Thursday, July 18, 2013

Selamat Pengantin Baru -2


4 Mei 2013

Minggu berikutnya majlis kenduri pihak lelaki pula diadakan di Dewan PERDA, Bukit Mertajam.  Majlis yang bermula jam 12 tengah hari berjalan dengan meriahnya sehingga jam 5 petang.  Walaupun besuk adalah hari mengundi, tetapi tetamu jauh dan dekat tetap hadir meraikan mempelai.

Keluarga Fiza  dari Keratong 2 tiba dengan sebuah bas dan 2 buah kereta.  Alhamdulillah, selesai sudah majlis yang dirancang begitu lama dengan pelbagai dugaan dan rintangan.  Semoga Amirul dan Fiza telah bersedia untuk memegang tanggungjawab besar sebagai suami isteri. Sentiasa kembali kepada hukum Allah bila berlaku sebarang pertikaian, insyaalalh akan ada jalan keluar dan akan mendapat keberkatan dan kebahagian sehingga ke akhir hayat. Ameen

Selamat pengantin baru

Sepupu pengantin lelaki - Penang mari
Buah tangan untuk tetamu

Senyum gembira pak saudara bersama Ustaz Marzuki (Tanyalah Ustaz)

Menu mami tanjung - nasi beriyani + dalca ayam + daging hitam + ayam goreng rempah
+ acar buah  + bubur kacang + mee udang

Keluarga pengantin lelaki - tersenyum lega majlis selesai dengan jayanya

Wednesday, July 17, 2013

Selamat Pengantin Baru -1

Maaf Amirul dan Fiza.  Dah berbulan-bulan hangpa berkahwin, baru hari ni Makda jadi rajin nak tulis kat blog ni. Tak tau ler, penyakit malas yang luar biasa.  Apa pun, kita catit ringkas-ringkas jer perjalanan Makda sekeluarga  menghadiri walimatulurus kedua-dua belah pihak.

27 April 2013

Kami 5 beranak memulakan perjalanan dari Puchong melalui Lebuhraya Utara-Selatan terus keluar exit Senawang.  Dari Senawang perjalanan kami melalui beberapa pekan kecil di Negeri Sembilan. Pukul 12 kami berhenti makan tengah hari di pekan Kuala Pilah.  Sedap juga keli masak lemak cili padi, sambal tumis udang petai,  pucuk paku lemak cili padi dan ikan masin.  Kebanyakan menunya lemak cili padi ... ayam, udang, paru, beberapa jenis ikan dan sayur semua dimasuk lemak cili padi.  Hrmm tapi sedap, alhamdulillah.

Seterusnya kami melalui pekan Bahau dan Serting sebelum memasuki jalanraya yang lurus menuju Bandar Tun Razak dan Bandar Muazam.  Mujurnya kami dah mengisi minyak dan perut di Kula Pilah kerana sepanjang jalanraya lurus itu tidak kelihatan pun stesen minyak dan kedai menjual makanan. Di kiri-kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit yang luas melaut.  Walaupun jalan lurus tetapi Kak Ngah (pemandu kami sepanjang perjalanan ini) perlu  berhati-hati sebab banyaknya lori yang dipandu laju di laluan ini. Fuhhh tak berhenti-henti aku mengurut dada dan beristifar kerana cemas melihat lori yang larinya bagai dikejar hantu.

Kami tiba di Bandar Muazam Shah tepat jam 2 petang dan terus check-in di sebuah homestay. Gerombolan dari Pulau Pinang menyewa 3 buah homestay untuk 7 buah kereta.  Ada yang tiba awal dan ada yang tiba lewat petang sebab datang tidak berkonvoi.

Semoga jodoh berkekalan hingga ke Syurga ... ameenn


Rombongan wanita Penang

Selepas maghrib kami bertolak ke Masjid Keratong 2 untuk majlis akad nikah.  Majlis berjalan secara mudah dan teratur. Dengan sekali lafaz saja Fiza sah menjadi isteri Amirul ... alhamdulillah.  Seterusnya jamuan makan malam diadakan di hadapan rumah Fiza, Aku perhatikan warga Keratong 2 bergotong-royong menyajikan juadah malam itu yang terdiri dari gulai ikan, ikan goreng, buncis goreng, masak lemak labu, sambal dan ulaman serta bubur kacang.

28 April 2013

Pagi-pagi aku dan Abah keluar mencari makan pagi. Jumpa gerai jual nasi lemak berhampiran stesen bas Bandar Muazam. Lepas tu kami pusing-pusing Bandar Muazam, tak banyak kedai dan bangunan komersil pun. Tapi infrastruktur lengkap dengan Balai Polis, Bomba, JPJ, hospital, sekolah menengah dan rendah, sekolah teknik, MRSM, Politeknik dan kampus cawangan UNITEN.

Pukul 12 kami bertolak ke Keratong 2 untuk majlis kenduri dan bersanding.  Memandangkan perut lapar dan lauk pun sedap-sedap tengah hari ni, kami makan dengan penuh selera. Sempat lagi minta nasi dan air minuman tambah. Aduh pelahap betul rombongan dari Penang ni ... hehehheh.

Tidak sabar untuk menjamu selera

Selepas makan, bersanding dan bergambar, rombongan kami berpecah mengikut progranm masing-masing. Ada yang balik terus ke Penang, ada yang menetap semalam lagi, ada yang bertolak ke Kuala Lumpur. Kami sekeluarga bertolak ke Gambang.

renjis-renjis dipilis, duduk bersanding atas pelamin

Perjalanan dari Bandar Muazam ke Gambang juga dipenuhi oleh lori-lori yang bergerak laju.  Aku tak suka betul laluan ni.  Alhamdulillah setelah 1 jam perjalanan yang memenatkan, kami tiba Bukit Gambang Resort City untuk menginap malam ini.

Setelah berehat, mandi-manda dan solat,  kami bertolak pula ke Kuantan. Destinasi kami ialah ke Pantai Telok Chempedak.  Sepanjang jalan banyak sungguh poster pilihanraya.  Yang kreatifnya ada poster yang dibentuk seperti  struktur kapalterbang, kapal selam, kereta kebal dan paling sadis seperti cincin First lady .... whoaaaa!!!

Sebetulnya hari ni amat tidak sesuai untuk masuk ke Kuantan, maklumlah hari minggu. Jalanraya sesak, Pantai Teluk Chempedak penuh dengan manusia. Nak lepak-lepak pun tak ada tempat kosong.

Di Pantai Teluk Chempedak, banyak batu-batu besar bersusun berbentuk macam biji cempedak

Setelah hari gelap, kami menuju ke Tanjung Lumpur untuk makan malam. Punyalah banyak kedai menjual seafood, tak tau nak pilih yang mana satu.  Akhirnya kami singgah di sebuah kedai yang tidak begitu ramai pelanggan.  Menu malam ni siakap kukus, kailan ikan masin, sup cendawan seafood, sotong celup tepung dan telur masak bistik. 

28 April 2013

Pukul 11 kami check-out dan bergerak menuju ke Karak.  Satu insiden memualkan berlaku. Satu konvoi motosikal besar bergerak di highway tersebut dan mengarahkan semua orang memberi laluan dengan bergerak rapat ke kiri jalan.  Ramai yang memberi laluan dengan masuk ke laluan kiri. Masih tak puas hati, kami suruh memandu rapat sampai ke gigi jalan. Ini sudah lebih. Siap toleh-toleh macam marah dekat kita pulak. Kalau ambulan ke, bomba ker layaklah diberi layanan VIP. Ini entah sapa-sapa, tol pun tak pernah bayar, nak eksyen. Astagafirrullah hal azim, berilah kami semua petunjuk agar tidak menjadi manusia yang bongkak.

Bukit Gambang Resort City, setakat bermalam aja, tak sempat bermain di water park

Kami singgah ke Kampung Janda Baik untuk makan tengah hari. Banyak kedai makan yang ditutup.  Udara di sini sangat dingin. Tetapi keinginan untuk melihat rumah-rumah cantik seperti resort yang sering ditunjukkan di kaca TV tak  kesampaian, mungkin rumah-rumah tersebut dibina agak jauh dari jalanraya.

Setelah puasa makan dan berehat, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar Kak Long ke rumah sewaannya.

Friday, July 12, 2013

Akhirnya Berpisah Jua

Puteri Bongsu dah berumur 18 tahun. Tapi bagi aku dia tetap baby. Tetap aku nak pantau apa dia buat. Dah makan ker? dah mandi ker? dah solat ker? buat apa dalam bilik sorang-sorang?  Aku tau memang dia rimas dilayan begitu. Abah pun selalu ingatkan aku supaya beri ruang privasi pada dia. Dia dah besar, dah remaja. Beri dia peluang atur perjalanan hidup seharian selari tak lari dari norma hidup seorang muslimah. Tak perlulah nak kepung dia macam baru bertatih dulu.

Mama doakan yang terbaik untuk adik ... luv u so much


Fine!! memang aku terbawa-bawa melayan dia begitu. Agaknya sebab dia yang bongsu, perhatian aku kepadanya over sikit. Aku cuba tarik nafas panjang-panjang,  lepas pelan-pelan, dan ingatkan diri aku supaya relaks sikit.  Bukan ajer Puteri Bongsu yang rimas, kakak-kakak dia pun naik jeles. Ohhh!! ini tidak baik untuk perhubungan kami sekeluarga .... ingat tu Mama!!!, aku mengingatkan diri sendiri.

Tapi aku terpaksa terima kenyataan bahawa aku terpaksa biarkan dia berdikari 100% apabila Puteri Bongsu ditawarkan melanjut pelajaran ke Kolej Poly-tech MARA di Ipoh pada 24 Jun lalu.  Mula-mula tu tak terasa sangat. Tetapi semakin hampir tarikh tersebut, semakin sayu rasa hati.  Aku yang pack barang-barang dia. Aku yang check semua dokumen dia. Malahan sehari sebelum mendaftar aku potong kuku tangan dan kakinya.  Dia pun apa lagi,  memang ambil peluang keemasan ni. Kakngah mencebik mulut aje tengok perangai kami.

Kami tiba di KPTM Ipoh yang terletak di Greentown pada pukul 10 pagi.  Tatacara pendaftaran mengambil masa kira-kira sejam sebelum kami bertolak ke asrama yang terletak di Rapat Setia. Jauh juga rasanya. Tetapi aku tak risau sangat sebab KPTM menyediakan bas untuk pelajar berulang-alik.

Setelah makan tengah hari, kami bantu Puteri Bongsu mengemas locker.  Dorm yang luas didiami oleh 20 orang pelajar (10 katil double decker).  Setiap pelajar diberi katil, tilam, locker, meja dan kerusi untuk study. Tandas dan bilik air terletak dalam dorm. Ada 3 tandas dan 6 bilik air dan dapur (kosong jer dapurnya).

Pukul 5 petang tibalah masa untuk kami bertolak balik.  Puteri Bongsu memeluk aku erat dan lama sekali sambil nangis  tersedu-sedu. Dah tentulah Mama ni sama naik sedunya.  Tinggallah sayang. Belajarlah bersungguh-sungguh. Capai kejayaan tertinggi dalam pelajaran.  Berkawanlah dengan orang yang baik-baik. Jangan sesekali ponteng solat.  Jaga pekerti dan tingkahlaku.  Macam-macam doa dan pesanku. Semasa kereta bergerak meninggalkan asrama aku lihat Puteri Bongsu dah berlari masuk ke dorm. Pandangan mata aku sendiri kelam digenangi airmata.