Monday, May 30, 2011

Oslan Husein-Menimbang Rasa


Wahhh ... fantastic!!! Bila mendengar lagu ini di radio pagi tadi, terasa seronok sekali. Memang sedap lagi ini, boleh bergoyang bahu mendengar iramanya.

Lagu di atas versi asal, oleh penyanyi Indonesia. Ada juga versi Malaysia, nyanyian Dato' Ahmad Jais. Tetapi aku suka versi asal ini terutama instrumen yang digunakan, kedengarannya begitu klasik. Aku tidak pasti sama Allahyarham Apak dulu meminati lagi ini, kerana aku tak ingat dia menyanyikan lagu ini. Yang pasti ... aku sangat sukakan lagu ini.

Kenapa aku meminati banyak lagu Indonesia??? Entah, sebenarnya aku tidak peduli lagu dari negara mana. Asalkan muziknya indah, liriknya mudah difahami dan suara penyanyi merdu .... tidak memeningkan kepala mentafsir lirik, tidak memekakkan telinga tatkala mendengar jeritan suara penyanyi atau bingit kepala mendengar muzik yang berdentum-dentum ... itu sudah cukup untuk aku menghargai sesebuah lagu. Bukankah muzik halwa telinga??

Tuesday, May 24, 2011

Pegherlih Lagi

Di mana-mana tengah musim mempelam. Dalam akhbar pun ada promosi musim mempelam di Perlis ... ada harum manis, ada sala, chokanan dan bermacam jenis lagi. Tetapi harum manis lah tarikan utama.

Apa lagi. Hati bagai ditarik-tarik untuk berkunjung kembali ke Negeri Perlis Indera Kayangan, tempat aku menimba ilmu selama 5 tahun. Umpama hendak balik kampung, aku teruja mengatur perjalanan. Kami bertolak pukul 8 pagi. Abah memandu santai merentasi lebuhraya menuju ke utara. Kami keluar di exit Pekan Kepala Batas, Alor Setar (bukan Kepala Batas Seberang Perai ye). Perut sudah terlalu lapar. Kami berhenti makan roti canai telur. Tidak sanggup rasanya untuk menunggu hingga sampai ke Kangar untuk makan pagi. Memang mulanya aku bercadang untuk makan nasi ganja di Kangar sebagai permulaan kembara di Pegherlih. Tak pa, kita tangguhkan untuk makan petang ini.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan menyusuri jalan persekutuan dan memasuki pekan-pekan Darulaman, Jitra dan Kodiang. Dari Kodiang kami merentasi kawasan perkampungan yang di kelilingi sawah padi untuk pergi ke Pekan Air Itam dan seterusnya ke Kuala Perlis.

Ok ... dah pukul 11.30 pagi. Perut pun antara lapar dengan kenyang. Tak pa, kita makan kongsi-kongsi kali ini. Kami singgah di Kedai Kak Su untuk makan laksanya yang famous tu. Kami memesan 3 pinggan laksa kuah kaw-kaw. Ada juga laksa kuah biasa. Harganya pun berbeza. Fuyyoo ... memang terangkat. Sedapppp!!!! Cukup dengan masam dan masinnya, dan paling kelas kuahnya penuh isi ikan, memang kaw-kaw.

Laksa Kak Su

Dalam perjalanan ke arah Kangar, ternampak papan tanda Makam Kota Kayang. Memang dah selalu nampak papan tanda ni, tapi inilah kali pertama kami ke sana. Muziumnya menempatkan pelbagai artifak zaman zilam seperti senjata, pakaian, perkakas pertanian dsbnya. Tetapi yang lebih menari perhatian kami ialah pemandangan di luar muzium. Bangunan muzium ini direka begitu indah dengan memasukkan unsur-unsur kesenian Melayu asli yang indah. Senitamannya juga terjaga rapi. Paling menarik perhatian ialah latarbelakang kawsan ini yang ditabiri bukit-bukit batukapur semulajadi. Memang tidak rugi kami singgah kali ini.

Lanskap indah Makam Kayang

Senibina Melayu yang indah

Destinasi seterusnya ialah ke Tasek Melati untuk melepas lelah. Sambil lepak di bawah pokok-pokok besar, kami berbual sambil membaca akhbar. Sesekali angin dingin bertiup dan menyegarkan badan yang berpeluh dalam cuaca terik di Pegherlih ni. Kerana tengah hari, tiada pengunjung di Tasek ini kecuali beberapa "pasangan bercinta" yang bersembunyi di bawah pondok-pondok kecil di sekitar tasek. Kami kemudiannya singgah di salah sebuah gerai untuk membasahkan tekak. Makan ABC dengan rojak buah amatlah menyelerakan. Hrmm!!!!

Kami berhenti solat di sebuah masjid di Kampung Santan yang terletak berhampiran dengan Tasek Melati. Alhmadulillah, tandas masjid ini begitu bersih. Tentu pekerjanya seorang yang rajin dan pembersih. Semoga Allah memberi keberkatan kepada hamba Allah yang berkhidmat untuk keselsesaan tetamu masjid menyuci diri. Ameen.


ABC slurp slurp slurp

Kemudian kami bergerak ke arah Sungai Batu Pahat. Sepanjang jalan mata kami melihat pelbagai pemandangan indah di negeri bertuah ini. Sawah sedang dibajak untuk penanaman semula. Bukit-bukit batu kapur memberi impak lanskap yang menarik. Jalan raya lurus dan dipayungi pokok-pokok besar meneduh jalan. Rumah penduduk Perlis banyak yang cantik dan moden senibinaannya. Huh!!! samada rumah tokeh padi atau rumah pesara kerajaan. Dalam seronok memandang ke kiri dan kanan kami terlajak mengambil simpang yang silap. Terpaksa mengambil jalan lain yang jauh untuk berpatah balik.

Di Batu Pahat (bukan di Johor ekk), kami masuk ke Pusat Pertanian. Ramai pelancong berada di sana. Apalagi, perut pun sudah lapar. Kami memesan pulut dengan harum manis serta jus mangga. Masyaallah ... sedapnya pulut di sini. Secukup rasa lembut, lemak dan menyelerakan. Harum manisnya pula begitu manis. Alhamdulillah. Kami membeli 3 kilo harum manis untuk di bawa pulang. Harganya? RM42!!!

marvelous

Anak-anak merengek hendak pulang kerana sudah terlalu letih. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Kami pulang mengikut laluan jalan lama menuju ke Arau, Kodiang, Jitra dan seterusnya menuju ke Taman Tasek Darulaman. Woww ... ramainya pengunjung. Ada yang lepak, ada menaiki bot, menaiki buggy atau mendayung kayak. kami menempah buggy untuk dinaiki oleh 5 orang tetapi terpaksa menunggu lama kerana terdapat hanya 2 sahaja buggy dengan kapasiti tersebut. Tidak mahu menunggu lama kami memilih buggy dengan 3 penumpang. Puteri Bongsu agak moody dan tidak mahu naik buggy. Bergambar pun tak mahu. Hrmmm ... anak zaman sekarang. Akhirnya aku bersama kedua kakaknya menaiki buggy mengelilingi tasek yang cantik dan luas itu. Bukan main seronok Kak Long dan Kak Ngah bergilir-gilir memandu buggy.

Sedar-sedar jam sudah 7.00 petang. Kami perlu beredar segera memandang langit sudah gelap. Hari hampir malam dan hujan juga boleh turun bila-bila masa sahaja. Semua puas hati, kecuali aku. Kenapa??? Sebab hajat nak makan nasi ganja masih belum tercapai!!!

Saturday, May 21, 2011

Sam Saimun - Di Wajahmu Ku Lihat Bulan


Lagu ini merupakan satu lagi lagu kegemaran Allahyarham Apak. Bila mendengar lagu ini, aku membayangkan bagaimana penuh emosinya Allahyarham Apak menyanyi di depan Emak dengan tujuan mengusik. Dan pastinya Emak menjeling marah sambil mendengus "Hishhh ... tak malu orang tua ni". Begitulah orang dolu-dolu, amat malu bergurau senda depan anak-anak.

Ohhh ... kenangan itu!!!!

Thursday, May 19, 2011

Perjalanan Yang Panjang

2 Mei 2011

Bangun pagi ini aku diserang demam selsema, tiba-tiba hidung berair, bersin tak berhenti dan sakit kepala berdenyut-denyut. Kenapa pulak ni, semalam ok je. Abah kata, aku terlalu banyak berpanas, lepas tu asyik minum ais dan makan beraneka makanan yang asing bagi perutku. Perkara begini jarang sekali aku lakukan.

Selepas makan pagi dan menelan ubat, kami bersiap-siap untuk check-out pada pukul 10 pagi. Kami singgah di gerai keropok lekor Bukit Tok Beng, gerai yang meriah dengan pengunjung dan terletak di satu selekoh arah ke Gong Badak. Memang keropok lekornya sangat sedap, lembut dan enak rasa ikannya. Aku cuba hendak membeli keropok mentah, tetapi melihatkan ramainya pembeli yang beratur panjang ... aku lantas membatalkan niatku. Dengan keropok lekor goreng yang masih panas, kami menuju ke Pantai Penarik untuk makan di sana.

Pantai Penarik memang menarik ... indah dan mendamaikan

Kerana kepalaku sakit, aku hanya tertidur sepanjang perjalanan. Niat asal kami untuk pergi ke Kota Bharu dibatalkan. Kami singgah di Machang pada jam 1 tengah hari untuk makan nasi kukus dengan ayam berempah. Enak ... kata anak-anakku. Tetapi aku hanya mampu minum air sahaja dan menyambung tidorku.

Kami singgah untuk solat di Masjid Kampung Batu Melintang, berhampiran Jeli. Aku membersihkan diri supaya badan menjadi segar. Benar sekali ... selesai melakukan solat, badan ku menjadi sihat. Barulah aku mampu berbual dengan anak-anak. Mereka mengusik ku. "Kenapa lah Mama sakit ... terlepas kami nak pergi makan ayam percik di Kota Bharu atau shopping dekat Pasar Siti Khadijah. Frust la Ma". Alahai .. kesian permata hatiku. Insyaallah, kita datang lain kali.

Masjid Kampung Batu Melintang, cantik berlatarbelakangkan bukit batukapur

Seperti biasa, perjalanan yang panjang ini berhenti-henti di beberapa tempat menarik seperti Hentian Puncak Titiwangsa dan Hentian Tasek Banding. Kami selamat tiba di rumah tepat jam 6.30 petang setelah melalui perjalanan hampir 8 jam. Alhamdulillah.

Tasek Banding

Monday, May 16, 2011

M.Bakri - Sumbangsih


Petang tadi aku terdengar lagu ini di corong radio. Siaran Radio Klasik agaknya. Tiba-tiba aku menangis tanpa sedar. Aku jadi rindu yang teramat sangat. Rindu pada Allahyarham Apak yang telah kembali ke rahmatullah 26 tahun yang lalu. Sumbangsih adalah salah satu lagu kegemaran Allahyarham.

Walaupun Allahyarham seorang yang amat pendiam, tetapi suaranya akan kedengaran apabila dia menyanyikan beberapa lagu kegemarannya. Sayup-sayup kedengaran suara Allahyarham menyanyi samada di bilik mandi atau semasa berehat di pangkin bawah rumah. Sumbangsih adalah salah satu daripada lagu-lagu tersebut.

Ya Allah ... dalam kerinduanku ini, aku memohon kepadaMu Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang ... Engkau peliharalah Allahyarham Apak, tempatkan rohnya bersama-sama orang yang beriman, kasihilah dia sebagaimana dia mengasihiku semasa hayatnya dulu. Ameen

Hari Ke-2 Yang Memenatkan

1 Mei 2011

Pagi bersarapan di kafe hotel. Walaupun baru pukul 8.00 pagi, kafe sudah penuh sesak. Punyalah ramainya tetamu, hingga makanan yang diisi oleh petugas kafe sekejap aje hilang dari tray hidangan. Memang orang Malaysia suka makan pagi .... amalan kesihatan yang baik.

Masjid Kristal

Selesai mengisi perut kami bertolak ke Pulau Wan Man. Anak-anak masuk ke Taman Tamaddun Islam, sementara aku dan Abah, bagaikan pasangan bercinta berjalan menyusuri pesisiran sungai sambil makan aiskerim. Sambil tu posing tak berhenti hinggalah tiba ke Masjid Kristal. Mujurnya cuaca hari ini tidak begitu panas. Malah angin sungai bertiup nyaman.

Dalam sibuk berposing, kami terpandang rakan dari Seberang Perai bersama keluarganya. Apa lagi, riuh rendah Pulau Wan Man dengan gelak ketawa dan gurau senda. Tinggal di Pulau Pinang, bertemu di Kuala Trengganu.

Setelah hampir 3 jam di sana, kami bergerak ke Kampung Losong untuk menikmati keropok lekor. Keropok yang masih segar begitu sedap dicicah panas-panas dengan sos cili istimewa. Sepanjang laluan di kampung ini, dipenuhi oleh kedai-kedai menjual keropok lekor dan keropok kering. Kereta dengan nombor pendaftaran dari negeri-negeri pantai barat kelihatan beratur di kiri-kanan jalan.

Kak Long dan Kak Ngah merengek hendak pergi ke Pasar Payang. Kononnya hendak membeli tudung bawal yang murah-murah. Memandangkan laluan di kawasan tersebut begitu sibuk dan ketiadaan tempat parking, hanya mereka berdua turun ke pasar tersebut. Aku bersama Abah dan Puteri Bongsu pergi bersantai di tepi Pantai Batu Buruk. Angin sepoi-sepoi menyebabkan Abah tertidor hingga mendengkor.

Selepas 90 minit, mereka selesai bershopping dan meminta kami mengambil semula di Pasar Payang. "Sekejapnya shopping???" aku mengusik mereka. "Tak ada duit la Mama .. awat Mama tak mau sponsor beli banyak-banyak tudung? Kain ela pun cantik-cantik Ma!!" hehehe kesian anak-anak ku.

Berebut mencekau sotong celup tepung ... nyummy sedapnya

Kami kembali ke hotel untuk berehat dan membersih diri. Aku beri masa 2 jam sahaja. Tepat pukul 5 petang kami bergerak menuju ke arah Pantai Teluk Ketapang berhampiran Batu Rakit. Di sana kami dapati banyak gerai menjual makanan laut telah dipenuhi pengunjung. Kami menjamu selera dengan sotong celup tepung, ikan celup tepung dan keropok lekor. Harga sotong dan ikan di sini lebih murah daripada yang di jual di Pantai Kelulut, Marang. Kenapa ye??

Laluan untuk "departure" di airport yang cantik

Tiba-tiba ada yang merasa tidak sedap perut. Hendak kembali ke hotel ... jauh perjalanannya 30 minit. Aahhh ... kita pergi saja ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Lapangan Terbang ini begitu cantik dan besar tetapi tidak ceria. Kebanyakan kawasan malap kerana lampu tidak dibuka. Mungkin untuk menjimatkan kos operasi semasa tiada sebarang penerbangan.

cantiknya bunga di Dataran Syahbandar

Kami seterusnya bertolak ke Dataran Syahbandar. Petang minggu begini kawasan pesisiran sungai ini dipenuhi oleh orangramai. Paling aku menyampah, ketika inilah beberapa mat rempit yang perasan cuba menunjukkan aksi masing-masing. Alangkah bahayanya jika mereka terbabas dan mencederakan orangramai yang sedang bersantai di kawasan tersebut??

Setelah sepanjang hari berjalan di Kuala Trengganu dan kawasan sekitarnya, kami menjadi begitu penat. Badan minta dibersihkan, kepala minta bantal untuk melelapkan mata. Kami tiba di hotel pada jam 8 malam dengan rasa lelah tetapi puas.

Sunday, May 8, 2011

Gganu Lagi

30 April 2011

Semua anak-anak bangun seawal 4.00 pagi dan kami memulakan perjalanan tepat jam 4.45 pagi. Seawal pagi begitu, jalan tidak juga lengang. Banyak kereta dan bas ekspress bergerak pergi dan balik di laluan Jalanraya Timur-Barat ketika itu. Kami berhenti untuk solat subuh di R&R berhampiran Pangkalan Hulu. Jam 8.00 pagi kami singgah makan nasi berlauk di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran Jeli. Kak Long diserang penyakit angin. Walaupun dia lapar, dia tidak mampu makan. Sepanjang 4 jam perjalanan, sudah 3 kali dia muntah.

Kami memasuki laluan Pasir Puteh menuju ke arah Kuala Trengganu. Tiba di Bandar Permaisuri, kami mengambil laluan arah jalan pantai. Di sini kami singgah sebentar di Pantai Penarik yang memang menarik pemandangannya untuk menjamu mata menikmati keindahan alam semula jadi. Maha Suci Allah yang mencipta alam yang begitu indah dan mendamaikan setiap hati yang memandangnya.

Kami seterusnya singgah di Merang untuk makan tengah hari. Masakan yang pelbagai membuatkan kami rambang mata untuk membuat pilihan. Tetapi nyata sekali tukang masak restoran ini sukakan masakan pedas ... semua lauknya pedas belaka!!!

Pada jam 2.00 petang kami tiba di Hotel xxx Kuala Trengganu. Kami dimaklumkan bahawa bilik masih belum sedia. Kami diminta bersabar. Aku dan anak-anak mengambil peluang memakan keropok dan jeruk-jeruk yang kami bawa bagi membuang kebosanan terpaksa menunggu. Bersama-sama kami terdapat 5 keluarga lain yang juga terpaksa menunggu bilik masing-masing. Tetapi apabila jam menunjukkan pukul 3.15 petang, kesabaranku mulai hilang. Maklumlah tempahan bilik ini telah dibuat 2 minggu lepas. Selain dari itu kami begitu letih setelah hampir 12 jam berjaga dan melalui perjalanan yang jauh.

Hanya pada jam 3.30 petang barulah kami beroleh bilik pertama untuk anak-anak. Bilik untuk aku dan Abah hanya diperolehi kira-kira 1 jam kemudian. Huh ... memang terbakar rasa hati. Tetapi aku amat menghargai professionalism petugas kaunter yang tetap tersenyum dan tidak berhenti-henti memohon maaf atas kesulitan yang kami hadapi. Pihak 'house-keeping' perlu lebih cekap mengatasi masalah menyediakan bilik untuk pelangggan.

Selepas membersihkan diri dan berehat sebentar kami bertolak ke Pantai Kelulut Marang untuk menikmati makan malam. Kami menjamu selera dengan nasi goreng, ikan celup tepung dan sotong celup tepung. Nyummy!!! Dalam perjalanan pulang ke hotel kami membeli pula sata yang amat diidamkan oleh anak-anak ku. Sayang sekali, sata ini tidak mampu menyaingi keenakan sata di Restoran Aziz Sata di Kampung Geliga Kemaman. Untuk pergi ke Kemaman ... fuh perjalanannya jauh sangat. Jadi tak ada rotan, akar pun berguna. Makan ajelah.

Pada malam harinya kami berjalan kaki menyusuri Waterfront untuk menikmati keindahan malam di Bandar Kuala Trengganu. Cahaya lampu yang cerah dan pelbagai bentuk, sepoi bayu malam dan kebersihan sungai yang mengalir menyebabkan kami tidak terasa sudah melepak hampir 2 jam di sana.

Tuesday, May 3, 2011

The Bee Gees - 'First of May'



First of May .... tarikh yang menyeronokkan bagi warga pekerja. Hari untuk bercuti. Tambahan pula tahun ini Hari Pekerja jatuh pada hari Ahad, jadi semua orang boleh bercuti panjang ... Sabtu, Ahad dan Isnin.


49 tahun lalu .... Emak melahirkan aku pada 1 Mei 1962. Begitu lama Emak dan Arwah Apak menanti kehadiranku setelah 3 kakak dan abang sebelum ku meninggal dunia semasa mereka berumur kurang dari 1 bulan. Menurut Emak, aku ditatang bagai minyak yang penuh. Pantang sakit sikit, cepat-cepat dibawa ke doktor atau bomoh. Mereka takut kehilangan lagi.

Ya Allah, Engkau kurniakanlah kedudukan yang tertinggi untuk kedua-dua insan yang amat berjasa kepada aku. Sememangnya aku tidak mampu untuk membayar harga setitis susu, setitis darah, setitis airmata malah setitis peluh mereka yang gugur kerana membesarkan aku. Aku tidak mampu!!!

Ya Allah ... bahagiakan kehidupan Arwah Apak di alam barzah. Lapangkanlah kuburnya sebagaimana Arwah melapangkan kehidupanku sejak aku dilahirkan. Bahagiakan kehidupan Emak menempuh hari tuanya dan jadikanlah aku anak yang diredhai oleh mereka. Ameen.