Setiap kali aku melambai Emak, mata aku jadi kabur menahan tangis. Airmata bertakung tunggu masa jer nak gugur. Aku pasti Emak pun macam tu. Kesian Emak, kesepian lagi ditinggalkan anak-anak.
Aku dan Emak |
Begitulah juga petang semalam. Setelah 2 malam kami berkampung beramai-ramai di rumah Emak, kami terpaksa pulang ke rumah masing-masing. Hari ni ada yang perlu bekerja sebab cuti tak di luluskan. Ada yang nak buat persiapan anak nak masuk sekolah. Semua ada urusan sendiri. Tapi percayalah Emak, anak-anak Emak tak pernah melupakan Emak. Kami selalu mendambakan suasana begini, berhimpun beramai-ramai bergelak ketawa, bercerita pelbagai kisah, makan tak henti-henti, suasana penuh hiruk-pikuk. Tetapi kami tak dapat mengubah keperluan diri, mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan menuntut ilmu bagi cucu-cucu Emak.
Sebenarnya kami semua pulang ke kampung kerana meraikan perkahwinan anak sepupu kami di Ipoh. Semasa kenduri memanglah seronok dapat berjumpa ramai sepupu, ibu saudara dan kenalan jauh dan dekat. Selepas kenduri kami berkumpul di rumah Emak. Semua ada kecuali 2 adik lelaki ku yang terpaksa bekerja pada hari minggu dan seorang lagi bercuti ke rumah mertua di Kelantan. Lebih meriah kerana kakak aku Yong membawa 2 menantu perempuan dan cucunya pulang bersama.
Bayangkan betapa riuhnya dari siang membawa ke malam. Semua ruang dipenuhi anak cucu. Bila malam semua bilik, ruang tamu, ruang keluarga di bahagian atas rumah penuh anak cucu bergelimpangan tidur. Bunyi dengkur bersahut-sahutan, macam-macam irama ...... hahahaha
Putu Perak - rasanya memang sedap dan unik. Hanya terdapat di Perak (gambar putu yang cantik terima kasih dan kredit kpd blogger Cendana Kasih) |
Pagi-pagi kami sudah bangun menyediakan sarapan pagi. Tak cukup dengan nasi goreng yang dimasak, ada pula yang membeli kuih-muih yang hanya ada dijual di kampung aku di Perak. Selepas sarapan dah masuk dapur semula untuk sediakan masakan tengah hari. Pada hari Sabtu, kami semua pergi kenduri, jadi kami cuma makan tengah hari bersama pada hari Ahad. Semua anak dan cucu perempuan bekerjasama di dapur. Tak ada yang curi tulang. Emak dengan gagahnya memasak gulai tempoyak dan kari telur untuk anak cucunya. Kalau berseorangan di kampung, Emak memang jarang memasak. Hanya Bibik Kiah yang akan menggoreng ikan, menumbuk sambal dan merebus samada pucuk ubi, jantung pisang atau terung untuk Emak. Tetapi hari ni tenaga Emak tiba-tiba datang, tentunya kehadiran anak cucu menyuntik semangatnya.
Sambil potpet-potpet, kami kaum ibu dapat menyediakan pelbagai menu dengan pantas :-
1. gulai tempoyak ikan dengan taugeh kasar
2. kari telur dengan kentang
3. sambal tumis ikan bilis dengan petai
4. ayam goreng
5. ikan sardin goreng
6. ikan masin gelama dan bulus ayam
7. sambal tempoyak, sambal belacan, cencalok
8. pucuk salang rebus
9. ulam timun, kacang panjang, petai dan daun salad
10. sirap limau
Kaum bapa pun tak kalah asyik bersembang dengan gelak ketawa sambil makan rambutan yang dah sampai penghujung musimnya.
Keriuhan ditambah oleh cucu-cucu yang berlari ke atas dan ke bawah. Berdegum-degum bunyi lantai dipijak kaki-kaki kecik dan besar. Ada juga yang bergaduh dan menjerit-jerit. Terpaksa ada referee pula supaya gaduh tak berpanjangan ... hehehhehhe.
Selepas zohor, semua mula berangkat pulang ke destinasi masing-masing kecuali adik ku Nita yang akan bermalam sehari lagi. Jelas kelihatan wajah Emak sayu melepaskan anak-anak pulang.
Emak ... kami semua sayangkan Emak. Kami semua menghargai kasih sayang Emak. Kami semua doakan semoga Emak mendapat kesejahteraan hidup. Kami semua juga mengharapkan doa dan restu Emak untuk kami meneruskan kehidupan kami. Ya Allah, Engkau sempurnakan kehidupan kedua ibubapa kami di dunia dan di akhirat dan kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami. Ameen
Gambar sebahagian keluarga besar kami. Gambar ni diambil 7 tahun yang lalu, sekarang jumlah ahli keluarga dah bertambah-tambah. Kena plan ambil gambar terbaru |
No comments:
Post a Comment