Pagi ini Emak menangis. Aku tau dia rasa amat kehilangan. Selalunya apabila bangun pagi aje, Atun akan setia di sisinya. Tapi Atun telah meninggalkannya. Kelmarin, 17 Januari 2012 dengan rasminya Atun atau Sumiaton menamatkan khidmatnya sebagai pembantu Emak dan kembali ke negara asalnya Indonesia.
Sumiaton - kami mendoakan kesejahteraan hidup kamu sekeluarga |
Atun yang berumur 40 tahun setia menjaga Emak selama 30 bulan. Walaupun adakalanya Emak bersikap keras kepadanya, dia tetap bersabar. Kami juga selalu memujuk Atun agar bersabar dengan kerenah Emak. Anggaplah itu lumrah sikap orang-orang tua, kadang-kadang emosinya sukar ditelah. Ada masa dia begitu sayang kepada Atun, di masa yang lain semua tindakan Atun tidak kena di matanya. Selalu kami berpesan "Anggaplah Emak sebagai emak Atun sendiri, jagalah dia dengan kasih-sayang".
Sebenarnya Atun mahu menamatkan kontraknya setelah cukup tempoh 2 tahun. Tetapi kami memujuknya untuk menyambung lagi sehingga genap 3 tahun. Kami tawarkan gaji yang lebih tinggi. Tetapi dia masih berkeras untuk berhenti. Mungkin kerana kasihan kepada Emak, dia hanya sanggup menyambung 6 bulan sahaja dan meminta kami berusaha mencari pengganti,
Masalahnya bukan senang nak dapat pengganti. Isu pembantu rumah (PR) antara Malaysia dengan Indonesia masih tergantung. Mulanya dimaklumkan kemasukan PR akan bermula akhir 2011. Tetapi sampai sekarangpun bayang PR baru masih belum muncul. Ejen pun dah takut menjawab panggilan telefon dari aku. Katanya mungkin akhir bulan Mac pulak baru dapat PR baru. Hrmmm ... memang susah kerajaan Indonesia nak melepaskan rakyatnya ke Malaysia kali ini. Inilah akibatnya apabila kita tidak mensyukuri nikmat yang ada. Dapat PR yang murah, ramai majikan jadi kaki dera pulak.
Atun kami anggap tip-top dalam penjagaan Emak. Mungkin dia kurang pandai memasak dan mengurus rumahtangga. Tak mengapa. Yang penting jaga Emak. Urut badan Emak bila dia lenguh. Bancuhkan air bila dia dahaga. Hidangkan makanan bila dia lapar. Suapkan ubat bila tiba waktunya. Temani Emak supaya tidak kesunyian. Semua tugas itu dibereskan dengan jayanya oleh Atun. Malah jiran-jiran Emak di kampung pun dah jatuh sayang pada Atun. Bukan sikit airmata yang tumpah semasa mengiringi Atun berangkat dari rumah Emak tempoh hari. Malah banyak juga buahtangan yang dihulurkan kepada Atun.
Wajah sedih mengiringi perpisahan |
Aku tanya Atun kenapa tidak mau bekerja dengan Emak lagi. Katanya dia fikirkan nasib dua anaknya di kampung. Dulu anaknya tinggal bersama emaknya. Apabila Emaknya meninggal dalam bulan Ramadhan lepas, mereka dijaga oleh kakak Atun. Anak-anak ini sering mengadu tidak selesa tinggal bersama ibu saudara, terasa tersisih dan menumpang sahaja. Demi hati anak-anaknya, dia terpaksa pulang untuk menjaga sendiri mereka. Dia yang merupakan seorang ibu tunggal bercadang membuka perniagaan runcit di kampung hasil wang yang dikumpul selama 30 bulan bekerja di Malaysia.
Kami doakan kehidupan Atun dan keluarga diberkati Allah selamanya. Dan ... kami juga berdoa semoga pembantu yang baru kelak sebaik Atun juga.
No comments:
Post a Comment