Tuesday, January 31, 2012

25 Tahun Dah???

25 tahun bersama
Alhamdulillah dengan izin Allah SWT kami diberi kesempatan menyambut wedding anniversary ke-25.  Subhanallah ... rasanya baru semalam bersanding dengan Abah.  Heheheh ....

Abah .... terima kasih kerana menjadi suami yang terbaik buat Mama.  Tak ada apa lagi yang Mama mohon  kepada Allah SWT selain dari memberikan keberkatan hidup kita sekeluarga di dunia ini dan memanjangkan jodoh kita sehingga ke syurga bersama anak-anak dan ibu-bapa kita.  Ameen,

Buat anak-anak Mama :

Adat berumah-tangga memang kekadang tu bergaduh juga. Kalau baik jer tak gaduh pun boring juga  .... boleh terima ke?  Kalau gaduh-gaduh, merajuk sikit-sikit, pujuk-pujuk sikit, Insyaallah lagi erat ikatan kasih-sayang. Dengan syarat, jangan ego sangat. Kalau dah buat silap, jangan segan nak minta maaf.  Orang dah minta maaf tu, janganlah merajuk lagi, maafkanlah ....  jangan nak tunjuk garang tak bertempat.

Doa adalah senjata umat Islam.  Banyakkan berdoa mohon keberkatan hidup berumahtangga dari Alllah SWT. Kita tidak tahu apa rintangan dan dugaan di sekeliling kita yang boleh terjah kita bila-bila masa aja. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita hambaNy a. Tetapi kita kenalah sentiasa patuh kepada perintahNya dan memohon perlindungan hanya dari Allah SWT, jangan minta pada orang ... terutama bomoh. Jangannnnn sekali-kali.

Hormat-menghormati terlalu penting. Melawak boleh ... tapi berpada-pada. Jangan sentuh perkara yang terlalu sensitif terutama melibatkan ahli keluarga pasangan kita.  Jangan mengata adik dia, jangan kutuk kakak dia, jangan hina ibu-bapa dia. Pantang-larang yang teramat besar!!!!

Tolak-ansur juga penting. Jangan pentingkan diri sendiri.  Kalau masak atau beli makanan, ingatkan juga kegemaran pasangan kita. Walaupun kita tak suka sesuatu makanan, apa salah kita buat pengorbanan sikit.  Macam Mama (ecehcehceh) tak suka laksa ... tapi usaha juga belajar dan masak laksa untuk Abah, walaupun selalu FAILED. Rezeki Mama ... Abah tak cerewet, kalau dia suka dia makan banyak, kalau tak suka dia makan sikit. Alhamdulillah.

Sharing is caring.  Belajar share banyak perkara dengan pasangan kita.  Share masalah dia, kegembiraan dia, kegemaran dia dan perasaan dia. Kalau beban dalam rumahtangga tu, bantu setakat termampu.  Memang kelengkapan rumahtangga itu tanggungjawab suami, tetapi sebagai isteri apa salah kita bantu. Hargailah kebaikannya membenarkan kita keluar bekerja. Kalau suami guna kuasa veto tak benarkan kita bekerja, kita wajib patuh.  Hiduplah dengan apa saja yang dia mampu sediakan tanpa banyak komplen.

Sebetulnya banyak lagi tips yang hendak Mama titipkan buat anak-anak Mama. Memang pun Mama bukan pakar motivasi rumahtangga, tapi banyak bergantung kepada pengalaman selama 25 tahun. Nak lebih banyak tips, kena rajin baca buku-buku motivasi rumahtangga Datuk Dr Fadhilah Kamsah, Ustazah Siti Nur Bahyah, Dr Rubiah Hamzah dan ramai lagi.  

Cuma antara tips hubungan intim suami-isteri yang dikongsi oleh Ustazah Azizah di masjid tempat Mama menimba ilmu ialah :
  • selalu minum berkongsi gelas dengan pasangan, share makanan dengan sudu dan garpu yang sama, dan sesekali suaplah pasangan kita
  • tidur berkongsi satu selimut, carilah selimut king size, tak der lah lawan tarik selimut semasa tidur nanti ... hehehe
  • semasa mula hendak tidur sentiasa mengadap wajah satu sama lain, dah tidur tak kisahlah kalau nak pusing arah mana pun, dah di luar kawalan minda sedar
  • sentuhan adalah penting,  hrmmm ... berjalan pegang tangan, tengok TV dok dekat-dekat, dalam kereta pun pegang tangan pasangan.  Bila pening atau sakit badan, minta pasangan tolong picitkan dengan penuh kasih-sayang. Tak malu??? Kenapa pulak malu?  Suami isteri pasangan halal. Anak muda yang berkepit dan menenggek atas motor pakwe tapi belum nikah tu lagi lah memalukan!!! 
  • amalkan potong kuku suami setiap hari Jumaat
  • bilik tidur mesti kemas dan wangi .... rajinlah tabur bunga rampai, atau susah sangat sembur aje perfume atas katil
  • selalu tukar cadar, tuala dan pakaian suami  (ada suami dok pakai baju dan pelekat yang sama berhari-hari ....uweeekkk)
  • sentiasa perihatin, selalu hulurkan minuman semasa dia santai (tak semestinya minuman manis, air masak pun okay ... nanti muda-muda dah dapat kencing manis)
  • selalu mengorat dia, kejip-kejip mata, cuit-cuit, hantar SMS ... ahhhh. engkorang pandai-pandailah buat apa yang patut
  • senyum ... jangan tunjuk muka kelat, tak selera pasangan nak tengok

Banyak .... banyak lagi, nanti tanyalah kat Mama yer. Sekarang Mama nak masuk dapur ... sempena anniversary ni Mama nak masak menu kegemaran Abah yang sangat simple tapi boleh buat Abah tambah nasi berkali-kali ... pajeri nenas, ikan masin goreng dengan bawang dan cili kering dan cencaru belah belakang.  Siappp!!!

Friday, January 27, 2012

Tudung Bawal - Hot From The Oven

Tudung bawal sulam

Alhamdulillah.  Tak sangka pulak banyak permintaan untuk tudung bawal yang aku beli di Indonesia tempoh hari. Tapi biasalah, warna yang tak ada dalam simpanan pulak yang customer mahu.  Okay ... aku order lain.  Ada macam-macam warna, pelbagai corak.


    Tengok dan pilihlah mana yang berkenan di hati!!!

Tudung bawal manik
Tudung bawal manik
  Tudung bawal manik

Tudung bawal sulam
Tudung bawal sulam
Kalau minat, jenguk-jenguk dan tekan LIKE di facebook link berikut :

Tuesday, January 24, 2012

Emak ... Maafkan Aku

Emak dan Puteri Bongsu di  Pantai Merdeka
Sudah 2 minggu Emak duduk dengan aku.  Semenjak Atun pulang ke Indonesia, aku bawa Emak tinggal dengan aku. Tak mungkin nak tinggalkan Emak seorang diri di kampung. Nanti sakit peningnya . ..siapa nak jaga, makan pakainya siapa nak sediakan, sunyi sepinya siapa nak temankan.

Tapi Emak tetap Emak. Semalam dia mula bersuara, "Bila bibik baru nak tiba. Emak dah tahan nak balik kampung".  Aku terpaksa sembunyikan rasa kecewa ku.  Baru 2 minggu dah tak betah lagi duduk dengan aku. "Sabarlah Emak.  Bibik baru tu kerajaan Indonesia tak bagi masuk Malaysia lagi.  Lagipun hari Jumaat ni Emak kena jumpa doktor".  Emak hanya berdiam diri.  Tetapi air mukanya jelas membayangkan kekecewaan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama keadaan ini berlaku. Malah sudah berkali-kali. Setiap kali Emak pergi ke rumah aku atau adik-beradik ku yang lain, dia hanya mampu bertahan antara 2 hingga 3 minggu aje. Selepas tu, Emak mula nampak gelisah, malah kadang-kadang jatuh sakit.

Aku cuba yang terbaik untuk buat Emak selesa. Aku akan bangun pagi seawal mungkin untuk sediakan sarapannya supaya penyakit gastriknya tidak menyerang.  Aku akan sediakan makanan tengahari dan malam lebih awal dari biasa kerana Emak makan tengahari pukul 11.30 pagi dan makan malam pukul. 6.30 petang.  Aku cuba merekacipta resipi yang memenuhi keperluan kesihatan Emak, tidak pedas, tidak masin, tidak berminyak, tidak masam.  Sayang sekali Emak tak suka makan sup.  Bukanlah masalah besar bagi aku untuk menyediakan semua itu ... tetapi Emak sudah memasuki peringkat di mana seleranya makannya amat merosot. Kadang-kadang untuk menghabiskan sesenduk nasi pun amat payah.  Kadang-kadang aku pujuk Emak, kadang-kadang aku paksa Emak makan ... nawaitu  aku supaya Emak tidak diserang gastrik.

Aku cuba hiburkan Emak dengan mengajaknya makan di luar atau bersiar-siar, tetapi Emak selalu menolak. Tidak larat!!!  Sebenarnya Emak tidaklah begitu tua mengikut keadaan sekarang. Umur Emak baru 73 tahun. Beberapa emak saudaraku dan kawan-kawan sekampung yang umurnya sebaya Emak masih kuat dan cergas, bergerak ke sana ke mari dengan penuh tenaga dan ceria.  Tetapi Emak yang mengidap pelbagai penyakit kehilangan semua nikmat itu. Penyakit ostoporasisnya menyebabkan dia kurang berupaya bergerak ke mana-mana.  Malah Emak mengelak untuk perjalanan jarak jauh, dia tidak tahan kesakitan duduk lama sepanjang perjalanan.  Penyakit kencing manisnya menyebabkan Emak cepat letih.  Penyakit darah tinggi pula enyebabakan  Emak terlalu berhati-hati tentang soal makan.  

Emak selalu menyatakan dia selesa duduk di kampung. Di sana dia rasa dekat dengan segala yang ditinggalkan oleh Arwah Apak. Rumah yang didirikan Apak 50 tahun lalu, pokok-pokok yang ditanam Arwah Apak, pusara Apak, basikal Apak ... semuanya.  Mungkin Emak sudah rindu kepada semua itu. Tapi aku tidak mampu membiarkan emak kesaorangan di kampung sehinggalah bibik yang baru tiba.  Aku terpaksa "membiarkan" Emak menanggung derita rindunya untuk beberapa waktu lagi. Emak .... maafkan aku.

Thursday, January 19, 2012

Selamat Berpisah Atun!!!

Pagi ini Emak menangis.  Aku tau dia rasa amat kehilangan.  Selalunya apabila bangun pagi aje, Atun akan setia di sisinya. Tapi Atun telah meninggalkannya. Kelmarin, 17 Januari 2012 dengan rasminya Atun atau Sumiaton menamatkan khidmatnya sebagai pembantu Emak dan kembali ke negara asalnya Indonesia.

Sumiaton - kami mendoakan kesejahteraan hidup kamu sekeluarga
Atun yang berumur 40 tahun setia menjaga Emak selama 30 bulan.  Walaupun adakalanya Emak bersikap keras kepadanya, dia tetap bersabar. Kami juga selalu memujuk Atun agar bersabar dengan kerenah Emak.  Anggaplah itu lumrah sikap orang-orang tua, kadang-kadang emosinya sukar ditelah. Ada masa dia begitu sayang kepada Atun, di masa yang lain semua tindakan Atun tidak kena di matanya. Selalu kami berpesan "Anggaplah Emak sebagai emak Atun sendiri, jagalah dia dengan kasih-sayang".

Sebenarnya Atun mahu menamatkan kontraknya setelah cukup tempoh 2 tahun. Tetapi kami memujuknya untuk menyambung lagi sehingga genap 3 tahun. Kami tawarkan gaji yang lebih tinggi.  Tetapi dia masih berkeras untuk berhenti.  Mungkin kerana kasihan kepada Emak, dia hanya sanggup menyambung 6 bulan sahaja dan meminta kami berusaha mencari pengganti,

Masalahnya bukan senang nak dapat pengganti. Isu pembantu rumah (PR) antara Malaysia dengan Indonesia masih tergantung.  Mulanya dimaklumkan kemasukan PR akan bermula akhir 2011. Tetapi sampai sekarangpun bayang PR baru masih belum muncul. Ejen pun dah takut menjawab panggilan telefon dari aku.  Katanya mungkin akhir bulan Mac pulak baru dapat PR baru.  Hrmmm ... memang susah kerajaan Indonesia nak melepaskan rakyatnya ke Malaysia kali ini. Inilah akibatnya apabila kita tidak mensyukuri nikmat yang ada. Dapat PR yang murah, ramai majikan jadi kaki dera pulak.

Atun kami anggap tip-top dalam penjagaan Emak. Mungkin dia kurang pandai memasak dan mengurus rumahtangga. Tak mengapa. Yang penting jaga Emak. Urut badan Emak bila dia lenguh.  Bancuhkan air bila dia dahaga. Hidangkan makanan bila dia lapar. Suapkan ubat bila tiba waktunya.  Temani Emak supaya tidak kesunyian. Semua tugas itu dibereskan dengan jayanya oleh Atun. Malah jiran-jiran Emak di kampung pun dah jatuh sayang pada Atun. Bukan sikit airmata yang tumpah semasa mengiringi Atun berangkat dari rumah Emak tempoh hari.  Malah banyak juga buahtangan yang dihulurkan kepada Atun.

Wajah sedih mengiringi perpisahan 
Aku tanya Atun kenapa tidak mau bekerja dengan Emak lagi.  Katanya dia fikirkan nasib dua anaknya di kampung. Dulu anaknya tinggal bersama emaknya. Apabila Emaknya meninggal dalam bulan Ramadhan  lepas, mereka dijaga oleh kakak Atun. Anak-anak ini sering mengadu tidak selesa tinggal bersama ibu saudara, terasa tersisih dan menumpang sahaja. Demi hati anak-anaknya, dia terpaksa pulang untuk menjaga sendiri mereka.  Dia yang merupakan seorang ibu tunggal bercadang membuka perniagaan runcit di kampung hasil wang yang dikumpul selama 30 bulan bekerja di Malaysia.

Kami doakan kehidupan Atun dan keluarga diberkati Allah selamanya.  Dan ... kami juga berdoa semoga pembantu yang baru kelak sebaik Atun juga.

Tuesday, January 17, 2012