Tuesday, September 20, 2011

Kalau Melentur Buluh ....


Semasa kunjungan saudara-mara baru-baru ni, suasana meriah sungguh. Macam-macam topik keluar.  Sambil tu mulut rancak menjamah baki kuih raya serta mi kuah dan soun goreng yang aku masak.  Walaupun penat, tapi aku gembira sekali menerima tetamu yang tak henti datang mulai jam 2 petang hingga 10 malam. Tetamu datang membawa berkat.

Tetapi topik paling hangat dibincangkan ialah etika pergi rumah terbuka. Ipar-biras ku membawa cerita masing-masing betapa terkejutnya mereka melihat 'parenting skills' ibu-bapa moden sekarang ini.  Di beberapa rumah terbuka yang mereka hadir, semua terkedu melihat reaksi ibu-bapa yang buat-buat muka bodoh, buat pekak dan buat buta dengan kerenah anak-anak mereka.

Memang kanak-kanak tersebut tidak bersalah. Mereka belum mumayiz, tak dapat berfikir buruk dan baik. Wajarkah atas alasan tersebut ibu-bapa membiarkan mereka berlari sesuka hati di dalam rumah penganjur rumah terbuka. Ada yang bergomol dan melompat-lompat atas sofa baru tanpa menghirau tetamu lain yang sedang duduk berbual, ada membuka tutup balang kuih dengan kuat dan menghentak atas meja juga dengan kuat, ada yang duduk atas meja kaca, yang membaling batu-batu hiasan di taman,  membaling pelbagai benda dalam kolam ikan kesayangan tuan-rumah.  Memang itu fitrah kanak-kanak, bermain dan bermain dengan riang dan penuh gelak ketawa.

Tetapi bekukah hati ibu-bapa mereka ni.  Tidak terfikirkah perasaan tuanrumah yang tepaksa membersih kolam ikan, macamana kalau ikan-ikan mahal tu mati? Mengapa hanya biarkan anak-anak melompat atas sofa baru dan meja kaca tuanrumah. Mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli sofa baru. Macamana kalau meja kaca tu pecah?  Nanti anak awak yang cedera parah? Nauzubillah.  Kenapa biarkan mereka main baling-baling batu. Macamana kalau pecah cermin pintu dan tingkap tuanrumah atau rumah jiran yang berhampiran? Macamana kalau pecah cermin kereta tetamu yang datang malam tu? Atau lebih teruk macamana kalau batu mencederakan kepala atau mata kanak-kanak tersebut? Nauzubillah.

Memang berbeza dengan zaman kami dulu. Ibu-bapa akan menegur, menjegil, menjentik atau mencubit anak-anak yang nakal semasa pergi berziarah.  Sebelum masuk ke rumah yang dilawat emak akan memberi amaran keras, "Jangan nakal-nakal, duduk diam-diam, salam tuanrumah, cium tangan,  jangan usik apa benda pun, tengok saja ... blablabla..." Macam-macam pesanan mereka. Mereka malu teramat apabila anak-anak mereka tidak bersopan-santun semasa berziarah.  Takut dianggap tidak pandai mengajar anak!!

Tetapi apa jadi dengan ibubapa zaman sekarang. Walhal semua mereka berpendidikan tinggi, berjawatan besar?  Adakah mereka ini mengamalkan sikap keterbukaan atau sporting yang melampau tanpa ada batas-batas yang perlu dipatuhi. Adakah terlalu sayangkan anak sehingga tak tergamak untuk menegur perangai buruk mereka. Perlukah merosakkan pekerti anak-anak tersebut dengan membenarkan mereka melakukan perkara yang menyebabkan tuanrumah senak perut?  Silap haribulan, mereka tak akan dijemput lagi pada tahun depan. Atau mungkin tanpa sedar tuanrumah supaya ibubapa dengan anak nakal ini segera beredar pulang!!!  Siapa tahu.

Wahai ibu-bapa moden, bentuklah peribadi anak-anak semasa mereka masih kecil.  Itulah sebabnya orang tua-tua yang banyak pengalaman mencipta peribahasa "melentur buluh biarlah semasa ia masih rebung".... bila dah tua tak boleh buat apa dah ... dah keras dan miang!!!  Boleh buat buluh lemang aje, kena bakar!!!

No comments: