Emak dan Puteri Bongsu di Pantai Merdeka |
Tapi Emak tetap Emak. Semalam dia mula bersuara, "Bila bibik baru nak tiba. Emak dah tahan nak balik kampung". Aku terpaksa sembunyikan rasa kecewa ku. Baru 2 minggu dah tak betah lagi duduk dengan aku. "Sabarlah Emak. Bibik baru tu kerajaan Indonesia tak bagi masuk Malaysia lagi. Lagipun hari Jumaat ni Emak kena jumpa doktor". Emak hanya berdiam diri. Tetapi air mukanya jelas membayangkan kekecewaan.
Sebenarnya ini bukan kali pertama keadaan ini berlaku. Malah sudah berkali-kali. Setiap kali Emak pergi ke rumah aku atau adik-beradik ku yang lain, dia hanya mampu bertahan antara 2 hingga 3 minggu aje. Selepas tu, Emak mula nampak gelisah, malah kadang-kadang jatuh sakit.
Aku cuba yang terbaik untuk buat Emak selesa. Aku akan bangun pagi seawal mungkin untuk sediakan sarapannya supaya penyakit gastriknya tidak menyerang. Aku akan sediakan makanan tengahari dan malam lebih awal dari biasa kerana Emak makan tengahari pukul 11.30 pagi dan makan malam pukul. 6.30 petang. Aku cuba merekacipta resipi yang memenuhi keperluan kesihatan Emak, tidak pedas, tidak masin, tidak berminyak, tidak masam. Sayang sekali Emak tak suka makan sup. Bukanlah masalah besar bagi aku untuk menyediakan semua itu ... tetapi Emak sudah memasuki peringkat di mana seleranya makannya amat merosot. Kadang-kadang untuk menghabiskan sesenduk nasi pun amat payah. Kadang-kadang aku pujuk Emak, kadang-kadang aku paksa Emak makan ... nawaitu aku supaya Emak tidak diserang gastrik.
Aku cuba hiburkan Emak dengan mengajaknya makan di luar atau bersiar-siar, tetapi Emak selalu menolak. Tidak larat!!! Sebenarnya Emak tidaklah begitu tua mengikut keadaan sekarang. Umur Emak baru 73 tahun. Beberapa emak saudaraku dan kawan-kawan sekampung yang umurnya sebaya Emak masih kuat dan cergas, bergerak ke sana ke mari dengan penuh tenaga dan ceria. Tetapi Emak yang mengidap pelbagai penyakit kehilangan semua nikmat itu. Penyakit ostoporasisnya menyebabkan dia kurang berupaya bergerak ke mana-mana. Malah Emak mengelak untuk perjalanan jarak jauh, dia tidak tahan kesakitan duduk lama sepanjang perjalanan. Penyakit kencing manisnya menyebabkan Emak cepat letih. Penyakit darah tinggi pula enyebabakan Emak terlalu berhati-hati tentang soal makan.
Emak selalu menyatakan dia selesa duduk di kampung. Di sana dia rasa dekat dengan segala yang ditinggalkan oleh Arwah Apak. Rumah yang didirikan Apak 50 tahun lalu, pokok-pokok yang ditanam Arwah Apak, pusara Apak, basikal Apak ... semuanya. Mungkin Emak sudah rindu kepada semua itu. Tapi aku tidak mampu membiarkan emak kesaorangan di kampung sehinggalah bibik yang baru tiba. Aku terpaksa "membiarkan" Emak menanggung derita rindunya untuk beberapa waktu lagi. Emak .... maafkan aku.
No comments:
Post a Comment