Dah lama aku mengidam nak makan mee udang Kuala Sepetang, tapi memang tak pernah menjadi rancangannya. Ada saja halangan.
Hari ni kebetulan kami melawat sepupu Abah yang sakit di Kampong Boyan Taiping. Sebelum masuk ke simpang ke arah Taiping, aku ternampak papan tanda arah menunjuk ke Kuala Sepetang. Ahhh dah dekat sangat rupanya, kali ni mesti menjadi. Tak ada alasan lagi.
Selepas solat Zohor, kami menuju ke arah Kuala Sepetang. Kami terjumpa beberapa gerai menjual mee udang, Gerai Mak Teh, Gerai Mak Jah, Gerai Salleh dan beberapa lagi. Sebelum singgah di gerai-gerai tersebut, kami masuk ke pekan Kuala Sepetang (dulunya dikenali sebagai Port Weld). Landasan keretapi pertama di Tanah Melayu telah dibina oleh Inggeris dari Port Weld ke Taiping ... ingat lagi ke fakta dari buku Sejarah ni ... hehehhhe!!
Ok, Pekan Kuala Sepetang merupakan pekan nelayan di pinggir Sungai Sangga. Ia kelihatan seperti sebuah pekan koboi yang didiami oleh kebanyakannya kaum Cina. Terdapat beberpa deret kedai di kiri-kanan jalan utama yang sempit. Sumber pekerjaan utama penduduk di sini ialah sebagai nelayan. Patutlah bercambah restoran Cina dan Melayu yang menjual makanan berasakan sumber laut.
Mee banjir. Kenapa panggil mee banjir, bukan mee kuah atau mee sup ekk? |
Kami mengambil keputusan singgah di Gerai Mee Banjir Mak Teh. Ada bermacam menu seperti mee, bihun dan nasi yang dimasak secara goreng atau berkuah dengan bahan utamanya ialah udang. Setelah membelek-belek menu, kami akhirnya memesan mee udang banjir dan mee goreng udang. Harga setiap pinggan ialah RM10 yang dipenuhi kira-kira 8 ekor udang bersaiz besar.
Mee goreng udang ... yummy |
Mee kuahnya sedap, manis dan pedas. Kuahnya cair seperti sup. Puas menghirup kuahnya serta meratah isi udang yang pejal. Mee gorengnya memang sedap, cukup pedas dan masinnya. Puas makan dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Cuma aku kurang selesa dengan kehadiran lalat yang begitu banyak. Terasa selera terganggu apabila lalat-lalat tu membuat lalu-lintas udara tak berhenti-henti di sekitar pinggan kami. Hrmmm dugaan!!!
No comments:
Post a Comment