Tuesday, September 21, 2010

Kematian Seorang Sahabat, Jiran dan Saudara Yang Dikasihi

Kenangan bersama Arwah (kanan sekali) sebelum aku berangkat ke Tanah Suci

Pagi itu aku dan Abah kalut di dapur. Abah mengeluarkan mangkuk dan gelas dari kabinet dapur dan membersihkannya. Aku pula sibuk menumis di kiri - rempah untuk mi kari dan di kanan - ramuan untuk spaghetti. Selepas Zohor nanti tetamu akan datang untuk rumah terbuka. Hari ini 18 September 2010, genap 9 Syawal.

Sebentar kemudian Puteri Tengah dan Puteri Bongsu ku meminta izin untuk pergi ke Klinik Bersatu. Emak Midah meminta mereka membelikan ubat penat untuknya dari klinik tersebut. 20 minit kemudian mereka pulang dan menyerahkan ubat tersebut kepada Hanis, anak bongsu Emak Midah.

Kira-kira 10 minit kemudian Hanis menelefon semula dan meminta aku segera ke rumahnya. Segera aku menyalin memakai abaya (sebelumnya aku memasak dgn memakan baju tidor sahaja) dan bertudung sebelum melangkah ke rumah jiranku itu.

Alangkah terperanjatnya aku melihat Midah, badannya bermandi peluh dan sedang kepayahan menyedut ubat penat. Aku segera menyarankannya ke hospital. Dia hanya menyebut "ambulan ... panggil ambulan". Aku panik dan segera menuju ke pintu. Tetapi berpatah balik menuju ke telefon di rumah tersebut. Tangan aku terketar-ketar mendail 911 .. tiada jawapan. 999 - panggilan ku dijawab. Operator tersebut mengambil semua maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan maklumat pesakit sebelum menyambungkan aku kepada seorang lagi petugas. Sekali lagi aku diminta memberi semua maklumat tadi. Hati aku mula berang. Disertai rasa risau dan panik melihatkan Midah yang semakin tenat.

Dalam kelamkabut itu, kedua-dua anak Midah yang ketika itu berada di luar kembali ke rumah. Farah seorang guru di Kelantan sedang berada berhampiran pusat servis kereta sebagai persiapan untuk perjalanan pulang ke Kelantan selepas solat Zohor kelak. Safwan seorang anggota keselamatan pelabuhan tiba dengan kenderaan Polis Pelabuhan.

Aku segera memutuskan talian yg sedang dibuat dan menggesa Farah dan Safwan segera membawa emak mereka ke hospital. Sewaktu itu, Midah telah menepis peralatan pernafasannya dan duduk menyembamkan wajahnya ke sofa. Kami segera mengangkatnya ke dalam kenderaan Polis Pelabuhan dan bergegas menuju ke Bagan Specialist Hospital.

Tanpa sempat memberitahu Abah atau membawa telefon bimbit, aku turut sama ke hospital tersebut. Aku pegang kepala Midah, aku tak mampu memangkunya kerana berat badannya yang tidak bermaya. Aku bisikkan kata-kata, "Midah ... bertahan Midah. Ingat Allah. Allah hu Akbar, Allah hu Akhbar, Allah hu Akhbar". Itulah perkataan yang ku ulang-ulang aku berharap Midah mendengarnya. Aku juga cuba mententeramkan diri sendiri dengan kalimah Allah itu. Tubuh Midah begitu dingin, wajahnya putih pucat. Ya Allah ... janganlah kau ambil nyawa sahabatku ini. Allah hu Akhbar, kasihanilah kami, Allah hu Akhbar.

Setiba di hospital, pasukan penyelamat dari Emergency Unit segera berkejar dan menbawanya ke bilik kecemasan. Aku, Safwan, Farah dan Hanis menunggu di luar bilik rawatan. Aku cuba tenangkan anak-anak ini ... yang telah kehilangan ayah mereka 7 tahun yang lalu. Aku minta mereka mendoakan yang terbaik untuk ibu mereka.
Penantian ini amat menyiksakan. Dengan telefon bimbit Farah, aku menelefon Abah meminta menghantar keperluan peribadiku seperti telefon bimbit, seluar panjang (aku tidak memakai seluar di dalam abaya terbelah yang sering terselak semasa kelamkabut tadi - semoga Allah mengampuni aku).

Setelah 30 minit, Doktor memanggil kami masuk ke bilik rawatan. Aku lihat Midah terbaring kaku, beberapa wayar bersambung di mulut dan tangannya. Dengan berhemah dan penuh simpati, Dr Tan memberitahu kami Midah tidak dapat diselamatkan. Allah hu Akhbar .. hampir sahaja aku terduduk tetapi aku perlu kuat berbanding ketiga-tiga anak Arwah yang sedang menangis penuh dukacita. Aku meminta mereka bersabar dan sedekahkan Fatihah kepada Arwah. Perlahan-lahan aku hampiri jasad Midah, selamt jalan sahabatku ... semoga engkau ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Aku lurut matanya agar tertutup rapat.

Waktu itu Puteri Tengah dan Puteri Bongsu tiba menbawa telefon bimbitku. Anak-anak ini juga tidak dapat menahan sedu kehilangan orang yang mereka kasihi. Segera aku hubungi Abah meminta melakukan persiapan sewajarnya. Menguruskan van jenazah, membersihkan rumah Arwah dan menguruskan tempat pengkebumian. Ku arahkan kedua-dua puteriku membawa balik kunci rumah Arwah untuk persediaan menyambut jenazah.

Setengah jam kemudian jenazah dibenarkan dibawa pulang dan kereta jenazah tiba dari Masjid Perai. Aku gunakan kesempatan yang ada menghantar SMS memaklumkan berita kematian ini kepada semua kenalan Arwah. Jenazah selamat dibawa pulang ke rumah pada jam 11 pagi.

Begitu beruntungnya Arwah, semua jiran tetangga turun memberikan bantuan. Ada yang mengemas rumah, memasangkan katil, membentangkan tikar, menyediakan peralatan mandi dan membawa ayat-ayat Al Quran. Saudara-mara dan sahabat handai datang beramai-ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.

Tepat jam 4 petang, jenazah selesai diuruskan dan dibawa ke Masjid Perai untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Perkuburan Islam Bagan Dalam, berhampiran dengan kubur Arwah suaminya, Allahyarham Hamdan Firdaus yang meninggal pada malam 27 Ramadhan tahun 2003.

*********************************************************************************

Allahyarhamah Siti Saodah binti Harun (atau lebih mesra dipanggil MIDAH) telah menjadi jiranku semenjak tahun 1987. Arwah suami isteri amat berjasa besar kepada aku dan keluarga. Dialah yang menjaga anak-anakku selama aku berkerja, bermula dari kelahiran Kak Long pada tahun 1988 sehinggalah semasa aku berhenti kerja pada tahun 2009 - 21 tahun. Bayangkan betapa akrabnya anak-anak ku dengan Arwah. Sehingga mereka memanggilnya EMAK.

Aku amat terhutang budi kepada Arwah suami isteri. Tanpa jasabaik mereka, tidak mungkin aku dapat bekerja dengan tenteram. Mereka berdua juga begitu ikhlas menjaga anak-anak ku semasa aku dan Abah menunaikan haji ke Mekah pada tahun 2003. Dapatlah kami melakukan ibadah dengan tenang tanpa ada rasa risau akan keselamatan dan kebajikan anak-anak yang ditinggalkan.

Arwah Midah juga terkenal dengan sikap pemurahnya. Bersedekah makanan adalah menjadi amalannya. Sepanjang bulan Ramadhan beberapa kali kami disedekahkan dengan juadah yang dimasak atau dibeli. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang solehah.

Aku juga kehilangan teman yang mesra. Selama aku berkerja dulu, hubungan kami tidak begitu rapat. Setelah aku berhenti kerja, kami menjadikan aktiviti berjalan kaki di sekitar kawasan taman perumahan ini sebagai rutin harian bermula jam 8.30 pagi. Setiap hari Rabu pula, kami akan ke market Seberang Jaya untuk membeli barangan basah untuk kegunaan mingguan. Semasa tempoh inilah, pelbagai rahsia kehidupan kami kongsi bersama. Pelbagai luahan perasaan Arwah dapat aku dengar. Aku sering memberikannya kata-kata semangat, meminta nya bersabar dengan apa sahaja dugaan yang mendatang. Kini aku benar-benar terasa kehilangannya.

Yang selalu menjadi kerisauan Arwah ialah nasib anak bongsunya Hanis sekiranya ditakdirkan nyawanya diambil Allah sekarang. Hanis baru sahaja berumur 12 tahun. Kasihan anak ini. Dia kehilangan bapa pada usia 6 tahun dan kehilangan ibu pada usia 12 tahun. Lebih tragik lagi, dia akan menghadapi peperiksaan besar Ujian Penilaian Sekolah Rendah 4 hari selepas kematian ibunya. Semoga Allah memberikan jiwa yang besar pada anak ini. Insyaallah .. aku tidak akan membiarkan anak ini teraniaya .. dia adalah amanah dan dugaan dari Allah untuk saudara-mara dan jiran tetangga yang ditinggalkan.

AL FATEHAH



No comments: