Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya - Berakhirnya Ramadhan


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja baru saja mengumumkan Aidil Fitri akan disambut lusa, Jumaat 10 September 2010. Malam ini merupakan malam terakhir untuk umat Islam menunaikan sunat tarawih dan bersahur. Sayang sekali, aku terlepas detik-detik keemasan ini. Besuk genap 9 hari aku tak berpuasa. Siap..aku perlu qada puasa 9 hari juga.

Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut hari raya sebagai seorang suri rumah. Rupanya lebih meletihkan berbanding semasa aku bekerja dahulu. Dulu, semua kuih aku beli sahaja, beratus-ratus ringgit melayang ... biskut, kacang, kuih-kuih lama malah ketupat aku tempah sahaja. Makanan berbuka pun selalu aku beli di pasar Ramadhan. Untuk hari raya, aku cuma menyediakan rendang dan kek sahaja.

Tetapi tahun ini aku sediakan hampir semua. Dengan 3 puteri permata hatiku, kami bergotong-royong menyediakan kuih hari raya, kuih berbuka puasa dan lauk-pauk berbuka puasa. Aku juga mencuci sendiri semua langsir, memberus lantai di depan pintu masuk ruang tamu dan memujuk anak-anak dara ku untuk mencuci karpet, tingkap dan menyalin cadar masing-masing. Aduh, memang memenatkan.

Aku sudah berkira-kira .. apa menu pada pagi hari raya. Yang menjadi kemestian tentunya ketupat dan rendang daging. Aku merancang untuk menyediakan nasi tomato, gulai tulang, udang goreng kicap dan ayam masak merah. Semua bahan mentah dan kering telah aku beli hari ini. Aku tidak mahu bersesak-sesak di pasar pada pagi besuk. Mulai jam 10 pagi besuk, aku akan bersilat di dapur.

Cuma aku kurang merasa kemeriahan kali ini kerana kurangnya menerima kad-kad raya. Teman-teman ramai yang menghantar ucapan elektronik samada menerusi SMS, email atau pun Facebook. Secara peribadinya aku lebih gembira menerima kad hari raya yang siap ditulis tangan dan bertandatangan, lebih terasa 'personal touch' si pengirim. Tetapi aku perlu akur, semua orang telah berubah, ditambah dengan kos penghantaran kad yang tinggi. Mulai tahun ini setem untuk kad hari raya telah dinaikkan kepada 50 sen berbanding 30 sen pada tahun sebelumnya. Aku juga faham, Pos Malaysia tidak selamanya mampu mengekalkan setem pada harga lama yang rendah sedangkan pelbagai kos operasi semakin meningkat.

Oh ... rasanya tak sabar-sabar aku untuk mendengar laungan takbir yang mendayu-dayu. Tetapi pada masa yang sama aku merasa sedih kerana Ramadhan akan berlalu. Ya Allah .. engkau panjangkan usia kami, kurniakan kami dengan kesihatan tubuh badan, temukan kami dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Ameen

No comments: