Semalam aku meraikan hari bersejarah buat Kak Long. Semalam dia menerima segolong diploma di Majlis Konvokesyen ke-10 Multimedia University di Cyberjaya. Tahniah sayang, Mama dan Abah bangga dengan kamu. Teruskan pencapaian lebih cemerlang. Kini Kak Long menyambung pengajian ijazah Bachelor in Accountancy di universiti yang sama.
Sepanjang majlis airmata aku sering jatuh. Entah mengapa aku jadi begitu sensitif melihat sekelilingku. Melihat wajah ibu-bapa....aku sayu, mengenangkan ibu-bapa ini juga seperti aku. Kasih-sayangnya melimpah ruah mahu melihat kejayaan anak-anaknya. Entah bagaimana pengorbanan masing-masing, aku tidak pasti. Maklumlah MMU sebuah universiti swasta, pengorbanan kewangan bukan sedikit. Aku agak bertuah kerana Kak Long mendapat pinjaman PTPTN untuk pengajian diploma dan pinjaman MARA untuk pengajian ijazah. Aku perlu bayar duit asrama dan sara hidup, yang bagiku agak tinggi terutama di Cyberjaya. Semasa pengajian diploma di Kampus Melaka, kos sara hidupnya agak rendah. Tetapi demi masa depan Kak Long, Mama dan Abah sedia lakukan apa sahaja.
Bila aku memandang kepada skrin yang menunjukkan wajah graduan bersama ucapan yang ditujukan kepda ibu-bapa masing-masing, airmata ku tak berhenti mengalir. Syukurlah, kerana semua anak-anak ini menghargai jasa ibu-bapa mereka. Cuma aku harap ianya berkekalan, bukan setakat di sini sahaja. Janganlah nanti setelah mempunyai kehidupan sendiri dan tidak bergantung kewangan kepada ibu-bapa, tiada lagi kata-kata penghargaan seperti itu. Kasihan ibu-bapa kamu.
Aku belikan sejambak bungan untuk Kak Long. Melihat jambangan ros merah jambu itu, senyumnya turut berbunga riang dan bangga. Hati ibu mana yang tidak bahagia melihat kegembiraan anaknya. Walaupun Abah tidak romantik seperti itu, tapi aku tahu dia juga bahagia. Melihat tangan nya erat memeluk tubuh anak sulungnya, aku tahu dia bahagia.
No comments:
Post a Comment