Monday, July 13, 2009

Sahabat Lama (1)

Jambatan penghubung Pekan Parit dengan Kampung Belanja Kiri - kampung asal Arwah Apak. Jambatan ini untuk kegunaan pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja.
Di tengah-tengah jambatan ini terletaknya Pulau Chempaka Sari,
yang sepatutnya dimajukan sebagai pusat rekreasi

Pekan Parit tidak banyak berubah...sama seperti sewaktu aku kecil

Aku tiba-tiba berminat mencari teman-teman lama yang telah terpisah.

Aku ramai teman, tapi 'best friend' hanya boleh dikira dengan jari. Tapi teman yang ramai itu tidak pernah pula aku bermusuh atau bermasam muka. Tapi aku tidak pasti samada terdapat teman yang menganggap aku ini musuh mereka. Sebab belum pernah ada sesiapa pun yang memberitahu aku begitu.

Teman sekolah rendah...tidak ramai yang kekal dalam ingatan aku. Cuma teman rapat seperti Echah, Dah, Salasiah atau yang lelakinya seperti Wahab, Bidi dan Anuar. Yang lain aku sudah ingat-ingat lupa. Maafkan aku, mungkin waktu itu aku tidak begitu menghargai persahabatan. Aku cuma banyak berkawan dengan sahabat-sahabat rapat itu saja setiap kali waktu belajar, waktu rehat, waktu aktiviti petang atau waktu mengaji Al Quran.

Tetapi sahabat di sekolah menengah amat rapat di hati aku. Aku bersekolah asrama selama 5 tahun di Perlis. 5 tahun itu aku dewasa bersama sahabat-sahabat aku. Kami bersama tidor, mandi, solat jemaah, makan 5 kali sehari, belajar, prep class petang dan malam, bersukan, bercuti, aktiviti ko-korikulum dan sebagainya. Waktu itu aku rasa aku lebih rapat dengan sahabat dari ahli keluarga ku sendiri. kami semua mempunyai ikatan yang kuat walau pun berlainan bangsa atau berasal dari negeri yang berbeza.

Kemudian aku menyambung pengajian di Uitm Trengganu selama 3 tahun. Teman kuliah tetap sama selama 3 tahun tetapi teman bilik bertukar-tukar. Perbezaan umur aku dengan teman kuliah dan teman bilik menyebabkan persahabatan tidak begitu terjalin kejap, tetapi aku gembira kerana mampu bersahabat dengan siapa sahaja sama pelajar dari Pantai Timur atau Pantai Barat. Tidak pernah aku bermasam muka dengan sesiapa pun walau pun aku tahu mereka ada bermacam-macam kerenah. Tapi aku berpegang kepada sikap selagi orang tidak mengganggu aku, aku pun tidak akan ganggu sesiapa.

Ah....panjang nya celoteh. Akan aku sambung kembali selepas ini.

Wednesday, July 8, 2009

Kematian (2)

Inilah kematian yang sangat mendera perasaan aku.

Aku dan Arwah Apak tidak begitu rapat. Apak sangat pendiam orangnya. Susah nak mengagak samada dia gembira atau marah atau sedih. Selalunya Mak yang menjadi posmen bila kami memerlukan duit, bila kami nak membeli sesuatu barang.

Tapi satu yang pasti, aku tau Apak sangat penyayang orangnya. Aku tak pernah sekalipun dihampakan permintaan. Walaupun mungkin permintaan aku itu terlalu berat untuk Apak tunaikan, maklumlah dengan gaji sebagai Guru Penolong Kanan sekolah rendah dengan 7 anak yang sedang membesar. Apak tidak pernah merungut di depan kami, dia akan usahakan. Bila mengenang itu semua, aku jadi terkilan, sebak dan berdosa .. mungkin aku telah membebankan hidup Apak. Oh Tuhan, ampunkan dosa aku.

Aku sempat berada sepenuh masa dengan keluarga sehingga darjah 6 sahaja sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasarama penuh selama 6 tahun (sehingga Tingkatan 6 Rendah sahaja), UiTM selama 3 tahun dan seterusnya bekerja jauh dari kampung. Perpisahan ini menyebabkan aku jadi makin renggang dari keluarga, tambahan lagi sewaktu tahun 70an-80an dahulu hanya surat jadi penghubung aku dan keluarga. Telefon bimbit tidak ada, telefon rumah pun hanya ada pada tahun 1984.

Aku bekerja pada pertengahan tahun 1984. Gaji pertama aku serah pada Mak untuk dibahagi bersama Apak. Tapi Apak tidak mahu menerimanya, sebaliknya menyuruh aku menyimpannya untuk keperluan masa sesak. Cuma apabila didesak oleh Mak, barulah Apak menerima wang aku dan dibelikan baju batik dan kasut hitam untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ku. Apak nampak segak berbaju batek lenga panjang. Itulah sahaja duit aku yang digunakan oleh Apak.

Pada 15 Februari 1985 aku dikejutkan dengan berita kematian Apak akibat serangan jantung yang pertama. Waktu itu Apak baru sahaja seminggu menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Penolong Kanan. Allah memperkenankan hasrat Apak "lepas pencen ni nak berehat puas-puas, dah lama kerja berpuluh tahun". Tragik sekali Apak tak sempat langsung merasa hasil penat-lelahnya, tidak sempat menerima pencen, tidak sempat menerima gratuity, tidak sempat menunaikan hajat nak ke Tanah Suci selepas pencen.

Mak jadi orang yang paling menderita. Selama ini Mak begitu dimanjakan oleh Apak, tidak pernah ke pasar, tidak pernah membeli barangan dapur, tidak pernah tahu urusan membayar bil. Adik aku yang bongsu juga menerima kesan yang amat ketara. Pada usia 9 tahun, dia jadi begitu perengus dan asyik memberontak. Pertembungan emosi yang kacau antara Mak dan Adik menyebabkan kedua-dua sering makan hati. Aku dan adik-adik yang lain cuba untuk menjadi pendamai.

Apak...kami telah cuba menjadi anak Apak yang berbakti. Kami tidak hampakan usaha Apak. Alhamdulillah semua anak Apak menjadi manusia, berjaya dalam pelajaran. Semua mempunyai kehidupan yang stabil serta keluarga yang bahagia. Semua anak Apak nampaknya tidak lari dari pegangan Islam, sebagaimana teladan yang Apak tunjukkan. Dan kini kami berusaha terus membahagiakan Mak yang telah berusia 71 tahun.

Dan kami tidak pernah lupa Apak. Setiap solat, doa untuk Apak sentiasa kami titipkan. Semoga Apak bahagia di sana. Ameen.

Monday, July 6, 2009

Kematian (1)

Cerita ini telah aku tulis pada 25 Jun lalu. Tetapi entah di mana silapnya, ia tidak muncul dalam blog aku. Maklumlah aku masih bertatih sebagai penulis blog, tentu perjalanannya belum lancar. Tidak mengapa, jangan cepat mengalah, hari ini aku cuba lagi. Cerita aku pada 25 Jun 2009 seperti berikut :-

***************************************

Hari ini dua berita kematian.

Bukan sahabat aku, bukan juga saudara-mara aku. Tapi celebrities dari sana, Hollywood. Micheal Jackson (MJ) dan Farrah Fawcett (FF) telah meninggalkan ribuan peminatnya.

Mungkin generasi muda lebih kenal dengan MJ, dia masih terkenal sehingga ke akhir hayatnya. Saban minggu atau bulan ada saja cerita tentangnya yang penuh kontroversi. Imej peliknya, tarian unik 'moon dance', anak-anaknya yang selalu bertutup muka, pelbagai saman, kes lelong, konsert terbarunya dll. Tapi aku sentiasa mengingatinya sebagai MJ yang comel dan lincah bersama abang-abangnya dalam kumpulan Jackson 5. Kini dia meninggal dalam usia yang muda, baru 50 tahun.

FF pula lebih dekat kepada generasi aku yang kini berumur hampir separuh abad. Ehem, ehem, masih muda. Dulu semasa zaman remaja, aku selalu berangan, "isy..kalau le dapat rambut beralun macam FF". Mula lah aku berangan di depan cermin, tak henti-henti menggulung rambut supaya jadi beralun juga. Dia idola gadis remaja yang mengimpikan imej sempurna seperti dalam siri Charlie's Angels. Dia meninggal pada usia 62, setelah sekian lama bertarung dengan kanser.

Tapi begitulah hukum dunia, walau siapa kita, bila tiba saat dijanjikan, kita akan kembali kepadaNya.

Aku tiba-tiba bertambah insaf.

Wednesday, July 1, 2009

Perlukah blog ini?

Tentulah perlu.

Sebab-sebabnya sudahpun aku terangkan sebelum ini. Aku tidak kisah kalau ada yang kata aku buat blog untuk syok sendiri. Mungkin benar, sebab tidak semestinya semua blog ada peminatnya, pembacanya. Tak semestinya perlu respon terhadap setiap yang kita tulis.

Kadangkala kita menulis kerana keperluan diri sendiri. Blog membenarkan kita bercakap tentang diri sendiri, kita menulis satu isu, kita bahaskan sendiri, kita membacanya semula. Oh... mungkin kita tidak setuju dengan idea yang kita lemparkan sendiri. Kita tanya diri kita sendiri "kenapa aku fikir macam itu tadi? Kenapa kau tidak berfikir begini?"

Bukan itu mengajar kita lebih berfikir, mudah-mudahan lebih positif.

Kadang-kadang kita tidak pandai memberi idea dengan suara yang lantang, tapi kita ada idea. Kita geram apabila tiada sesiapa yang mahu mendengar idea kita. Daripada memendam rasa, nah letakkan saja dalam blog ini. Puaskan hati sendiri. Idea telah pun kita lontarkan.

Tuesday, June 23, 2009

Pembuka Kata

Salam,

Kenapa aku buka blog ini.

Aku ada tujuan, setiap orang buat sesuatu mesti ada tujuan. Kalau tak ada tujuan ia macam main-main, tidak serius.

Aku sudah ingin buat blog sendiri sejak lama dulu. Tapi kekangan masa tak mengizinkan, biasa lah wanita bekerjaya, 8 jam di pejabat, di rumah dihambat dengan tugas sebagai isteri, ibu, anak, saudara, jiran dll. Tak terkejar rasanya.

Tujuan aku buat blog? Banyak sebabnya. Pertama sekali aku memang minat menulis, sejak sekolah menengah aku suka menulis, terutama sajak. Tentunya sajak jiwang-jiwang, sesuai dengan usia remaja ketika itu. Masuk kolej, bekerja dan berumahtangga, hingga sekarang aku tak pernak berhenti menulis....dalam diari. Aku takut setiap detik yang indah, tak aku rakamkan dalam cerita. Tentu rugi sekali.

Kedua blog tempat aku melepaskan perasaan. Kadang-kadang banyak sangat yang berlegar dalam kepala. Memandangkan aku bukanlah pandai bercerita secara vokal, rasanya menerusi blog aku boleh bercerita apa saja, asal saja tidak menyentuh sensitiviti sesiapa.

Ketiga blog jadi tempat aku mencatatkan sejarah peristiwa kehidupan, sebab itu aku pilih blog ini :aku dan kehidupan. Kehidupan aku dan semua di sekeliling ku.

Keempat untuk aku mencuba semula bakat yang dah lama terbenam, bersajak. Ah! Tak tau bila akan aku mulakan, mungkin bukan lagi sajak jiwang-jiwang, tapi yang sesuai dengan situasi sekarang.

Itu tujuan ku setakat ini, mungkin lepas ini akan bertambah.