Di atas ialah surat yang dikirimkan oleh Allahyarham Cikgu Md Hashim yang tidak dapat menghadirkan diri untuk Majlis Makan Malam SMTSP pada akhir tahun lepas. Airmata aku mengalir membaca setiap baris surat tersebut. Sayu sekali.
Allahyarham Cikgu Md Hashim lebih dikenali sebagai Mr Cannon di kalangan kami semasa bersekolah di SMTSP dulu. Mr Cannon tidak pernah mengajarku, justeru tidak banyak kenangan antara aku dengan Arwah.
Walau bagaimanapun, kehidupan kami di asrama cukup akrab samada sesama rakan sekelas atau sebilik ataupun dengan guru-guru. Bagi kami pelajar sekolah berasrama, guru adalah pengganti watak ibu-bapa kami. Maklumlah pada tahun 70an dulu, ketiadaan media hubungan yang canggih menyebababkan hubungan dengan ibu-bapa kandung agak renggang. Kami hanya dapat berhubung melalui surat atau bertemu apabila tiba cuti penggal sahaja (3 kali setahun). Dengan itu, kepada gurulah tempat kami bermanja dan mengadu masalah, mereka jugalah yang mendisiplinkan kami sehingga menjadi insan berguna.
Penderitaan Arwah hanya diketahui pada tahun lepas. Di sinilah facebook menjadi penyambung silaturrahim kami bekas pelajar. Beberapa pelajar yang tinggal di sekitar Kelantan dan Trengganu telah mengunjungi beliau untuk bertanya khabar. Menurut mereka, Arwah masih kekal dengan sikap cerianya walaupun sedang menanggung penderitaan. Daya ingatannya juga masih kuat, malah boleh mengingati nama bekas pelajarnya. Album kenangan semasa mengajar di SMTSP masih disimpan oleh Arwah dengan rapi.
Pada tahun ini penyakit Arwah semakin kritikal dan Persatuan Bekas Pelajar telah menubuhkan tabung untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga arwah. Namun, janji Arwah telah tiba, bila tiba masa yang ditetapkan, dia kembali mengadap Penciptanya. Arwah kembali ke Rahmatullah pada bulan Oktober yang lepas. Semoga roh Arwah bahagia di alam barzah. Segala ilmu yang dicurahkan kepada kami bekas pelajar adalah amal jariah yang tidak terhitung nilainya.
Al Fatihah buat cikgu.
No comments:
Post a Comment