Kuih ini rangup dan manis - manis kurma dan chocolate chips
Dua hari lagi umat Islam akan menyambut Aidil Adha. Walaupun ramai orang tidak begitu membuat persiapan untuk hari raya ini, keluarga kami tetap meraikannya. Keluarga sebelah Abah di Pulau Pinang kebiasaannya tidak menyediakan sebarang juadah untuk Aidil Adha kecuali nasi tomato dan lauk-lauknya sahaja. Aidil Adha disambut secara kecil-kecilan sahaja. Tumpuan lebih kepada ibadah korban semata-mata. Berbeza dengan keluarga aku di Perak, Aidil Adha disambut hampir sama meriah dengan Aidil Fitri, lengkap dengan lemang dan rendang serta kuih-muih. Mungkin bilangan kuihnya lebih sedikit, tidaklah berbelas balang sampai penuh meja.
Anak-anak juga mahukan kuih raya. Aku dan Kak Ngah telah menyediakan biskut yang wajib dihidangkan setiap raya iaitu Biskut Cornflake Kurma. Sungguh mudah menyediakannya. Yang pasti .. rasanya memang sedap.
250 gm mentega
1 cmt esen vanila
200 gm kurma (dihiris secara dadu kecil-kecil)
200 gm chocolate chips
80 gm gula perang
320 gm tepung gandum
Cornflakes secukupnya (diramas hingga agak kecil)
Pukul mentega dan gula perang sehingga kembang. Campurkan esen vanilla. Apabila telah sebati, masukkan tepung, kurma dan chocolate chips. Gaul lagi sehingga sebati.
Ambil sejemput adunan dan bentukkan seperti biskut chocolate chips atau bentuk bentuk lain yang sesuai dan tekan-tekan dengan cornflakes yang telah diramas supaya agak bersalut. Bakar sehingga masak.
Mudah sekali.
No comments:
Post a Comment