Friday, May 16, 2014

Selamat Pulang Kaklong

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.  Syukur ke hadrat Allah yang memperkenankan doa seorang Ibu. 

Setelah hampir 18 bulan bekerja di Damansara Utama, akhirnya Kaklong ditawarkan berkhidmat di sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang. 10 minit jer perjalanan dari rumah.

Selama 18 bulan tu, puaslah Kaklong merasa peritnya hidup di ibu kota.  Bayaran sewa bilik yang tinggi, duit minyak, duit parking, duit tol, belanja makanan yang mahal. Itu belum lagi bayaran saman sebab parking 'legal' dah penuh, terpaksa parking di bahu-bahu jalan. Last sekali, setiap hujung bulan, Kaklong mesti mengadu dah pokai. Kesian sungguh.

Tapi mulai 2 Jun ni hidup Kaklong akan berubah banyak.  Sewa rumah tak perlu bayar, makan malam dah tersedia, tol tak ada, bayaran parking pun murah ... hrmm bolehlah menyimpan. Paling penting tolonglah selesaikan hutang PTPTN tu!!! Hidup berhutang ni penuh dengan stress tau.

Akulah ibu yang paling gembira. Anak ada depan mata. Ada teman bergurau bertepuk-tampar.  Memang dengan Kaklong le aku paling banyak terpisah semasa usia remajanya. Dari Tingkatan 1 lagi dia sudah duduk di asrama, aku hanya memantau dari jauh.  Kini aku boleh pandang muka dia tiap2 hari. Benarlah ... walau berapa pun usia si anak ... she will always your baby!!!


Friday, May 9, 2014

Berbahagialah Adik Ku Di Sana - 30 April 2014

Semasa menunggu azan subuh pagi ni aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari kakak ku Yong. Selepas memberi salam berbasa-basi, Yong menyampaikan berita yang adik iparku Hamid dimasukkan ke  Subang Jaya Medical Centre akibat serangan jantung.  Keadaannya memang serius.

Segera fikiranku terbayang ketiga2 anak buahku yang masih kecil.  Dadaku berdebar2 kencang.  Ya Allah Ya Tuhanku, selamatkan adik iparku. Shahamid atau Hamid adalah suami Mimi. Mimi adik ku yang ke-3, atau anak ke-5 dalam keluarga. Dipanggil sebagai Pak Uda, Hhamid dikenali sebagai seorang yang peramah dan ringan tulang.

Selesai solat subuh, aku telefon Mimi untuk mendapatkan perkabaran terkini. Menurutnya Hamid mula mengadu sakit tekak dan sukar menelan walaupun air pada waktu maghrib. Dengan ditemani anak sulongnya Asyraf, Hamid pergi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran rumah. Mungkin kerana dia mengadu sakit tekak, doktor hanya merawat tekak dan memberikan ubat melegakan tonsil.  Pada pukul 1 pagi Hamid mengadu kesukaran untuk bernafas.

Mereka berdua bergegas untuk ke hospital. Tetapi belum pun sempat masuk ke kereta Hamid telah jatuh tidak sedarkan diri, Dalam keadaan panik Mimi menjerit minta tolong dan membunyikan hon kereta bertalu2. Beberapa jiran yang prihatin bergegas keluar memberikan bantuan. Mereka bersama2 membawa Hamid ke hospital. Pada masa ini, Hamid  kembali sedar malah boleh menaiki sendiri kerusi roda di lobi hospital.

Sedang Mimi berada di kaunter menguruskan pendaftaran, dia dipanggil doktor. Doktor memaklumkan Hamid telah berhenti bernafas dan tekanan darahnya semakin jatuh. Doktor segera memberi bantuan pernafasan dan pemantauan rapi dilakukan untuk memastikan tekanan darah kembali stabil.

Dugaan Allah. Aku tidak dapat bersegera pergi kerana kereta Kakngah berada di workshop. Aduhh masa ni la pulak temperature kereta dia buat hal. Setelah menunggu agak lama, kereta tersebut hanya siap dibaiki pukul 12 tengah hari. Kami bertolak ke kilang Kakngah di Bukit Minyak, tukar kereta. Dia ambil semula kereta Kancil nya, kami ambil semula Inspira untuk meneruskan perjalanan ke selatan.  

Setibanya di Tapah pada pukul 2.45 petang, Yong menelefon sekali lagi memaklumkan bahawa Hamid baru saja menghembuskan nafas terakhir. Innalillah hi wainnalillahhirrojiun. Kami berhenti di R&R Tapah untuk solat sebelum meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan aku hanya mampu menangis. mengenangkan kebaikan arwah, mengenangkan adikki Mimi menjadi balu pada usia yang begitu muda, mengenangkan 3 anakbuah ku yang masih kecil berumur 5, 13 dan 17 tahun.  Semoga Allah merahmati mereka semua.

Jenazah Allahyarham tidak dibawa pulang ke rumahnya di Alam Budiman, sebaliknya ke rumah pusaka keluarga di Jalan Kebun, Kelang.  Setibanya kami ke sana dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke perkuburan. Mujur ada beberapa orang sahabat Allahyarham kebetulan hendak menuju ke sana juga. Kami mengikut dari belakang. Memang kami tak mahir langsung selok-belok kawasan ini.

Setibanya kami di perkuburan, talkin baru mula dibacakan.  Semua sunyi sepi kecuali anak bongsu Allahyarham, Muhammad Adil yang becuk mulut bertanya kenapa ayahnya ditanam. Kesian ayahnya. Ramai yang menahan sebak mendengar celoteh si kecil yang tak tau apa2 ni.

Selamat berangkat ke alam barzah Hamid. Bersemadilah dengan aman. Kami takkan sisihkan adik kami Mimi dan anak2 buah kami. Yang pasti kami sekeluarga akan merindui keenakan teh tarik, minuman yang dibuat oleh Alahyarham setiap kali kami berkumpul di rumah Emak.

Allahyarham Hamid, Mimi dan Asyraf di The Mines Resort City Sri Kembangan
Aku dan anak2 bersama Allahyarham Hamid di  I-City Shah Alam
Allahyarham memang peramah dengan siapa saja, bersebelahan Allahyarham
 ialah bapa saudara kami, Allahyarham Hj Mohammad


Saturday, May 3, 2014

Dah Lama Bersawang

Minta maaf anak-anak ku semua. Dah lama betul Mama tak menulis kat sini. Inilah akibat tak der kerja pergi cari kerja. Padan muka aku ... huaaaaa!!!

Memang semenjak aku join Shaklee bulan Januari ari tu aku jadi busy semacam. Aku boleh je buat pilihan, nak join untuk bolehkan aku beli produk Shaklee pada harga ahli. Kemudian beli dan makan untuk seisi keluarga jer. Tapi aku pilih untuk berniaga secara aktif. Apa lagi aku terus diserap masuk dalam group2 kecil. Diajar macamana nak buat blog, buat FB page, main Instagram, reka ayat2 promosi, meeting on-line, meeting off-line ... amik kau!!!  Macam nak pengsan mak.

Lebih hebat rakan seperjuangan aku dalam Shaklee ni semua muda2, pangkat anak belaka. Jenuh la aku nak ikut rentak mereka. Orangmuda tenaganya pantas.  heheheh jangan tak tau makcik ni pun dah terikut2 bahasa pelik budak2 tu ... korang, uolls, bebey, laling2, muahah dan ntah apa2 lagi (sebetulnya aku tak suka sangat perkataan korang ni, bunyi macam kurang aj... je).  Ahhh biarlah ... no hard feeling. Janji semua orang boleh sembang mesra dan respect each other.

Memandangkan perlunya aku mengejar target bulanan, bayangkan betapa havocnya minggu2 terakhir setiap bulan. Makan Shaklee, tidor Shaklee, mandi Shaklee, mimpi Shaklee. Dan setiap pertengahan bulan pulak, sibuk meninjau2 berapa bonus yang masuk ... ini part paling suspen.

Apa pun anak2 muda juga mengajar kita mendekatkan diri kpd Yang Esa.  Semua member disaran rajin bertahajud, solat taubat, solat dhuha, berzikir dan lain2 amalan rohani.  Bagus tu. Disediakan juga jadual untuk dipatuhi supaya kita tidak tertinggal semua amalan hariantu. Tapi ini semua perlu keikhlasan dan kejujuran sendiri juga. Tak mau buat pun boleh. Tapi sendirilah yang rugi kan?

Paling best aku ada lencana ku sendiri .... ni dia!!!


Friday, February 28, 2014

Muhasabah Cinta - edCoustic

Salam Jumaat .... hari ni 28 Februari. Hari terakhir bulan Februari. Dan ini satu-satunya entry aku pada bulan Februari ni.  Entry sedih pulak tu. Mengingatkan tentang kematian semakin menghampiri kita.  Yelah dah umur setengah abad, dah merasa nikmat hidup yang panjang selama setengah abad....berapa lama lagi boleh hidup?? wallahhualam ... itu rahsia Allah Yang Maha Bijaksana.

Tetapi memang perlu kita selalu ingat mati .... supaya kita jadi makin baik.  Supaya kita sentiasa bertaubat memohon keampunan Allah. Supaya kita cuba tambah saham akhirat dengan pelbagai amalan kebajikan. Supaya kita mempersiapkan anak-anak, harta, seelesaikan hutang dan macam-macam lagi. Biar mati kelak roh kita tenang.

Kalau ikut Arwah Apak, umur 55 tahun dah dijemput Allah ke dunia fana. Kalau ikut Emak, syukur nikmat masih sihat di umur 76 tahun.  Aku tak pasti ajal aku bila, bila umur 80 tahun, 60 tahun, tahun depan, tahun ini, minggu depan atau mungkin sebentar lagi??

Takut? memang le takut,. Aku bukanlah manusia sempurna, banyak silap salah dan dosa aku.  Takut memikirkan macamana Allah mencabut nyawaku, macamana kehidupanku di alam barzah.  Subhanallah ... Allah Yang Pengasih dan Penyayang ... kurniakan pengakhiran kehidupan yang baik dan penuh kemuliaan buatku. Ameen.

Jom kita dengar Muhasabah Cinta.  Baca dan hayati liriknya ... insaf. Mesti nangis punya.

Saturday, January 25, 2014

Winter Wind di Perlis Indera Kayangan

Sekarang ni fenomena musim sejuk.  Satu Malaysia havoc sebab suhu di sesetengah tempat macam duduk dalam air-cond terutama pada waktu malam dan pagi. Nak mandi pagi pun siksa. Yang ada water heater tak ada masalah.  Yang mana tak ada tu, kenalah jerang air panas untuk bagi mandi anak-anak yang nak ke sekolah. Air sejuk mereka tak mau mandi ... kesian ibu-ibu yang dah memang lelah pagi-pagi menyiapkan sarapan, menyidai kain di ampaian, menyiapkan anak-anak sebelum mereka sendiri bersiap nak ke pejabat. Walaupun cuaca sejuk, ibu-ibu ni peluh menitik tak berhenti kerana kepenatan.

Cameron Highlands dilaporkan mencatat 17C.   Semua kena pakai baju sejuk, stokin, topi dan sarung tangan.  Biasalah tu ... highland.  Tapi yang lebih mengejutkan kawasan tanah rata pun sejuk macam tu juga. Kuala Krai Kelantan pun 17C juga.

Negeri Perlis pun havoc juga.  Sampai ada satu artikel dalam Facebook memaklumkan akan berlaku cuaca paling sejuk pada hari Sabtu 25 Januari 2014.  Nanti aku nak check dengan sahabat-handai di Perlis bagaimana sejuknya cuaca hari ini.  Jom kita baca artikel tersebut untuk memahami apakah musim timur atau "winter wind" yang terkenal dan berlaku setiap tahun di Perlis ni .


********************************************************************
'Winter Wind' di Perlis (Rahmat Hj Said)

Hari Sabtu ini 25 Jan 2014 Perlis dijangka mengalami cuaca paling sejuk di Malaysia, waktu malam hingga awal pagi suhu dijangka turun sehingga 20°C.

(Lokasi gambar : dari atas fly-over baru Mata Air)

Sebenarnya cuaca begini sejak dahulu lagi berlaku setiap tahun di Perlis. 'Winter Wind' ini ialah angin tropika monsun timur laut yang bertiup di Perlis pada Disember hingga Mac setiap tahun. Perlis adalah negeri paling utara di Semenanjung yang terletak paling hampir dengan Garisan Jadi (garis lintang yang menandakan kedudukan matahari tegak yang paling jauh ke selatan) dan kerana itu ia menerima tempias winter wind yang tak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Winter wind ini cuma berlaku hanya sekali dalam tempoh setahun ketika hemisfera selatan bumi paling condong ke arah matahari.

Biasanya bacaan suhu ketika winter wind ini ialah sekitar 20 darjah celcius pada waktu tengah malam dan awal pagi, tapi bila tengahari ia akan mencatatkan bacaan suhu yang tinggi lebih 32 darjah celcius. Cuaca paling sejuk ialah pada bulan Februari di mana langit sentiasa membiru, ketika malam cahaya bintang begitu terang menaburi angkasa, di tambah bayu lembut tak henti-henti membelai mesra, ia sesuatu yang sangat indah ketika berada di Perlis di musim winter wind ini. Walaubagaimanapun tempat yang paling sejuk di Perlis terletak paling utara iaitu Padang Besar, Wang Kelian, Kaki Bukit, Kok Mak & Titi Tinggi.

Ketika di puncak winter wind ini rumput-rumput akan mati, pokok-pokok kelihatan botak gondol, seperti musim luruh di Eropah. Kata orang Perlis masa 20-30 tahun dulu lagi sejuk dari sekarang hingga minyak kelapa pun akan beku di waktu pagi!

Kerana cuaca di Perlis begitulah menyebabkan mempelam harumanis cuma subur di negeri itu, kerana agaknya mempelam harumanis cuma suka hidup di negeri berhawa dingin. Begitu juga anggur agak menjadi di Perlis, sedang di negeri lain boleh tanam anggur yang hidup cuma pokok tapi buahnya tak begitu menjadi.

Di Perlis 'winter wind' lebih dikenali sebagai Angin Timur. Dahulu ketika musim timur seperti ini penduduk Perlis melakukan berbagai aktiviti spt menuai padi, menangkul udang, main wau, dll termasuk waktu malam. Pagi-pagi mandi air telaga untuk ke sekolah sangat sejuk sampai mengigil.Ada juga barang-barang yang dibeli akan dibayar ketika musim menuai ini, lebih terkenal di Perlis dengan istilah "bayag timog'.