Saturday, February 19, 2011

Al Fatihah Buat Allahyarham Nazari

Hari ini hari ke-2 aku menangis setiap kali teringat kepada anak ini. Apa lagi setelah berita mengenai kematiannya keluar dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Semalam ... hari Jumaat 18 Februari 2011, anakanda Muhammad Nur Nazari menghembuskan nafas terakhir pada usia 16 tahun setelah bertarung dengan kanser tulang semenjak dari tahun 2007. Sebenarnya aku tidak mengenali Nazari secara peribadi. Aku hanya tahu berita tentang anak ini dari Puteri Bongsu. Nazari merupakan teman sekelasnya semenjak Tingkatan Satu. Puteri Bongsu sering bercerita tentang temannya ini, sering tidak hadir ke sekolah kerana sakit, berita penderitaannya, kecekalannya mengambil peperiksaan PMR dalam keadaan yang payah dan akhir sekali berita kematiannya.

Beberapa kali aku cuba untuk melapangkan waktu untuk melawat Nazari, tetapi aku tidak mampu. Aku takut kunjunganku kelak bukannya dapat memberi semangat atau menceriakan keadaan, tetapi menambah lagi kekusutan keluarga tersebut. Entah kenapa aku sekarang begitu mudah menangis, begitu cepat merasa pilu dan sering gagal mengawal emosi. Aku batalkan hasrat melawat anak ini kerana aku yakin aku akan hanya mampu menangis apabila berdepan dengan Nazari atau keluarganya.

Kenapa aku begitu sedih??? kerana bagi aku Nazari begitu muda untuk menderita. Dia tidak pernah merasa keriangan sepertimana teman sebayanya yang bebas berlari di padang, bergurau senda dengan teman-teman di tempat rekreasi, bergaya sebagaimana kebanyakan anak muda lain sebayanya. Pada usia sebegitu muda dia telah menjalani 6 kali pembedahan dan tangan kanannya terpaksa dipotong pada tahun 2007, ketika usianya 13 thaun. Masyaallah ... kita yang sudah dewasa inipun belum tentu secekal Nazari menerima dugaan Allah.

Astagafirullahhal azim, aku memohon keampunan dari Mu Ya Allah. Siapalah aku untuk mempertikaikan kekuasaan Allah Yang Maha Bijaksana mengatur perjalanan hidup anak ini. Hanya Allah Yang Maha Besar mengetahui apa yang terbaik untuk anak ini.

Ya Allah Tuhan Yang Pengasih dan Penyayang ... Engkau tempatkan roh anak ini bersama-sama insan yang terpilih di syurgaMu. Engkau gantikanlah penderitaanya dan kecekalannya selama ini dengan seribu nikmat kebahagian di sana. Engkau muliakanlah anak ini di sisiMu.

Aku juga berdoa semoga ibu Allahyarham Nazari dapat bersabar menghadapi dugaaan ini. Puan Rohani telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu yang penyayang sehingga Nazari menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tentu beliau tidak terkilan kerana dapat memberikan kasihsayang yang melimpah-ruah sepanjang hayat Nazari. Cuma kita perlu ingat, kalau kita sayangkan Nazari, Alllah lebih-lebih lagi menyayanginya. Nazari pergi dalam usia muda tanpa sempat mengumpul dosa yang banyak sebagaiana kita. Mungkin semua dosanya telah gugur dengan kesabarannya menerima dugaan penyakit tersebut. Insyaallah. Tunaikanlah permintaan terakhir Allahyarham untuk keluarganya menunaikan umrah dan mendoakan kesejahteraanya di depan Kaabah.

Al Fatihah.


lagi berita tentang Nazari, klik sini

No comments: