Tuesday, January 10, 2012

Bandung - Jakarta (18 Dec 2011)

Bangun pagi dahpun kedengaran bunyi muzik jawa ... ada bunyi gemelan dan peralatan muzik traditional yang lain.  Aku segera menjenguk keluar  bilik. Ohhh .... rupa-rupanya di ruang foyer hotel tersebut akan berlangsung majlis. Majlis perkahwinan. Semalam akibat terlalu letih, aku tidakpun perasan apa yang berlaku di ruang tersebut.Kelihatannya ada pelamin, kerusi tetamu, meja bankuet dan ruang yang berhias indah.   Selepas sarapan, kami mempunyai banyak masa untuk mengemas beg atau berehat,  tetapi kebanyakan kami mengambil peluang untuk menyaksikan majlis ini.  Dari banner yang terpasang, tahulah aku ini majlis perkahwinan antara Nia dan Budhi (nama penuh tidak ditulis .... mesti panjang berjela).  Tepat jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Indonesia), kelihatan Budhi dan rombongannya tiba ke lobi hotel.  Dia dan rombongannya begitu sporting tersenyum kepada kami pelancong dari Malaysia yang menyebuk jadi jurugambar pada majlis tersebut.

Majlis  yang berlangsung pagi ini adalah majlis pernikahan.  Majlis resepsi akan diadakan di lokasi yang sama pada waktu tengah hari. Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat. Kami turut mengaminkan.  Semoga pengantin berbahagia hingga ke akhir hayat.  Seterusnya diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran surah An-Nur oleh sepasang qari dan qariah.  Pembacaan bergilir-gilir, satu ayat qari, satu ayat qariah dan begitulah seterusnya diikuti oleh terjemahannya.  Seterusnya wakil pengantin lelaki memberi ucapan.  Aku tidak faham apa yang dituturkan, mungkin mereka menggunakan dialek Sunda, suku kaum yang utama di Bandung.  Bagaimanapun kami tidak dapat menyaksikan aturcara majlis seterusnya kerana terpaksa beredar untuk bertolak ke Jakarta.

Budhi diarak masuk ke hotel untuk majlis pernikahan


Tempat majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan akan dilangsungkan
Sebelum meninggalkan Bandung kami singgah dahulu ke kawasan membeli-belah Cihampelas.  Dimaklumkan ini merupakan syurga membeli-belah untuk barangan factory outlet.  Semua barang ada di sini, barang berjenama atau tak berjenama, barangan kulit tempatan malahan permainan menyerupai senapang patah pun ada.  Muzik pun kuat kedengarannya, mungkin untuk menarik perhatian pelancong.  Setelah hampir 1 jam di sini kami memulakan perjalanan ke Jakarta melalui Lebuhraya Cipularang.  Dari highway ini jelas kelihatan Tangkuban Perahu yang kemuncaknya masih ditutupi kabus.

Pelbagai jenis barangan ada di Cihampelas
Laluan sepanjang highway agak baik.  Kereta di sini dipandu laju juga seperti di Malaysia. Jalannya sebahagian diturap tar dan ada beberapa kawasan diturap simen.  Di kiri-kanan highway kelihatan gunung-ganang yang cantik, sawah yang berlapis-lapis di lereng bukit, ladang tebu, kebun sayur, perkampungan dan masjid-masjid yang kecil tetapi begitu banyak.  Apabila semakin hampir ke Jakarta, kelihatan banyak kawasan industri di kiri-kanan highway.

Setelah 3 jam perjalanan, kami sampai ke Jakarta dan terus singgah ke restoran nasi padang untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong.  Bersebelahan restoran itu terdapat sebuah masjid yang kecil. Pada mulanya kami ingatkan musolla kerana saiznya yang boleh memuatkan hanya 4 saf (lebihkurang 40 orang jemaah).  Petugas restoran mengesahkan itu adalah masjid dan mereka mengadakan solat Jumaat setiap minggu di situ.  Rupanya masalah keluasan tanah yang terhad serta penempatan penduduk yang padat menyebabkan mereka membina masjid yang kecil-kecil tetapi jaraknya hampir antara satu dengan yang lain.

Kami seterusnya bertolak ke Pasar Tanah Abang yang merupakan kompleks membeli-belah yang digemari pelancong Malaysia.  Di sini merupakan tempat penjualan pelbagai busana muslim, tudung, batik dan telekong yang cantik dan murah. Sayang sekali kami tiba pada masa yang salah .... rupanya hari Ahad banyak kedai yang tutup.  Hanya beberapa kedai di setiap tingkat yang dibuka.  Frusttt.  "Rendra!!!! Kenapa kamu tidak beritahu awal-awal supaya kami boleh habiskan rupiah kami di Bandung???" marah ibu-ibu. "Ampunnn buu ... saya terlupa untuk maklumkan".  Hrmmmmm......

Pasar Tanah Abang - hasrat nak shopping hari terakhir tak tercapai
Memandangkan tidak banyak yang dapat dibeli, kami bertolak dari Tanah Abang dan menyusuri Pusat Bandaraya Jakarta. Hari Ahad perjalanan sungguh tenang.  Kereta tidak banyak dan jalan pun tidak jam. Agaknya mereka sudah jemu 6 hari seminggu bergelut dengan traffic jam, hari Ahad digunakan sepenuhnya untuk berehat di luar Jakarta.  Kebanyakan bangunan tinggi dan cantik merupakan pejabat kerajaan, hotel ataupun pusat membeli-belah.  Suasana menyambut Krismas telah kelihatan dengan banyaknya pokok-pokok Krismas menghiasi lobi-lobi hotel dan pusat membeli-belah. Hati terasa megah melihat bangunan Maybank Syariah yang tersergam dan cawangan CIMB yang kelihatan di banyak lokasi.  Kereta Proton juga kelihatan banyak di jalanraya.

Proton .... teksi di Jakarta??
Seterusnya malam ini kami makan malam perpisahan di sebuah restoran yang cantik dan menyajikan menu masakan Sunda.  Antaranya dihidangkan adalah ayam penyek, sayur lemak pucuk ubi, tempe goreng dan beberapa menu daging dan udang.

Semua seronok nak pekena masakan menu Sunda
Dalam perjalanan ke hotel, kami melintasi Masjid Istiqlal yang besar dan cantik.   Masjid terbesar di Asia Tenggara yang mampu memuatkan seramai 120 ribu jemaah ini direkabentuk oleh seorang arkitek Kristian bernama Frederich Silaban.

Seterusnya kami tiba di hotel Gren Alia Cikini.  Hotel bertaraf 2 bintang ini kelihatan sungguh mewah kerana semua dinding dan lantainya ditutupi marmar berwarna gelap.   Sebelum masuk ke bilik masing-masing, kami sempat bergambar beramai-ramai di lobi hotel berkenaan.

25 pelancong Malaysia bersama Pak Rendra - berbaju petak di hadapan sekali

No comments: