Pukul 11 kami telah mula bertolak dari rumah. 3 buah kereta dengan 13 peserta konvoi rombongan Cik Kiah. Memang keluarga Abah suka berkonvoi, setiap tahun ada saja acara jalan-jalan dianjurkan. Bagi tahun 2011, ini merupakan acara pertama ... berkonvoi ke Ladang Anggur.
Ladang anggur ini seluas 34 ekar terletak bersebelahan Tasek Beris dalam Daerah Sik, Kedah. Dari Lebuhraya Utara-Selatan kami bergerak keluar di Exit Gurun. Jarak perjalanan sebenar tidaklah jauh sangat, mungkin dalam anggaran 50 km dari tol Gurun, tetapi konvoi kami mengambil masa yang lama untuk sampai. Kami berhenti makan tengah hari di sebuah restoran di Pekan Jeniang dan solat zohor di Masjid Sik. Setiap kali berhenti masa dihabiskan hampir satu jam ... biasalah tu, adat berkonvoi.
Apabila kami tiba di ladang tersebut, jam menunjukkan pukul 3 petang. Cuaca agak panas. Bayaran masuk ialah RM3 bagi orang dewasa. Waktu lawatan adalah setiap hari mulai jam 9.30 pagi sehingga jam 6.30 petang.
Sayang sekali semasa lawatan kami, tidak banyak anggur yang berbuah .. mungkin sudah dipetik atau mungkin belum musimnya berbuah. Yang kelihatan hanyalah anggur dari jenis 'white malaga' dan 'black grape' sahaja. Anggur jenis 'black opal' dan 'loose petite' tidak kelihatan.
Black grape
White malaga
Di ladang tersebut mempunyai kemudahan tandas awam, surau dan kerusi sebagai tempat istirehat. Terdapat juga sebuah kedai yang menjual pelbagai produk berasaskan anggur seperti jus/kordial, jem, losyen, sabun, krim mandi dan pastinya juga buah-buah anggur segar. Apa lagi ... ahli rombongan Cik Kiah ni mulalah memborong anggur berpeket-peket. Satu peket berharga RM12.50. Agak mahal sebenarnya berbanding dengan anggur yang dijual di pasaraya. Tetapi yang pastinya, buah anggur yang dijual di sini segar, isinya pejal dan rasanya manis.
Cuma pada pandangan ku harga tiket RM3 untuk masuk ke ladang tersebut agak mahal berbanding dengan hasil yang diperolehi pelawat. Kawasan yang dibuka untuk lawatan begitu terhad dan buah-buah anggur pula tidak banyak untuk dilihat.
Setelah puas berada di ladang tersebut, kami berehat di tepi Tasek beris yang dihias dengan laluan pejalan kaki dan senitaman yang indah. Pemandangan sekitar tasek ini memang menarik dan sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancong ke Daerah Sik.
No comments:
Post a Comment