Showing posts with label Ramadhan yang penuh barakah. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan yang penuh barakah. Show all posts

Sunday, July 13, 2014

Cepatnya Masa Berlalu ... Dunia Kian Kalut

Hari ni genap 15 Ramadhan Tahun 1435 Hijrah bersamaan 13 Julai 2014.

Tahun ni rasa cepat masa berlalu.  Tahun ni aku berdoa sempurnalah ibadah puasa, Maklumlah tahun lepas aku diduga dengan kesakitan .... hrmmm sampai 18 hari tak puasa. Solat tarawih pun banyak missed.  Lepas raya tiap2 minggu aku puasa Isnin dan Khamis sebab nak qada balik yang 18 hari tu.

El Nino dijangka memberi kesan buruk kepada hidupan muka bumi
 termasuk manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan
Puasa tahun ini dijangka sangat mencabar dengan munculnya fenomena El Nino atau cuaca panas dan kering yang luarbiasa bermula dari  bulan Jun dan berlarutan selama beberapa bulan.  Tapi itu cumalah ramalan manusia yang lemah. Siapalah yang dapat melawan takdir Allah.  Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mulai 1 Ramadhan sampai sekarang cuaca sangat nyaman, purata 30 C ajer (itu dianggap normal di Malaysia). Kadang2 hujan petang atau malam. Kalau tak hujan pun panasnya tidaklah begitu terik.  Alhamdulillah atas nikmat kurniaan Mu Ya Rahman Ya Rahim.

Tahun ini juga bolasepak Piala Dunia berlangsung.  Selalunya perlawanan bermula awal pagi ... bawa sampai ke waktu sahur.  Memang time ni kedai mamak sangat meriahlah.  Mujurnya keluarga aku bukanlah peminat bola, kami recordkan perlawanan tersebut dan tengok keesukan harinya. Ramai yg kata dah basi!! Tak kisahlah basi pun, kita nak tengok gaya depa main kan?  Kalau tak mau basi ... jangan dengar berita kat TV pagi tu. Kiranya kita belum tau keputusan game yg kita record tu ...hehehehhe.

Hancur hati peminat Brazil apabila gagal menjadi juara Piala Dunia ketika
Brazil menjadi tuanrumah untuk Piala Dunia 2014
Jadi malam boleh tidor nyenyak, bangun awal untuk tahajud, bersahur, teruskan dengan ibadah subuh seperti biasa. Tak terganggu langsung. Oh yer ... esuk final Piala Dunia,  German menentang Argentina. Siapa pasukan pilihan uoll. Aku pilih German.  Dan paling sadis dalam sejarah Piala Dunia kali ini, bekas juara dunia Brazil kalah kepada German 1-7 dalam perlawanan suku akhir.  Menangis bengkak2 mata peminat Brazil.  Bola itu bulat, sukar diramal ... lebih sukar nak percaya Brazil dilanyak seteruk itu.

Dan .. yang paling merentap hati setiap umat Islam dan mereka yang cintakan kedamaian ialah menyaksikan tindakan jahat rejim Zionis menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza pada Ramadhan ini.  Memang tak kering airmata menatap kedukaan saudara Islam kita di sana. Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Berkuasa ... selamatkan rakyat Palestin Ya Allah. Engkau kirimkan tenteraMu Ya Allah untuk menghancurkan Zionis laknatullah.

tempat mu di jannah anak ku


Semoga mereka yg terkorban mendapat ganjaran syahid. Mereka yang cedera dan  menderita mendapat ganjaran kebaikan yang berganda dari Mu Ya Allah.  Apa yang dapat kita lakukan?? Jom kita sumbangkan bantuan kewangan kepada tabung2 selamatkan Gaza.  Jom kita boikot produk2 yang menyokong Zionis. Jom kita solat hajat. Jom kita baca Qunut Nazilah.  Jom kita berdoa tanpa henti memohon bantuan Allah. Semoga saudara kita di Palestin, Myanmar, Syria, Mesir dan lain2 tempat di dunia dipelihara Allah dan diberi kemenangan dunia dan akhirat.  Ameeen


Sunday, August 4, 2013

Iftar Keluarga - 2 Ogos 2013

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, acara berbuka puasa bersama-sama memang menjadi agenda penting keluarga Abah.

Pada malam 24 Ramadhan kami berkumpul lagi.  Seperti biasa di rumah abang sulung Abah,  Encik Abdul Ghani atau  sinonim dengan panggilan Pak Tua.  Kami cuba mengumpul seramai yang mungkin kecuali anak buah yang berada jauh di perantauan.

Apabila dah berkumpul, suasana jadi riuh rendah. Semua nak buka cerita, semua nak menyampuk.  Suasa di dalam dan di luar rumah penuh dengan hilai ketawa.  Kaum ibu masing-masing menunjuk bakat dengan juadah buatan sendiri dan juadah dari pasar Ramadhan... hehehhehhe.  Yang pasti semua senang hati dapat menyumbang.

Dengan bacaan doa Cikgu Danial kami mejamu selera mensyukuri rezeki yang Allah kurniakan.  Nikmat makan berjemaah begini memang tiada tandingannya.  Tentu roh arwah ibu-bapa Abah bahagia melihat ikatan ukhuwah yang erat kalangan anak cucu mereka.  

Dalam keriangan itu rasa sayu dalam hati memikir dan mengharap bahwa ikatan silaturahim yang indah ini akan dipanjangkan oleh anak-anak dan cucu-cucu kami kelak .... ameen.

Hidangan berbuka - macam-macam ada
Mulakan dengan bismillah, akhiri dengan alhamdulillah ... nikmati rezeki Allah

Sesi membalut ketupat pulak
Sambung makan kuih dengan kopi kampung pulak

Adam ... cucu yang jadi tumpuan 

Friday, August 10, 2012

8 Hari Lagi?

Pejam celik pejam celik, hari ni dah 21 Ramadhan. Dalam fasa 10 malam terakhir.

Subhanallah. Apa perasaan aku sekarang?  Sedih dan pilu.  Pelik!! mungkinkah ini perasaan setiap orang yang dah masuk fasa warga emas??

Dulu bila time dekat nak raya nih, hati kembang berbunga-bunga.  Seronoknya tak terkata.  Waktu ni satu kampung berbau harum dengan aroma buahulu, kuih bangkit, kerisik, kuih siput, kuih kapit yang dibakar dan goreng oleh kaum ibu.  Asap kecil kelihatan berkepul-kepul dari bawah rumah. Maklum waktu dulu kalau nak bakar kuih kena guna sabut kelapa untuk bakar di bahagian bawah dan atas acuan. Rasa dan aroma kuihnya, masyaallah punyalah sedap.  Kini hanya tinggal kenangan.

Dulu time ni Emak dah siap menjahit baju kurung dan langsir.  Baju kami sama aje warna dan bunganya.  Kami ada 5 beradik perempuan, berderetlah 5 gadis kecik ni dengan baju yang sama. Waktu tu megah dan seronok. Sekejap-kejap pakai, lepas tu simpan, esuk pakai balik, lepas tu simpan, sampailah tiba hari raya.  Hehehe, baju pun emak buat 2 pasang seorang. Itupun dah kira rahmat dan mewah masa tu.  Langsir pulak Emak simpan. Tunggu last minute baru pasang.  Baru ada thrill and surprise pada pagi raya.  Hehehhe, waktu tu semua rajin berebut nak tolong Emak pasang langsir.  Kini hanya tinggal kenangan.

Di rumah inilah aku membesar. Setelah 50 tahun berlalu, rumah ini telah melalui pelbagai transformasi
 rekabentuk, saiz dan persekitaran.  Tapi aku tetap bangga dan sayangkan rumah ini

Waktu ni di kampung dah mula pasang pelita atau panjut keliling rumah.  Itu kerja anak lelaki.  Mereka yang pandai buat kerja-kerja macam tu.  Kami yang perempuan kena tunggu dalam rumah tolong gentel kuih siput, lap pinggan mangkuk, kemas ruang tamu dll.  Bila malam hari kami duduk ramai-ramai di beranda rumah tengok suasana laman yang cerah dengan panjut.  Apak tak mau bagi main mercun dan bunga api waktu ni.  Lagi 3 hari sebelum raya baru kami diberi kebenaran bermain.  Jadi kami gunakan waktu ni melepak sambil nyanyi lagu raya. Heeeheheeh ... bukan nak pergi tarawih.  Semoga Allah mengampunkan kelalaian kami ketika itu.  Aku merindui kegirangan kami bercanda di beranda mengadap laman yang terang benderang.  Ahhh memang mencetuskan kesayuan di hati. Kini hanya tinggal kenangan.

Tapi kini perasaan aku berubah.  Tiada lagi rasa teruja menunggu tibanya lebaran, yang ada hanya rasa sayu dan pilu.  Tersedar umur yang semakin semakin jauh, garisan penamat semakin hampir. Bulan yang penuh rahmat akan berlalu pergi.  Ramadhanlah bulan di mana segala amalan mendapat ganjaran berlipatganda.  Rasanya tidak cukup aku mengambil peluang yang diberikan. Masih banyak masa di mana aku hanyut dan terlalai. Rasanya masih terlalu kurang amalan yang dikumpul.  Terlalu sedikit pahala yang nak dibawa ke sana. Terlalu banyak dosa yang telah dipungut.  Ya Allah,  ampunkan segala dosa yang telah, sedang atau akan aku lakukan. Terimalah segala amalanku dan kurniakan aku keredhoanMu.  Panjangkan umurku dalam iman dan berikan kesempatan untuk aku bertemu Ramadhan yang akan datang. Ameen

Monday, July 23, 2012

Terkenang Keindahan Itu


Hari ni hari ke-3 berpuasa.  Subhanallah, cuaca redup sejak dari pagi.  Terasa nyaman sangat. Berbeza dengan semalam, panas terik dari pagi hingga lewat petang. Hingga anak-anak merungut letih dan lapar.  "Sabar yang,  inilah dugaan Ramadhan. Lagi banyak dugaan, lagi kita sabar, lagi besar pahala".  

Sebenarnya kata-kata itu untuk memujuk diri aku juga.  Aku benar-benar terasa letih, rasa nak melepek ajer.  Kalau ikutkan malas dan letih, aku nak tidor ajer.

Tetapi bila mengenangkan besarnya ganjaran Ramadhan aku pujuk anak-anak untuk pergi menunaikan tarawih.  Mereka akur, tapi dengan muka muncung. Setelah 8 rakaat aku benarkan mereka pulang.  Aku dan Abah sambung sampai habis.

Subhanallah.  Aku pun hairan, dimana hilangnya letih aku siang tadi. Semasa bertarawih, tenagaku datang kembali.  Mungkin setelah berbuka dengan tamar 3 biji, sesenduk nasi dan lauk-pauk (aku tak berani makan banyak takut perut sengkak dan berangin semasa tarawih) dan satu mug minuman nestum, Allah kurniakan semula tenaga.  Aku juga sentiasa berdoa semoga Allah memberikan aku kekuatan fizikal, mental dan iman untuk mengutip kelebihan Ramadhan ini. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir untuk kita. Wallahualam. Mungkin juga suasana dalam masjid yang dingin dan nyaman memberi kesegaran pada tubuh.  Atau bacaan yang merdu bagi juzuk ke-3 oleh Imam (seorang anak muda) membuatkan aku teruja untuk menghabiskan 20 rakaat solat ini. Semua faktor itulah yang memberi kekuatan kepadaku.

Selain beribadat, memakai telekung untuk shopping, makan-makan atau menziarah tempat bersejarah
adalah perkara biasa di tanah suci Mekah dan Madinah

Satu yang jelas menjadi trend ialah suasana di bualan Ramadhan ini bagaikan berada di tanah suci Mekah dan Madinah.  Hampir 80% jemaah wanita memakai telekung semasa pergi dan balik dari masjid.  Dalam perjalanan pulang dari masjid mereka singgah di kedai 7Eleven, KFC, Pizza Hut atau mini-market dengan telekung tersebut tanpa rasa janggal.  Oranglain terutama bangsa asing juga kelihatan telah dapat menerima suasana ini tanpa rasa memandang pelik. Suasana ini berbeza dengan beberapa tahun lalu, dimana hanya orang-orang yang berumur sahaja yang berbuat demikian.

Ya Allah, indahnya Ramadhan ini.  Kurniakan kami dengan rahmatMu yang melimpah-ruah. Angkatkan segala dosa-dosa kami dan kurniakan kami keredhoanMu.  Terimalah amalan kami dan jadikan kami hambaMu yang mendapat kemenangan hidup di dunia dan akhirat. Ameen

Saturday, July 21, 2012

Rabbani - Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan dengan lirik

Alhamdulillah .... Allah SWT memberi kita peluang sekali lagi untuk menikmati keindahan Ramadhan yang penuh barkah.  Jangan lepaskan peluang mengutip ganjaran yang berlipat-ganda.

Semoga kita dapat melaksanakan Ramadhan kali ini lebih sempurna dari tahun-tahun sebelum ini.


Sunday, August 28, 2011

28 Ramadhan ... Sehari Aje Lagi

Hari ni dah 28 Ramadhan. Semangat untuk berhariraya semakin terasa.

Semalam aku ke Sungai Petani. Sepanjang perjalanan dari Butterworth ke Sungai petani jalan telah mula sesak. Anak perantauan berduyun-duyun dalam perjalanan kembali ke kampung masing-masing di Seberang Perai, Kedah dan Perlis. Lebuhraya ke utara dipenuhi kereta yang kebanyakannya dengan nombor plet pendaftaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Semalam semasa melalui Bandar Sungai Petani berlaku kesesakan teruk. Ramai yang keluar membeli-belah pada saat-saat akhir. Semasa memasuki kawasan perkampungan di sekitar Pekan Darat, Permatang Tok Gelam dan Maklom terasa kemeriahan rumah-rumah yang dihiasi pelita panjut dan lampu warna-warni. Cuma tak terlawan kemeriahan semasa zaman aku kecil dulu. Di luar rumah tidak kelihatan anak-anak bermain keriangan di depan rumah. Agaknya semua berehat di depan TV. Ibubapa pun tak berani membiarkan anak-anak bermain di luar rumah, lebih banyak bahayanya.

Ohhh ... sebenarnya aku ke Sungai Petani kerana berbuka puasa bersama-sama keluarga Abah. Penuh sesak ruang rumah dengan 24 orang (11 lagi tidak dapat datang) dan terasa kemesraan bersama ipar-biras, anak saudara dan cucu saudara sambil duduk bersila menjamu selera. Sebelum berbuka puasa kami beramai-ramai membalut ketupat pulut, pulut campur kacang dan pulut campur jagung. Ketupat ini dibuat awal dan disimpan di tempat beku. Pada pagi raya nanti baru direbus untuk santapan. Hmmm sedapnya.

Kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan kita seakan terlupa akan sambutan Hari Kemerdekaan. Cuma sesekali teringat apabila terdengar lagu patriotik Allahyarham Sudirman ... "Tanggal 31, bulan lapan 57 ... merdeka, merdeka ....." Semoga negara kita semakin aman dan makmur untuk generasi yang akan ditinggalkan.

Apabila tiba di penghujung Ramadhan ini, tazkirah yang disampaikan di masjid membuatkan hati terasa sayu. Rasanya tidak cukup sempurna ibadat kali ini. Rasanya masih banyak yang perlu dibaiki dan ditingkatkan. Adakah aku berkesempatan lagi menyambut Ramadhan pada tahun hadapan. Berpeluangkah aku merebut peluang yang kurniakan Allah Ya Rabbul Alamin di bulan yang penuh barakah ini sekali lagi. Ya Allah .... aku memohon kepada Mu untuk menerima amalan yang telah, sedang atau akan aku lakukan semata-mata kerana Mu Ya Allah. Kurniakan aku, Abah dan anak-anak kami usia yang panjang, tubuh badan yang sihat, iman yang teguh, ilmu yang tinggi dan kemudahan yang luas untuk terus melakukan ibadah kepada Mu Ya Allah. Hidupkan kami dalam keberkatan dan matikanlah kami dalam iman. Ameeen

Friday, August 19, 2011

Ya Nabi Salam Alaika Haddad Alwi



Hari ini merupakan hari ke-19 Ramadhan. Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadat ini dengan sempurna, tanpa sebarang keuzuran atau musibah ... masih diberi nikmat hidup di dunia ini. Subhanallah.

Semalam semasa sesi tazkirah, ramai yang menitiskan airmata mengenangkan betapa besarnya nikmat kita sebagai Melayu yang dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak perlu bersusah payah menunggu datangnya hidayah untuk memeluk Islam, tidak perlunya bergaduh dengan emak bapa sebab nak memeluk Islam meninggalkan agama lama, tak perlu memulakan pengenalan kepada Islam bermula dari asas.

Tetapi bersyukurkah kita? Betapa ramai yang mensia-siakan nikmat tersebut. Malah lebih teruk lagi memalukan Islam itu sendiri dengan pelbagai tindakan yang tak sepatutnya dilakukan seorang mengaku diri sebagai Muslim, umat Muhammad SAW. Sungguh menyedihkan.

Dan pastinya kita semua perlu amat berterima kasih kepada Nabi Junjungan, Nabi Muhammad SAW kerana menyebarkan Nur Islam untuk kita anuti. Begitu kasihnya kita kepada Baginda, kasih lagi Baginda kepada umatnya. Sehingga ke saat akhir hayat Baginda, tidak henti-henti kerisauan Baginda terhadap nasib umatnya.

Sebagai tanda kasih kepada Baginda, marilah bertekad melaksanakan semua perkara kebaikan dan kebajikan yang diajar kita untuk melakukan dan menjauhi perkara-perkara dimurkai Allah. Semoga Baginda akan berbangga dengan kita sebagai umatnya yang patuh. Perbanyakkan berselawat untuk Baginda, semoga kita tergolong sebagai insan yang diakui umatnya di akhirat kelak. Insyaallah.

Friday, August 12, 2011

12 Ramadhan Berlalu


Hari ini dah pun masuk 12 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan 1432. Semuanya masih tabah mengharungi dugaan di bulan yang mulia ini. Masing-masing berlumba-lumba mengutip bonus pahala yang Allah kurniakan, yang ganjaran amalannya lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Melakukan pelbagai amalan sunat sebagai melengkapkan amalan yang wajib dengan bertarawih, mengikuti majlis ilmu, membaca Al Quran, bersedekah wang dan makanan dsbnya. Peluang beramal luas terbuka dan pastinya kita tidak mahu melepaskannya.

Masjid masih penuh dengan jemaah samada lelaki atau wanita, tua muda atau kanak-kanak, tidak luak langsung bilangan saf kecuali pada hujung minggu. Agaknya masing-masing balik kampung berpuasa dengan ibu-bapa. Menziarahi ibu-bapa juga amalan yang dituntut dan tentunya besar sekali ganjaran membahagiakan hati mereka.

Majlis ilmu yang diubah jadualnya dari sesi petang kepada sesi pagi juga berjalan lancar. Kaum ibu masih setia memenuhi taman syurga bagi menambah ilmu. Syukran.

Selama berpuasa ini aku tidak berminat pun pergi ke pasar Ramadhan. Anak-anak juga begitu. Dengan harga jualan yang begitu mahal dan citarasa yang tidak menentu, menyebabkan kami seakan melupakan niat untuk berkawad dalam panas petang di pasar Ramadhan yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun letih terpaksalah aku masuk dapur. Kalau terlalu malas, aku dan Abah akan membeli lauk-pauk di Restoran Hussein Nasi Kandar, dah memang terjamin keenakannya.

Mujurlah Abah dan anak-anak tidak begitu cerewet. Aku boleh masak apa saja asalkan mesti pedas. Kari, sambal tumis, masak merah, lemak cili padi semua boleh. Ironinya aku sendiri tidak boleh makan pedas, nanti perut pedih dan terasa asid gastrik menolak ke anak tekak. Terpaksalah aku makan moi atau bubur lambuk yang aku olah resipinya setiap hari. Ada masa berencah daging, atau udang, udang kering, ikan bilis atau ayam. Macam orang sakit le pulak. Tidak mahu jemu dengan moi kosong aku sediakan lauk sampingan sotong goreng kunyit, sayur goreng, udang goreng mentega atau ayam masak kicap .... masih mewah walaupun sekadar moi.

Bab kuih ni yang paling leceh. Semua kuih yang aku buat simple aje seperti ketayap, puding sagu, cucur udang atau karipap aje. Sesekali Abah akan membeli kuih lapis atau tepung talam di gerai berhampiran rumah kami. Kuih-kuih tu tidak mendapat sambutan dari anak-anak ku dan aku pun tak pandai nak memasaknya. Huhuhuhuu!!!!

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Hari Ke 5


Masyaallah cepatnya masa berlalu. Hari ni dah 5 hari kita berpuasa. Memang tak terasa pun berpuasa kecuali mata rasa mengantuk lebih dari biasa. Maklumlah masa tidur dah jadi pendek. Tak apa, Ramadhan dianugerahkan kepada Umat Islam selama sebulan sahaja daripada 12 bulan yang kita ada dalam setahun. Jadi jangan sia-siakan masa yang begitu singkat ini. Lebih menggetarkan, mungkinkah ini Ramadhan "terakhir" untuk aku?? Tak dapat aku menjawabnya, cuma kita perlu sentiasa bersedia. Jadi baik dan semakin baik ... samada pekerti, amalan, pegangan atau tindakan kita. Kemudian kita berdoa memohon kepada Allah SWT semoga amalan kita diterima sebagai bekalan di sana kelak. Selebihnya kita berserah kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Solat tarawih di Masjid Jamek kali ini bertukar wajah. Jika dulu hanya sembahyang tarawih 20 rakaat, diikuti dengan witir 3 rakaat. Selepas 8 rakaat, separuh dari jemaah telah meninggalkan masjid. Samada mereka hanya melakukan 8 rakaat atau menyambungnya di rumah .. wallahhualam. Tidak perlu pertikaian mengenai jumalah rakaat. Yang penting keikhlasan hati mencari keredhaan Allah SWT.

Tahun ini solat tarawih di Masjid Jamek dijalankan 8 rakaat rakaat, kemudiannya witir 3 rakaat dikuti majlis tazkirah. Pengerusi Masjid telah siap memaklumkan kepada penceramah, tazkirah mesti sepenuhnya tentang pengisian Ramadhan .... tidak mahu melencong kepada perkara berkaitan politik. Nanti masjid akan kehilangan jemaah apabila hal politik dibangkitkan.

Benar sekali kerana setakat 5 malam berlangsung, topik sepenuhnya menyentuh tentang hakikat puasa di bulan Ramadhan, amalan harian di bulan Ramadhan dan menghidupkan malam-malam Ramadhan oleh beberapa Ustaz Muda mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sebahagian besar jemaah setia menunggu sehingga selesai majlis tazkirah yang mengambil masa 45 minit. Cara penyampaian oleh ustaz-ustaz tersebut juga menarik, santai dan mudah difahami.

Semoga suasana seperti ini akan berterusan hingga ke akhir Ramadhan kelak. Insyaallah.

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya - Berakhirnya Ramadhan


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja baru saja mengumumkan Aidil Fitri akan disambut lusa, Jumaat 10 September 2010. Malam ini merupakan malam terakhir untuk umat Islam menunaikan sunat tarawih dan bersahur. Sayang sekali, aku terlepas detik-detik keemasan ini. Besuk genap 9 hari aku tak berpuasa. Siap..aku perlu qada puasa 9 hari juga.

Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut hari raya sebagai seorang suri rumah. Rupanya lebih meletihkan berbanding semasa aku bekerja dahulu. Dulu, semua kuih aku beli sahaja, beratus-ratus ringgit melayang ... biskut, kacang, kuih-kuih lama malah ketupat aku tempah sahaja. Makanan berbuka pun selalu aku beli di pasar Ramadhan. Untuk hari raya, aku cuma menyediakan rendang dan kek sahaja.

Tetapi tahun ini aku sediakan hampir semua. Dengan 3 puteri permata hatiku, kami bergotong-royong menyediakan kuih hari raya, kuih berbuka puasa dan lauk-pauk berbuka puasa. Aku juga mencuci sendiri semua langsir, memberus lantai di depan pintu masuk ruang tamu dan memujuk anak-anak dara ku untuk mencuci karpet, tingkap dan menyalin cadar masing-masing. Aduh, memang memenatkan.

Aku sudah berkira-kira .. apa menu pada pagi hari raya. Yang menjadi kemestian tentunya ketupat dan rendang daging. Aku merancang untuk menyediakan nasi tomato, gulai tulang, udang goreng kicap dan ayam masak merah. Semua bahan mentah dan kering telah aku beli hari ini. Aku tidak mahu bersesak-sesak di pasar pada pagi besuk. Mulai jam 10 pagi besuk, aku akan bersilat di dapur.

Cuma aku kurang merasa kemeriahan kali ini kerana kurangnya menerima kad-kad raya. Teman-teman ramai yang menghantar ucapan elektronik samada menerusi SMS, email atau pun Facebook. Secara peribadinya aku lebih gembira menerima kad hari raya yang siap ditulis tangan dan bertandatangan, lebih terasa 'personal touch' si pengirim. Tetapi aku perlu akur, semua orang telah berubah, ditambah dengan kos penghantaran kad yang tinggi. Mulai tahun ini setem untuk kad hari raya telah dinaikkan kepada 50 sen berbanding 30 sen pada tahun sebelumnya. Aku juga faham, Pos Malaysia tidak selamanya mampu mengekalkan setem pada harga lama yang rendah sedangkan pelbagai kos operasi semakin meningkat.

Oh ... rasanya tak sabar-sabar aku untuk mendengar laungan takbir yang mendayu-dayu. Tetapi pada masa yang sama aku merasa sedih kerana Ramadhan akan berlalu. Ya Allah .. engkau panjangkan usia kami, kurniakan kami dengan kesihatan tubuh badan, temukan kami dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Ameen

Friday, September 3, 2010

Lailatul Qadar Yang Dinanti

Semua Muslim mengharapkan bertemu Lailatul Qadar dan merebut kelebihannya

10 malam terakhir Ramadhan memang dinanti. Di sana terletaknya sebutir mutiara disebut sebagai Lailatul Qadar, malam di mana Allah menurunkan rahmatNya kepada hambaNya yang bertakwa.

MALAM LAILATUL-QADAR

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. Maksudnya: "Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu malam". Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.: Maksudnya: "Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu".

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain".

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: "Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil".

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya".

Daripada Riwayat Mu'awiyah: Maksudnya: "Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27". Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi: Maksudnya: "Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27".

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan?" Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa: Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku".

Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II Wahbah al-Zuhaili Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuesday, August 17, 2010

Begitu Pantasnya.....

Umat Islam bertarawih merebut keberkatan Ramadhan

Masyaallah.

Hari ini genap 7 hari berpuasa. Terasa begitu pantasnya masa berlalu. Dari pagi membawa ke petang juga tidak terasa masa berjalan, tambahan pula apabila diri sentiasa disibukkan dengan pelbagai aktiviti.

Setakat ini aku masih patuh dengan jadual mengaji Al Quran, satu hari satu juzuk. 4 mukasurat setiap waktu Subuh, Dhuha, Zohor, Asar dan Maghrib. Waktu Isya biasanya tidak berkesempatan kerana menunaikan ibadah sunat Tarawih. Aku berharap dapat khatam 30 juzuk (melainkan atas sebab uzur shari'e).

Alhamdulillah juga, sehingga kini aku dan Abah patuh menunaikan ibadah Tarawih. Cuma anak-anak liat tidak mahu pergi ke masjid, dengan pelbagai alasan diberi. Walhal bertarawih di masjid amat indah dan selesa...bertemu ramai jemaah, dapat pahala iktikaf masjid...lagipun masjid ini ada air-cond....hmmm. Bagi memastikan mereka juga tidak ketinggalan mendapat keberkatan Tarawih, kami berjemaah di rumah setiap malam Sabtu dan Ahad. Puteri Kedua mengambil tugas tetap mengalunkan qamat. Kami 3 beranak berbaris dalam satu saf di belakang Abah.

Satu lagi pencapaian ku tahun ini, aku belum lagi menjejak kaki ke pasar Ramadhan. Masih rajin mencuba resipi sendiri. Tapi anak-anak sudah mula berbunyi..teringin nak makan sate, kebab, nasi kandar. Ohhh..mungkin selepas ini aku perlu mengatur langkah ke beberapa pasar Ramadhan yang meriah di daerah ini. Yang pastinya budget bulanan akan lari. Paling aku takut akan berlakunya pembaziran. Maklumlah semua makanan nampak sedap belaka, semua hendak diborong.....tetapi ruang perut terhad.

Apa pun, dalam setiap sujudku, aku berdoa semoga Allah memberikan aku kesabaran, iman dan kesihatan tubuh badan, semoga aku dapat melaksanakan ibadat ini dengan sempurnanya sepanjang bulan Ramadhan dan untuk bulan-bulan yang seterusnya. Ameen.

Wednesday, August 11, 2010

Ya Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak

Hari pertama puasa di bulan Ramadhan tahun 1431 Hijrah.

Semalam telah selamat menjalankan ibadat tarawih. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aku mengerjakan ibadah ini dengan melakukan sunat tarawih 8 rakaat diikuti 3 rakaat witir. Jangan berbalah tentang 8 atau 20 rakaat, setiap ibadah itu mempunyai fadhilatnya sendiri, setiap ketetapan itu mempunyai dalilnya sendiri.

Pagi ini mula bersahur. Aku bangun jam 4.45 pagi. Memanaskan pajeri, menggoreng ikan bilis dan bawang, kemudian dicampur kicap manis dan menggoreng sotong celup tepung. Pagi pertama agaknya, anak-anak dan Abah berselera makan, hinggakan nasi dimasak tidak cukup untuk ditambah lebih dari sekali.

Selepas solat subuh sempat membaca Al Quran. Aku berdoa semoga Allah menjadikan Ramadhan ini yang terbaik untuk ku, semoga sihat tubuh badan, kuat iman dan dilindungi dari sifat-sifat keji sepanjang menjalani ibadah Ramadhan ini dan seterusnya berkekalan sepanjang hidup. Ameen.

Sunday, September 27, 2009

Berakhirnya Ramadhan

Ah...lama betul aku tidak menulis. Kesibukan sentiasa mengekang kemahuan untuk menulis. Biasalah, siapa yang paling sibuk semasa menyambut Syawal, kalau bukan ibu. Aku rasa semua ibu begitu. Lebih perit yang bekerja, terpaksa mencuri masa membuat persiapan di mana saja ada masa terluang. Selepas tarawih, selepas sahur, lebih teruk kalau tidak dapat bercuti sebelum hari raya.

Aku pun begitu. Tidak dapat bercuti. Mujurlah 1 Syawal jatuh hari Ahad, jadi aku gunakan hari Sabtu sepenuh jiwa dan raga. Anak-anak aku kerah menggosok baju raya, mencuci bilik air, mencuci karpet dan mengelap tingkap. Lepas itu tukar semua cadar dan sarung bantal. Mujur anak-anak dara ku tak banyak kerenah, agaknya seronok sangat hendak beraya.

Aku memasak rendang daging kegemaran anak-anak. Ketupat suami tempah dari teman pejabatnya. Pada subuh Syawal semua sudah lengkap. Syawal kali ini kami begitu sederhana, kuih aku beli pun 5 jenis sahaja. Itu pun hanya yang digemari anak-anak. Selebihnya aku beli makanan ringan yang digemari tetamu seperti maruku. Mungkin yang agak mewah ialah kek lapis sarawak, RM60 sebiji.

Kini sudah hari ke-9. Esuk anak-anak akan mula belajar dan aku akan mula bekerja. Tapi aku tahu sambutan Syawal belum berakhir. Dalam seminggu entah berapa banyak rumah terbuka diadakan. Mulalah kita mengumpul semula lemak-lemak di tempat-tempat strategik tubuh badan. Aduh, tak sanggup membayangkan entah berapa kilo akan bertambah berat badan.

Sesetengah orang sudahpun menamatkan puasa 6 di bulan Syawal. Aku dan suami bertekad untuk bermula besok. Lebih selesa berpuasa pada waktu bekerja. Kalau bercuti aku terpaksa masuk dapur menyediakan makan pagi, makan tengah hari dan makan petang. Iman ku masih tipis.

Sunday, September 6, 2009

Masa yang Begitu Pantas

Tidak disangka, cepatnya masa berlalu. Hari ini sudah 16 hari umat Islam berpuasa. Kalau ikut
kiraan, ada 13 hari lagi untuk berpuasa.

Apabila umur telah hampir separuh abad ni, hari raya sudah tidak begitu dinanti. Anak-anak sekarang pun nampaknya tidak begitu teruja. Mungkin bagi mereka Hari Raya lebih kepada hari tamatnya berpuasa, hari pakai baju baru, hari untuk minta maaf kepada semua orang, hari untuk rumah terbuka sana-sini dan untuk si kecil hari untuk main bunga api.

Berbeza zaman aku kecil dahulu. Aidil Fitri amat dinanti-nantikan oleh semua orang. Mood hari raya mula dirasa di awal Ramadhan lagi. Emak sibuk menjahit pakaian kami adik-beradik. Bermeter-meter kain dijahit untuk kami 7 beradik. 5 beradik perempuan memakai baju kurung dari kain yang sama corak dan warna, boria!!! Pergi ke mana pun orang akan kenal, "Ini mesti anak Cikgu Mat (nama panggilan untuk Arwah Apak)". Waktu itu kami semua bangga memperaga baju baru ke sana ke mari, sekarang anak-anak ku mengelak untuk memakai baju sama corak. Sama warna tidak mengapa.

Dua minggu sebelum Aidil Fitri suasana semakin kalut. Selain sibuk membuat kuih di rumah Opah, kami juga membuat kuih sendiri. Resipi tradisi Arwah Apak ialah maruku. Arwah Apak akan menekan doh maruku ke dalam kuali penuh berisi minyak panas. Sehingga kini aku merindui keenakan maruku tersebut, yang tak mungkin akan aku temui lagi. Oh..aku merasa kosong sekali ketika ini, sedihnya.

Kami anak-anak perempuan pula akan diberi tugas khas duduk di satu sudut menggentel kuih siput. Tersengguk-sengguk kami menghabiskan bancuhan entah berapa kilo. Sesekali Emak akan menjerkah apabila dilihat kami mula menghasilkan kuih siput yang tidak cantik.

Arwah Apak dan adik-adik lelaki akan membersih sekeliling rumah dan memasang panjut di sekitarnya. Selesai berbuka puasa, panjut akan menerangi sekitar kawasan rumah. Semasa orang sibuk bertarawih, kami kanak-kanak akan berlari riang bermain bunga api dan mercun. Meriah sekali. Kami bebas berlari sekeliling kampung, tiada kerisauan akan dicolek, dirogol atau dilanggar kenderaan setan rempit. Semua aman damai dan membahagiakan.

Itulah nikmat yang tidak dirasai anak-anak sekarang. Mereka tidak dibenar bermain di halaman rumah melainkan ada orang dewasa yang mengawasi. Kita tidak pasti dari arah mana bahaya akan menyapa. Bunga api dan mercun juga tidak dapat dimain secara meriah, sebab stoknya terhad. Apabila banyak sangat sekatan, anak-anak mula jadi bosan dan lebih selesa mengadap peti TV atau komputer atau berSMS.

Friday, August 28, 2009

Ramadhan Dalam Kenangan

Keceriaan Ramadhan semasa aku kecil begitu indah. Aku masih mengingati setiap detik indah tersebut. Kerana aku tak mungkin dapat mengulanginya dan paling sedih anak-anak ku juga tidak akan pernah merasai keceriaan tersebut.

Rumah kami begitu hampir dengan rumah Arwah Opah, kira-kira 2 kilometer. Setiap hujung minggu sepanjang Ramadhan kami akan berkumpul di rumah Opah bersam ibu-ibu saudara ku serta sepupu yang ramai. Setiap hujung minggu adalah waktu yang kami semua nantikan.

Kami akan menggoreng beras dan kacang yang kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki dan diayak menjadi tepung. Kemudian dijemur sebelum disimpan untuk kegunaan. Tepung beras akan digunakan untuk membuat kuih loyang dan rempeyek. Tepung pulut pula untuk membuat dodol manakala tepung kacang hijau untuk membuat putu kacang. Kami bergotong royong mengacau dodol yang memakan masa berjam-jam untuk masak. Kami juga bergotong royong memukul telur untuk membuat buahulu.

Sehingga kini masih teringat keharuman buahulu dan kuih bangkit yang dibakar menggunakan sabut. Setelah siap dimasak, semua kuih akan dibahagi sama rata antara Opah, Mak Wah, Mak Cor dan Emak. Selalunya Emak terpaksa menyorokkan kuih-kuih tersebut untuk mengelakkan ianya habis sebelum Hari raya.

Pada malam Ramadhan hampir tiba ke penghujung, seluruh kampung akan terang benderang dengan pelita minyak tanah atau kami sebut sebagai panjut. Di sana sini kedengaran bunyi mercun dan sesekali digegar oleh bunyi meriam buluh. Tetapi seingat aku tidak ada pula budak-budak kampung ketika itu yang putus tangan, buta mata bermain mercun dan meriam buluh. Budak-budak sekarang terlalu berani untuk jadi inovatif dan kreatif tidak kena gaya, akhirnya membawa bahaya sendiri.

Walaupun, Ramadhan membawa keceriaan di zaman kecil ku, Ramadhan juga membawa kenangan sedih. Pada Ramadhan tahun 1990, aku kehilangan Bapa Mertua akibat sakit tua. Pada 27 Ramadhan tahun 2003 pula, aku kehilangan jiran yang merupakan bapa angkat anak-anakku akibat sakit jantung. Innalillah hiwainna lillahhirrajiun.

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan Ini (1)

Tidak sedar telah seminggu kita berada di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, Allah memudahkan puasa kali ini. Hujan renyai setiap petang memberi susana nyaman, kurang rasa letih dan dahaga. Anak-anak tidak merungut seperti tahun-tahun yang lalu kerana kepanasan semasa menunaikan tarawih. Tapi aku tidak pasti perasaan penjaja di Pasar Ramadhan, aku harap mereka tidak merungut setiap kali hujan turun sebaliknya menerimanya dengan kesyukuran. Siapalah kita untuk mempertikaikan kerja Allah.

Sebenarnya Ramadhan terlalu banyak kisahnya untuk aku ceritakan .... terlalu banyak kenangan pahit manis bulan Ramadhan.

Kenangan semasa kecil masih terpahat dalam ingatanku. Bila puasa aku selalu teringat kepada kerabu taugeh kasar yang Emak buat. Enak sungguh. Kerisik Emak buat sendiri. Bila hampir Ramadhan rumah ku dipenuhi aroma kelapa yang digoreng untuk dibuat kerisik. Aku dan kakak akan mengukur kelapa itu. Berlumba-lumba kami menghabiskan kelapa yang siap dikopek oleh Arwah Apak.

Kelapa yang telah garing akan ditumbuk dalam lesung. Emak dan Arwah Apak bergilir menumbuk kelapa sehingga bertukar menjadi kerisik. Petangnya Emak akan menyediakan pelbagai juadah, kebiasaannya yang manis seperti bubur, pengat, tepung talam dan agar-agar.

Memandang ketika itu kampong ku masih belum ada bekalan elektrik, air batu terpaksa dibeli. Setiap petang akan ada pemuda kampong yang menjual airbatu. Waktu itu sungguh nikmat dapat berbuka dengan air sirap atau air bandung.

Sebelum masuk waktu berbuka, Arwah Apak bersama adik lelaki ku akan memasak lampu gaselin. Jadi kami dapat makan dengan selesa dalam cahaya terang benderang.

Waktu sahur adalah waktu yang paling siksa. Berkali-kali Arwah Apak terpaksa menggerakkan kami 7 beradik untuk bangun sahur sementara Emak sibuk menyiapkan juadah di dapur. Emak hanya mengerah anak-anak perempuan membantunya menyiapkan juadah bersahur setelah kami tamat Tingkatan 5. Mungkin dia tidak sampai hati melihat kami bermata layu mengadap kuali. Makanan sahur yang wajib ialah ikan masin digoreng garing bersama bawang besar.