Aku dah mula count down. Sejak setahun lalu kami asyik bercakap mengenai cadangan untuk mengadakan majlis Reunion Jubli Emas bekas pelajar Asputra79.
Kenapa Jubli Emas? Sebab tahun ini kami semua mencapai umur 50 tahun? Fuh!! umur penuh keemasan. Umur yang diharap penuh ketenangan setelah anak-anak semua meningkat dewasa, kerjaya sudah stabil, kewangan sudah mantap, cita-cita banyak yang sudah terlaksana dan macam-macam lagi pencapaian yang positif ... Insyaallah.
Dari setahun, jadi sebulan, jadi seminggu dan kini lagi 5 hari saat itu akan tiba. Aduhhh, begitu terujanya aku. Kami grup Asputra79 mempunyai 4 kelas dengan bilangan pelajar seramai 120 orang. Hubungan kami memang sangat akrab sebagai rakan sekelas, rakan satu dorm, rakan sepermainan, rakan kelab ko-kurikulum, rakan satu keretapi pergi dan balik kampung dan bermacam lagi aktiviti yang kami lakukan bersama selama 5 tahun kami semua bermastatutin di sekolah kebanggaan kami ini.
Kebanyakan kami tidak pernah berjumpa hampir 33 tahun. Semenjak meninggalkan sekolah setelah tamat SPM/MCE pada tahun 1979, masing-masing membawa diri membina kerjaya masing-masing. Entah bagaimana suasananya kami akan bertemu pada hari Sabtu ini. Memang teruja membayangkan dulu kami budak-budak hostel yang kurus cekeding memakai pinafore dan seluar pendek kini dah berubah bentuk fizikal, cara berpakaian dan ramai yang dah mendapat pangkat atuk dan nenek.
Dan paling sayu memikirkan, betapa dua sahabat sekelas aku dan beberapa guru dan ustaz telahpun kembali ke rahmatullah dalam tempoh 33 tahun tersebut. Innalillah hiwainnalillah hirrojiun.
Kerana kerapnya aku memikirkan majlis reunion ini, sudah beberapa malam aku asyik termimpi-mimpi akan kawan-kawanku. Tapi kelakarnya, semua watak dalam mimpi ku itu berumur 17 tahun ... heheheh. Itulah wajah terakhir yang lekat di kepala ku sejak perpisahan tahun 1979 dulu. Wajah sebenar mereka sekarang hanya akan aku tatap pada 26 Mei nanti. Aku tungguuuuuuu!!!!
No comments:
Post a Comment