Friday, September 17, 2010

Hari Raya Merapat Silaturrahim

Bersama bonda saudara - Tok Su (kiri) dan Tok Cak

Berkumpul di rumah ayahanda saudara - Tok Din

Hari raya tahun ini jatuh pada hari Jumaat.

Sebelum solat sunat Aidil Fitri, aku menyiapkan makanan kegemaran keluarga ... nasi tomato, kari tulang, ayam masak merah dan salad. Ada uga ketupat dan rendang. Puas hati melihat semua anak-anak dan suami menikmati jamuan ringkas pagi ini.

Kemudiannya kami menziarahi pusara ibu dan ayah mertua di Jelutong. Ku panjatkan doa buat keduanya sebagai tanda kasih dan terhutang budi kerana telah berjaya mendidik Abah menjadi suami dan ayah yang membahagiakan aku dan anak-anak ku. Peribadi Abah adalah gabungan kelembutan arwah ibu mertua ku dan ketegasan arwah bapa mertua ku.

Setelah solat Jumaat, bermulalah sesi lawatan rumah ke rumah di sekitar Jelutong dan Relau. Inilah saat yang aku selalu nantikan. Aku gembira berkunjung ke rumah saudara-mara. Bukan juadah hidangan yang aku harapkan, tetapi mengenali saudara-mara dan merapatkan semula silaturrahim adalah agenda utama kunjungan di hari raya. Walaupun mereka adalah saudara-mara Abah, tetapi apabila aku mengahwini Abah, aku bertekad untuk menjadi sebahagian daripada keluarganya. Justeru itu, aku perlu menolak ke tepi rasa tidak selesa, iri hati, berburuk sangka atau lain-lain sikap buruh yang boleh merosakkan hubungan aku dan Abah.

Pada hari raya ketiga dan keempat pula, aku kembali ke rumah Emak di Perak. Kami mengunjungi bapa dan ibu saudaraku yang kesemuanya telah memasuki usia emas. Jelas terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka menerima kunjungan anak buah mereka. Aku amat berharap agar anak-anak ku kelak akan meneruskan tradisi ini di masa hadapan. Janganlah ikatan silaturrahim yang sedia terjalin kini diputuskan kelak. Betapa ruginya kita kehilangan saudara-mara, malah amat dikutuk dalam Islam manusia yang sengaja memutuskan silaturrahim.


No comments: