Friday, August 12, 2011

12 Ramadhan Berlalu


Hari ini dah pun masuk 12 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan 1432. Semuanya masih tabah mengharungi dugaan di bulan yang mulia ini. Masing-masing berlumba-lumba mengutip bonus pahala yang Allah kurniakan, yang ganjaran amalannya lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Melakukan pelbagai amalan sunat sebagai melengkapkan amalan yang wajib dengan bertarawih, mengikuti majlis ilmu, membaca Al Quran, bersedekah wang dan makanan dsbnya. Peluang beramal luas terbuka dan pastinya kita tidak mahu melepaskannya.

Masjid masih penuh dengan jemaah samada lelaki atau wanita, tua muda atau kanak-kanak, tidak luak langsung bilangan saf kecuali pada hujung minggu. Agaknya masing-masing balik kampung berpuasa dengan ibu-bapa. Menziarahi ibu-bapa juga amalan yang dituntut dan tentunya besar sekali ganjaran membahagiakan hati mereka.

Majlis ilmu yang diubah jadualnya dari sesi petang kepada sesi pagi juga berjalan lancar. Kaum ibu masih setia memenuhi taman syurga bagi menambah ilmu. Syukran.

Selama berpuasa ini aku tidak berminat pun pergi ke pasar Ramadhan. Anak-anak juga begitu. Dengan harga jualan yang begitu mahal dan citarasa yang tidak menentu, menyebabkan kami seakan melupakan niat untuk berkawad dalam panas petang di pasar Ramadhan yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun letih terpaksalah aku masuk dapur. Kalau terlalu malas, aku dan Abah akan membeli lauk-pauk di Restoran Hussein Nasi Kandar, dah memang terjamin keenakannya.

Mujurlah Abah dan anak-anak tidak begitu cerewet. Aku boleh masak apa saja asalkan mesti pedas. Kari, sambal tumis, masak merah, lemak cili padi semua boleh. Ironinya aku sendiri tidak boleh makan pedas, nanti perut pedih dan terasa asid gastrik menolak ke anak tekak. Terpaksalah aku makan moi atau bubur lambuk yang aku olah resipinya setiap hari. Ada masa berencah daging, atau udang, udang kering, ikan bilis atau ayam. Macam orang sakit le pulak. Tidak mahu jemu dengan moi kosong aku sediakan lauk sampingan sotong goreng kunyit, sayur goreng, udang goreng mentega atau ayam masak kicap .... masih mewah walaupun sekadar moi.

Bab kuih ni yang paling leceh. Semua kuih yang aku buat simple aje seperti ketayap, puding sagu, cucur udang atau karipap aje. Sesekali Abah akan membeli kuih lapis atau tepung talam di gerai berhampiran rumah kami. Kuih-kuih tu tidak mendapat sambutan dari anak-anak ku dan aku pun tak pandai nak memasaknya. Huhuhuhuu!!!!

No comments: