Tuesday, December 29, 2009

Kenduri Kahwin

Wah .. lama benar aku tidak menjenguk blog aku sendiri. Aku sudah dapat mengagak ini akan berlaku memandangkan banyak sekali program yang telah diatur semenjak berbulan-bulan lalu.

Setiap hujung minggu tugas ku adalah memenuhi jemputan kenduri kahwin yang bertimbun-timbun. Aku sebolehnya memenuhi setiap undangan kecuali jika ada perkara lain yang lebih penting. Ustazah sering mengingatkan, "Memenuhi undangan itu adalah wajib". Emak pula sering mengingatkan, "Orang jemput, kita kena pergi, esuk anak kita pun nak kenduri jugak."

Jemputan paling jauh ialah kenduri anak saudara Abah di Muar. Sambil menghadiri kenduri, kami juga sempat singgah membeli-belah di Tangkak. Aku membeli hingga 8 pasang baju untuk aku dan anak-anak. Mujur juga duit dalam dompet sudah kehabisan. Kalau duit aku banyak lagi, tentu lebih banyak yang akan aku beli. Abah pula tidak mahu meminjamkan duitnya, takut aku berbelanja lebih.

Paling menarik di Muar, ialah makanannya. Aku menginap di D99, sebuah hotel yang baru beroperasi kira-kira 9 bulan lepas. Semua masih baru...tilam masih keras, bilik air bersih, tuala masih segar. Tetapi aku memilih untuk makan pagi di gerai berhampiran hotel. Hanya anak-anak sahaja yang menikmati sarapan hotel.

Perkara pertama yang menarik perhatian aku dan Abah ialah menu sarapan pagi. Ada sate dan mi bandung, selain makanan biasa seperti nasi lemak. Kali pertama aku makan sate pada waktu pagi. Sepanjang 3 hari aku berada di sana, aku dan Abah mencuba mi Muar di 3 gerai yang berasingan. Dan aku mendapat 3 rasa yang berbeza, tetapi semuanya manis pedas. Anak-anak aku juga dapat menikmati otak-otak sepuas hati mereka.

Majlis kenduri perkahwinan berlangsung dalam hujan lebat. Tetapi tuan-rumah mesra meraikan kami rombongan dari Pulau Pinang (10 kereta dan 1 van). Kami dijamu dengan makanan yang enak, dihiburkan dengan zapin yang ditarikan oleh anak-anak comel dan sebelum pulang dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk yang banyak.

Terima kasih orang Muar.


Tuesday, December 15, 2009

Mudzalifah (11 Februari 2003)

Saat tiba di Mudzalifah

Selepas Isya' semua jemaah diminta bersiap-siap untuk bertolak ke Mudzalifah. Memandangkan kami hanya membawa sebuah beg roda yang dihadiahkan oleh Tabung Haji, sebenarnya tidak banyak yang perlu dikemaskan. Beg aku hanya berisi telekong, tuala, sepasang selipar dan tiga pasang baju persalinan. Begitu juga dengan Abah, begnya hanya berisi sepersalinan ihram, tuala, selipar dan 2 pasang baju biasa. Kerana mengikut jadual, Abah perlu memakai ihram sehingga besuk sahaja.

Sedang kami berhimpun di pintu khemah, aku terpandang kelibat Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak. Khemahnya terletak bersebelahan dengan khemah kami. Nampaknya tahun ini begitu ramai orang kenamaan dan selebriti yang aku temui di Mudzalifah seperti Raja Baharin, arkitek terkenal dari Trengganu, penulis lirik Habsah Hassan dan pelawak Zaibo.

Bas tiba pada jam 12 malam. Jalan sangat sesak dan bas hanya dapat bergerak perlahan-lahan. Peluang ini aku ambil untuk melelapkan mata memandangkan telah hampir 24 jam aku tidak tidor. Aku perlukan tenaga untuk ibadah yang seterusnya. Kami hanya tiba di Mudzalifah pada jam 3 pagi. Suasaana begitu dingin. Di sekeliling kami begitu ramai jemaah, semua dengan maksud yang sama, untuk bermalam di Mudzalifah sambil memungut batu-batu kecil. Setelah selesai memungut, kami mengadakan Qiamullail, sementara menanti Subuh. Kali pertama kami bersembahyang di bawah langit Allah, di bumi yang bertuah. Mudzalifah tidak disediakan sebarang khemah. Yang ada hanya tandas-tandas awam. Kami menggunakan tikar-tikar yang kami bawa sendiri. Di bawah tikar hanyalah bumi gersang yang dipenuhi pasir dan batu-batu. Aku memandang ke langit, penuh dengan bintang-bintang bergemerlapan. Sudah lama aku tidak menghayati keindahan ciptaan Allah sebegini. Segera aku panjatkan syukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada aku selama ini.

Tuesday, December 8, 2009

Bulan Ke-2

Ini bulan ke-2 aku jadi suri rumah.

Semua orang sibuk bertanya "You buat apa kat rumah? Buat business ke? Tak boring ke?" dan macam-macam lagi soalan. Itu tidak termasuk yang masih belum percaya keputusan mendadak yang aku ambil untuk berhenti kerja, "Kenapa you tiba-tiba berhenti? Any problem with your new boss? You ada any special plan ke?"

Aku tidak mahu memberi jawapan yang mungkin akan disalah tafsir. Lalu jawapan ku kepada semua orang yang bertanya tetap sama, "I dah bosan bekerja, 25 tahun pergi-balik pejabat. I nak masa untuk diri sendiri, I ada hobi sendiri, ada minat sendiri. Cukuplah 25 tahun tu".

Apa aku buat di rumah? Oh masa selalu cemburu. Sekejap saja pagi bertukar menjadi malam. Rutin ku bermula awal pagi dengan membersih diri, menyerahkan jiwa-raga kepada Yang Esa. Aku berdoa panjang pada pagi yang hening, membaca Al Quran perlahan-lahan. Aku buat ketetapan sendiri, paling kurang 2 muka surat setiap hari. Jangan ponteng.

Aku sediakan sarapan mudah untuk suami dan anak-anak, sebagai lapik perut ke pejabat. Setelah itu aku paksakan diri berjalan keliling taman perumahan ini, 1 jam 4 kali seminggu. Aku tolak ke tepi semua alasan yang membantutkan niat untuk beriadah, sakit kaki, sakit pinggang, sakit kepala, letih, malas dll. Memang tidak mudah memaksa diri setelah bertahun-tahun meninggalkan aktiviti riadah harian ini.

Kemudian aktiviti diteruskan dengan kerja rumah, membasuh, menyidai, menggosok, memasak, mengemop dan bermacam lagi tugas biasa seorang suri. Petang ku agak santai. Aku peruntukkan 2 jam mengadap komputer. Aku ada email, facebook dan blog untuk dikemaskini. Aku sentiasa pastikan masih terus berkomunikasi dengan teman-teman persekolahan, teman-teman pejabat atau saudara mara yang lain. Aku juga sentiasa membaca blog lain untuk memastikan aku tidak ketinggalan maklumat semasa, samada politik, kesihatan, hal-ehwal dunia atau gosip hiburan. Waktu begini juga aku gunakan bagi membaca akhbar sementara menunggu suami dan anak-anak pulang ke rumah.

Waktu terluang ini jugalah aku mula berjinak-jinak dengan pengajian agama di masjid. Selain menambah ilmu, aku juga menambah kenalan. Aku semakin insaf, hari akhir kian hampir. Banyak lagi bekalan yang belum lengkap. Kita perlukan doa sahabat handai apabila memulakan perjalanan 'ke sana' nanti.

Bagi memastikan otak tidak beku...sentiasa tangkas berfikir, ianya mesti selalu diguna, mesti sentiasa diperah. Aku peruntukkan 1 jam setiap malam untuk bermain soduku atau cross word. Memang kadang-kadang aku menjadi malas apabila terlalu susah untu diselesaikan, tetapi aku tetapkan untuk menyiapkan seberapa banyak permainan soduku atau cross word yang aku mampu dalam 1 atau 2 jam. Satu perkara yang sukar untuk dipercayai oleh teman-teman, aku tidak berminat menonton TV kecuali berita dan dokumentari. Sebaliknya masa lapang lebih banyak aku gunakan untuk membaca..apa-apa sahaja, novel, akhbar atau majallah.

Yang pasti...aku mengisi tempoh persaraan ini dengan perkara yang aku suka dan mampu buat. Cuma sesekali aku perlu berperang dengan perasaan malas yang sesekali boleh menyebabkan aku jadi pesara yang tak aktif....pencen tunggu mati!!!!!!!!!!!

Thursday, December 3, 2009

Aku Berserah Kepada Mu Ya Allah (10 Februari 2003)

Arafah di waktu pagi

9 Februari 2003 genap 9 hari kami berada di Shisha. Tepat jam 11.00 malam, 16 buah bas di bawah kumpulan JT bertolak ke Arafah. Sepanjang perjalanan lidah kami tidak berhenti bertalbiah "hamba Mu datang menyahut panggilan Mu, Ya Allah. hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Yang tiada sekutu bagi Mu. Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan Mu, tidak ada sekutu bagi Mu".

Walaupun jarak antara Shisha dengan Arafah tidaklah begitu jauh, kami hanya tiba di Arafah pada jam 12.30 malam. Kami disambut oleh dua lelaki Arab yang menuangkan air zamzam ke dalam cawan sambil mengucapkan selamat datang. Seterusnya kami dibawa ke khemah untuk berehat. Khemah kami agak selesa ditutupi hamparan. Setiap jemaah disediakan tilam, bantal dan selimut. Alat hawa dingin terpasang di beberapa sudut khemah berkenaan. Aku menghabiskan malam tersebut dengan membaca Al Quran dan berzikir. Mataku tidak mengantuk langsung.

Tepat pukul 4 pagi kami mula mengadakan majlis Qiamullail dengan dipimpin oleh Ustaz TM Fouzy. Selesai Qiamullail, kami berzikir, bertasbih dan bertalbiah sehinggalah masuk waktu Subuh. Alangkah nikmatnya solat Subuh tersebut...walaupun disekelilingku penuh jemaah, aku merasakan suasana hening sekali. Airmataku tak henti mengalir, tanpa aku tahu sebabnya. Mungkin rasa tenang ini begitu menyentuh hati.

Selesai solat Suboh aku dan Abah berjalan-jalan di persekitaran khemah kami. Udara pagi dingin sekali. Aku perhatikan di sekeliling kawasan Arafah adalah bukit-bukit batu. Di sekitar kawasan khemah pula banyak pokok-pokok rendang yang ditanam secara teratur untuk menyejukkan pemandangan dan meneduhkan para jemaah.

Kami seterusnya menyucikan diri untuk mengerjakan ibadah wukuf. Aku tidak perlu menunggu lama kerana kemudahan tandas yang agak banyak. Aku cuma mengelap tubuh dengan tuala yang basah, tidak berani untuk mandi. Bimbang aku demam sekiranya mandi dalam keadaan cuaca dingin-panas begini. Kami semua disarankan memakai pakaian putih yang baru untuk mengerjakan ibadah wukuf ini.

Pada jam 11.30 pagi semua jemaah siap berkumpul di khemah yang dikhaskan untuk jemaah kumpulan JT. Dugaan Allah datang sekali lagi. Tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Kami semua kepanasan dalam terik bahang matahari yang menyelubungi bumi Arafah walaupun berada di bawah khemah. Ustaz meminta kami teruskan berzikir, bertalbiah, berselawat, beristifar dan berdoa semoga ibadah kami dipermudahkan. Bekalan elektrik pulih kembali kira-kira 40 minit kemudian.

Tepat jam 12.35 tengah hari masuklah waktu zohor dan waktu wukuf. Ustaz TM Fouzi menyampaikan khutbah Arafah. Kami semua berdoa merendah diri memohon keampunan Allah, meminta dibersihkan diri kami dari dosa-dosa lalu, memohon keampunan kepada ibu-bapa kami, memohon kemulian untuk ibu-bapa dan guru-guru, anak-anak, saudara mara dan sahabat handai. Doa yang dibaca amat meruntun hati. Banyak airmata yang tumpah mengenangkan dosa-dosa silam, kealpaan menunaikan perintah Allah, dosa sesama manusia dan sebagainya. Aku dan jemaah lain tanpa segan-silu merintih dan merayu keampunan Allah. Dalam sedu-sedan kami menyerahkan diri kepada Allah untuk menerima amalan kami, memberi kami petunjuk ke arah jalan kebenaran, menjauhkan kami dari kemungkaran. Selesai khutbah Arafah, kami menunaikan solat secara berjemaah.

Selepas waktu Asar, kami sekali lagi berkumpul di kawasan lapang Arafah. Sekali lagi kami berdoa beramai-ramai memohon keampunan Allah, kami yakin Allah sentiasa menerima doa hamba Nya semasa berwukuf. Kami memohon Allah menerima ibadah haji yang kami lakukan dengan penuh tawaduk ini. Kami berserah sepenuhnya kepada keredhaan Allah Yang Maha Esa.

Tuesday, December 1, 2009

Yang Indah Itu Ketenangan

Sepanjang beberapa minggu ini bila ada masa terluang aku dan Abah suka menonton TV, terutama Astro saluran 106, Khabar Haji. Pelbagai cerita dihidangkan, pengalaman jemaah haji, soaljawab agama, bimbingan haji dan aktiviti semasa jemaah haji di Tanah Suci. Setiap hari kami tidak melepaskan peluang melihat jemaah mengerjakan wukuf, berada di Mudzalifah, suasana di Mina dsbnya.

Dokumentari ini begitu rapat dengan jiwa kami, kami merasa menjadi sebahagian dari jemaah tersebut, kami rasa biasa berada di lokasi-lokasi yang dipaparkan. Masih tidak dapat aku lupakan segarnya kedinginan udara yang kami sedut, harumnya aroma udara di sekitar Masjidil Haram, berserinya setiap wajah yang mengadap Baitullah ... kenangan tersebut.

Sesekali bila ada masa terluang, aku dan Abah akan berdiri di atas bumbung maktab di Shisha. Kami memandang sekeliling. Yang ada hanyalah bukit-bukit batu yang gondol. Tetapi, bukit-bukit itu ditebuk dan dijadikan tempat kediaman oleh penduduk Mekah. Memang tiada yang menarik bagi mereka yang berminat untuk melancong melihat keindahan alam.

Tetapi kenapa umat Islam tanpa jemu berkorban tenaga dan harta-benda untuk datang ke Tanah Suci ini. Bukan sekali, tapi berkali-kali, mengerjakan haji dan umrah. Itulah nikmat yang Allah kurniakan kepada bumi yang barkah ini. Hati sentiasa tenang apabila berada di Masjidil Haram, ketenangan yang sukar diperolehi di tempat lain. Jiwa sentiasa tunduk kepada Allah, berserah sepenuhnya kepada kasih-sayangNya.

Itu yang tidak diperolehi di tempat sendiri. Apabila pulang ke Malaysia, kita kadang-kadang tidak mampu meneruskan amalan yang kita lakukan di sini. Ibadah sunat kian susut, ibadah wajib semakin kurang khusyuk. Lalu hilanglah ketenangan yang diperolehi di sini. Mungkin kerinduan untuk mendapat ketenangan yang hakiki inilah yang menyebabkan kita tidak jemu-jemu untuk kembali ke sini.

Wallahhualam