Friday, June 24, 2011

Karipap Panas Panas

Macam-macam saiz dan bentuk, nak tunjuk bakat kelim sendiri tepi karipap

Inti daging dengan lada hitam ... pedas dan panas

Jika ditanya makanan kegemaranku, jawapannya mudah ... karipap. Tetapi kerana susahnya mendapat karipap yang memenuhi citarasaku (mungkin sedap bagi orang lain, tetapi tidak sedap pada seleraku), aku "terpaksa" belajar membuat karipap sendiri.

Karipap buatan sendiri memang puas untuk di makan. Nak lebih pedas? Nak lebih masin? Nnak lebih ayam atau daging? Semua ikut selera sendiri. Tetapi tidak pasti samada oranglain akan kata SEDAP? Ha hahaha ... ini kes syok sendiri.


Aku dengan Puteri Tengah menyinsing tangan memulakan projek membuat karipap dengan dua inti berbeza. Satu inti kentang dengan ayam perisa kari. Yang satu lagi inti kentang dengan daging lada hitam. Yummy.

Resipinya seperti berikut. Maaflah tak ada sukatan terperinci sebab main agak-agak je, cuma pastikan mulut sentiasa merasa untuk mendapatkan citarasa yang diidamkan!!!

PASTRI

Setengah kilo tepung gandum
3 sudu besar buttercup
Setengah sudu teh garam halus
Air peti ais secukupnya

Gaulkan tepung, garam dan buttercup sehingga menjadi seperti serbuk roti yang sebati. Campurkan air peti ais sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang kenyal. Pastikan doh tidak melekat pada mangkuk bancuhan, kalau melekat maknanya terlebih air ... so kena tambah sikit tepung. Kalau keras pulak, tambah sikit air dan begitulah seterusnya. Bila dah siap daaaa. Practice make perfect!!!

Ambil doh sebesar penumbuk, canaikan hingga nipis (anggaran 2 mm tebalnya). Samada gunakan acuan karipap atau gunakan gelas untuk membentuk bulatan. Masukkan inti karipap secukupnya. Jangan terlalu kedekut dan jangan pula tamak. Kalau inti terlampau banyak, nanti bentuk karipap berbonjol-bonjol tidak cantik. Silap haribulan, kulit boleh terkoyak. Kalau pakai acuan karipap senang. Kalau secara manual, inilah masanya untuk menunjukkan bakat membuat kelim karipap yang cantik.

Isi karipap yang telah siap dalam tupperware dan simpan dalam petiais. Bila lapar, boleh dikeluarkan karipap untuk beberapa ketika sebelum menggorengnya.


INTI KARI

Semangkuk isi ayam dipotong dadu
2 biji kentang russet dipotong dadu
2 biji bawang besar dipotong dadu
3 tangkai daun kari dihiris halus
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang sederhana besar, 2 biji bawang putih - diblend
garam
air
gula
minyak masak

Panaskan minyak. Tumiskan bawang blend bersama serbuk kari hingga garing. Masukkan ayam dan kentang. Tambahkan sedikit air dan masak sehingga kentang lebut. Masukkan perasa gula, garam dan daun kari. Apabila inti hampir kering, masukkan bawang dadu dan kacau hingga rata. Tutup api dan biarkan sejuk sebelum digunakan.


INTI LADA HITAM

1 mangkuk daging dicincang
2 biji kentang russet dipotong dadu
2 biji bawang besar dipotong dadu
1 biji bawang besar dan 3 biji bawang putih - blend
beberapa batang daun sup dan daun bawang diris halus
serbuk lada hitam
sos lada hitam
air
garam
gula
minyak masak

Panaskan minyak. Tumiskan bawang blend bersama daging cincang. Kacau hingga sebati dan daging hampir masak. Masukkan kentang, serbuk lada hitam, sos dan air. Masak hingga kentang lembut. Masukkan garam dan gula. Apabila inti hampir kering, masukkan bawang dadu dan hirisan daun. Kacau hingga sebati dan tutup api.

Mudah jer kan??!!!

No comments: