Monday, February 14, 2011

Junjungan Mulia - Al Mizan


Esuk 15 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432 Hijrah. Esuk sambutan Maulidur Rasul bagi semua umat Islam ... marilah sama-sama kita berselawat kepada Nabi Muhammad SAW Rasul Junjungan yang amat kita kasihi. Berkat pengorbanan Baginda menyebarkan syiar Islam, kita terpilih menjadi umatnya yang bertuah. Semoga kita tidak mensia-siakan anugerah terbesar kepada kita bangsa Melayu yang secara automatik lahirnya sebagai seorang Muslim, tidak perlu didakwah untuk memeluk Islam. Cuma kuatkan lagi pegangan, teguhkan iman, patuhi perintah Allah, jauhi laranganNya dan jadilah hamba Allah yang tawaduk. Tapi ... saban hari bila melihat keadaan sekeliling kita sekarang, hati menjadi sayu dan takut, melihat ramai yang semakin jauh terpesong.

Ya Allah Ya Tuhanku, peliharalah aku dan zuriatku dari segala kemungkaran dan kemurkaan Mu. Teguhkanlah iman kami, berilah kami petunjuk ke jalan yang lurus serta selamatkan kami dari hasutan syaitan yang direjam. Hidupkan kami dalam iman dan matikan kami sebagai orang yang beriman. Ameen.

Lagu Al Mizan ini memang menjadi kegemaranku sejak zaman remaja lagi. Selain dari iramanya yang indah dan mesejnya yang jelas, suara penyanyi utama lagu ini sungguh merdu. Lembut dan lunak dan aku selalu bayangkan betapa ayunya wajah penyanyi ini.

Pada tahun 1979, ketika aku di sekolah menengah, kami kumpulan pelajar asrama puteri diminta menyanyikan lagu nasyid di atas pentas untuk majlis Maulidur Rasul (waktu itu disebut sebagai Maulud Nabi). Lagu inilah yang kami pilih. Kami berlatih berhari-hari untuk mendapatkan tempo yang harmoni. Waktu itu tidak ada minus one macam sekarang. Hanya suara penyanyi utama dan penyanyi pengiring sahaja yang beralun memenuhi ruang dewan sekolah yang besar itu.

Penyanyi utama kami ialah Moz. Walaupun suaranya agak besar dan tidak dapat menandingi kemerduan penyanyi Al Mizan, tetapi sudah cukup untuk menggegarkan dewan sekolah ketika itu. Hahahaha ... hingga sekarang segar dalam ingatan ini macamana takutnya kami menyanyi di hadapan Tuan Pengetua ketika itu, Dato' Abdul Rahim Abdul Majid. Dengan wajah garangnya dia memandang tepat kepada kami sambil memberi isyarat tangan supaya kami membuka mulut luas-luas supaya suara kami jelas kedengaran. Apa lagi, melalaklah kami hingga hilang tempo yang kami berlatih berhari-hari sebelum ini. Hairannya, tidak ada sesiapa berani memandang ke arah lain untuk mengelakkan eye-contact dengan beliau.

Di mana teman-teman ku yang sama-sama berada di pentas tersebut?? Aku teringin berkongsi semula nostalgia ketika itu.

Itulah sebabnya sehingga kini pun ... setelah beberapa dekad berlalu, lagu Junjungan Mulia ini amat istimewa bagiku. Dulu aku menyanyi dengan penuh penghayatan, kini aku mendengar dengan penghayatan .... bukan sekadar buka mulut melalak-lalak.

No comments: