Monday, September 5, 2011

Kenduri Hari Raya

Hari raya yang baru je berlalu memang menggembirakan.   Setelah hampir seminggu hujan turun tanpa henti siang dan malam mulai 23 Ramadhan, dengan sifat Nya Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, Allah SWT memberikan hari-hari yang cerah pada hari pertama hingga ke-4 Syawal. Alhamdulillah.  Dapatlah aku dan keluarga saling menziarahi tanpa risau tersangkut dalam hujan. 

Pada Syawal ke-4 juga Emak menunaikan hajatnya untuk mengadakan majlis kenduri kahwin cucunya Angah Firdaus. Ini merupakan kenduri kali ke-3 bagi Angah setelah kenduri pertama di rumah keluarga perempuan pada 25 Jun dan kenduri pihak lelaki pada 4 Julai lalu.  Hahh ... kenduri kali ni Opah sponsor 100%.  Bertuah engkau Angah. Walaupun mulanya majlis dirancang sebagai kenduri kesyukuran berskala sederhana sahaja, tetapi akhirnya ia menjadi majlis yang sangat meriah. Maklumlah ramai saudara-mara yang masih berkumpul di kampung sempena cuti hari raya. Dapatlah aku berjumpa sepupu sepapat yang sudah bertahun tak ditemui.

Majlis yang bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 4 petang menghidangkan menu berupa nasi  minyak dan nasi putih, ayam goreng dengan air asam, kurma kambing, dalca, daging masak kicap, gulai nangka, sambal tempoyak dan ikan masin goreng.  Yang larisnya lauk-pauk kampung. Agaknya semua sudah jemu berhari-hari makan rendang dan gulai daging dan ayam.


Gadis-gadis pemberi bunga telur dan cenderahati kepada tetamu.  Tema kenduri kali ini adalah warna ungu. Ada sipi-sipi ungu pun, kira okay je.


Angah Firdaus bersama isteri, Ijat dan ibunya (kakak sulong ku).  Semua kusyuk makan cendul Parit.  Cendul tu sedap kuahnya tetapi isi cendul tu masin sikit. Spoilt betul.


Adik-beradik Abah turut datang memeriahkan kenduri kali ini.  Terima kasih semua kerana sudi datang dari jauh (dari Penang dan Kedah).

No comments: