Showing posts with label Ayah dan Ibu. Show all posts
Showing posts with label Ayah dan Ibu. Show all posts

Wednesday, August 10, 2016

Bersabarlah ... itu separuh dari iman

Hari ni hari ke-5 Emak terbaring jer di katil. Sebelum ni walaupun dia agak uzur tapi mau juga duduk di depan TV menonton program2 keagamaan di TV Al-Hijrah atau TV9.  Kali ini terus terbaring jer. Bila duduk terasa sakit katanya.

Khamis lepas semasa hendak mengambil wudhu Emak tergelincir di bilik air. Terkejut aku dan Abah. Dengan badannya yang agak besar, tidak mampu aku dan Abah mengangkatnya keluar dari bilik air.  Anak2 belum pulang dari tempat kerja mereka. Terpaksalah Emak merangkak perlahan keluar  dari bilik air. Allah hu akbar. Kesian sungguh aku melihatkannya. Tak sedar tumpah berderai airmata aku.

Aku tukar pakaian Emak. Aku sapu minyak angin di tempat dia terasa sakit. Malam tu emak tidur awal. Puteri Bongsu yang tidor di sebelah Emak pun bagitau yang Opahnya mengigau teruk sepanjang malam. Agaknya terkejut akibat terjatuh tadi. Kesiannya dekat Emak.

Mujurnya besuknya Jumaat menantu ku Hafiz bercuti. Hafiz kerja di Kedah, memang bercutilah pada hari Jumaat. Adalah bantuan tenaga lelaki untuk Abah memapah Emak. Kami bawa Emak ke Klinik Kesihatan Seberang Jaya. Alhamdulillah di klinik ada kemudahan kerusi roda. 

Dengan izin Allah semua urusan kami hari itu dipermudahkan. Pesakit tidak ramai sebab klinik pakar tak beroperasi. Kami tidak perlu menunggu lama untuk pendaftaran, berjumpa doktor, melakukan ujian Xray, berjumpa doktor semula dan mengambil ubat.

Alhamdulillah ujian Xray menunjukkan tulang Emak takder yang patah atau retak. Doktor berpendapat pergerakan Emak semasa jatuh menyebabkan tisu2 di punggungnya cedera. Bagi seorang yang dah berumur 78 tahun dan mengidap kencing manis pulak, nak pulih tu memang akan mengambil masa juga.

Aku berharap Emak bersabar dan redho dengan ujian ni. Tapi nampaknya tubuh Emak dah tak mampu menerima sebarang kejutan. Hati Emak pun terlalu mudah tersentuh. Pada hari Sabtu Emak demam. Selera makannya merudum.

Emak tolonglah kuat. Jangan ikutkan hati. Jangan sekali mengeluh seolah2 menyesali ujian Allah.  Kita sama2 berdoa dan berusaha supaya Emak kembali sembuh.  Bersabarlah

Thursday, June 12, 2014

Akhirnya ... Selesai

Setelah 2 hari berkampung di  pejabat Konsulat Indonesia, barulah semuanya selesai.

Aku tak sangka cerewetnya prosidur untuk bibik balik bercuti.  Bibik Rukiah, yang menjaga Emak selama 2 tahun nak balik bercuti ke Lombok sepanjang bulan Ramadhan ni.  Flight balik ke Lombok pada 24 Jun ni. Jadi macam biasa aku minta ejen menguruskan kepulangan Rukiah.

Ejen bernama Badariah macam biasalah, belikan tiket pergi-balik dan berurusan dengan pihak Konsulat pada awal bulan Mei lepas. Pihak konsulat tak mau berurusan dengan ejen. Badariah tanya apa prosidur perlu dipatuhi. Kakitangan konsulat maklumkan majikan perlu hadir, bibik tak perlu. Kalau majikan tak dapat hadir, boleh lantik wakil yang ada hubungkait kekeluargaan.  Dokumen diperlukan cukup banyak :

  1. surat melantik wakil
  2. salinan IC majikan dan isteri
  3. salinan surat nikah
  4. salinan IC wakil
  5. salinan surat beranak majikan dan wakil (untuk mengesahkan terdapat hubungan kekeluargaan)
  6. salinan pasport bibik (tiap2 mukasurat)
  7. pasport asal bibik
  8. salinan buku bank atau bank statement
  9. salinan tiket penerbangan
  10. salinan perjanjian majikan dan bibik
  11. salinan dokumen penghantaran wang ke Indonesia
Setelah siap semua dokumen aku dan Abah pergi ke Konsulat Indonesia di Jalan Burma Pulau Pinang pada 10 Jun baru2 ini.  Rupanya pejabat Konsulat cuma beroperasi pada pukul 9 pagi. Aku orang ke-4 mendaftarkan diri di kaunter. Kami diberi checklist  dan borang untuk diisi.

Maka bermulalah proses menunggu yang lama. Lebih teruk tempat menunggu tu agak kecil dan panas. Aircond nya dah rosak. Walaupun ada kipas tetapi tidak mampu melegakan kepanasan. Terpaksa mengipas2 tubuh dengan kertas surat khabar.

Pukul 10.45 baru aku dipanggil (jangan lupa ... aku orang ke-4 mendaftar pada pukul 9 pagi). Bagai nak pitam aku bila diberitahu, majikan dan bibik kena datang sendiri sebab mereka nak interview kedua2nya. Aduhh!!  Dalam tempoh sebulan lebih, prosidur boleh berubah2 macam tu. Aku tak ada pilihan terpaksa memaksa adik aku Hazrin sebagai majikan datang bersama Rukiah untuk urusan ini. Mujurnya sekarang cuti sekolah, Hazrin tidak mengajar.

Lewat malam Hazrin dan keluarga tiba bersama Rukiah. Emak di kampung ditinggalkan bersama2 anak Hazrin yang berumur 11 dan 13 tahun serta seorang makcik jiran.

Pada 11 Jun kami pergi semula ke Konsulat yang mendaftar. Kali ni kami dapat nombor 6 .... hrmm mesti lambat giler!!!  ceh kenapa aku berfikiran gitu, kan ker dah jadi macam doa pulak. Kali ni dokumen disemak dan yang diambil cuma benda2 ni jer :

  1. pasport asal bibik
  2. salinan pasport bibik
  3. salinan IC majikan 
  4. salinan buku bank atau bank statement
  5. salinan tiket penerbangan
  6. salinan dokumen penghantaran wang ke Indonesia

 
Aku berzikir sepanjang tempoh menunggu supaya urusan kali ni dipermudahkan. Setelah penuh sabar menunggu dari pukul 9 pagi, akhirnya Rukiah dipanggil masuk pukul untuk interview pada pukul 11.50.  Kira2 15 minit kemudian Hazrin pula dipanggil masuk. Kemudiannya kami diminta datang mengambil surat kelulusan pada pukul 3 petang.

Perut dah lapo, jom cari makan. Memandangkan masa pun panjang, aku ajak mereka ke Tanjung Bungah. Kami makan tengah hari di Medan Selera Tanjung Bungah.  Adik aku Hazrin terperanjat. Yang berjual di medan selera ni semua Melayu menjual nasi melayu yang lengkap ulam dan sambalnya, pelbagai kerabu, pelbagai gulai dan sambal tumis, ada juga gerai roti canai dan gerai air minuman.  Tetapi pelanggannya hampir 70% adalah bangsa Cina. Kami seronok tengok muka mereka relax jer makan lauk-pauk yang boleh tahan pedasnya. Memang Cina di Pulau Pinang dah lama terdedah dengan makanan pedas dan berempah.

Masjid Terapung Tanjung Bungah (kredit to tastyornot.blogspot)
Selesai makan kami solat di Masjid Terapung Tanjung Bungah. Cantik, bersih dan selesa masjidnya. Alhamdulillah. Aku memang sangat cerewet bab kebersihan di tandas dan ruang solat masjid sebab bagi aku kebersihan itu menggambarkan imej umat Islam.

Selesai solat kami berehat sekejap di tepi pantai. Wahhh ... angin yang menderu2 buat aku mengantuk. Alangkah bestnya kalau ada tikar dan bantal waktu gini ... hehehhehe.

Kami kembali ke Konsulat pukul 3 petang untuk memungut pasport dan surat kelulusan. Alhamdulillah, selesai akhirnya!!!!

psttt :  aku tanya Rukiah, semasa interview, apa soalan yang ditanya. Kebanyakan soalan menjurus kepada kebajikan bibik ... baguslah tu :
  1. ada majikan sediakan bilik, katil, tilam, bantal
  2. berapa kali makan sehari
  3. ada majikan bagi cuti mingguan
  4. pernah sakit? majikan hantar hospital/klinik? siapa yang bayar?
  5. ada majikan sakiti kamu secara fizikal atau mental
  6. ada majikan bagi rehat, berapa kali sehari, berapa lama?
  7. siapa pegang pasport kamu
  8. ada majikan halang kamu beribadat
  9. apa kerja kamu di rumah majikan dan beberapa soalan lagi
Hazrin pula diminta naikkan gaji Rukiah daripada RM600 sekarang kepada RM700 walaupun sepatutnya gaji basic RM800 (memorandum kenaikan gaji masih belum ditandatangani pihak Malaysia dan Indonesia, sebab tu konsulat tak begitu berkeras untuk naikkan kepada RM800 ... selamat bajet kami). Hazrin perlu tandatangani satu surat pulak tentang naik gaji ni.  Buat ajalah, asal semua selesai dengan baik.

Monday, December 31, 2012

Kebahgiaan Seorang Ibu

Setiap kali aku melambai Emak, mata aku jadi kabur menahan tangis. Airmata bertakung tunggu masa jer nak gugur. Aku pasti Emak pun macam tu.  Kesian Emak, kesepian lagi ditinggalkan anak-anak.

Aku dan Emak
Begitulah juga petang semalam. Setelah 2 malam kami berkampung beramai-ramai di rumah Emak, kami terpaksa pulang ke rumah masing-masing. Hari ni ada yang perlu bekerja sebab cuti tak di luluskan.  Ada yang nak buat persiapan anak nak masuk sekolah.  Semua ada urusan sendiri. Tapi percayalah Emak, anak-anak Emak tak pernah melupakan Emak. Kami selalu mendambakan suasana begini, berhimpun beramai-ramai bergelak ketawa, bercerita  pelbagai kisah, makan tak henti-henti, suasana penuh hiruk-pikuk.  Tetapi kami tak dapat mengubah keperluan diri, mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan menuntut ilmu bagi cucu-cucu Emak.

Sebenarnya kami semua pulang ke kampung kerana meraikan perkahwinan anak sepupu kami di Ipoh.  Semasa kenduri memanglah seronok dapat berjumpa ramai sepupu, ibu saudara dan kenalan jauh dan dekat. Selepas kenduri kami berkumpul di rumah Emak.  Semua ada kecuali 2 adik lelaki ku yang terpaksa bekerja pada hari minggu dan seorang lagi bercuti ke rumah mertua di Kelantan. Lebih meriah kerana kakak aku Yong membawa 2 menantu perempuan dan cucunya pulang bersama.

Bayangkan betapa riuhnya dari siang membawa ke malam.  Semua ruang dipenuhi anak cucu.  Bila malam semua bilik, ruang tamu, ruang keluarga di bahagian atas rumah penuh anak cucu bergelimpangan tidur. Bunyi dengkur bersahut-sahutan, macam-macam irama ......  hahahaha

Putu Perak - rasanya memang sedap dan unik.  Hanya terdapat di Perak
 (gambar putu yang cantik terima kasih dan kredit kpd blogger Cendana Kasih)
Pagi-pagi kami sudah bangun menyediakan sarapan pagi.  Tak cukup dengan nasi goreng yang dimasak, ada pula yang membeli kuih-muih yang hanya ada dijual di kampung aku di Perak.  Selepas sarapan dah masuk dapur semula untuk sediakan masakan tengah hari. Pada hari Sabtu, kami semua pergi kenduri, jadi kami cuma makan tengah hari bersama pada hari Ahad. Semua anak dan cucu perempuan bekerjasama di dapur. Tak ada yang curi tulang.  Emak dengan gagahnya memasak gulai tempoyak dan kari telur untuk anak cucunya.  Kalau berseorangan di kampung, Emak memang jarang memasak. Hanya Bibik Kiah yang akan menggoreng ikan, menumbuk sambal dan merebus samada pucuk ubi, jantung pisang atau terung untuk Emak. Tetapi hari ni tenaga Emak tiba-tiba datang, tentunya kehadiran anak cucu menyuntik semangatnya.

Sambil potpet-potpet, kami kaum ibu dapat menyediakan pelbagai menu dengan pantas :-

1.  gulai tempoyak ikan dengan taugeh kasar
2.  kari telur dengan kentang
3.  sambal tumis ikan bilis dengan petai
4.  ayam goreng
5.  ikan sardin goreng
6.  ikan masin gelama dan bulus ayam
7.  sambal tempoyak, sambal belacan, cencalok
8.  pucuk salang rebus
9.  ulam timun, kacang panjang, petai dan daun salad
10. sirap limau

Kaum bapa pun tak kalah asyik bersembang dengan gelak ketawa sambil makan rambutan yang dah sampai penghujung musimnya.

Keriuhan ditambah oleh cucu-cucu yang berlari ke atas dan ke bawah. Berdegum-degum bunyi lantai dipijak kaki-kaki kecik dan besar.  Ada juga yang bergaduh dan menjerit-jerit. Terpaksa ada referee pula supaya gaduh tak berpanjangan ... hehehhehhe.

Selepas zohor, semua mula berangkat pulang ke destinasi masing-masing kecuali adik ku Nita yang akan bermalam sehari lagi.  Jelas kelihatan wajah Emak sayu melepaskan anak-anak pulang.  

Emak ... kami semua sayangkan Emak. Kami semua menghargai kasih sayang Emak. Kami semua doakan semoga Emak mendapat kesejahteraan hidup.  Kami semua juga mengharapkan doa dan restu Emak untuk kami meneruskan kehidupan kami.  Ya Allah, Engkau sempurnakan kehidupan kedua ibubapa kami di dunia dan di akhirat dan kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami. Ameen

Gambar sebahagian keluarga besar kami.  Gambar ni diambil
7 tahun yang lalu, sekarang jumlah ahli keluarga dah
bertambah-tambah.  Kena plan ambil gambar terbaru

Thursday, February 9, 2012

Tak Terdaya Nak Menahan ....

Setelah sebulan tinggal bersama-sama aku, akhirnya Emak pulang ke rumahnya di kampung.  Sudah berkali-kali dia merungut meminta aku menghantarnya balik kampung, tapi aku cuba mencari dalih.  Sehingga aku rasa berdosa pulak, menyebabkan Emak tak gembira.

Wajah Emak jadi layu,  senyum pun sudah kelat. Bercakap pun apabila perlu. Banyak masanya dihabiskan dalam bilik samada tidur atau membaca Al Quran.  Apabila diajak keluar berjalan, dia menolak dengan alasan sakit pinggang dan kaki.

Akhirnya aku terpaksa akur.  Setelah berbincang dengan Abah dan adik-beradik aku yang lain, kami setuju untuk Emak tinggal di kampung selama 1 minggu sahaja. Itupun perlu berteman.  Sebelum aku dan Yong sempat mengambil tindakan untuk mengatur sesiapa bagi menemani Emak di kampung, Emak telah bersuara, "Tak payah susah-susah!  Emak dah atur sendiri.  Opah Yam dan Opah Puteh dah janji nak meneman Emak siang dan malam!!" Waduh ... lagi cekap daripada kami. Masalahnya Opah Yam dan Opah Puteh inipun sama macam Emak.  Kedua-duanya sudah berumur lebih 70 tahun dan tidak kuat dan kurang sihat.  Macamana mereka nak menjaga Emak.

"Buat apa nak jaga Emak?  Emak bukannya tak sihat?  Deme tu dah setuju untuk meneman Emak. Nanti kami masak le sama-sama, mengaji sama-sama .... bukannya nak buat kerja teruk-teruk pun!!" leter Emak.  Okay ... aku tak mampu membantah lagi.

Kami hantar Emak ke kampung dengan hati yang berat. Aku belikan ikan dan sayur untuk bekalan 1 minggu. Aku siang dan bersihkan ikan-ikan tersebut dan susun rapi-rapi dalam petisejuk untuk kemudahan Emak. Yong pula membelikan barangan kering mencukupi untuk kegunaan Emak dan tetamunya.  Kami mahu pastikan Emak selesa dan cukup serba-serbinya.

Janjinya ... setelah seminggu, Emak perlu ikut Yong ke Kuala Lumpur pula.  Selain rumah Yong, Emak boleh memilih untuk tinggal di rumah Nita atau Mimi juga.  Pilihlah yang mana Emak berkenan, kami anak-anak sentiasa menerima kedatangan Emak dengan hati dan tangan terbuka.  Selagi bibik baru belum tiba, Emak tidak boleh tinggal di kampung.  Bermacam-macam bayangan ngeri melintas kepala aku memikirkan Eemak bersaorangan di kampung.  Nauzubillah.

Emak dan aku
Bercucuran airmata aku meninggalkan Emak di kampung.  Emak .... maafkan aku kalau sepanjang tinggal bersamaku, aku tidak mampu memberikan layanan yang terbaik. Aku telah mencuba untuk memberikan yang terbaik tetapi mungkin  aku masih gagal membahagiakan Emak. Aku mungkin gagal memberikan kegembiraan buat Emak.  Ampunkan segala kekurangannku. Aku memohon redho Emak untuk kebahgiaan aku di dunia dan di akhirat.

Tuesday, January 24, 2012

Emak ... Maafkan Aku

Emak dan Puteri Bongsu di  Pantai Merdeka
Sudah 2 minggu Emak duduk dengan aku.  Semenjak Atun pulang ke Indonesia, aku bawa Emak tinggal dengan aku. Tak mungkin nak tinggalkan Emak seorang diri di kampung. Nanti sakit peningnya . ..siapa nak jaga, makan pakainya siapa nak sediakan, sunyi sepinya siapa nak temankan.

Tapi Emak tetap Emak. Semalam dia mula bersuara, "Bila bibik baru nak tiba. Emak dah tahan nak balik kampung".  Aku terpaksa sembunyikan rasa kecewa ku.  Baru 2 minggu dah tak betah lagi duduk dengan aku. "Sabarlah Emak.  Bibik baru tu kerajaan Indonesia tak bagi masuk Malaysia lagi.  Lagipun hari Jumaat ni Emak kena jumpa doktor".  Emak hanya berdiam diri.  Tetapi air mukanya jelas membayangkan kekecewaan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama keadaan ini berlaku. Malah sudah berkali-kali. Setiap kali Emak pergi ke rumah aku atau adik-beradik ku yang lain, dia hanya mampu bertahan antara 2 hingga 3 minggu aje. Selepas tu, Emak mula nampak gelisah, malah kadang-kadang jatuh sakit.

Aku cuba yang terbaik untuk buat Emak selesa. Aku akan bangun pagi seawal mungkin untuk sediakan sarapannya supaya penyakit gastriknya tidak menyerang.  Aku akan sediakan makanan tengahari dan malam lebih awal dari biasa kerana Emak makan tengahari pukul 11.30 pagi dan makan malam pukul. 6.30 petang.  Aku cuba merekacipta resipi yang memenuhi keperluan kesihatan Emak, tidak pedas, tidak masin, tidak berminyak, tidak masam.  Sayang sekali Emak tak suka makan sup.  Bukanlah masalah besar bagi aku untuk menyediakan semua itu ... tetapi Emak sudah memasuki peringkat di mana seleranya makannya amat merosot. Kadang-kadang untuk menghabiskan sesenduk nasi pun amat payah.  Kadang-kadang aku pujuk Emak, kadang-kadang aku paksa Emak makan ... nawaitu  aku supaya Emak tidak diserang gastrik.

Aku cuba hiburkan Emak dengan mengajaknya makan di luar atau bersiar-siar, tetapi Emak selalu menolak. Tidak larat!!!  Sebenarnya Emak tidaklah begitu tua mengikut keadaan sekarang. Umur Emak baru 73 tahun. Beberapa emak saudaraku dan kawan-kawan sekampung yang umurnya sebaya Emak masih kuat dan cergas, bergerak ke sana ke mari dengan penuh tenaga dan ceria.  Tetapi Emak yang mengidap pelbagai penyakit kehilangan semua nikmat itu. Penyakit ostoporasisnya menyebabkan dia kurang berupaya bergerak ke mana-mana.  Malah Emak mengelak untuk perjalanan jarak jauh, dia tidak tahan kesakitan duduk lama sepanjang perjalanan.  Penyakit kencing manisnya menyebabkan Emak cepat letih.  Penyakit darah tinggi pula enyebabakan  Emak terlalu berhati-hati tentang soal makan.  

Emak selalu menyatakan dia selesa duduk di kampung. Di sana dia rasa dekat dengan segala yang ditinggalkan oleh Arwah Apak. Rumah yang didirikan Apak 50 tahun lalu, pokok-pokok yang ditanam Arwah Apak, pusara Apak, basikal Apak ... semuanya.  Mungkin Emak sudah rindu kepada semua itu. Tapi aku tidak mampu membiarkan emak kesaorangan di kampung sehinggalah bibik yang baru tiba.  Aku terpaksa "membiarkan" Emak menanggung derita rindunya untuk beberapa waktu lagi. Emak .... maafkan aku.