Kak Long ketika berumur 2 tahun
Sepanjang masa hamil, aku banyak mendapat nasihat dari teman-teman pejabat. Dengan Emak, aku malu berkongsi cerita. Emak agak tertutup untuk berbincang perkara-perkara sebegini.
Waktu itu tidak banyak sumber informasi macam sekarang. Ada beberapa buah buku di pasaran, paling laris tulisan Dr Hamid Arshad. Di kaca TV pun tidak banyak rancangan mengenai kehamilan.
Pada bulan terakhir kehamilan ku, Emak datang dari kampong untuk menemani ku. Sementara menunggu waktu aku melahirkan, Emak duduk di rumah bapa saudara ku. Aku pula duduk di rumah mertua. Semua kelengkapan bayi telahpun aku sediakan seadanya. Malam itu aku sakit perut, memulas-mulas. Aku ke tandas berulang-kali, tetapi aku hairan, aku tidak pula membuang air besar. Semakin lama semakin kerap aku ke tandas. Ibu Mertua yang sedari tadi memerhatikan aku mengesyaki aku hampir melahirkan. Dia meminta aku bersiap untuk ke hospital. Emak tiba dari rumah bapa saudaraku. Bersama suami, Emak dan Ibu Mertua, kami ke Hospital Bersalin. Waktu itu jam menunjukkan pukul 12.45 malam.
Tiba di Hospital aku terus ke Bilik Bersalin. Doktor memeriksa dan mengesahkan bahawa saluran peranakan telah terbuka dan meminta aku berbaring di atas katil. Aku terkebil-kebil di atas katil, tidak pasti bagaimana aku akan bersalin kelak. Baru aku tahu apa yang dinamakan "contraction". Semakin lama semakin kerap dan semakin sakit. Aku ingat pesanan Emak dan Ibu Mertua serta teman-teman, banyak mengucap, berselawat, beristifar. Itulah yang aku lakukan sepanjang menanti saat kelahiran.
Pukul 5 pagi kesakitan makin ketara dan doktor serta jururawat mula membantu ku untuk bersalin. Waktu ini timbul keinsafan, beginikah semasa Emak bersalinkan aku dulu. Ya Allah, Engkau kurniakan sebesar-besar rahmatMu kepada Emak yang bersabung nyawa membawa aku ke dunia ini.
Tepat jam 5.07 pagi, 13 Januari 1988, bayi ku selamat dilahirkan. Beratnya 2.64 kg. Tangisannya seiring dengan tangisan aku. Aku tidak pasti kenapa aku menangis, samada gembira, lega, letih atau sakit. Doktor mengunjukkan bayi itu kepada aku, tetapi aku terlalu keletihan. Cuma yang pasti bayi ini perempuan, berkulit cerah. Selepas itu jururawat memberiku minuman milo panas. Setelah selesai semua prosidur di bilik bersalin, aku dimasukkan ke wad. Emak dan Ibu Mertua memberi ciuman sayang kepada aku. Kasihan mereka sepanjang malam berjaga menunggu aku selamat bersalin. Suami melaungkan iqamah di telinga bayiku. Semoga engkau menjadi insan solehah.
No comments:
Post a Comment