Sepanjang 5 hari di Jakarta dan Bandung, sebenarnya tidak cukup untuk aku mengenali negara ini secara dekat. Tetapi untuk kenangan dan panduan aku pada masa depan, berikut adalah catatan kenangan 5 hari pada penghujung tahun 2011 :-
- perbezaan waktu antara Malaysia dan Indonesia adalah 1 jam, kalau di Malaysia pukul 6 petang, di Indonesia baru pukul 5 petang
- wang kertas matawang rupiah Indonesia paling besar ialah 100,000 rupiah (bersamaan RM33)
- harga barangan di kebanyakan pasar adalah murah, tetapi masih boleh ditawar. Jangan takut menawar. Sekiranya mereka berkeras tidak mahu menurunkan harga walaupun kita mengugut untuk meninggalkan kedai tersebut, bermakna memang harganya sudah sedia murah dan penjual akan rugi jika dikurangkan lagi. Jadi janganlah sampai bergaduh pulak, kesian juga pada penjual nak cari makan. Lagipun anda sedang berada di "tempat orang" .... harus berhati-hati
- sebaiknya bawa kalkulator (handphone pun boleh) untuk memudahkan proses tawar-menawar. Atau buat macam kami, sediakan jadual conversion rate (100,000 rp = RM33/ 50,000 rp = RM16.70/ 150,000 rp = RM50.00 dan seterusnya). Bila nak tawar-menawar, rujuk je pada jadual ni.
- hari Ahad adalah hari beristirehat, kedai-kedai pun banyak yang tutup. Mungkin hari Ahad lebih sesuai untu sesi lawatan ke tempat-tempat bersejarah
- kedai makan banyak di sepanjang jalan. Samada di Jakarta atau Bandung kelihatan paling banyak retsoran Nasi Padang. Sesekali terjumpa restoran masakan Madura, Sunda dan Betawi.
- samada masakan itu halal atau tidak sukar dipastikan. Samada Islam atau Kristian, mereka berwajah sama, nama sama, pertuturan sama dan pakaian pun sama. Walau bagaimanapun, wanita Muslim boleh dikenali apabila mereka memakai tudung (itulah indahnya pakaian wanita Islam, membezakan antara Muslimah dengan wanita bukan Islam)
- tiada masalah untuk beribadat. Masjid ada di merata tempat. R&R juga ada musolla yang luas. Tempat melawat seperti Taman Safari Indonesia juga ada musolla yang cantik. Restoran dan tempat membeli-belah juga menyediakan musolla. Malah di bilik-bilik hotel juga disediakan arah kiblat.
- ketika tiba di kawasan awam sebaiknya jalan dalam kumpulan untuk mengelakkan diri menjadi tumpuan penjual yang akan menghimpit kita untuk membeli barangan mereka. Bila beramai-ramai, mereka tak fokus pada kita seorang ... heheheh
- sebaiknya membeli minuman dalam botol atau tin dari kedai-kedai sahaja dan bukan minuman yang dibancuh untuk mengelakkan perut meragam
- tidak ada masalah komunikasi dengan penjual atau pekerja hotel, semuanya bercakap bahasa Indonesia standard walaupun mereka dari pelbagai suku bangsa seperti Jawa, Sunda, Madura, Minang, Batak, Cina dan sebagainya.
- Jakarta dan Bandung memang terkenal dengan kesesakan jalanraya. Terkadang terasa masa banyak terbuang akibat terperangkap dalam kesesakan ini. Bagaimanapun, aku cukup kagum dengan tahap toleransi mereka di jalanraya. Jarang mereka membunyikan hon dan sentiasa memberi jalan kepada kenderaan lain yang ingin memotong.
- kenderaan paling banyak ialah Toyota (Vios dan Avanza paling banyak di jalanan). Kereta jenis compact tidak banyak ditemui
Rasanya banyak lagi perkara yang aku terlepas pandang. Mungkin jika ada rezeki, aku teringin sekali menjejak kaki ke desa Minang yang indah di Padang, Indonesia. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment