Saturday, January 7, 2012

Bandung (17 Dec 2011)

Lepas sarapan semua bersiap di atas bas.  Bawa makanan ringan, minuman ringan, gula-gula, asam ... ala-ala nak pergi berkelah.  Perjalanan kali ini sehari suntuk lagi.  Kami mulakan dengan menyusuri jalan-jalan di pesisiran Kota Bandung.  Ini untuk mengelakkan kesesakan jalanraya di pusat bandar.

Bandung merupakan ibukota bagi Jakarta Barat.  Belanda yang menjajah  Indonesia satu ketika dulu memilih Bandung untuk membuka ladang-ladang.  Memandangkan kawasan ini subur dan dingin (purata 24 C), ia juga menjadi pilihan mereka untuk mendirikan  hotel dan resort untuk percutian keluarga.  Bandung turut dikenali sebagai "The Paris of Java". Belanda berada di sini selama hampir 3 abad sebelum kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Hasilnya pengaruh Kristian amat ketara di Bandung.  Banyak kelihatan gereja yang besar dan cantik di sini. Walau bagaimanapun majoriti penduduk Bandung (dilaporkan lebih 90%) adalah beragama Islam. Majoriti penduduknya dari suku Sunda.

Tangkuban Perahu - umpama sebuah perahu yang terbalik  (gambar ehsan  Gemiez.blogspot)
Kami melalui beberapa kawasan menarik seperti Jalan Setiabudi, pekan Lembang (pekan kecil yang cantik),  serta beberapa kawasan penanaman teh yang cantik sebelum masuk ke kawasan Tangkuban Perahu.  Tangkuban Perahu ialah sebuah gunung yang kelihatannya seperti sebuah perahu yang terbalik.  Ianya jelas kelihatan dari Bandung.  Untuk mengetahui mitos Tangkuban Perahu, klik sini

Bas kami dibenarkan naik sehingga ke satu kawasan yang ditetapkan. Dari sini kami perlu menaiki van shuttle untuk sampai ke puncak gunung.  Sepanjang perjalanan kelihatan pokok pakis gergasi, pokok pine yang tinggi serta pelbagai flora hutan yang besar-besar tumbuh di kiri-kanan jalan. Tiba di puncak gunung, cuacanya begitu dingin (kira-kira 17C).  Pemandangan pada mulanya agak terhad kerana sekitar gunung ditutupi kabus. Walau bagaimanapun,  bagaikan kasihan kepada kami yang datang dari jauh, kabus bergerak perlahan-lahan sehingga semakin lama semakin jelas pemandangan dari puncak gunung tersebut. Subhanallah.  Kami berada di puncak gunung berapi.

Paku-pakis dan pokok pine semua bersaiz besar
Di sini terdapat beberapa kawah yang boleh dilihat dengan jelasnya.  Antaranya ialah Kawah Ratu, sebuah kawah dalam yang menyerupai sebuah mangkuk besar. Walaupun kawah ini tidak lagi aktif, bau belerang masih dapat dihidu dengan asap belerang kelihatan keluar perlahan-lahan dari rekahan bumi. Kawah lain di sini antaranya Kawah Domas, Kawah Baru, Kawah Upas dan beberapa kawah lagi .... sebahagiannya  tidak dibenarkan dihampiri kerana mengeluarkan wap beracun.  Yang tidak tahannya sepanjang kami di sini rasanya tidak aman, sentiasa diekori oleh penjual cenderamata yang tanpa jemu memujuk kami membeli barang dagangan mereka.  Kalau beli dari seorang penjual, siaplah ... berederetan penjual yang lain datang menghampiri kita.


Kawah Ratu - bau dan asap belerang masih terdapat di sini
Tangkuban Perahu penuh dengan mitosnya

Turun dari Tangkuban Perahu, kami makan tengahari sebelum menuju ke Mode House.  Harga barangan di sini agak mahal dan kelihatannya ramai orang tempatan sedang berbelanja ... mungkin persiapan untuk menyambut Krismas.  Jadinya kami hanya singgah  menjamu mata saja di sini.

Seterusnya kami pergi ke Pasar Baru, sebuah kompleks membeli-belah setinggi 6 tingkat yang menjual pelbagai barangan murah.  Masyaallah, rambang mata kami sini.  Pilih aje nak telekong, tudung, kain ela, baju wanita, baju kanak-kanak, kain batik dll., semua ada. Yang tak ada emak dengan bapa kita aje. Hrmm tak sedar masa 3 jam yang diperuntukkan berlalu begitu pantas.  Harga yang diletakkan oleh penjual sudah sedia  rendah tetapi masih boleh ditawar.  Patutlah orang Malaysia suka berbelanja di Bandung.

Dua pemuda tempatan yang merupakan penyanyi jalanan menaiki bas kami sehingga tiba ke restoran.  Dengan berbekalkan sebuah gitar, drum mini dan harmonika, kami dihiburkan dengan lagu-lagu popular yang mesra di telinga orang Malaysia seperti Isabella,  Kamelia, Bulan dan Jujur.  Sedap vokal anakmuda ini.  Kami pun menghulur beberapa ribu rupiah sebagai menghargai hiburan yang mereka sajikan.

Kereta kuda masih menjadi pilihan pelancong menyusuri Bandung
Selepas makan malam di sebuah restoran yang menyajikan menu masakan Thai, kami bertolak balik ke hotel. Tugas utama malam ini ialah mengemas beg kerana besuk kami akan bertolak semula ke Jakarta. 

No comments: