Alhamdulillah. Selepas bertahun-tahun tidak bertemu, kelmarin aku bertemu semula dengan N. Dia tidak banyak berubah, masih slim dan manis sperti dulu. Kedatangannya membawa hajat. Menghulur kad jemputan perkahwinan anak sulungnya. Syukur ... dah nak terima menantu rupanya sahabatku ini.
Lebih bersyukur aku melihat perubahan corak kehidupan N. Dulu kehidupannya penuh payah. Dia berhenti kerja lebih awal dengan melepaskan jawatan tingginya di organisasi tempat kami bekerja. Waktu itu anaknya masih kecil-kecil. Aku tidak pasti apa perancangan N kerana dia tidak tidak mahu berkongsi cerita dengan kami. Hanya aku dengar selepas itu dia bekerja secara sambilan di beberapa stesen minyak.
Kemudian dia diduga lagi apabila suaminya K pula diberhentikan kerja oleh majikan. Aku hanya mampu mengucapkan simpati dalam hati. Aku berdoa semoga sahabatku ini diberi perlindungan Allah. Dia sahabat yang sangat baik. Kami masuk kerja bersama-sama pada 1 Jun 1984 .... bersamaan 1 Ramadhan. Selepas itu kami menjadi sahabat baik sehinggalah masing-masing mendirikan rumahtangga dan mempunyai kehidupan sendiri. Selepas berhenti kerja hubungan aku dan N terputus terus.
Ssetelah hampir 15 tahun menghilangkan diri, N muncul di hadapan rumahku bersama suaminya K dan anak-anak. Terharu aku melihatkan penampilan mereka yang nampak begitu tertib, Islamik dengan wajah yang jernih. Lebih membuat aku gembira apabila mengetahui kini K adalah seorang kontraktor yang berjaya. Anak-anaknya juga berjaya terutama putera ketiga yang merupakan seorang Al Hafiz. Subhanallah. Allah membalas setiap kesabaran N dengan nikmat yang melimpah-ruah. Setiap doa ikhlas dari hambaNya serta niat suci untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik akan diperkenankan Allah. Insyaallah.
Dalam pada itu, Allah masih menduga N dan K dengan mengurniakan putera bongsu yang merupakan seorang "anak istimewa". N ... aku yakin sahabatku menerima anugerah Allah ini dengan penuh kesyukuran. Aku lihat N dan keluarga amat mengasihi anak ini dan melayan kerenahnya dengan sabar. Mungkin kehadiran anak ini membawa bersamanya rezeki yang dijanjikan Allah. Semoga Allah terus memberikan keberkatan hidup buat kalian semua. Amin.
No comments:
Post a Comment