Friday, August 5, 2011

Ramadhan Hari Ke 5


Masyaallah cepatnya masa berlalu. Hari ni dah 5 hari kita berpuasa. Memang tak terasa pun berpuasa kecuali mata rasa mengantuk lebih dari biasa. Maklumlah masa tidur dah jadi pendek. Tak apa, Ramadhan dianugerahkan kepada Umat Islam selama sebulan sahaja daripada 12 bulan yang kita ada dalam setahun. Jadi jangan sia-siakan masa yang begitu singkat ini. Lebih menggetarkan, mungkinkah ini Ramadhan "terakhir" untuk aku?? Tak dapat aku menjawabnya, cuma kita perlu sentiasa bersedia. Jadi baik dan semakin baik ... samada pekerti, amalan, pegangan atau tindakan kita. Kemudian kita berdoa memohon kepada Allah SWT semoga amalan kita diterima sebagai bekalan di sana kelak. Selebihnya kita berserah kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Solat tarawih di Masjid Jamek kali ini bertukar wajah. Jika dulu hanya sembahyang tarawih 20 rakaat, diikuti dengan witir 3 rakaat. Selepas 8 rakaat, separuh dari jemaah telah meninggalkan masjid. Samada mereka hanya melakukan 8 rakaat atau menyambungnya di rumah .. wallahhualam. Tidak perlu pertikaian mengenai jumalah rakaat. Yang penting keikhlasan hati mencari keredhaan Allah SWT.

Tahun ini solat tarawih di Masjid Jamek dijalankan 8 rakaat rakaat, kemudiannya witir 3 rakaat dikuti majlis tazkirah. Pengerusi Masjid telah siap memaklumkan kepada penceramah, tazkirah mesti sepenuhnya tentang pengisian Ramadhan .... tidak mahu melencong kepada perkara berkaitan politik. Nanti masjid akan kehilangan jemaah apabila hal politik dibangkitkan.

Benar sekali kerana setakat 5 malam berlangsung, topik sepenuhnya menyentuh tentang hakikat puasa di bulan Ramadhan, amalan harian di bulan Ramadhan dan menghidupkan malam-malam Ramadhan oleh beberapa Ustaz Muda mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sebahagian besar jemaah setia menunggu sehingga selesai majlis tazkirah yang mengambil masa 45 minit. Cara penyampaian oleh ustaz-ustaz tersebut juga menarik, santai dan mudah difahami.

Semoga suasana seperti ini akan berterusan hingga ke akhir Ramadhan kelak. Insyaallah.

No comments: