubahsuai restoran tersebut masih belum siap. Malah banyak lagi yang tak selesai. Kesiannya Sal kecewa sungguh dia, hajatnya tak tercapai.

Kemudian lokasi ditukar ke rumah Imah@Sharimah di Pengkalan Lahat. Semua makanan dan kelengkapan makan akan disediakan oleh Sal. Malangya dua hari sebelum majlis Imah pulak sakit teruk dan berulang-alik ke klinik. Tidak mau menyusahkan tuanrumah, kami terpaksa mecari lokasi baru.  Akhirnya, kami memilih Restoran Sabar Menanti di Ipoh. Makanan kami kater terus dari pihak restoran. Kempunan kami nak makan hasil air-tangan Sal. Lebih menyedihkan Imah menarik diri dari menyertai kami kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Eichah@Rabaeishah juga terpaksa menarik dirinya kerana bapaknya Pak Bako terjatuh bilik air dan kini koma di hospital. Didoakan semoga Pak Bako kembali sembuh seperti sediakala.  Aamiin. Akhir sekali sahabat kami Raudhah menarik diri kerana tidak berani nak meninggalka majlis kenduri jiran sebelah rumahnya ... Hihihih

Sebahagian kawan2 ini pernah aku temui beberapa kali semasa solat hari raya di masjid kampug kami, atau semasa menghadiri majlis kenduri kahwin saudaramara di kampung. Tetapi ramai juga yag tidak pernah aku temui semenjak tahun 1974 seperti Dillah@Nor Asiah, Yati@Norhayati, Bedah@Zubaidah, Raudhah, Leha@Zaleha, Saba@Sabariah, Shamsiah, Zamruddah, Fatimah da Fauziah.  42 tahun tak pernah berjumpa!!!!

Majlis berlangsung dengan suasana santai selama hampir 3 jam. Syukur Abah dan anak2 serta ahli keluarga Bedah, Lida@Norlida dan Nor@Norazimah sangat sporting. 3 jam mereka lepak bersama kami sambil menikmati makan tengah hari serta kuihmuih yang disediakan.

Abah yag sporting. Tq darling

sembang makan minum ... air berjug2, sekejap oren, sekejap air kelapa, sekejap tembikai,
sekejap sirap hihihi ...  lepas ni pakat check bacaan gula masing2. Cuaca panas bebb

42 tahun tak jumpa Bedah. Dah bercucu pun makcik manis ni

Sahabat bersama bermain seremban dekat bawah bawah tangga sekolah
Berdiri kiri : Nor@Nor Azimah, Sal@Salasiah, ceq la tu, Dillah@Nor Asiah, Dah@Hamidah dan Bedah@Zubaidah
Barisan depan kiri : Om@Khairul Bariah, Lida@Norlida, Yati@Norhayati dan Leha@Zaleha

Pertukaran hadiah. Ni hadiah paling besar dari Nor kepada Bedah
Pelbagai topik disembangkan,  semua orang nak bersembang serentak...hahahah, havoc hingga tak sedar 3 jam berlalu begitu cepatnya. Agaknya pelanggan lain di restoran pun meluat tengok gelagat kami. Hrmmm nasiblah labu!!!

Kami mengharapkan ini bukan perhimpunan pertama dan terakhir buat kami semua yang menggelarkan kumpulan ini Jelitawan SKTB 1969-1974.  Memang jelita pun you. semua masih steady dan rancak bertenaga walau umur dah lebih setengah abad. Semoga Allah berikan kami semua kesihatan yang baik dan berkesempatan utuk bertemu lagi di lain waktu.  Aamiin

Thursday, January 19, 2012

Selamat Berpisah Atun!!!

Pagi ini Emak menangis.  Aku tau dia rasa amat kehilangan.  Selalunya apabila bangun pagi aje, Atun akan setia di sisinya. Tapi Atun telah meninggalkannya. Kelmarin, 17 Januari 2012 dengan rasminya Atun atau Sumiaton menamatkan khidmatnya sebagai pembantu Emak dan kembali ke negara asalnya Indonesia.

Sumiaton - kami mendoakan kesejahteraan hidup kamu sekeluarga
Atun yang berumur 40 tahun setia menjaga Emak selama 30 bulan.  Walaupun adakalanya Emak bersikap keras kepadanya, dia tetap bersabar. Kami juga selalu memujuk Atun agar bersabar dengan kerenah Emak.  Anggaplah itu lumrah sikap orang-orang tua, kadang-kadang emosinya sukar ditelah. Ada masa dia begitu sayang kepada Atun, di masa yang lain semua tindakan Atun tidak kena di matanya. Selalu kami berpesan "Anggaplah Emak sebagai emak Atun sendiri, jagalah dia dengan kasih-sayang".

Sebenarnya Atun mahu menamatkan kontraknya setelah cukup tempoh 2 tahun. Tetapi kami memujuknya untuk menyambung lagi sehingga genap 3 tahun. Kami tawarkan gaji yang lebih tinggi.  Tetapi dia masih berkeras untuk berhenti.  Mungkin kerana kasihan kepada Emak, dia hanya sanggup menyambung 6 bulan sahaja dan meminta kami berusaha mencari pengganti,

Masalahnya bukan senang nak dapat pengganti. Isu pembantu rumah (PR) antara Malaysia dengan Indonesia masih tergantung.  Mulanya dimaklumkan kemasukan PR akan bermula akhir 2011. Tetapi sampai sekarangpun bayang PR baru masih belum muncul. Ejen pun dah takut menjawab panggilan telefon dari aku.  Katanya mungkin akhir bulan Mac pulak baru dapat PR baru.  Hrmmm ... memang susah kerajaan Indonesia nak melepaskan rakyatnya ke Malaysia kali ini. Inilah akibatnya apabila kita tidak mensyukuri nikmat yang ada. Dapat PR yang murah, ramai majikan jadi kaki dera pulak.

Atun kami anggap tip-top dalam penjagaan Emak. Mungkin dia kurang pandai memasak dan mengurus rumahtangga. Tak mengapa. Yang penting jaga Emak. Urut badan Emak bila dia lenguh.  Bancuhkan air bila dia dahaga. Hidangkan makanan bila dia lapar. Suapkan ubat bila tiba waktunya.  Temani Emak supaya tidak kesunyian. Semua tugas itu dibereskan dengan jayanya oleh Atun. Malah jiran-jiran Emak di kampung pun dah jatuh sayang pada Atun. Bukan sikit airmata yang tumpah semasa mengiringi Atun berangkat dari rumah Emak tempoh hari.  Malah banyak juga buahtangan yang dihulurkan kepada Atun.

Wajah sedih mengiringi perpisahan 
Aku tanya Atun kenapa tidak mau bekerja dengan Emak lagi.  Katanya dia fikirkan nasib dua anaknya di kampung. Dulu anaknya tinggal bersama emaknya. Apabila Emaknya meninggal dalam bulan Ramadhan  lepas, mereka dijaga oleh kakak Atun. Anak-anak ini sering mengadu tidak selesa tinggal bersama ibu saudara, terasa tersisih dan menumpang sahaja. Demi hati anak-anaknya, dia terpaksa pulang untuk menjaga sendiri mereka.  Dia yang merupakan seorang ibu tunggal bercadang membuka perniagaan runcit di kampung hasil wang yang dikumpul selama 30 bulan bekerja di Malaysia.

Kami doakan kehidupan Atun dan keluarga diberkati Allah selamanya.  Dan ... kami juga berdoa semoga pembantu yang baru kelak sebaik Atun juga.

Sunday, September 25, 2011

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Semalam Kak Normah kembali ke Singapura setelah beberapa hari berada di Pulau Pinang.  Sebenarnya aku tidak mengenali Kak Normah.  Dia adalah sahabat kepada keluarga Abah.  Sepanjang 24 tahun perkahwinan aku dan Abah, namanya selalu disebut dalam perbualan. Kak Normah dan keluarga Abah masih saling berhubungan.  Malah beberapa kali saling mengunjungi antara satu sama lain.  Begitu akrabnya sebuah  persahabatan yang terjalin semenjak 30 tahun lalu ... yang kadangkalanya mengatasi kemesraan ikatan persaudaraan.  Tetapi kunjungan kali ini merupakan pertama kalinya aku bertemu beliau.

Kak Normah datang bersama anak perempuan, 2 cucu perempuan dan seorang bibik.  Walaupun dah berusia 62 tahun, beliau kelihatan sangat cergas dan bergaya.  Mereka masih fasih berbahasa Melayu walaupun kelihatannya lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris.

Pada hari kedua beliau di Pulau Pinang, semua ahli keluarga Abah (termasuk anak, menantu dan cucu) dijemput untuk makan malam bagi mengenali secara lebih dekat semua anggota keluarga ini.  Daripada 39 anggota keluarga, 26 dapat berkumpul bersama keluarga Kak Normah dijamuan yang diadakan di Restoran Pen Mutiara (milik Jabatan Perikanan Puau Pinang) di Batu Maung.  Hidangan istimewa malam tersebut ialah kari kepala ikan, butter prawn, kailan ikan masin, sambal sotong. telur dadar, kerabu, sambal dan ulaman serta ikan masin goreng dan minuman pula air asam boi.

Kak Normah meriba 2 cucunya. Di belakang 2 dari kanan, anaknya Naz dan kanan sekali bibiknya
Bergambar di hadapan Pen Mutiara Batu Maung
Sambil mendengar dendangan lagu dari resident artist restoran tersebut, kami berbual dengan Kak Normah yang sememangnya amat peramah. Cucu-cucunya yang berumur 5 dan 3 tahun juga sangat peramah bertanya itu dan ini.  Kamera tidak berhenti-henti menyalakan flashnya mengabadikan kenangan pertemuan malam tersebut. Setelah menikmati teh tarik sebagai penutup jamuan malam tersebut, kami bertolak ke tepi pantai berhampiran pusat membeli-belah Queenbay untuk menyambung cerita-ceriti yang belum habis.  Setelah jam menunjukkan 11.30 malam kami beredar pulang kerana keesukan harinya ada anak-anak yang perlu ke sekolah.

Malam berikutnya giliran kami pula meraikan Kak Normah dan keluarga.  Kali ini tiga keluarga Abah yang tinggal di Alor Setar tidak dapat hadir atas alasan jauh dan masih keletihan. Maklumlah selepas perjumpaan semalam, ada yang tiba di rumah mereka jam 1 pagi. Walau bagaimanapun seramai 13 orang masih berusaha meraikan Kak Normah.

Destinasi kali ini ialah Puncak Mutiara Cafe yang terletak di Kampung Pelet, Bukit Mertajam.  Tempatnya sangat cantik dan luas.  Malam ini kami memesan makan secara ala carte sahaja. Ada yang memesan beriyani kambing, sate, chicken chop, fish and chip, fried mushroom dan sebagainya.  Makan malam di sini sungguh nyaman dengan udara yang segar dan alunan  lembut dari muzik yang dimainkan.  Selesai makan kami berjalan ke sekitar kawasan cafe tersebut sambil bergambar.  Akhirnya pada jam 11.00 malam  kami berpisah sambil mengucapkan selamat jalan buat Kak Normah dan keluarga yang akan bertolak pulang ke Singapura pada pagi Jumaat.

Posing di Puncak Mutiara, Kampung Pelet
 Walaupun pertemuan tersebut singkat, tetapi kemesraan yang terjalin telah terpahat di hati.  Malah hati aku terasa sebak membaca mesej yang dihantar oleh Kak Normah setibanya beliau di Singapura. "I missing u all already. TQ for everything. I hv no words gud enough 2 express how touched I was 2 see all of u there on Wed evening. I luv u all".

Friday, June 10, 2011

Alhamdulillah....Berbahagialah Sahabatku

View Image

Alhamdulillah. Selepas bertahun-tahun tidak bertemu, kelmarin aku bertemu semula dengan N. Dia tidak banyak berubah, masih slim dan manis sperti dulu. Kedatangannya membawa hajat. Menghulur kad jemputan perkahwinan anak sulungnya. Syukur ... dah nak terima menantu rupanya sahabatku ini.

Lebih bersyukur aku melihat perubahan corak kehidupan N. Dulu kehidupannya penuh payah. Dia berhenti kerja lebih awal dengan melepaskan jawatan tingginya di organisasi tempat kami bekerja. Waktu itu anaknya masih kecil-kecil. Aku tidak pasti apa perancangan N kerana dia tidak tidak mahu berkongsi cerita dengan kami. Hanya aku dengar selepas itu dia bekerja secara sambilan di beberapa stesen minyak.

Kemudian dia diduga lagi apabila suaminya K pula diberhentikan kerja oleh majikan. Aku hanya mampu mengucapkan simpati dalam hati. Aku berdoa semoga sahabatku ini diberi perlindungan Allah. Dia sahabat yang sangat baik. Kami masuk kerja bersama-sama pada 1 Jun 1984 .... bersamaan 1 Ramadhan. Selepas itu kami menjadi sahabat baik sehinggalah masing-masing mendirikan rumahtangga dan mempunyai kehidupan sendiri. Selepas berhenti kerja hubungan aku dan N terputus terus.

Ssetelah hampir 15 tahun menghilangkan diri, N muncul di hadapan rumahku bersama suaminya K dan anak-anak. Terharu aku melihatkan penampilan mereka yang nampak begitu tertib, Islamik dengan wajah yang jernih. Lebih membuat aku gembira apabila mengetahui kini K adalah seorang kontraktor yang berjaya. Anak-anaknya juga berjaya terutama putera ketiga yang merupakan seorang Al Hafiz. Subhanallah. Allah membalas setiap kesabaran N dengan nikmat yang melimpah-ruah. Setiap doa ikhlas dari hambaNya serta niat suci untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik akan diperkenankan Allah. Insyaallah.

Dalam pada itu, Allah masih menduga N dan K dengan mengurniakan putera bongsu yang merupakan seorang "anak istimewa". N ... aku yakin sahabatku menerima anugerah Allah ini dengan penuh kesyukuran. Aku lihat N dan keluarga amat mengasihi anak ini dan melayan kerenahnya dengan sabar. Mungkin kehadiran anak ini membawa bersamanya rezeki yang dijanjikan Allah. Semoga Allah terus memberikan keberkatan hidup buat kalian semua. Amin.

Monday, February 14, 2011

Junjungan Mulia - Al Mizan


Esuk 15 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432 Hijrah. Esuk sambutan Maulidur Rasul bagi semua umat Islam ... marilah sama-sama kita berselawat kepada Nabi Muhammad SAW Rasul Junjungan yang amat kita kasihi. Berkat pengorbanan Baginda menyebarkan syiar Islam, kita terpilih menjadi umatnya yang bertuah. Semoga kita tidak mensia-siakan anugerah terbesar kepada kita bangsa Melayu yang secara automatik lahirnya sebagai seorang Muslim, tidak perlu didakwah untuk memeluk Islam. Cuma kuatkan lagi pegangan, teguhkan iman, patuhi perintah Allah, jauhi laranganNya dan jadilah hamba Allah yang tawaduk. Tapi ... saban hari bila melihat keadaan sekeliling kita sekarang, hati menjadi sayu dan takut, melihat ramai yang semakin jauh terpesong.

Ya Allah Ya Tuhanku, peliharalah aku dan zuriatku dari segala kemungkaran dan kemurkaan Mu. Teguhkanlah iman kami, berilah kami petunjuk ke jalan yang lurus serta selamatkan kami dari hasutan syaitan yang direjam. Hidupkan kami dalam iman dan matikan kami sebagai orang yang beriman. Ameen.

Lagu Al Mizan ini memang menjadi kegemaranku sejak zaman remaja lagi. Selain dari iramanya yang indah dan mesejnya yang jelas, suara penyanyi utama lagu ini sungguh merdu. Lembut dan lunak dan aku selalu bayangkan betapa ayunya wajah penyanyi ini.

Pada tahun 1979, ketika aku di sekolah menengah, kami kumpulan pelajar asrama puteri diminta menyanyikan lagu nasyid di atas pentas untuk majlis Maulidur Rasul (waktu itu disebut sebagai Maulud Nabi). Lagu inilah yang kami pilih. Kami berlatih berhari-hari untuk mendapatkan tempo yang harmoni. Waktu itu tidak ada minus one macam sekarang. Hanya suara penyanyi utama dan penyanyi pengiring sahaja yang beralun memenuhi ruang dewan sekolah yang besar itu.

Penyanyi utama kami ialah Moz. Walaupun suaranya agak besar dan tidak dapat menandingi kemerduan penyanyi Al Mizan, tetapi sudah cukup untuk menggegarkan dewan sekolah ketika itu. Hahahaha ... hingga sekarang segar dalam ingatan ini macamana takutnya kami menyanyi di hadapan Tuan Pengetua ketika itu, Dato' Abdul Rahim Abdul Majid. Dengan wajah garangnya dia memandang tepat kepada kami sambil memberi isyarat tangan supaya kami membuka mulut luas-luas supaya suara kami jelas kedengaran. Apa lagi, melalaklah kami hingga hilang tempo yang kami berlatih berhari-hari sebelum ini. Hairannya, tidak ada sesiapa berani memandang ke arah lain untuk mengelakkan eye-contact dengan beliau.

Di mana teman-teman ku yang sama-sama berada di pentas tersebut?? Aku teringin berkongsi semula nostalgia ketika itu.

Itulah sebabnya sehingga kini pun ... setelah beberapa dekad berlalu, lagu Junjungan Mulia ini amat istimewa bagiku. Dulu aku menyanyi dengan penuh penghayatan, kini aku mendengar dengan penghayatan .... bukan sekadar buka mulut melalak-lalak.

Monday, November 30, 2009

Terima Kasih Bos

Semalam Aidil Adha hari ketiga. Bekas bos aku dahulu, Tuan Haji Niana (THN) menjemput aku sekeluarga untuk makan tengah hari di rumah baru beliau.

Cuma tiga bekas kakitangan dijemput, aku, Rosni dan Zol serta ahli keluarga masing-masing. Majlis berjalan santai. Aku dan Rosni berbual dengan isteri tuan-rumah di ruang makan. Para suami pula berbual dengan THN di ruang tamu.

Makanan dihidangkan sungguh istimewa, nasi arab (nasi mandhi) dengan lauk kambing panggang, ayam, daging dimasak seakan-akan masak kicap, coleslow dan kuah tomato. Walaupun tidak pedas, tapi cukup rasa rempah ratusnyya. .

Aku amat menghargai ingatan THN terhadap aku dan kawan-kawanku. Rasanya kami bagaikan insan terpilih kerana dijemput secara ekslusif oleh bos untuk makan bersama keluarganya walau pun THN bukan lagi bos kami. Aku berharap ikatan silaturrahim ini tidak akan terputus begitu sahaja.

Tuesday, August 4, 2009

Sahabat Lama (5)

Sejak Ahad lepas aku jadi gembira sangat. Ada juga baik nye aku menyertai Facebook ni. Tidak disangka-sangka aku dapat berhubung semula dengan Kak Liza.

Kak Liza merupakan kakak angkat ku semasa di Tingkatan 1. Kali terakhir aku berhubung dengannya 33 tahun lalu. Lama tu. Masing-masing kemudiannya sibuk membina kehidupan. Tapi yang nyata apabila silaturrahim tertaut semula, kemesraan itu pantas terjalin. Tanpa kekok kami saling bertanya khabar, berkongsi cerita terkini.

Aku harap bergitu juga dengan teman-teman yang lain.

Kenangan paling indah dengan Kak Liza semasa aku bercuti hujung minggu di rumah keluarganya. Arwah ibu dan ayah Kak Liza begitu ria meraikan aku sebagai tetamu. Al-fatihah untuk kedua mereka. Aku dibawa ke rumah nenek Kak Liza di Jalan Kuala Perlis dengan menaiki bas. Turun dari bas kami berjalan meniti batas sawah padi menuju ke rumah nenek yang terletak jauh di tengah sawah. Persekitaran rumah kampung itu sungguh damai, redup dikelilingi pohon mangga dan kelapa. Cuma aku terperanjat besar apabila bertembung 2 bangkai ular yang besar terdampar di tepi batas yang kami lalui. Menurut ibu Kak Liza itu ular katam tebu, spesis ular berbisa yang memang hidup dalam sawah. Mata aku pantas melihat ke kiri kanan takut-takut ada ular lain yang akan menerpa ke arah kami.

Makan tengah hari itu seingat aku amat ringkas, ikan masak asam pedas, puyu goreng, rebus paku rawan dan sambal belacan. Kami makan atas tikar mengkuang di bawah pokok mangga. Sepoi-sepoi angin sawah menghilangkan haba matahari yang terik memancar, malah kami semua begitu berselera makan. Selepas itu kami makan mangga muda dicecah garam belacan. Sedap sungguh, hingga masa aku menulis blog ini pun air liur kecur mengingatkan keenakannya.

Kemudian kami lepak di atas buaian yang diikat antara pohon-pohon mangga itu. Nun di sana padi beralun mengikut arah angin, ada yang hijau ada yang dah kekuningan. Musim menuai telah tiba. Aku sudah mengantuk waktu itu, perut sudah kenyang, dibuai pula angin nyaman, aduh..nikmatnya.

Waktu mandi lagi gamat. Air dari telaga yang terletak di bawah redup pohon-pohon begitu dingin sekali. Sekalipun waktu itu cahaya matahari sangat terik, aku menggeletar kesejukan. Gigi dan lutut aku berlaga sesama sendiri. Aku menjerit-jerit setiap kali air menjirus tubuh. Tak dapat aku bayangkan macamana rasanya mandi di waktu pagi.

Petangnya aku menyaksikan ibu dan nenek membuat ringgi, sama macam emping juga. Pulut muda disagai atau goreng tanpa minyak hingga masak sebelum ditumbuk dengan lesung. Kemudian dicampur dengan kelapa dan gula. Minum pula secawan kopi kampung, sungguh nikmat.

Aku hingga kini merindui suasana itu. Ingin aku bawa anak-anak menyertai homestay yang dapat mendedahkan mereka kepada suasana seperti itu, tapi tidak mendapat sebarang maklumbalas positif dari mereka. Semua tidak berminat. Alangkah ruginya kalian.

Tuesday, July 28, 2009

Sahabat Lama (4)


Aku sambung lagi cerita aku dan sahabat sekolah menengah semasa di Perlis.

Memang itulah ceritera hidup yang indah bagi aku. Aku dalam proses mengenal erti persahabatan, erti kasih-sayang sesama insan yang tiada sebarang pertalian darah, berbeza loghat percakapan, berbeza cara hidup, berbeza suasana hidup.

Perbezaan pertama aku rasai semasa di Tingkatan 1. Semasa kami semua bersembahyang jemaah Subuh aku jadi keliru, kenapa tiada doa Qunut. Terjadi sedikit pertikaman lidah antara aku dan beberapa teman-teman yang berasal dari Perlis, engkau sembahyang tak betul, kami sembahyang betul. Waktu itu kami begitu naif, apa yang diajar oleh ibu-bapa dan guru agama di kampung itulah yang terbaik. Fikiran masih belum didedahkan dengan pelbagaian Mazhab. Mujur lama-kelamaan aku dapat menerima bahawa sembahyang Subuh di Perlis tidak ada bacaan Qunut, sama seperti keadaannya di Mekah.

Perbezaan suasana sekitar juga mengujakan. Kampung aku penuh dengan tumbuhan getah dan pokok dusun buah-buahan. Di Perlis aku memandang keindahan sawah padi. Di kejauhan bukit-bukit batu kapur bercacak berkelumpu, menjadikan lanskap alam yang sangat indah. Dan aku jatuh cinta dengan keindahan itu. Sehingga kini pun selang setahun aku menjadikan Perlis destinasi percutian hujung minggu apabila kau rindu pada keindahan sawahnya, taliairnya yang jernih, bukit batu kapurnya yang indah, ladang tebu Chuping yang terbentang..bak pemandangan Prairie. Dan setiap kali itu juga aku terkenang saat meniti celah-celah batas sawah padi yang menguning semasa berkunjung ke rumah Jamilah, Suraini dan Kak Liza. Angin sawah yang bertiup tanpa pencemaran sangat menyegarkan.

Loghat Perlis lebih pekat daripada Pulau Pinang. Aku akhirnya terikut-ikut dengan sebutan tersebut, maklumlah selama 5 tahun di Perlis, itulah loghat yang keluar-masuk di telinga ku. Bagi aku orang Perlis suka bergurau, kalau bergurau bunyinya kasar, tapi itulah tanda kemesraan, dan kemesraan itulah yang kekal di hati sehingga kini.

Bukan aku saja yang masih tidak jemu bernostalgia seperti ini. Tapi tanyalah kebanyakan bekas penghuni daerah ini, mereka ramai yang masih merindu kenangan itu. Kerana itu tidak hairan bila saling bertemu dalam blog, atau laman web, atau majlis re-union atau kini "facebook", kerinduan dan kemesraan itu jelas terpancar.

Paling aku sedih ayat dari seorang abang senior yang menghadiri majlis re-union - "mungkin ini kali terakhir kita dapat bertemu, tahun depan mungkin ada aral melintang, mungkin ada yang akan mengadap Tuhan, jadikan perjumpaan ini yang paling manis untuk dikenang".

Oh sayunya.

Friday, July 17, 2009

Sahabat Lama (3)

Dorm 2, Tingkat 2, Asputri (1975)

Pengalaman di sekolah berasrama selama 5 tahun amat mahal bagi ku. Di sinilah aku membentuk diri dari seorang anak yang manja menjadi remaja berdikari, dari penakut jadi berani, dari kanak-kanak kepada dewasa.

Semasa mula belajar di asrama ini umur aku baru nak menginjak 13 tahun. Sekolah ini di negeri Perlis jaraknya beratus batu dari kampungku di Perak. Dengan ketiadaan lebuhraya ketika itu perjalanan boleh memakan masa hampir 6 jam.

Emak dan Arwah Apak meninggalkan aku di sekolah ini dengan penuh tawakkal. Itulah pertama dan terakhir mereka menjejakkan kaki di sekolah tersebut. Selepas itu aku harus bergerak sendiri. Aku bertuah seorang pelajar senior mengambil aku sebagai adik angkatnya. Kakak Che Sham sentiasa bertanya kabar sekiranya aku memerlukan bantuan sepanjang berada di daerah asing ini.

Selain beliau, aku juga berkawan dengan teman-teman sebilik dan teman sekelas yang lain. Waktu itu aku masih tercari-cari samada perlu rapat dengan teman sekelas atau teman sebilik. Akhirnya aku memilih teman sebilik. Kami dalam tingkatan yang sama tetapi berlainan aliran, aku aliran melayu, Moz aliran Inggeris. Aku makan pagi dan malam bersamanya. Pergi ke bilik air waktu subuh pun bersama. Keluar ke pekan Kangar setiap hujung minggu bersama. Malah Moz juga sering membawa aku berkunjung ke rumah keluarga beliau di Kg Sena, Kangar. Aku mengenali hampir seluruh keluarganya, ayah, ibu tiri, nenek, emak saudara, bapa saudara, sepupu dan adik-beradiknya. Walaupun keluarganya hidup serba sederhana, tetapi mereka amat kaya dengan budi bahasa. Aku jadi tidak kekok bersama mereka. Hingga kini, walaupun sebahagian besar mereka telah tiada di dunia ini, wajah dan jasa mereka tetap aku kenang.

Aku juga berkenalan dengan Fauziah. Walau pun kami berlainan aliran, tetapi aku jadi rapat apabila mengetahui kami berasal dari daerah yang sama di Perak. Memandangkan bapa beliau bekerja sebagai Sarjan Polis di Perlis sejak berpuluh tahun, Fauziah dilahirkan di Perlis. Aku dijadikan anak angkat oleh keluarga Fauziah. Selalunya aku akan berkunjung ke rumah keluarganya apabila cuti hujung minggu. Di sini aku dapat melepaskan kerinduan pada loghat dan makanan Perak. Malah aku turut menyertai keluarga ini berpindah dari rumah kampong ke Berek Polis Beseri. Penat juga mengangkat dan menyusun barangan, tapi aku gembira menjadi sebahagian dari keluarga ini. Kini kedua ibu-bapa angkat ku juga telah meninggal.

Aku menjadi rapat dengan teman sekelas hanya apabila aku berada di Tingkatan 4 dan 5. Aku masih ingat kami 6 pelajar perempuan yang sering bersama ke mana sahaja, Aku, Yati, Dikna, Suraini, Salmah Mae dan Aspa. Hidup kami penuh gelak ketawa. Kadang-kadang pelajar perempuan lain menjuihkan mulut memandang kami, meluat agaknya melihatkan kami sentiasa gembira. Pelajar lelaki juga menggelar kami "geng galak". Ah! Peduli apa, kami tidak ganggu oranglain, kami hanya mahu menikmati hidup bersama ini sepenuhnya. Kini seorang dari kami telahpun mengadap Ilahi. Arwah Aspa meninggal beberapa tahun lalu kerana menghidap barah.

Hubungan aku dengan teman-teman sekolah ini terputus agak lama, maklumlah waktu itu kemudahan yang ada hanyalah surat-menyurat. Perpindahan ke sana ke mari kerana menyambung pelajaran dan bekerja dan sikap malas menulis menyebabkan semua sahabat aku membawa diri masing-masing. Sehinggalah pada tahun 2006, seorang teman, Pak Ark mengambil inisiatif mengumpulkan semula teman-teman dan mewujudkan komuniti kami sendiri iaitu Asputra79.

Akulah orang yang paling gembira dan bersyukur kerana dapat menghubungi semula teman-teman. Ada yang kini memegang jawatan tinggi, yang bergelar usahawan, yang telah bergelar hajah dan haji, dan ramai yang kini menunggu masa menerima menantu. Selain dari Arwah Aspa, aku juga telah kehilangan seorang lagi sahabat Arwah Mohsin.

Aku berharap hubungan yang baru disambung semula akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.

Sahabat Lama (2)

Dari atas Jambatan Nordin, penghubung utama Kampung Tanjung Belanja dengan Pekan Parit -
pemandangan ke arah timur yang indah. Sungai Perak serta gunung yang berbalam di kejauhan

Masjid Tanjung Belanja - jumlah jemaah di masjid ini berlipat-ganda apabila tiba Aidil Fitri,
anak perantauan pulang ke kampung

Pekan Tanjung Belanja - sebuah pekan "cowboy"

Cerita tentang sahabat sekolah rendah.

Waktu ini paling bahagia dalam hidup kebanyakan kita. Kita tidak pernah memikir tentang masalah. Ibu bapa yang perlu memikir macam mana hendak menjadikan kita manusia berguna, manusia sempurna.

Aku pun begitu. Yang aku ingat setiap pagi aku bangun dari tidur, bersarapan seadanya dan terus berjalan ke sekolah dengan kakak aku, Yong. Tetapi selepas aku mempunyai kawan sendiri, aku tidak lagi berulang-alik dengan Yong.

Kadang-kadang sepanjang jalan pergi atau pulang dari sekolah, mulut kami riuh bercerita itu-ini, panas matahari tak terasa dik seronoknya bergurau.

Tiba di rumah, setelah makan tengah hari dan mandi-manda, kawan-kawan akan datang ke rumah dan kami berjalan kaki pula ke kelas Fardhu Ain. Cuaca panas dan jaraknya agak jauh dari rumah aku. Emak asyik marah kerana kedegilan aku tidak mahu menggunakan payung. Tetapi aku gembira walau berpanas terik. Seingat aku tidak pernah aku ponteng kecuali sebab demam. Apa lagi di sini aku ada kawan-kawan baru yang lebih ramai.

Pulang dari kelas Fardhu Ain kami akan singgah di mana-mana untuk bermain. Kadang-kadang di halaman rumah aku atau kadang-kadang di rumah sahabat yang lain. Permainan kami begitu ringkas, tidak perlu mengeluarkan modal. Kami bermain sorok-sorok, galah panjang, polis sentri atau 'rounders'. Kalau cuaca tidak baik, kami main serimban menggunakan kulit kerang atau batu jalan sahaja. Begitu lah aktiviti harian kami yang sentiasa cergas. Sebab itu zaman kami dulu jarang jumpa kanak-kanak yang obesiti.

Janji dengan emak masing-masing, sebelum Maghrib semua mesti balik ke rumah. Sekiranya ada yang melanggar arahan, siap akan dibedal. Indahnya waktu itu, kita boleh dibedal oleh sesiapa sahaja termasuk jiran-jiran kita. Mereka menganggap kita sebagai anak mereka yang perlu didisiplinkan. Dan indahnya juga, kita tidak akan berani mengadu kepada emak kita mengenai 'makcik A' tadi pukul saya, 'makcik B' marah saya. Jika mengadu, alamatnya akan terima hukuman tambahan dari Emak atau paling kurang kena tempelak "sapa suruh kamu degil sangat!!!"

Tapi aku tahu, semua keindahan itu tidak ada pada generasi kini. Anak-anak tidak bebas bermain kerana persekitaran yang tidak selamat. Semua orang mengambil sikap jaga tepi kain masing-masing dan tidak peduli hal orang lain lagi.

Monday, July 13, 2009

Sahabat Lama (1)

Jambatan penghubung Pekan Parit dengan Kampung Belanja Kiri - kampung asal Arwah Apak. Jambatan ini untuk kegunaan pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja.
Di tengah-tengah jambatan ini terletaknya Pulau Chempaka Sari,
yang sepatutnya dimajukan sebagai pusat rekreasi

Pekan Parit tidak banyak berubah...sama seperti sewaktu aku kecil

Aku tiba-tiba berminat mencari teman-teman lama yang telah terpisah.

Aku ramai teman, tapi 'best friend' hanya boleh dikira dengan jari. Tapi teman yang ramai itu tidak pernah pula aku bermusuh atau bermasam muka. Tapi aku tidak pasti samada terdapat teman yang menganggap aku ini musuh mereka. Sebab belum pernah ada sesiapa pun yang memberitahu aku begitu.

Teman sekolah rendah...tidak ramai yang kekal dalam ingatan aku. Cuma teman rapat seperti Echah, Dah, Salasiah atau yang lelakinya seperti Wahab, Bidi dan Anuar. Yang lain aku sudah ingat-ingat lupa. Maafkan aku, mungkin waktu itu aku tidak begitu menghargai persahabatan. Aku cuma banyak berkawan dengan sahabat-sahabat rapat itu saja setiap kali waktu belajar, waktu rehat, waktu aktiviti petang atau waktu mengaji Al Quran.

Tetapi sahabat di sekolah menengah amat rapat di hati aku. Aku bersekolah asrama selama 5 tahun di Perlis. 5 tahun itu aku dewasa bersama sahabat-sahabat aku. Kami bersama tidor, mandi, solat jemaah, makan 5 kali sehari, belajar, prep class petang dan malam, bersukan, bercuti, aktiviti ko-korikulum dan sebagainya. Waktu itu aku rasa aku lebih rapat dengan sahabat dari ahli keluarga ku sendiri. kami semua mempunyai ikatan yang kuat walau pun berlainan bangsa atau berasal dari negeri yang berbeza.

Kemudian aku menyambung pengajian di Uitm Trengganu selama 3 tahun. Teman kuliah tetap sama selama 3 tahun tetapi teman bilik bertukar-tukar. Perbezaan umur aku dengan teman kuliah dan teman bilik menyebabkan persahabatan tidak begitu terjalin kejap, tetapi aku gembira kerana mampu bersahabat dengan siapa sahaja sama pelajar dari Pantai Timur atau Pantai Barat. Tidak pernah aku bermasam muka dengan sesiapa pun walau pun aku tahu mereka ada bermacam-macam kerenah. Tapi aku berpegang kepada sikap selagi orang tidak mengganggu aku, aku pun tidak akan ganggu sesiapa.

Ah....panjang nya celoteh. Akan aku sambung kembali selepas ini.