Hari ni dah 28 Ramadhan. Semangat untuk berhariraya semakin terasa.
Semalam aku ke Sungai Petani. Sepanjang perjalanan dari Butterworth ke Sungai petani jalan telah mula sesak. Anak perantauan berduyun-duyun dalam perjalanan kembali ke kampung masing-masing di Seberang Perai, Kedah dan Perlis. Lebuhraya ke utara dipenuhi kereta yang kebanyakannya dengan nombor plet pendaftaran Selangor dan Kuala Lumpur.
Semalam semasa melalui Bandar Sungai Petani berlaku kesesakan teruk. Ramai yang keluar membeli-belah pada saat-saat akhir. Semasa memasuki kawasan perkampungan di sekitar Pekan Darat, Permatang Tok Gelam dan Maklom terasa kemeriahan rumah-rumah yang dihiasi pelita panjut dan lampu warna-warni. Cuma tak terlawan kemeriahan semasa zaman aku kecil dulu. Di luar rumah tidak kelihatan anak-anak bermain keriangan di depan rumah. Agaknya semua berehat di depan TV. Ibubapa pun tak berani membiarkan anak-anak bermain di luar rumah, lebih banyak bahayanya.
Ohhh ... sebenarnya aku ke Sungai Petani kerana berbuka puasa bersama-sama keluarga Abah. Penuh sesak ruang rumah dengan 24 orang (11 lagi tidak dapat datang) dan terasa kemesraan bersama ipar-biras, anak saudara dan cucu saudara sambil duduk bersila menjamu selera. Sebelum berbuka puasa kami beramai-ramai membalut ketupat pulut, pulut campur kacang dan pulut campur jagung. Ketupat ini dibuat awal dan disimpan di tempat beku. Pada pagi raya nanti baru direbus untuk santapan. Hmmm sedapnya.
Kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan kita seakan terlupa akan sambutan Hari Kemerdekaan. Cuma sesekali teringat apabila terdengar lagu patriotik Allahyarham Sudirman ... "Tanggal 31, bulan lapan 57 ... merdeka, merdeka ....." Semoga negara kita semakin aman dan makmur untuk generasi yang akan ditinggalkan.
Apabila tiba di penghujung Ramadhan ini, tazkirah yang disampaikan di masjid membuatkan hati terasa sayu. Rasanya tidak cukup sempurna ibadat kali ini. Rasanya masih banyak yang perlu dibaiki dan ditingkatkan. Adakah aku berkesempatan lagi menyambut Ramadhan pada tahun hadapan. Berpeluangkah aku merebut peluang yang kurniakan Allah Ya Rabbul Alamin di bulan yang penuh barakah ini sekali lagi. Ya Allah .... aku memohon kepada Mu untuk menerima amalan yang telah, sedang atau akan aku lakukan semata-mata kerana Mu Ya Allah. Kurniakan aku, Abah dan anak-anak kami usia yang panjang, tubuh badan yang sihat, iman yang teguh, ilmu yang tinggi dan kemudahan yang luas untuk terus melakukan ibadah kepada Mu Ya Allah. Hidupkan kami dalam keberkatan dan matikanlah kami dalam iman. Ameeen
No comments:
Post a Comment