Aku sudah menulis tentang Kak Long sebelum ini. Kak Ngah dan Puteri Bongsu mula merungut, kenapa tak ada cerita tentang mereka. Ohhh ... anak-anak ini mula cemburu. Aku kena berhati-hati, tidak boleh kelihatan ada kes pilih kasih.
Semuanya aku sayang, tak ada beza samada anak sulung, anak tengah atau anak bongsu. Tidak ujud istilah anak kesayangan, anak emas atau anak emak sorang. Aku percaya kalau kita menyayangi anak kita tanpa ada pilih kasih, mereka akan membalas kasih-sayang kita itu tanpa ada sempadannya.
***********************************************************************************
Ok ... aku disahkan mengandung anak kedua pada tahun 1990. Ketika itu Kak Long telah berumur 2 tahun. Aku pula telah berumur 28 tahun. Peringkat awal kehamilan ini sama seperti semasa aku mengandungkan Kak Long dulu. Untuk 3 bulan pertama aku mengalami alahan yang menyebabkan aku merasa lemah semasa ke pejabat. Rasanya tidak larat untuk aku berulang-alik menaiki feri dari Butterworth ke Pulau Pinang setiap hari untuk ke tempat kerja. Pada masa yang sama juga Arwah Bapa Mertua dan Ibu Mertua sedang sakit kuat. Aku melihat Abah selalu berada dalam keadaan tertekan, melayan aku yang mengada-ngada sering keletihan, Kak Long pula nakalnya menjadi-jadi dan semakin manja serta perlukan perhatian. Pada masa yang sama Abah perlu selalu bekejar ke rumah mertua apabila mereka sakit.
Arwah Bapa Mertua ku meninggal ketika kandungan ku masuk usia 3 bulan akibat sakit lama yang berpanjangan. Setelah kematian Arwah, kesihatan Ibu Mertua yang mengidap kanser tekak semakin serius. Arwah Ibu Mertua semakin lemah dan tidak lagi mampu bergerak. Sesekali dia hanya tersenyum memandangku. Aku sedih .. tiada lagi nasihat dan petua yang keluar dari tekaknya yang sakit.
Pada peringkat akhir kehamilan, doktor mengesahkan kandunganku dalam keadaan melintang. Atas nasihat emak-emak saudara Abah, aku telah berjumpa bidan kampung untuk cuba membetulkan kedudukan kandungan. Pelbagia petua dan isyarat perlu aku patuhi.
Setelah kandungan ku melebihi 10 hari dari tarikh jangkaan bersalin, aku dimasukkan ke hosp[ital. Menurut doktor, bayi telah berada pada kedudukan yang betul tetapi aku masih belum mempunyai tanda-tanda akan bersalin. Doktor menyatakan untuk "induce" sekiranya aku masih belum bersalin dalam tempoh 24 jam. Waktu ini Kak Long ditinggalkan di rumah pengasuh. Kasihan anak Mama.
Pada pukul 11 malam aku mula merasa sakit yang berulang-ulang. Air ketubanku dipecahkan. Kali ini kesakitan paling ketara pada tulang belakangku. Contraction yang tak berhenti-henti ini menyebabkan aku lemah dan menderita kesakitan. Aku hanya mampu menyebut perkataan "Ya Allah" sahaja. Doktor yang bertugas di Bilik Bersalin juga hairan kerana bukaan rahim ku begitu perlahan dan tidak membolehkan aku bersalin dengan cepat. Dia menasihatkan aku bersabar dan memberikan aku gas entonox (campuran oksigen dan nitrous oxide) untuk dihidu bagi mengurangkan rasa sakit. Sesekali aku hampir terlelap kerana keletihan dan kesan hiduan gas tersebut.
Setelah hampir 6 jam bertarung dengan kesakitan, tepat jam 6.05 minit pagi 12 Oktober 1990, aku selamat melahirkan Kak Ngah yang seberat 2.73 kg.
No comments:
Post a Comment