Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru




Hari ini 16 Mei adalah Hari Guru.  Selamat Menyambut Guru untuk semua insan yang bergelar guru.  Semoga Allah memberi keberkatan hidup buat kalian semua yang menabur bakti memberi didikan untuk melahirkan 'manusia' yang berilmu.

Aku ada ramai guru ... tak terbilang jumlahnya. Katalah masa Darjah Satu dulu ada 6 guru, 6 tahun sekolah rendah mungkin aku ada lebihkurang 30 guru yang secara terus mengajar di kelas, dan berpuluh orang lagi yang tak mengajar secara terus, tetapi mereka semua tetap guruku. Aku teringat Arwah Cikgu Pie, Cikgu Mad Ali, Cikgu Ramlah, Cikgu Daud dan ramai lagi.

Di sekolah menengah bilangan guruku semakin bertambah, ada guru kelas, ada guru sukan, ada guru kelab/persatuan, ada guru asrama, ada guru sementara atau guru pelatih, ada guru pinjaman dari luar negara dan ada macam-macam guru lagi.  Tak dapat aku mengingatkan semua nama mereka. Cuma yang paling terkesan ialah guru-guru asrama yang umpama ibu dan bapa kami selama 5 tahun tinggal di asrama iaitu Cikgu Ishak Othman, Cikgu Saayah, Cikgu Noriah, Cikgu Ong, Pengetua Cikgu (Datuk) Abd Rahim Abd Majid, Pen. Pengetua Cikgu (Datuk) Othman.  Pengetua dan penolongnya tinggal dalam kawasan sekolah juga dan selalu buat spot-check malam-malam ... siap dengan rotannya, hahahha!!! Mujur dengan adanya FB, telah terbentuk satu grup alumni yang sentiasa meletakkan gambar-gambar lama guru-guru tersebut. Terima kasih Hatta yang tidak jemu-jemu mengemaskini grup tersebut.

Masuk UITM pun macam tu juga, begitu ramainya pensyarah. Ada yang mengajar satu semester aja sebelum diganti oleh oranglain. Mereka silih berganti dan tidak sempat rasanya aku menjalin kemesraan sebagaimana guru-guru sekolah menengah dulu.

Masuk kerja pun aku ramai guru. Setiap tahun banyak kursus yang perlu aku hadiri. Semua facilitator samada dari kalangan pegawai jabatan sendiri atau dari agensi luar adalah guru yang mengajar kami menajamkan skil di alam pekerjaan. Malah semua bos dan teman-teman sepejabat adalah guru yang paling banyak menitipkan ilmu, tidak jemu-jemu memberi tunjuk-ajar, pendapat dan saranan yang berharga.  Aku terkenang Arwah Encik Abdullah Salleh, Encik Shabir, Tuan Haji Ishak, Encik Niana,  Cik Jenny Khoo, Cik Awatif dan ramai lagi.

Bila dah berkahwin, suami juga adalah guru ku.  Abah banyak membimbing dan menegur aku dari semasa ke semasa .... walaupun sebenarnya aku ini kuat melawan dan degil. Tanpa sedar karektor aku telah bertukar watak dari gadis manja yang tak tahu apa-apa kepada isteri yang kini telah berkongsi hidup dengannya selama suku abad. Semoga kebahgiaan ini berkekalan hingga ke syurga.

Kini setelah bersara, banyak masa terluang untuk aku terus mencari ilmu.  Aku rasa terlalu banyak kekurangan diri untuk menghadapi hari mati. Dulu banyak masa ku habiskan untuk mencari harta dunia, kini aku diberi kesempatan menampung kekurangan bekalan akhirat.  Insyaallah aku gunakan peluang ini bertemu guru-guru yang dapat membantu aku dalam pengajian kitab, fardhu ain dan al Quran.  Semoga Allah memberi kemudahan kepada aku menunaikan niatku ini.

Tetapi guru yang paling istimewa di hatiku ialah Arwah Apak dan Emak. Merekalah yang terlalu sabar mendidik aku dari tapak kaki selebar dua jari sehingga aku mencecah usia separuh abad.  Entah berapa banyak airmata dan peluh yang tumpah untuk aku. Subhanallah!!! Astagafirrullahhalazim. Ampunkan aku sekiranya aku pernah menyakiti mereka. Dan sesungguhnya, tunjuk-ajar, kasih-sayang dan nilai-nilai baik yang mereka semailah yang kekal membentuk keperibadiaanku kini.

Ya Allah Ya Rabbul-alamin, Engkau limpahkanlah rahmatMu kepada semua guruku. Engkau bahagiakanlah kehidupan mereka samada yang masih hidup atau yang telah kembali ke sisiMu. Engkau jadikanlah setiap ilmu yang dicurahkan kepadaku menjadi ilmu yang bermanafaat dan boleh ku panjangkan kepada generasi yang akan datang. Semoga kami semua mendapat keredhoanMu Ya Allah. Ameen.

No comments: