Ramadhan makin hampir ke penghujungnya. Hari ini hari ke-22. Setiap tiba penghujung Ramadhan, aku dan anak-anak aku pasti teringat seorang jiran yang kehadirannya umpama ahli keluarga sendiri yang meninggal dunia pada 27 Ramadhan.
Allahyarham Hamdan adalah jiranku sejak tahun 1987. Umurnya sebaya suami ku. Ketiga-tiga anak gadisku dijaga oleh isterinya Midah sejak mereka dilahirkan. Setiap pagi sebelum bekerja, anak-anak ku tinggalkan di rumah mereka dan akan aku ambil pada sebelah petang, setelah pulang dari pejabat. Begitulah rutinnya sehingga anak-anak ku melangkah ke asrama semasa di sekolah menengah. Kerana akrabnya anak-anak ku dengan keluarga ini, mereka memanggil Arwah dengan panggilan Abah Hamdan dan Midah dengan panggilan Mak.
Aku pernah keguguran pada tahun 1993, sebelum kelahiran anak bongsu ku pada tahun 1995. Ketika itu kandungan ku telah mencapai usia 4 bulan. Suami ku berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri kursus. Pada pagi itu, setelah menghantar anak-anak ke rumah Midah, aku bergegas menanti bas untuk ke tempat kerja. Waktu itu aku tidak berani memandu kenderaan walaupun memiliki lesen memandu semenjak tahun 1985 lagi. Tempat kerja yang memerlukan aku menaiki bas dan feri menyebabkan aku terpaksa berkejaran untuk mengelakkan 'punch card' menjadi merah.
Semasa pulang dari kerja aku merasa seolah-olah terdapat "Contraction". Aku biarkan sahaja kerana memikir mungkin aku terlalu keletihan. Bagaimana pun keadaan semakin teruk pada waktu malam. Pada jam 3 pagi aku tidak dapat menahan kesakitan dan menelefon Midah. Bersusah-payah mereka suami isteri membawa aku ke Hospital Butterworth. Anak-anak aku ditinggalkan di bawah jagaan anaknya.
Di Hospital, doktor mengesahkan janin tidak dapat diselamatkan kerana telah mati dan dalam keadaan tidak sempurna. Aku menangis kesedihan. Aku dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Selama 2 hari tersebut Arwah dan isterinya yang menguruskan anak-anak ku dan rumahtangga ku yang tonggang-langgang hinggalah suami tiba dari Kuala Lumpur dan Emak tiba dari kampung.
Semasa aku menunaikan ibadah Haji pada tahun 2003, anak-anak ku tidak mahu dijaga oleh Emak atau ibu saudara mereka. Sebaliknya mereka memilih untuk tinggal bersama Arwah dan isteri. Arwah dengan wajah penuh ikhlas membuat pengakuan yang membuat dadaku lapang "tak usah risau, pergilah buat ibadat dengan tenang. Insyaallah, kami jaga budak-budak ni dengan baik, macam anak kami sendiri". Alhamdulillah, sepanjang berada di Tanah Suci aku dapat menjalani ibadah dengan tenang tanpa ada secalit kerisauan tentang keselamatan dan kebajikan anak-anak ku kerana aku tahu mereka berada di bawah jagaan hamba Allah yang ikhlas dan amanah. Sepanjang aku di sana juga, anak-anak ku dilayan macam puteri. Semua keinginan untuk makan lauk atau kuih tertentu tidak pernah dihampakan oleh Arwah. Malah setiap minggu mereka dibawa berjalan-jalan untuk menghilangkan kebosanan dan kerinduan kepada kami yang jauh.
Allah Maha Besar, Dia yang mengatur segalanya. Pada tahun yang sama juga Arwah meninggal dunia. Aku masih ingat dengan jelas malam 27 Ramadhan itu. Selepas solat tarawih 8 rakaat, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Emak di Perak. Sementara aku dan suami mengisi barang-barang ke dalam kereta, anak-anak ku bermain bunga api di halaman rumah. Turut sama Arwah dan anak bongsunya, Anis. Anak-anak ku berbual-bual dengan Arwah. Itulah kali terakhir mereka mendengar suara Arwah Abah Hamdan mereka.
Kami tiba di kampong jam 12 malam. Belum pun sempat kami duduk, aku menerima panggilan telefon dari anak kedua Arwah, "Abah dah meninggal". Aku terpinga-pinga dan berulangkali bertanya kepada Farah, dan masih mendapat jawapan yang sama. Kami bergegas bertolak pulang ke Pulau Pinang.
Sepanjang perjalanan anak-anak aku menangis, bukan teresak-esak, tetapi hampir meraung. Mungkin mereka terlalu terkejut, mereka baru sahaja berbual dengan Arwah kira-kira 2 jam lepas. Aku sendiri tidak mampu menahan sedih.
Kami tiba di Pulau Pinang jam 2 pagi. Jenazah Arwah telah diletakkan di ruang tamu. Anak-anak tidak melepaskan peluang menatap wajah Arwah. Menurut Midah, Arwah telah mula sakit pada jam 6 petang. Dia merasa lenguh seluruh kiri tubuh dan ketat pada bahagian dada. Setelah diurut dengan minyak angin Arwah merasa lega dan menyangka ianya berpunca dari angin dalam badan. Lenguh itu berulang-ulang sehinggalah Arwah tidak tertahan lagi pada waktu malam. Ketika itu kami baru sahaja bertolak kira-kira setengah jam dari rumah. Kepala Arwah mula pening dan berpeluh dingin. Dengan ditemani oleh Midah, Arwah memandu sendiri kereta ke Hospital Seberang Jaya. Oh Tuhan, betapa terkilannya aku. Kalau lah kami ada di rumah ketika itu, tidak mungkin kami akan membiarkan Arwah yang kesakitan memandu sendiri ke Hospital yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah. Arwah terus dimasukkan ke Wad Kecemasan dan sejam kemudian disahkan meninggal akibat serangan jantung.
Anak-anak ku mengambil masa yang lama untuk menghilangkan kesedihan mereka. Sehingga kini pun, setelah 6 tahun berlalu, mereka masih menyebut-nyebut kerinduan mereka kepada gurau senda Arwah. Semoga Arwah menempatkan rohnya bersama-sama orang yang beriman. Ameen.