Friday, November 16, 2012

MAAL HIJRAH

Semalam Maal Hijrah.  Anak-anak seronok, bermakna cuti sehari lagi.  Belum dapat menghayati kepentingan Maal Hijrah atau Awal Muharram dalam kehidupan seorang Muslim.  Puas aku bersyarah panjang, jangan hanya khatam tarikh-tarikh penting tahun Masihi tetapi kalendar tahun Islam diabaikan.

Begitu indahnya kehidupan kita hari ini kalaulah kita mahu mengambil perhatian.  Maal Hijrah diraikan, diwarwarkan. tidak seperti masa aku kecik-kecik dulu. Masa kecik dulu, aku cuma perasan tentang ketibaan 10 Muharram apabila adanya bubur asyura.  Pada hari 10 Muharram, surau atau masjid di kampung ku akan memasak bubur asyura. Kalau di kampungku di Perak bubur asyuranya dari tepung beras yang dimasak berperisa pedas, ada daging, bawang goreng, santan, daun sup dan daun bawang.  Ala-ala bubur lambuk.

Di Pulau Pinang pula, bubur asyuranya manis, penuh berisi bermacam kekacang seperti kacang hijau, kacang merah, jagung serta keledek, pisang, santan dll.  

bubur asyura versi utara (kredit gambar kamsiah-yusof.blogspot)

Kedua-dua versi ini disebut bubur tetapi dimasak hingga keras dan boleh dipotong seperti kuih lapis atau bengkang.  

Tetapi sekarang pengisian Maal Hijrah lebih meluas. Buka sahaja akhbar, TV1, TV3, TV9, Astro 106, Alhijrah ... pelbagai rancangan yang mengisahkan tentang kebesaran Maal Hijrah dalam kalendar Islam dipaparkan.  Malah dalam FB, Twitter dan blog, para kenalan tak henti-henti saling mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah, siap dengan petikan hadis yang menceritakan kemuliaan bulan Muharram. 

Subhanallah ... jadi kenapa kita masih tak mau ambil tahu. Ilmu ada di merata-rata sekeliling kita, yang perlu bertindak kita sendiri.  Lebih penting kalau tiba 1 Januari setiap tahun, kita kononnya menanam azam baru (walaupun ramai yang azam tinggal azam).  Kenapa sempena 1 Muharram kita tidak menanam azam juga? Jom!! Aku sendiri berazam untuk jadi lebih dari semalam, cuba meninggalkan perkara-perkara yang membawa dosa ... terutama dosa hati dan dosa mulut. Semoga Allah SWT memberi aku kekuatan untuk menjadikan azam ku ini satu kenyataan. Amiin

No comments: