Sejak Ahad lepas aku jadi gembira sangat. Ada juga baik nye aku menyertai Facebook ni. Tidak disangka-sangka aku dapat berhubung semula dengan Kak Liza.
Kak Liza merupakan kakak angkat ku semasa di Tingkatan 1. Kali terakhir aku berhubung dengannya 33 tahun lalu. Lama tu. Masing-masing kemudiannya sibuk membina kehidupan. Tapi yang nyata apabila silaturrahim tertaut semula, kemesraan itu pantas terjalin. Tanpa kekok kami saling bertanya khabar, berkongsi cerita terkini.
Aku harap bergitu juga dengan teman-teman yang lain.
Kenangan paling indah dengan Kak Liza semasa aku bercuti hujung minggu di rumah keluarganya. Arwah ibu dan ayah Kak Liza begitu ria meraikan aku sebagai tetamu. Al-fatihah untuk kedua mereka. Aku dibawa ke rumah nenek Kak Liza di Jalan Kuala Perlis dengan menaiki bas. Turun dari bas kami berjalan meniti batas sawah padi menuju ke rumah nenek yang terletak jauh di tengah sawah. Persekitaran rumah kampung itu sungguh damai, redup dikelilingi pohon mangga dan kelapa. Cuma aku terperanjat besar apabila bertembung 2 bangkai ular yang besar terdampar di tepi batas yang kami lalui. Menurut ibu Kak Liza itu ular katam tebu, spesis ular berbisa yang memang hidup dalam sawah. Mata aku pantas melihat ke kiri kanan takut-takut ada ular lain yang akan menerpa ke arah kami.
Makan tengah hari itu seingat aku amat ringkas, ikan masak asam pedas, puyu goreng, rebus paku rawan dan sambal belacan. Kami makan atas tikar mengkuang di bawah pokok mangga. Sepoi-sepoi angin sawah menghilangkan haba matahari yang terik memancar, malah kami semua begitu berselera makan. Selepas itu kami makan mangga muda dicecah garam belacan. Sedap sungguh, hingga masa aku menulis blog ini pun air liur kecur mengingatkan keenakannya.
Kemudian kami lepak di atas buaian yang diikat antara pohon-pohon mangga itu. Nun di sana padi beralun mengikut arah angin, ada yang hijau ada yang dah kekuningan. Musim menuai telah tiba. Aku sudah mengantuk waktu itu, perut sudah kenyang, dibuai pula angin nyaman, aduh..nikmatnya.
Waktu mandi lagi gamat. Air dari telaga yang terletak di bawah redup pohon-pohon begitu dingin sekali. Sekalipun waktu itu cahaya matahari sangat terik, aku menggeletar kesejukan. Gigi dan lutut aku berlaga sesama sendiri. Aku menjerit-jerit setiap kali air menjirus tubuh. Tak dapat aku bayangkan macamana rasanya mandi di waktu pagi.
Petangnya aku menyaksikan ibu dan nenek membuat ringgi, sama macam emping juga. Pulut muda disagai atau goreng tanpa minyak hingga masak sebelum ditumbuk dengan lesung. Kemudian dicampur dengan kelapa dan gula. Minum pula secawan kopi kampung, sungguh nikmat.
Aku hingga kini merindui suasana itu. Ingin aku bawa anak-anak menyertai homestay yang dapat mendedahkan mereka kepada suasana seperti itu, tapi tidak mendapat sebarang maklumbalas positif dari mereka. Semua tidak berminat. Alangkah ruginya kalian.
No comments:
Post a Comment